Monday, September 13, 2010

Perutusan Eid

Amermeftah dan krew Petaijeruk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Mudah-mudahan Gusti Allah menerima segala puasa kita, solat kita dan qiyam kita. Njalok ngapuro seng akeh-akeh.

Juga mengambil kesempatam mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang bakal dan telah bernikah. Moga-moga diberkahi. Doakan kanda kalian yang tua ini agar lekas-lekas.

Thursday, September 09, 2010

Colek Kerang

Bulan puasa beginilah masanya orang berlagu, mengabeng dan sebagainya. Mulut mula mengarut terasa nak makan segala benda. Ketika inilah muncul colek kerang mengubati lecah-lecah mulut orang berpuasa. Aku mula sedar budaya ini ketika di sekolah menengah. Orang biasanya membeli dan memakan colek kerang selepas balik terawih di balaisah. Kerang rebus atau bakar yang dicelp di dalam sos pencicah. Mmmm~ 'sedap menenggak' (terlenggak?) kata orang Kelantan atau 'pecah kepala' kata orang Kedah sampai mak mentua lalu di belakang pun tak sedar.

Berhari rayalah dengan selamat kerana pada malam raya ini, macamnya Jepun telah kembali mendarat di Kota Bharu ...

Tuesday, September 07, 2010

Galatasaray Spor Kulübü

Tengah-tengah berlayar itu, terjumpa pulau buatan manusia. Rupa-rupanya 'Nadi Galatasaray'. Dah memang berlayar tepi tebing kawasan Galata pun (adakah Galatasaray ialah Istana Galata?).

Galatasaray S.K. ialah kelab bola sepak Turki yang paling berjaya. Tertubuh sejak 1905 dah banyak kali memenangi piala. Zaman aku cuma tengok bola dengan ekor mata dulu -zaman Ajax Amsterdam pun masih sangat power, Galatasaray memang hebat. Setiap kali Champions League pun masuk. Menyebabkan aku sikit kagum. Ada juga kelab negara Islam/separa Asia yang masuk.

Tapi sejak aku mula tengok bola dengan mata yang terjegil ni, Galatasaray sudah tak kedengaran lagi di persada Eropah. Musim lepas jiran mereka Besiktas masuk tapi tak mampu pergi jauh. Musim ni jom kita tengok sejauh mana Bursaspor boleh mara -kelab dari tempat budak-budak pergi main ski di Turki. Musim ini jugak Ajax kembali.

Skuad yang digelar 'Kuning Merah' ini -kalau Selangor 'Merah Kuning'- bukan setakat ada bola sepak saja tapi ada juga bola tampar, bola keranjang, bola keranjang atas kerusi roda, olahraga, bridge (main terup? kira sukan gak ke?), ekuastrian (tungang kuda), mendayung, belayar, renang, polo air dan lumba kereta. Tapi yang paling utama tentunya bola. Kiranya memang kelab besarlah Galatasaray ni. Patutlah boleh ada kelab terapung siap.

Monday, September 06, 2010

Nekbat

Masa mama mengandungkan aku dia mengidam kuih ni. Tapi mana nak cari kuih ni kat Iowa? Kuih penuh tradisi ini cukup sinonim dengan bulan puasa tapi boleh saja jumpa hari-hari atas pasar. Sekali pandang nampak macam kuih bahulu kena rendam. Tapi saiz asalnya lebih kecil. Kira-kira sebesar hujung-hujung ibu jari tangan begitu. Bahannya pun lain. Selepas disira baharulah kuih ni berkembang menjadi sebesar kuih bahulu. Biasanya orang jual yang siap disira kadang-kadang boleh balik sira sendiri di rumah. Kuih yang cukup sesuai untuk warga tua.

Kaifiyat sira

Mudah saja. Kaedah yang piawai untuk menyira pisang atau labu punggi. Mula-mula masak air gula. Masukkan daun pandan dan bunga cengkih. Tunggu sehinga mendidih kemudian masukkan apa-apa yang hendak disira. Untuk pisang atau labu mungkin boleh dimasukkan awal-awal sebelum menggelegak. Untuk labu mungkin ada persediaan khusus sebelum menyira seperti direndam dalam air kapur lebih dulu.

Makcik-makcik suri rumah sila betulkan saya yang masih bujang ini.

Sunday, September 05, 2010

Pulau Aegina

Kami ke Pulau Aegina (E-Yee-Nuh). Pulau paling besar yang kami singgah.

Dalam perjalanan ke situ, angin cukup kencang sampai merangsang bowel movement.

Pulau Poros yang ditinggalkan ...

Satu-satunya tiang yang masih tegak di tokong untuk Apollo di tebing Aegina.

Aegina sangat terkenal dengan pengeluaran kacang cerdik -pistachio. Pokok-pokok kacang cerdik yang ketika bukan musimnya, kering. Tapi bas bergerak laju sangat.

Nun di seberang, Pulau Salamis yang paling besar di teluk Saronik. Menjadi saksi pertempuran penentu yang hebat antara persekutuan kota-kota Yunani dengan Empayar Parsi. Pertempuran yang menyebabkan tentera Parsi berundur ke Asia dan mereka tidak lagi membuat cubaan untuk menakluk Yunani. Dalam pertempuran ini, pihak Yunani menggunakan taktik mengumpan kapal perang Parsi yang banyak ke selat yang sempit dan menyebabkan kapal mereka sukar dikawal.

Dalam Trojan War, Zeus memerlukan tentera untuk berperang bagi pihaknya lalu menukarkan semut-semut menjadi perajurit bertangan enam dan memakai perisai hitam (myrmidon). Oleh sebab Pulau Aegina tidak berpenghuni, ia dipilih sebagai tempat perkumpulan dan latihan tentera semut ini. Tentera-tentera ini dipimpin oleh hero perang itu, Achilles.

Anarki di Athina L

Saturday, September 04, 2010

Surat Halus

Lepas zohor Mak Piah akan tolak daun pintu buka luas-luas. Kemudian dia akan duduk di atas bendul dekat beranda sambil tengok kereta sebuah dua yang lalu-lalang. Waktu begitu jalan memang lengang. Sekali-sekala ada orang yang menggateh basikal lalu menyapanya. Kadang-kadang ada orang muda yang datang menegurnya yang dia sendiri pun tak kenal.

Telah puas, Mak Piah akan capai 'surat' dan membacanya di mana-mana tempat yang ditandanya sebelum ini. Tapi angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup selalunya memberatkan mata. Jadi Mak Piah akan berbaring mengiring mengkerekot di muka pintu. Lagipun memang sedap tidur di bawah atap bata yang dingin.

Kadang-kadang dia akan kata, "Halus sangat surat ni, mak tak nampak mata tak bergari dah, acu pegi ambil surat yang kasar sikit."

Orang Kelantan memanggil naskhah al-Quran sebagai surat sebagaimana orang Arab memanggilnya dengan mushaf. Ketahuilah olehmu bahawasanya ada bezanya al-Quran dan naskhah al-Quran.

Macam yang kita dah tahu, mushaf ada dua jenis. Quran Karim yang pakai rasm Uthmani dan Quran Majid yang orang tua-tua lama lebih biasa. Kalau nak ikut rasm Uthmani lebih mudah dibaca dengan tajwid yang betul kalau kena sistemnya. Tapi untuk orang tua-tua lama kadang-kadang tulisan Uthmani itu nampak halus dan nipis berbanding dengan Quran Majid yang tulisannya tebal-tebal. Tak nampak nak baca. Lagi pula, orang tua-tua lama kadang-kadang 'tak kena' nak baca surat halus sebab sistem barisnya yang berbeza dengan surat kasar.

Kadang-kadang Mak Piah akan bertanya pada cucunya, "Mengaji sekerat mana dah? Wa ma ubarri'u?"

Ini cara orang tua lama mengecam juzuk dalam al-Quran. Mereka kadang-kadang tak tahu yang mana satu juzuk 10 atau 15 atau 28. Tapi mereka cam dengan kepala ayat untuk setiap juzuk. Itu pun jasa Quran Majid yang menebalkan baris pertama setiap awal juzuk. Contohnya, juz alif lam, juz sayaqu, juz wa ma ubarri'u, juz walmuhsona, juz lantana, juz tilka ... Orang tua dulu-dulu mengaji tak tinggi mana. Tak masuk sekolah tahfiz pun. Tapi ayat Quran meniti di bibir. Kalau dibaca kepala ayat apa-apa nescaya boleh disambungnya sampai habis. Malah tahu pula kalau nak cari barang hilang kena baca ayat yang mana.