Saturday, September 04, 2010

Surat Halus

Lepas zohor Mak Piah akan tolak daun pintu buka luas-luas. Kemudian dia akan duduk di atas bendul dekat beranda sambil tengok kereta sebuah dua yang lalu-lalang. Waktu begitu jalan memang lengang. Sekali-sekala ada orang yang menggateh basikal lalu menyapanya. Kadang-kadang ada orang muda yang datang menegurnya yang dia sendiri pun tak kenal.

Telah puas, Mak Piah akan capai 'surat' dan membacanya di mana-mana tempat yang ditandanya sebelum ini. Tapi angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup selalunya memberatkan mata. Jadi Mak Piah akan berbaring mengiring mengkerekot di muka pintu. Lagipun memang sedap tidur di bawah atap bata yang dingin.

Kadang-kadang dia akan kata, "Halus sangat surat ni, mak tak nampak mata tak bergari dah, acu pegi ambil surat yang kasar sikit."

Orang Kelantan memanggil naskhah al-Quran sebagai surat sebagaimana orang Arab memanggilnya dengan mushaf. Ketahuilah olehmu bahawasanya ada bezanya al-Quran dan naskhah al-Quran.

Macam yang kita dah tahu, mushaf ada dua jenis. Quran Karim yang pakai rasm Uthmani dan Quran Majid yang orang tua-tua lama lebih biasa. Kalau nak ikut rasm Uthmani lebih mudah dibaca dengan tajwid yang betul kalau kena sistemnya. Tapi untuk orang tua-tua lama kadang-kadang tulisan Uthmani itu nampak halus dan nipis berbanding dengan Quran Majid yang tulisannya tebal-tebal. Tak nampak nak baca. Lagi pula, orang tua-tua lama kadang-kadang 'tak kena' nak baca surat halus sebab sistem barisnya yang berbeza dengan surat kasar.

Kadang-kadang Mak Piah akan bertanya pada cucunya, "Mengaji sekerat mana dah? Wa ma ubarri'u?"

Ini cara orang tua lama mengecam juzuk dalam al-Quran. Mereka kadang-kadang tak tahu yang mana satu juzuk 10 atau 15 atau 28. Tapi mereka cam dengan kepala ayat untuk setiap juzuk. Itu pun jasa Quran Majid yang menebalkan baris pertama setiap awal juzuk. Contohnya, juz alif lam, juz sayaqu, juz wa ma ubarri'u, juz walmuhsona, juz lantana, juz tilka ... Orang tua dulu-dulu mengaji tak tinggi mana. Tak masuk sekolah tahfiz pun. Tapi ayat Quran meniti di bibir. Kalau dibaca kepala ayat apa-apa nescaya boleh disambungnya sampai habis. Malah tahu pula kalau nak cari barang hilang kena baca ayat yang mana.

7 comments:

AsrarR said...

sangat betul, teringat jame kecik2 dl, bila sebut juz2 mesti sebut, 'baca sayaqu..'

masih ingt duk baca surat kasar, surat kecik. hehe.

salam 5 akhir Ramadhan :)

Mohd Faizal Bin Nor Azmi said...

a new perspective for me, thanx for sharing

musafirtibbi said...

Kecik-kecik dulu belajar guna muqaddam, bolehlah nak membaca mushaf majid :)

Amermeftah said...

hehehe surat kecik tu muqaddam kan? aku dulu pun mula belajar pakai Quran Majid jugak, ingat lagi dak cara kita mengeja dulu2? hehehe

djambu puadovich said...
This comment has been removed by the author.
djambu puadovich said...

nak cari barang hilang guna ayat ape? acu kongsi kat sini ;)

Anonymous said...

seni bertertib sungguh. keep it up. jzk