Tuesday, December 01, 2009

Infigar Kabeer

Mengadap Sultan Setambul XXIV

Infigar Kabeer ialah Big Bang.

Malam kedua kami pisah. Mengelak ikhtilat konon. Cewah. Berkat kononnya mengelak ikhtilat berbuah. Sulieman ajak kami makan di restoran ikan oleng-oleng. Dia belanja. Jadi dia, aku, Mamat dan Konsti berjalanlah ke kedai yang katanya tak jauh.

Masa tengah jalan nak makan ikan dia orang banyak membuka minda kita orang tentang cara orang putih. Kami banyak tanya pasal cuaca, pasal perempuan, pasal arak. Dulu kami ingat orang putih dah biasa dengan cuaca sejuk, dah tak kisah. Rupanya dia orang tak suka jugak. Sebab tu dia orang masih panggil bad weather.

Sulieman (dah tentu sebab dia muslim) dengan Konsti pun anggap mini-skirt menjolok mata sampai Konsti kata dia orang ni gila ke apa musim-musim sejuk pakai singkat-singkat dedah-dedah kaki. Bila tanya apa rasa arak dia kata you wont like it. Pening. Busuk. Kita orang pun, "Oh!" Agaknya kita orang terserempak orang putih baik-baik kot. Tapi agak mengubah persepsi terhadap orang eropah dan nampak sangat orang kita saja yang terikut buta-tuli apa-apa yang dalam TV. Masa aku kata, orang Asia banyak yang berkiblatkan Barat. Sulieman pun terkejut, "No, no, no, it shouldn't be like that" ...

Sekali masa kami jalan-jalan nak pergi kedai ikan tu, apa entah yang Mamat tanya Konsti tapi baru kami tau yang dia tu atheist. Patutlah dari tadi asyik dok sindir-sindir Islam. Sulieman pun apa lagi. Panas. Terus tanya, "So, how do you explain The Big Bang?" Sepanjang-panjang jalan dari Topkapi sampai jejantas Eminonu tak habis-habis debat. Rasa bersalah pulak Mamat buka topik. Akhirnya potong buat-buat tanya, "Sulieman, kenapa kau pilih nama tu?" Tapi dia orang cool saja. Dia orang berhenti takat tu saja. Balik hostel main backgammon sama-sama.


Sunday, November 29, 2009

Tumbang


O Lord, this came from You and return to You, so accept from me ...

Tak dapat yang putih, hitam pun jadilah.

Kalau anda buat korban, ambil hati dan makan hati. Kalau pun anda tak berahi makan kibdah pada hari-hari biasa atau sudah fobia dengan lauk kibdah di maidah rahman dua bulan lepas, ambil hati dan makan hati. Memang limpa, paru-paru dan perut sedap tapi hati lebih afdhal sebab Nabi makan sebagian hati binatang korbannya. Jadi tuan korban, ambil hati dan makan hati.

Saturday, November 21, 2009

Gatos


Orang-orang di Kepulauan Yunani lebih gemarkan kucing berbanding anjing. Anjing hampir tidak kelihatan di pulau-pulau. Berbeza dengan orang tanah besar yang lebih gemarkan anjing. Anjing di tanah besar tidak dipasang cawak. Dibiarkan bebas berjalan di sebelah tuannya. Yang membezakan dengan anjing kurap hanyalah kolar pada leher.

Di belakang kucing yang memejam mata ini mungkin sekali teksi air.

Anarki di Athina XXXVIV

Friday, November 20, 2009

Berita! Buang Bayi

Tuut! ... Tuut! ... Pukul tujuh pagi. Inilah berita nasional dari Radio Satu Kuala Lumpur. Berita disampaikan oleh Mariamah Tijo. Sari berita penting ...

Mounira, 12 November - Istana Presiden hari itu gempar dengan penemuan seketul bayi di hadapan pintu. Bayi yang cukup sifat dan seberat tidak sampai suku kilo itu ditemukan dengan skaf merah terlilit pada lehernya dan hanya dibaluti kain tudung. Menurut jurucakap Istana Presiden, pada malam kejadian loceng pintu ditekan dua kali namun setiap kali pintu dibuka tiada orang kelihatan. Namun apabila loceng ditekan kali ketiga sekujur bayi ditemukan terbaring di hadapan pintu.

Bayi malang yang ditemui dalam keadaan sudah kaku.

Thursday, November 19, 2009

In Chand e?

30 Tahun Revolusi Islami XXIII

Kalimah pertama yang dianggap paling penting untuk kemandirian yang kami pelajari ialah kalimah untuk berjual-beli. Jadi kami belajar bagaimana nak menyebut, "Bikam dah?" (berapa harganya ni?) dalam bahasa Parsi dari seorang Pakistan (kot) yang ada di Stesen Azadi waktu itu. Orang itu kata, "In chand e?"

Tapi macet juga sebab kalau tauke kedai sebut, "Se hezaar toman," kami akan cuma tahu melopong saja. Akhirnya kami tanya juga tapi tauke kedai petik kalkulator saja. Lagi pening bila di peringkat pasar, Iran masih menggunakan matawang lama iaitu toman berbanding matawang rasmi rial. Bukan setakat beza nama, tapi beza nilai pulak. 1 toman = 10 rial. Mudahnya tolak kosong saja.

Uniknya kedai-kedai runcit Iran ni, kalau masuk semuanya mesti ada papan tanda 'Welcome to your shop'.

Aku tak banyak pengalaman dengan kedai runcit sebab tak banyak membeli-belah macam orang lain (kedekut?). Cuma sekali tersilap beli kredit untuk telefon genggam Phuong. Tapi nasib baik pakcik kedai Iran baik. Pakcik pelanggan yang boleh cakap orang putih sikit-sikit pun tolong dan sanggup beli kredit yang dah terguris.

Di Iran telur dijual pakai kilo.