Showing posts with label Air Langit. Show all posts
Showing posts with label Air Langit. Show all posts

Tuesday, January 22, 2008

Kaherah: Hujan Bukan Suatu yang Indah

Mawardy Street sudah bertukar menjadi petak sawah. Selepas ini mungkin mesin bajak atau kerbau tenggala pula yang akan lalu.


Harapan untuk menyaksikan Kaherah yang lebih hangat hancur bila hujan (gerimis sebetulnya) gelombang kedua turun malah lebih hebat. Kerana negara ini kurang mendapat hujan atau kerana negara ini ialah Mesir maka longkang atau parit tidak wujud. Hujan di Kaherah bukan suatu yang indah kerana turunnya pada musim dingin bahkan menambah dingin juga kerana becak dan lecah yang menambah muak dan payah. Tapi hujan memang sesuatu yang jarang kerana disambut dengan riuh suara dan jerit anak gadis yang gembira atau sebetulnya lari berlindung daripada kebasahan juga dengan kehadiran penonton di setiap anjung di setiap rumah.

Pada hari itu, matahari kehilangan kuasa dan api tidak lagi panas.

Hujan benar-benar rahmat. Masakan tidak sedangkan Mikail ditugaskan hanya untuk itu. Dr. (barangkali sudah) Mohd Mohiyuddin Mohd Sulaiman pernah membarikan betapa nikmatnya wudhuk di negeri-negeri panas. Barinya lagi ketika di Afghan, kedai-kedainya hanya berlantaikan tanah beralas najis kuda dan keldai. Rotinya pula besar-besar sehingga kalau kalian kerat dua pun sebelahnya boleh dpakai buat selimut.

Katanya lagi, Tanah Melayu itu mungkin sekali terlebih rahmat sampai Kuala Lumpur bisa banjir kilat. Masakan tidak rahmat tidak mahal sedangkan Rasul mengajar doa-doa yang berbagai.

Ya, kali ini giliran orang-orang Pahang. Seperti biasa, tentera merah tetap berderu-deru turun berpencak.


Tuan-tuan dan puan-puan, inilah asal usul kita.
Gambar ini setelah hujan gelombang pertama. Sekarang sudah cerah, malam ini sudah sedikit hangat. Kain rentang dalam gambar di atas memberitahu pembukaan 'Kedai Roti Mounira, dengan Tiknikiyyah I6aliyyah Gadidah'. Insya Allah ada liputan.

Mator gamda awi~

Saturday, February 24, 2007

Kaherah Banjir Mounira Tiada Air

Tajuk di atas sudah cukup untuk menjelaskan. Demi kesihatan saya turun Metro satu stesen lebih awal. Apabila sampai ke hujung Jalan Falaki atau Jalan Mansour sebenarnya...apa ini?

Jalan Mohamed Ezz El-Arab telah tenggelam! Saya pun jalan dekat lagi. Mungkin ada tempat yang kering. Tiada. Jalan lagi. Mungkin boleh sampai ke Jalan Kasr El-Ainy. Tidak dapat. Harus melintas jalan yang tenggelam. Ada lubang kumbahan di jalan dibuka. Air masuk laju. Memang sungguh banjir. Apakah air Sungai Nil sudah melimpah?

Patah balik. Naik Metro sajalah. Ada bas nombor empat di jalan. Mahu saja tumpang. Biarlah. Ada orang mengharung air. Kaki ayam. Mahu saja mengharung tapi berfikir, gelilah. Kalau di tempat kita tidak apa, kita tahu. Tapi tempat ini...boleh kira tempat kitalah dan sudah tentu kita tahu kotornya Kaherah! Banyak najis, nanti kena infeksi.

Ada anak yang menabur pasir di tepi kaki lima. Kerana air sudah mahu melimpah masuk ke kedainya. Tidak jadi naik Metro. Cari jalan lain. Di sebelah landasan Metro itu. Itu pun ada tempat yang tenggelam. Terpaksa meniti kaki lima yang sempit dengan kereta banyak di jalan. Ruginya tiada kamera. Tiada bahan bukti!

Mungkin sekali paip pecah. Kerana sampai sekarang tiada air...

Sunday, February 18, 2007

Merah

Empat hari kelmarin ramainya orang mengenakan baju merah. Kebetulan, saya juga ada memakai kerana hari itu jatuh giliran baju itu. Mulanya saya tidak tahu sampailah Aslam pulang dan khabarkan ramainya orang mengenakan baju merah pada hari itu di kuliah. Kebetulan Aslam juga. Walaupun hari itu pasukan bola sepak Korea tidak beraksi. Manchester United dan Al-Ahly tidak juga. Tapi kerana hari itu hari orang berkasih-kasihan. Kuat sekali orang Mesir berpegang pada hal-hal yang tidak sepatutnya. Di stesen Metro ada orang menjual mawar setengah genih sekuntum. Di jalanan banyak anak-anak gadis membawa hadiah masing-masing dalam bungkusan indah-indah yang juga merah.

Bercakap tentang merah ini, teringat pula saya pada Bah Air Merah. Bah besar yang berlaku di Kelantan dan barangkali juga Terengganu pada tahun 1926 dulu (paling awal direkodkan mungkin). Kemudian berulang-ulang selang 40 tahun. Pada tahun 1967 lebih kurang sekali lagi. Kata orang tua-tua lama, air bah itu warnanya merah. Keruh sahaja barangkali. Bah itu penting sekali dalam hidup orang dulu-dulu. Sampai dijadikan ukuran waktu. Contohnya ada kata-kata begini:

"Tua sangatkah Pak Cu Husin tu?"
"Entahlah, tapi masa bah merah tu dia dah ada."

Sepupu saya ada seorang lahir pada waktu itu. Kata orang tua lagi, kalau hujan mula turun pada malam atau hari Jumaat, alamat payahlah lagi hendak berhenti dan bersiap-siaplah untuk bah...

Menulis tentang bah, teringat pula saya pada orang Johor dan kemudian Jakarta. Kanda saya yang sulung yang tinggal di Kota Tinggi itu tidak dapat pulang beraya haji. Kerana jalan semuanya tutup. Tetapi akhirnya dia pulang juga selepas surut sedikit. Tetapi tidak dapat pulang semula ke Kota Tinggi. Terkena gout!

Artikel berkait:
Sekali Air Bah

Sunday, January 14, 2007

Sekali Air Bah



Sekali pantai berubah.

Orang pantai timur sudah mangli. Bukan kerana sistem perparitan yang buruk (walaupun bukan sepenuhnya), tetapi kerana sudah 'periang bah'. Alih-alih Johor pula yang teruk terkena.

Waktu hujan mula turun hari tu, orang Johor dan pantai timur patut baca:

اََللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
“Ya Allah! Turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman dan binatang).”

Tapi kalau hujan lebat sangat, nampak macam lambat lagi saja nak berhenti, takut carok pulak pokok tembakau bagi orang pantai timur khususnya (tapi orang tanam tembakau musim bah ke?) bacalah pula:

َ
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اَللَّهُمَّ عَلَى اْلآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَر
“Ya Allah! Hujanilah di sekitar kami, jangan kepada kami. Ya, Allah! Berilah hujan ke daratan tinggi, bebe-rapa anak bukit perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan pepohonan.”

Lepas itu, kalau hujan dah berhenti, bacalah pula:

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللهِ وَرَحْمَتِهِ

“Kita diberi hujan karena karunia dan rahmat Allah.”


Berlindung hujan di bawah Rambong...

Tapi, bila musim kenarau nanti, macam El-Nino sembilan sepuluh tahun lepas tu, bacalah pulak:

 اللَّهُمَّ أَسْقِنَا غَيْثًا مُغِيْثًا مَرِيْئًا مَرِيْعًا، نَافِعًا غَيْرَ ضَارٍّ، عَاجِلاً غَيْرَ آجِلٍ
“Ya Allah! Berilah kami hujan yang merata, menyegarkan tubuh dan menyu-burkan tanaman, bermanfaat, tidak membahayakan. Kami mohon hujan secepatnya, tidak ditunda-tunda.”

atau

َللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اَللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اَللَّهُمَّ أَغِثْنَا
“Ya Allah! Berilah kami hujan. Ya Allah, turunkan hujan pada kami. Ya Allah! Hujanilah kami,”


atau

َاللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ وَبَهَائِمَكَ، وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ، وَأَحْيِي بَلَدَكَ الْمَيِّت
“Ya Allah! Berilah hujan kepada hamba-hambaMu, ternak-ternakMu, beri-lah rahmatMu dengan merata, dan suburkan tanahMu yang tandus.”

Banyak-banyaklah sabar orang Johor...