Monday, January 10, 2011

Caliph of Cairo



Tajuk kecil dalam Bahasa Inggeris di atas ialah tajuk sebuah buku yang dijual di toko buku AUC. Di sebelah barat, saya percaya apabila disebut perkataan caliph sudah tentu yang wujud dalam fantasi mereka ialah Kota Baghdad. Pun, begitu buku ini -saya belum baca, bajet saja- cuba menarik perhatian pembaca dengan menyatakan bahawa Kota Kairo juga pernah menjadi a seat of caliphs.

Walaupun tajuknya berbunyi umum tetapi buku ini ditujukan khusus kepada seorang tokoh yang tidak asing dalam tarikh Mesir iaitu Abu Ali Mansur Al-Hakim bi Amrillah. Saya pernah beberapa kali membuat ulasan tentang khalifah yang terkenal dengan aneh lakunya dan sering digambarkan sebagai ganas dan gila. Baginda ialah khalifah keenam bagi Khilafah Fatimiyyah dan Imam ke-16 bagi Syiah Ismailiyyah.

Ketika al-Hakim baru naik takhta, sebagai reaksi kepada polisi mencaci-maki Sayyidina Abu Bakar, Umar dan Uthman serta Sayyidatina Aishah, pihak Sunni di Baghdad melancarkan 'Manifesto Baghdad' yang disebarkan melalui minbar khutbah menuduh baginda bukan dari keturunan Sayyidatina Fatimah kerana konon ibunya seorang Kristen. Dalam pergelutan dengan pihak Sunni ini baginda memansuhkan solat dhuha dan solat terawih kerana dikatakan bidaah ciptaan Sunni. Malah atas sebab yang sama baginda menukarkan seruan assolatu khayrun min an-naum dalam azan subuh kepada hayya 'ala kayrul amal yang diguna pakai Syiah sehingga kini.

Agama lain turut 'disentuh' al-Hakim. Setelah mengharamkan sambutan Easter, baginda mengarahkan agar Gereja Makam Suci di Al-Quds dimusnahkan. Dikatakan, arahan beliau ialah sebagai reaksi terhadap tuduhan bahawa ibunya seorang Kristen. Ketika hujung hayat baginda muncul pula ajaran Druze yang mengangkat baginda sebagai tuhan. Sesetengah pihak meriwayatkan baginda sendiri mengaku menjadi tuhan. Pun, sedikit sebanyak disangkal apabila baginda sendiri menghukum salah seorang pengasas ajaran ini yang mensucikan baginda.

Antara undang-undang pelik yang digubal al-Hakim ialah melarang memakan molokhia dan gargir, makanan Mesir turun-temurun. Mengharamkan permainan catur. Melarang nelayan menangkap ikan tanpa sisik dan melarang marhaen membeli serta memakannya. Melarang penyembelihan lembu kecuali pada Aidiladha.

Mengharamkan wanita keluar rumah dengan melarang tukang kasut membuat kasut untuk mereka -larangan ini diragui kerana mungkin diada-adakan musuhnya kerana mungkin timbul ekoran catuan bahan kulit untuk persediaan perang. Larangan terhadap wanita inilah dikatakan membawa kepada budaya fannus di bulan Ramadan. Di mana wanita dibenarkan keluar rumah pada malam Ramadan tetapi dengan syarat ditemani anak-anak lelaki yang akan membawa tanglung tembaga sebagai isyarat kepada kaum lelaki supaya ke tepi kerana ada akhawat nak lalu.

Suatu ketika madu lebah seluruh Kaherah dikumpulkan dan dicurah ke dalam Sungai Nil.

Sebaliknya, menurut sumber Ismaili, al-Hakim hidup serba ringkas dan sederhana. Gemar bertegur-sapa dengan rakyat jelata di jalanan sambil bertukar-tukar lawak jenaka dan pada sebelah malam pula sering merayau-rayau keliling kota untuk mengintip perjalanan negara.

Baginda yang semakin lama semakin gemar berkhalwat 'hilang' pada umur 36 tahun setelah menaiki keldai ke Bukit Mokattam tanpa pengawal. Keldai baginda ditemui berhampiran sebuah perigi bersama pakaian berlumuran darah. Ramai percaya bahawa kehilangan baginda berkait rapat dengan Sitt al-Mulk, kakak baginda yang sentiasa tidak setuju angin dengannya. Golongan Druze pula percaya beliau telah ghaib dan bakal muncul semula sebagai Mahdi.

Kesimpulannya, siapa tak mengaku/dianggap tuhan kalau buat peraturan dan arahan pelik pun menonong-nonong orang taat.

1 comment:

ASAZ said...

kalau mengaku tahan jadi sesat