Wednesday, August 10, 2011

Maidaan-e Naqsh-e Jahan

30 Tahun Revolusi Islami XXXVIII


Ibu kota yang terdedah kepada ancaman musuh tidak akan maju dan makmur. Oleh sebab itulah Shah Abbas I, Shah yang terkemuka dalam kerajaan syiah Safawiyyah (Safavid) telah memindahkan ibu kotanya dari Qazvin yang diancam serangan puak Uzbek dari utara dan Osmaniyyah di barat ke ibu kota lama Iran iaitu Esfahan.

Esfahan, ibu kota lama zaman Seljuk kini diberi nafas baru oleh baginda Shah Abbas. Baginda memajukan kawasan ke selatan bandar lama dengan membina sebuah medan yang besar. Medan yang sepanjang setengah kilometer itu ialah yang kedua terbesar di dunia (di belakang Medan Tiananmen, China) ketika ia siap dibina. Medan yang kini dikenali sebagai Medan Imam dan sebelumnya Medan Shah dikelilingi bazar, dua buah masjid dan sebuah istana.


Selain menghindari ancaman luar perpindahan ibu kota dan pembinaan medan ini turut membantu mengukuhkan politik dalaman dengan memusatkan kuasa kerajaan di Esfahan. Di Medan ini Shah Abbas mengumpulkan tiga elemen kuasa di halaman baginda sendiri iaitu kuasa para ulama yang diwakili Masjid Shah, kuasa koperat-koperat niaga yang diwakili Bazar Diraja dan kuasa politik yang diwakili Istana Ali Qapu.

Pada siang hari, medan ini dipenuhi dengan khemah dan gerai para peniaga yang membayar sewa tapak kepada kerajaan secara mingguan. Pada sebelah malam medan dikosongkan untuk memberi ruang kepada para penggiat seni seperti ahli akrobat, pelakon mimos bisu dan pemain boneka untuk menunjukkan bakat masing-masing.

Sekali-sekala medan dikosongkan langsung untuk acara dan perayaan awam seperti sambutan Nowruz atau Tahun Baru Parsi dan permainan polo diraja. Datang sekarang, medan ini masih digunakan untuk Namaaz-e Jomeh atau Solat Jumaat.


Pada zaman Shah Abbas, mereka sangat terbuka dalam menerima kemasukan orang luar. Orang Cina banyak menjadi artisan, orang India menjadi pengurup matawang (macam sekarang), orang Eropah menjadi mubaligh, orang Turki menjadi tentera dan ada juga orang dari Georgia dan Armenia. Bazar diraja di utara medan ini juga berhubung dengan Bazar Bozorg di bahagian kota lama Esfahan.


No comments: