Sunday, April 28, 2013

جمعة الغضب


Friday of Anger


Bermalam di rumah Suib. Sedar sedang-sedang mampir waktu Jumat. Janji kerajaan untuk memutuskan segala alat perhubungan ditepati. Tepat jam 12 tengah hari, internet putus, talian telefon mati.

Solat Jumat sebagai biasa. Khutbah Masjid Bustan al-Fadhil juga biasa. Tiada berapi-api. Aku sangka sebaik berpaling salam kiri segala marhaen bakal bangkit dengan laungan slogan masing-masing. Aku berpaling kiri kanan, semua berpusu pulang sebagai juga biasa. Kami pun beramai-ramai membikin rutin setiap hari Jumat, makan tengah hari yang lebih enak dari hari biasa.

Ketika enak-enak menelan makan itu, kurang lebih jam dua di luar mula bergema, "Wahid! Itnin! Sya'bu Masry fayn?! Wahid! Itnin! Sya'bu Masry fayn?!" Kami berebut-rebut ke balakona mengintai. Hampir ratusan rakyat mula turun ke jalan. Setiap kali gerombolan melintasi sebuah imarah, bertambah dua tiga orang, bertambah tiga empat orang. Semua menuju ke kepala Sharia Shaykh Aly Yousef langsung ke Medan Tahrir. Setelah kumpulan itu berlalu keadaan tenang. Buat sementara masa. Tenang sebelum taufan.

Dalam lingkungan waktu asar, mula kelihatan beberapa orang mula berpatah balik. Kami pun mula menggatal meninjau. Dari Sharia Ismail Sirry kami melihat langsung ke Sharia Kasrel Ainy pandangan yang cukup azmat. Anak-anak muda membawa panji-panji dan sepanduk berarak gagah melaung, "As-sya'b yureed isqat an-nizam! As-sya'b yureed isqat an-nizam!" Wamap dan Ayip naik angin. Semangat ingin tahu langsung maju ke Sharia Kasrel Ainy. Aku dan Asle masih terpacak di cabang empat Sharia Ismail Sirry itu.

 Serentak itu berdentam-dentum das-das tembakan gas pemedih mata. Dalam kucar-kacir itu amin markazi mula menyerbu. Demonstran lintang-pukang bertebaran, Wamap dan Ayip berpatah balik, aku dan Asle mundur. Seorang muda yang lebih awal ke depan dengan mata merah berair mengangkat isyarat tangan kepada kami, "Nanti dulu, jangan undur lagi." Ketika itu muncul bermacam-macam penawar untuk mata yang disengat gas. Paling popular, mengairi mata dengan air coke!

Di seberang sini jalan pula seorang anak muda memberi nasihat, "It's better for you to go home".

Di Sharia Kasrel Ainy tidak berhenti di situ. Gelombang kedua anak muda gagah mara dengan laungan, "Allahuakbar! Allahuakbar!" Das-das kelongsong gas pemedih mata ditembak lagi. Anak muda yang sudah pedih mata mundur langsung diganti gelombang baru yang masih segar. Mara. Mundur. Mara. Berulang-kali.

Di Sharia Shaykh Aly Yousef yang lengang tiba-tiba datang sebuah kereta bomba. Mungkin cuba untuk merusuk dan mengapit para demonstran dan menyembur air dari belakang. Waktu itu muncul tiga budak muda yang pada hari-hari biasa termasuk dalam bolongan budak-budak liar. Berkaki ayam, hanya mereka bertiga menghadapi kereta bomba berlari-lari anak mara bersenjatakan batu. Pemandu kereta bomba yang kecut langsung mengundur sampai hujung jalan.

Selang beberapa lama muncul pula sebuah trak polis masuk ke Sharia Aly Yousef. Waktu itu bukan budak muda saja tapi makcik-makcik bawwabah pun mula bangkit. Pantas mengusir trak polis dengan ketul bata dan botol kaca. Aku dan Asle tangkas mengelak masuk ke lobi imarah sambil memikir entah apa yang mahu dicuba polis itu datang dengan trak seorang diri. Cari mati saja.

Wamap dan Ayip masih di depan. Petang menjelang. Tarik tolak antara demonstran dan amin markazi masih berlangsung di Sharia Kasrel Ainy. Demonstran 'menawan' beberapa meter kemudian dirampas puak polis kembali. Kemudian ditawan lagi dan dirampas lagi. Begitulah.

Petang menjelang. Anak-anak muda nan liar mula main kasar. Bom-bom petrol melayang di udara menghias langit senja. Wamap dan Ayip balik. Kami semua masuk dan menonton televisyen yang mujur ada di rumah itu. Siaran langsung warta berita khas. Puak polis kalah! Amin markazi berundur sepenuhnya mengosongkan Medan Tahrir yang mulia. Dikhabarkan tentera mula mengambil alih. Kereta-kereta perisai memenuhi medan. Hazr el-tagawwul diumumkan.

Malam itu, azan maghrib tetap bergema ...

Wednesday, April 24, 2013

ثورتنا مصرية



Dengan munasabah pilihanraya yang bakal melanda, molek juga kiranya aku paparkan coretan pengalaman hari-hari rusuhan. Pun pengalaman aku tiadalah sehebat rakan-rakan seangkatan karena aku juga seperti para diktator itu akhirnya meloloskan diri ke Arab Saudi.

Jadi semangat jadi sempadan.

25012011
Hari Polis. Hari yang biasanya dihiasi dengan pertunjukan kekuatan pasukan polis di sepanjang sungai Nil di kota Kairo. Sengaja dipilih golongan anak muda melancarkan tnjuk perasan besar-besaran sebagai mengejek pasukan polis. Simbol kebejatan kerajaan.

Asle, Ayip dan Suib dalam jalan pulang dari kedutaan melalui Medan Tahrir yang penuh azmat dengan para demonstran. Sempat juga memukul gambar berbagai gaya berlatarkan tunjuk perasaan.

Aku kerinan. Yang dapat aku lihat hanyalah rakaman video anak muda Mesir seorang-seorang yang menghalang meriam air. Lagak macam Tank Man di Tiananmen.

26012011
Rabu. Hari-hari seperti biasa. Demonstrasi tinggal saki-baki. Macam biasa, lima orang demonstran dikepung puak polis dari lima buah trak.

Kami macam biasa. Masih mampu main futsal di padang Kelab Zinhom dari senja dan balik malamnya. Tak ada apa-apa.

27012011
Juga hidup diteruskan semacam kebiasaan. Cuma semalam, demonstran berikrar bakal melancar demonstrasi besar-besaran pada hari Jumaat.

Malam. Aku mula tak sedap hati. Amaran demonstran tak boleh dipandang ringan. Aku dapat telah, sesuatu yang besar bakal berlaku. Mula berpesan pada jiran-jiran, rakan-rakan seangkatan dan budak-budak rumah sendiri. Beli bekalan. Aku sendiri langsung ke pasaraya Kheir Zaman angkat telur sepapan sama satu beg megi.

Sambung lepak-melepak di rumah Ayip sebagaimana biasa ...

Monday, April 15, 2013

Cathedral Saint Vincent de Paul di Ville Nouvelle

Dari Kartago ke Kairouan VI



Gereja masih menjadi tempat yang menakutkan untuk aku.

Ruang dalamannya sengaja disusun suram dan kelam walaupun mesej igama Kristen penuh dengan kasih sayang. Mungkin bagi menimbulkan rasa bersalah selari dengan konsep dosa asal.

Di luar pula kadangkala penuh dengan jembalang-jembalang bertenggek pada cucur atapnya. Ukiran jembalang itu dikatakan mempunyai dua tujuan. Satu, menakutkan para jemaah agar berlindung di dalam gereja mengingatkan mereka pada hari akhirat. Dua, memberi isyarat pada para jemaah bahawa jembalang itu tersekat pada dinding gereja dan tiada boleh ia masuk maka selamatlah jemaah jika berlindung di dalam gereja.

Katedral Saint Vincent de Paul ialah satu-satunya gereja besar katolik di Tunis yang menempatkan kerusi biskop. Ia menggantikan Katedral Saint Louis di Bukit Byrsa. Kebanyakan penganut mazhab katolik ialah para penjarah Perancis dan jumlah mereka menurun setelah kemerdekaan.

Pembinaannya ditujukan kepada Saint Vincent de Paul, penaung kerja-kerja kebajikan. Satu, mungkin kerana gereja ini dibina oleh orang Perancis dan beliau sendiri berasal dari Perancis. Dua, lebih menarik lagi, mungkin kerana ketika usia muda, beliau pernah diculik oleh lanun Barbar ke Tunis dan dilelong sebagai hamba selama dua tahun.

Tak banyak untuk aku tengok di Ville Nouvelle -new town- selain pejabat-pejabat kerajaan tinggalan kolonial. Beberapa kali aku lintas katedral ini. Ada sebatang pokok Krismas yang renek di depan pintunya yang terbuka separuh. Tapi tak ada hati nak jenguk.




Monday, April 08, 2013

Bab Bhar


Dari Kartago ke Kairouan VI


Seolah-olah megalu-alukan anak dagang yang tumpang bertandang Bab Bhar berdiri gagah di tengah-tengah simpang-siur orang-orang lalu-lalang. Konon dulukala, gigi air laut sampai ke kakinya lalu dipanggil orang Bab Bhar yakni 'pintu laut'. Padahal air tak pernah sampai ke situ tapi kerna ia mengadap laut atau tepatnya Tasik Tunis serta dermaganya. Bab Bhar bersama-sama Bab Souika, Bab Khadra, Bab Alioua ialah pintu-pintu Medina Tunis dibina oleh pemerintah Bani Aghlab. 

Pada zaman penjarah Perancis mereka memohon izin Bey bagi merobohkan dinding-dinding kota bagi membina Place de la Victoire. Tinggallah sekonyong-konyong Bab Bhar berdiri sendiri sampai datang sekarang menjadi perbatasan antara kawasan medina untuk orang Arab dan Ville Nouvelle untuk orang Eropah.