Kota Damsyik
Kota Damsyik sebagai disebut orang Melayu kita, Damascus sebagai disebut orang Barat sana dan Dimashq sebagai disebut orang Arab di situ dikatakan antara kota yang paling lama didiami manusia. Sejak 3000 S.M sehingga sekarang seperti juga Jericho dan Faiyoum. Kota ini pernah dikuasai Greek Seleucid kemudian bertukar tangan kepada Rom. Pada tahun ... Islam telah sampai ke kota ini oleh Khalid Al-Walid. Kota ini kemudiannya menjadi ibu kota Islam yang pertama di luar Hijaz iaitu pada zaman pemerintahan Bani Umayyah. Kota ini ketiga terpenting dalam Islam hinggakan kelas ketiga terpandai dalam sekolah dahulu dinamai dengan Dimashq. Dikatakan, bagi orang tempatan lebih mesra dipanggil Sham sahaja. Kalau mahu lebih, carilah sendiri.
Sehari Suntuk Tiada Mandi
‘Diselamatkan’ Ust Nasir, langsung menuju ke Bosra. Ust Nasir menawarkan, kerana jaulah yang dianjurkan baru bertolak setengah jam yang lalu, apakah mahu berehat dahulu atau mahu meneruskan. Kami yang busuk-busuk ini penuh semangat mahu terus ikut sahaja. Dari stesen itu kami ke Baramkeh untuk ambil bas ke sasaran seterusnya. Naik ‘servis’ atau yang biasa dipanggil di Kairo ‘microbus’ atau ‘tramco’. Tambang di Syria murah sahaja. Lima dirham seorang ke mana-mana. Maka, senang-senang sahaja Ust Nasir itu menyewa sebuah servis. Tetapi ingat, katanya, jangan diambil teksi, nanti dikapak mati.
Dataran Ladang Zaitun
Dataran Syam
Jam sepuluh sepuluh minit pagi, kini berada benar-benar di tengah Levant. Sedang menuju ke arah selatan Damsyik ke Dera’a. Kota lama Bosra, kota tinggalan Rom tempat Nabi kita SAW bertemu rahib Buhaira dan tanda kenabiannya diketahui. Naik bas yang umpama bas cepat di Kelantan itu. Khidmat di sini menyediakan air minum. Kadang kala gula-gula. Seorang remaja konduktor bas mengagihkan gelas plastik untuk semua kemudian menuang pula air sejuk untuk kami satu-satu.
Di kiri kanan jalan tiada pemandangan yang lain melainkan dataran lapang yang saujana mata memandang. Bukan padang pasir tetapi dataran tanah yang penuh dengan ketul-ketul batu sebesar bantal tidur. Memang benarlah Sham ini satu dataran. Menurut buku Lonely Planet Middle East yang dibawa, batu-batu itu ialah batu basalt hitam. Sekali sekala diisi dataran kosong itu dengan ladang-ladang Zaitun dan villa-villa yang aneh-aneh rekabentuknya.
Nabi kita pernah ke sini
Bostra, Busrana, Bozrah, Bozra, Busra Eski Sham, Busra ash-Sham, Nova Trajana Bostra
Sudah mampir di tempat tujuan, kami melalui sebuah gerbang lama di tepi jalan. Kata Ust Nasir itulah gerbang kota Bosra yang dibina orang Arab Al-Anbat (Nabatean).
Gerbang Nabatean
Kemudian sampailah. Sambil menunggu-nunggu coaster jaulah di depan kota teater. Kota itu sebenarnya mengandung teater rom di dalam. Kemudian dibina tembok kota berkeliling setelah Islam datang yang saya pun kurang periksa mengapa.
Kota Teater
Kumpulan jaulah sudah berada jauh ke dalam kota. Kami pun berjalanlah masuk ke kota lama itu. Sungguh menarik! Kota lama itu masuknya tidak perlu berbayar! Begitu sahaja. Mungkin sekali kerana masih dalam pemulihan.
Katil anak dara raja, paling atas sebelah kiri
Katil Anak Dara Raja
Sedang berjalan-jalan itu ada satu tinggalan yang unik. Namanya seperti tajuk di atas itulah. Menurut cerita, ada seorang raja yang punya anak gadis. Kerana tidak mahu anaknya disengat kala jengking yang banyak terdapat di situ, raja itu pun membina katil untuk tidur anaknya di tempat yang tinggi. Makan minum anaknya pun dihulurkan ke atas. Tetapi akhirnya anak gadisnya itu mati juga oleh kala jengking.
Tiang-tiang basalt hitam
Kemudian kami lalui tempat mandi awam dan tinggalan tiang-tiang kota yang masih kukuh. Semuanya berwarna hitam kerana diperbuat daripada batu basalt hitam yang banyak itulah.
Masjid Umari
Ketika menjenguk-jenguk ke dalam tempat mandi awam Al-Manjak yang lebih indah, terserempaklah kami dengan kumpulan jaulah. Akhir sekali menziarahi Masjid Umari yang diubah suai pada lebih seribu tahun lalu (1113M). Dinamakan Umari sempena nama Khalifah Umar Al-Khattab r.a yang bertanggungjawab membuka Bosra.
Kerana menumpang orang, tidak sempat kami masuk lebih jauh ke dalam untuk melihat sendiri biara Buhaira yang mungkin sekali tempat Nabi bertemu Buhaira ketika mengikut pamannya berniaga seusia 12 tahun. Kota ini jugalah tempat kelahiran ulama besar iaitu Ibnu Kathir. Anak muris Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim. Pentafsir Al-Quran dan ahli sejarah Islam.
Kota Teater
Parit Kota
Berpatah balik keluar. Barulah kota teater yang Cuma dilihat dari luar tadi dimasuki. Tempat ini berbayar pula. Masuklah semua ahli jaulah ke kota itu. Paritnya (moat) pun sudah kering dan ditanam orang dengan pepohon Palma. Dan sudah pasti, seperti di mana-mana negara pun, bendera Syria berkibar di atasnya.
Bayar tiket sebelum menonton
Pentas Panggung
Uniknya teater ini berbanding yang lainnya di dunia, selain dibina daripada batuan basalt hitam tempatan, ia tidak dibina di kawasan bukit sebagaimana biasa. Seperti kebiasaan, teater rom dibina di kawasan bukit dan kerusi penonton dibina di atas bukit itu. Bukit diteres dan batu disusun diatasnya. Tetapi di Bosra, teaternya berdiri sendiri dengan tidak disokong bukit.
6000 Penonton
Sudah terlupa nombor kerusi
Wadi Yarmouk
Ada anak kali di tepi
Setelah menaiki coaster lama selama beberapa puluh minit, jaulah berhenti di tepi jalan di sebuah bukit. Di sebelah kiri jalan, terpandanglah oleh kami sebuah pandangan yang cukup lazat kepada mata. Pemandangan bukit-bukit rata menghijau dengan lembah-lembah yang luas. Ada anak kali mengalir dari dataran tempat kami berdiri ke bawah lembah.
Menurut kisah, lembah ini namanya lembah Yarmouk yang menjadi medan pertempuran Yarmouk yang dikepalai antaranya oleh Khalid Al-Walid r.a dalam usaha membawa Islam sampai ke Syam.
Surya kiri, Urdun kanan, Palestin depan
Kami sebenarnya berada dekat benar dengan perbatasan Syria. Menurut pemandu coaster yang baik itu, bukit di sebelah kiri kami dalam kawasan Syria, di sebelah kanan kami Urdun dan nun jauh di depan kami ialah Palestin.
Muka tak mandi dan coaster di belakang
Kami berhenti lagi di suatu tempat di lembah itu juga. Ada sekeluarga Syria sedang berkelah. Sedang panggang kebab. Kata Munir kebab orang sini hanyalah kofta di Mesir. Kata Ust Wan pula yang menjadi ketua Jaulah, ada bangunan tinggalan Uthmaniyyah di sini kalau nampaklah. Tapi tiada nampak.
Rehlah di Tasik Mzreeb
Tasik tersebut
Mentari sudah jauh tergelincir. Mahu jatuh pun ia. Zohor telah masuk sejak di Masjid Umari lagi. Kerana mengikut rencana akan jamak ta’khir, maka tidak bersolatlah di situ. Seorang anak mengeluh. Ust Wan pun kata, solat di masjid ini sama sahaja seperti solat di masjid-masjid lain. Tiada fadhilat seperti di Masjid Haram atau Masjid Nabi.
Coaster lama berwarna merah kuning itu pun tibalah di sebuah kawasan berpagar. Saya sangka sudah sampai di Nawa, rupanya itu kawasan santai Tasik Mzreeb. Tasik itu tidak kurang besar juga dan ada satu dua perahu dan kapal kayuh ala-ala Tasik Titiwangsa begitu. Kami berkelah di situ. Ustaz-ustaz memasang dapur memanaskan teh dan menghampar tikar. Ustazah-ustazah pula menyenduk nasi dan menuang lauk. Nasi kuning dan ayam masak merah. Malu alah kami bila dijemput makan. Sudahlah tidak mandi lebih sehari, menumpang jaulah orang pun satu sen belum bayar. Tetapi makan juga...
Job Alaihi Salam
Papan Tanda Tidak Terjaga
Usai makan minum semua dan telah mencelup kaki dan tangan ke dalam air tasik, kami menyambung semula. Telah beberapa lama berpusing roda, sampailah kami ke makam Nabi Allah Ayub Alaihi Salam. Kami jamak di situ juga. Sedih juga. Makam kurang terjaga. Senasib dengan Nabi Allah Harun dan Nabi Allah Saleh yang terbiar sepi di gurun Sinai itu. Di sebelah makam Nabi Ayub ada sebuah makam yang tertulis ‘makam anak Nabi Ayub’. Begitu sahaja tanpa nama lain lagi. Munir tegak lama di depan makam dengan mulut terkumat-kamit entah apa yang dibaca. Setelah lama dia berhenti dengan menyapu muka. Pak Ten pula mengadap kiblat menadah tangan.
Makam Dua Beranak
Jaulah disambung lagi. Kini masuk ke celah-celah kampung orang pula. Telah itu berhenti di depan sebuah bangunan buruk. Atapnya dari asbestos telah robek. Rupanya itulah dikata orang telaga Nabi Ayub. Di dalamnya telah tumbuh rumpai dan ada pula sekeping plastik makanan ringan dibuang orang! Sayang. Tinggalan kafir buta dijaga dan tinggalan nabi-nabi dibiar saja. Tiada pun yang sudi mencelup tangan ke dalam.
Telaga Tua
Tidak jauh dari situ, dengan berjalan kaki sahaja, ada sebuah makam sahabat Nabi. Sa’ad bin ‘Ubadah Al-Ansari Al-Khazraji namanya.
Matan Arba’in An-Nawawiyyah
Kami Ziarah
Pekan Nawa. Tiba di sana sudah mampir dengan waktu maghrib langsung ke kawasan pemakaman. Makam-makam di situ serupa sekali dengan di tanah air. Tidak seperti makam di Mesir yang aneh sekali sistem pemakamannya. Di tengah-tngah makam ada sebuah bangunan tanpa bumbung. Nyata sekali kerana terkeluar dari atasnya dahan-dahan kayu besar yang telah tua.
Kami Kenal
Di dalam itulah dimakamkan ulama turath kita yang agung. Imam besar dalam mazhab Syafi’ie. Itulah makam Al-Imam Abu Zakaria Yahya bin Syarafuddin An-Nawawi Ad-Dimashqi. Lahir pada sepuluh awal Muharram 631H/1233M. Wafat pada malam Rabu 24 Rejab 676H/1277M. Pengarang Al-Majmu’, Riyadhus Salihin dan Matan Arba’in An-Nawawiyyah yang masih kita tatapi sampai hari ini. Simbol keberkatan umur umat manusia. Walaupun usianya 45 tahun cuma, tetapi punya kesempatan untuk membuahkan kitab-kitab bernas buat panduan ummah hingga masa kini.
Pokok Tua di Pemakaman
Di dalam makam itu, pokok besar yang tumbuh dengan sendirinya selepas dimakamkan Imam Nawawi itu berdiri gagah. Tetapi telah dimatikan kerana takut jadi tumpuan orang buat amal khurafat. Menurut riwayat, seorang ulama’ telah bermimpi bahawa akar pokok itu membalut jasad Imam Nawawi. Penjaga makam yang ada di situ menunjukkan pada kami entah apa yang saya kurang periksa pada dahan kayu itu. Menurutnya, ketika hidup pokok itu, di daunnya ada tertulis kalimat-kalimat suci. Munir dan Pak Ten seperti biasa dengan rutin mereka sampai ke semua makam yang kami lewati nanti pun.
Maghrib telah menjelang azan sudah berkumandang. Semua pun bersolatlah di masjid di seberang jalan yang dinamai sempena nama tuan makam yang kami ziarahi. Kerana hari telah gelap dan tempat tujuan pun sudah selesai, kami pun pulanglah...

1 comment:
salam,
kisah perjalanan yang menarik. tambah dengan gambar² yang cantik. guna kamera apa ni?
Post a Comment