Friday, March 29, 2013

Cuscous


Dari Kartago ke Kairouan V


Kata orang tua-tua, malas menggarit perut perit. Dengan motivasi perut aku bergarit sedang tempat tujuan tegal dikenal pasti ketika mencari-cari hotel tadi. Menurut pengalaman dan pengajaran berpergian ke Setambul-Parsi tempoh tahun moleklah makan di restoran rakyat sahaja. Murah harga kenal budaya.

Sebab tujuan itu hendak mencari makan sambil-sambil melaksana kerja-kerja reconnaissance bagi memudahkan kerja jalan esok-esoknya, aku mengenakan sepasang selipar jepun semata. Sempat juga anak muda tempatan perasan seraya menegur, "Kau tak sejuk?"

Sewaktu melilau-lilau mencari hotel itu, syahdan ternampak aku kedai makan kecil di lorong pencil Rue Mustafa Mbarek. Mat'am al-Barakah dan menu dalam kepala aku sudah tentu, couscous. Couscous pertama yang aku rasa ialah di Mesir, buah tangan Baba, jiran Arab kami yang pertama.

Di Mesir couscous dikukus bersama kismis, sekali-sekala buah badam lalu ditabur kelapa parut dan dituang sedikit susu, dimakan sebagai pencuci mulut atau dijaja sebagai jajan di tepi-tepi jalan. Kali yang akhir aku menikmati couscous ialah di Khan Khalili ketika membeli-belah buat kali penghabisan sebelum meninggalkan Mesir.

Cuscous ialah hidangan tradisi masyarakat Berber merangkap makanan ruji negeri-negeri Afrika Utara dari Libya sampai Maghribi. Biasanya dihidang bersama stu daging atau ayam serta sayuran. Menghasilkan couscous dengan cara tradisi adalah satu proses yang renyah.

Semolina yang telah ditabur gandum durum hendaklah direnjis dengan air kemudian digentel menjadi butir-butir halus. Butir-butir ini kemudian diayak dan ketulan yang tidak melepasi penapis akan digentel semula. Proses ini diulang-ulang sehingga couscous yang halus terhasil.

Kebetulan aku sampai ketika kedai hampir katup. Jadi aku dijamu dengan couscous penghabisan stok. Walaupun dalam menu diasingkan couscous daging, couscous ayam tapi aku dihidang dengan semua jenis lauk yang ada. Tauke pun bermurah hati menghabiskan semua couscous ke dalam mangkuk aku. Mat'am Barakah memang berkat. Perut pun sudah kenyang buntal. Kerja reconnaissance nampak gaya kurang jaya. Balik hotel saja. Tidur ...

Wednesday, March 06, 2013

Welcome to the Hotel de la Medina



Aku menapak lagi sampai ke Avenue de France dengan tujuan Grand Hotel de France yang setelah sekian lama aku tadabbur kitab 'Planet Sunyi', sempurna segenap segi. Makin mampir ke Bab Bhar makin mencurigakan, seram-seram suam keadaannya. Walaupun baru lepas tengah hari tapi dah sunyi. Anak-anak muda dengan tangan seluk poket jaket serba hitam yang hudnya menutup kepala berborak (atau nampaknya lebih tepat berbisik) di tepi-tepi jalan setompok sini setompok sana sekali-sekala jeling dekat kita.

Aku tenung kitab aku sampai nak tembus pusing keliling cari hotel tujuan tapi yang aku jumpa pasar basah. Lenguh lumpuh seluruh tubuh tapi tak kira kerana kenangkan nasihat Izwan Kamal Tan yang menyatakan yang penting buat base dulu.

Jumpa juga. Hotel yang menawan, bangunan corak kolonial. Taukenya pun nampak vintej lagi retro. Aku tanya ada bilik kosong? Ada tapi bilik bujang tak ada. Kalau ada pun bilik kelamin. Kemudian aku tanya lagi harganya makannya jambannya. Agaknya Inggeris aku pening. Pengurus hotel cakap, "Je ne comprends pas." Bila aku cakap Arab baru faham.

Kemudian aku nampak ah moi yang naik kapal sekali sampai ke situ. Dia cakap ada telefon semalam dan dengan senang dapat kunci. Wahai, kenapa la aku tak terfikir tempah awal ikut imel. Aku menapak kembali hampa kecewa lantaran hotel harapan tak kesampaian. Sambil membelek-belek kitab marajek aku sampai semula ke Place de la Victoire.

Di depan aku tertegak tak dapat tidak pilihan yang tinggal menurut anjuran kitab rujukan. Hotel de la Medina. Hotel yang lebih rendah diri dan tak sepertinya itu ada kaubter saha tanpa lobi. Mula-mula pintu masuk pun aku tak jumpa sebab tersusuk di celah lorong tepi sebab tingkat bawah bagian depan termuat kantin dan kafe.

Heater di tengah tak berfungsi, lamun saratoga sudah memadai. Di bawah meja kecik itu bungkusan chips Lays kat sana yang tak sedap langsung. Tak boleh lawan Shibsy masry.
  Walaupun bukan musim puncak, tak sangka aku bilik-bilik berisi. Lebih tak sangka, rakyat tempatan yang banyak tumpang. Sesuai dengan statusnya. Runding punya runding, dapat juga aku bilik kelamin dengan harga bilik bujang yakni TD20 semalam. Bukan senang nak dapat hotel di Tunis. Bukan macam Setambul yang terlalu terkenal sebagai kota liburan. Tutup mata pun boleh dapat hostel.

Bayaran bukan secara sekali gus ketika daftar keluar tetapi secara harian. Tak perlu bagitahu berapa malam nak tinggal. Anda boleh duduk seberapa lama yang suka asalkan tiap pagi bayar sewa. Tauke yang mesra bermurah hati mengurniakan aku bilik yang mengadap Place de la Victoire. Tauke seorang brader yang mesra ceria sekali itu agaknya tertanya-tanya status aku. Dia tanya, "Awak semayang tak?"

Untuk hotel ini, makan minum sendiri-sendiri.


Macam Setambul, mingkin Tunis juga ada masalah air. Maka bilik-bilik hotel tak disediakan bilik air melainkan seketul sinki saja. Melainkan bilik untuk keluarga. Jamban harus kongsi. Mandi mesti bayar dengan caj satu dinar sekali mandi. Begitulah konsep hotel di sini ...

Dari Kartago ke Kairouan IV

Friday, March 01, 2013

Avenue Habib Bourguiba


Menara jam di tengah-tengah itu sempena 'Kudeta Perubatan' memperingati Hari Era Baru yakni tergulingnya Habib Bourguiba

Belon pun menyentuh tanah, aku pun melangkah kaki dalam Bandara Tunis-Carthage yang tak berapa
besarnya. Sekali lagi mengadap imigresen. Walaupun sudah pasti orang kita tak berhajat pada
sebarang visa, tapi oelh kerna keyakinan diri yang runtuh lantaran seorang perempuan, maka ...

Tanpa sebarang soal aku lepas. Kitab rujukan ulung 'Planet Sunyi' mula diselak. Ada bas yang dapat
bawa aku ke pusat bandar. Teksi memang mudah tapi sudah jadi peraturan tak bertulis dalam kalangan
para kelana. Semua teksi bersenjatakan kapak.

Hawa di bandara tak sejuk sangat. Langit cerah-ceraca. Cuma angin yang sesekali kuat. Aku tengok ada
tanda 'bus stop' tapi tempat hentinya tengah-tengah jalan. Aku cari-cari orang untuk tanya. Aku
tanya pakcik pegang payung. Sebab dengar cakap Arab aku yang ammiyyah lagi kekok, pakcik payung
balas dengan fusha, "Hadza makan li intizar el-utubis."

Rupa bas Tunis baharu sedikit daripada bas tambang rubu' 24 jim di Kaherah. Bas tu patut bawa aku ke
Habib Bourguiba Avenue. Sah aku tak tahu macam mana Sharia Habib Bourguiba. Aku tunggu tempat bas
berhenti paling lama, aku tunggu bila orang turun ramai baru aku tanya. Betul ini awwal Sharia
Bourgiba.

Tengah hari yang suam-suam kuku aku galas beg sampai akhir sharia. Setengah tempat bahu jalannya
masih dihiasi dawai kawat dengan seorang dua serdadu menjadi model untuk kereta perisai.Terasa jugak
beratnya bagasi walaupun konon dah mengikut konsep light travel. Jam di menara pamer pukul dua lebih
tapi di tangan tunjuk lewat jam satu mungkin tak cukup pulas kuncinya. Sampai ke malam aku memang keliru dengan waktu ...

*       *       *

Avenue Habib Bourguiba terletak dalam kawasan Tunis yang dipanggil Ville Nouvelle. Dibina penjarah
Perancis setelah melimpahkan kawasan bandar ke luar medina menganjur langsung ke Tasik Tunis. Mirip
dengan Champs-Elysees di Paris. Kaki lima di tengah-tengah yang hijau dengan tumbuhan lebih luas
daripada jalanraya di kanan kiri.

Sharia Habib Bourguiba setaraf dengan Medan Tahrir dan Sharia Kasrel Ainy di Kairo kita. Sama-sama
jadi tempat main-main, sama-sama jadi tempat lawan-lawan masa revolusi.

Adapun Habib Bourguiba ialah pendiri Republik Tunisia. Dalam meraih kemerdekaan, setelah gagal rundingan dengan Perancis, beliau meloloskan diri ke Libya menaiki sampan nelayan kemudian berkendara unta ke Kairo untuk mendapat simpati dunia. Ketika dunia Arab lainnya begitu taksub dengan faham sosialis, beliau kuat berpegang dengan Barat sampai digelar orang Kemal Attaturk Tunisia.

Bourguiba dan Ramadan

Walaupun Habib menganggap puasa Ramadan itu 'budaya yang indah' tetapi beliau juga percaya puasa 'alasan yang melumpuhkan aktiviti kita' dan 'keadaan mundur yang memalukan negara kita'. Bersama barisan kabinet, beliau muncul makan dan minum secara langsung di televisyen. Malah menyalahgunakan hadith Sang Rasul, "Bukalah puasa, dan kamu akan menjadi lebih kuat untuk menghadapi musuh."

Diroyatkan beliau bertemu Sheikh Muhammad al-Tahir Ibnu Ashour, pengarang 'Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah' yang menjadi Mufti Besar Tunisia ketika itu meminta dikeluarkan fatwa menurut kehendak kerajaan.

Sheikh Ibn Ashour keluar di kaca televisyen dengan selamba membaca:
"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kalian puasa ... sampai akhir ayat"

Bourguiba akhirnya dilantik parlimen menjadi presiden seumur hidup. Lamun, beliau digulingkan oleh kudeta yang dikepalai perdana menteri beliau sendiri, Zine el-Abidine Ben Ali yang diabadikan oleh menara jam di tengah-tengah Avenue Habib Bourguiba.

Mungkinkah pelakon Latif Borgiba berketurunan Tunisia?

Dari Kartago ke Kairouan III