Friday, March 01, 2013

Avenue Habib Bourguiba


Menara jam di tengah-tengah itu sempena 'Kudeta Perubatan' memperingati Hari Era Baru yakni tergulingnya Habib Bourguiba

Belon pun menyentuh tanah, aku pun melangkah kaki dalam Bandara Tunis-Carthage yang tak berapa
besarnya. Sekali lagi mengadap imigresen. Walaupun sudah pasti orang kita tak berhajat pada
sebarang visa, tapi oelh kerna keyakinan diri yang runtuh lantaran seorang perempuan, maka ...

Tanpa sebarang soal aku lepas. Kitab rujukan ulung 'Planet Sunyi' mula diselak. Ada bas yang dapat
bawa aku ke pusat bandar. Teksi memang mudah tapi sudah jadi peraturan tak bertulis dalam kalangan
para kelana. Semua teksi bersenjatakan kapak.

Hawa di bandara tak sejuk sangat. Langit cerah-ceraca. Cuma angin yang sesekali kuat. Aku tengok ada
tanda 'bus stop' tapi tempat hentinya tengah-tengah jalan. Aku cari-cari orang untuk tanya. Aku
tanya pakcik pegang payung. Sebab dengar cakap Arab aku yang ammiyyah lagi kekok, pakcik payung
balas dengan fusha, "Hadza makan li intizar el-utubis."

Rupa bas Tunis baharu sedikit daripada bas tambang rubu' 24 jim di Kaherah. Bas tu patut bawa aku ke
Habib Bourguiba Avenue. Sah aku tak tahu macam mana Sharia Habib Bourguiba. Aku tunggu tempat bas
berhenti paling lama, aku tunggu bila orang turun ramai baru aku tanya. Betul ini awwal Sharia
Bourgiba.

Tengah hari yang suam-suam kuku aku galas beg sampai akhir sharia. Setengah tempat bahu jalannya
masih dihiasi dawai kawat dengan seorang dua serdadu menjadi model untuk kereta perisai.Terasa jugak
beratnya bagasi walaupun konon dah mengikut konsep light travel. Jam di menara pamer pukul dua lebih
tapi di tangan tunjuk lewat jam satu mungkin tak cukup pulas kuncinya. Sampai ke malam aku memang keliru dengan waktu ...

*       *       *

Avenue Habib Bourguiba terletak dalam kawasan Tunis yang dipanggil Ville Nouvelle. Dibina penjarah
Perancis setelah melimpahkan kawasan bandar ke luar medina menganjur langsung ke Tasik Tunis. Mirip
dengan Champs-Elysees di Paris. Kaki lima di tengah-tengah yang hijau dengan tumbuhan lebih luas
daripada jalanraya di kanan kiri.

Sharia Habib Bourguiba setaraf dengan Medan Tahrir dan Sharia Kasrel Ainy di Kairo kita. Sama-sama
jadi tempat main-main, sama-sama jadi tempat lawan-lawan masa revolusi.

Adapun Habib Bourguiba ialah pendiri Republik Tunisia. Dalam meraih kemerdekaan, setelah gagal rundingan dengan Perancis, beliau meloloskan diri ke Libya menaiki sampan nelayan kemudian berkendara unta ke Kairo untuk mendapat simpati dunia. Ketika dunia Arab lainnya begitu taksub dengan faham sosialis, beliau kuat berpegang dengan Barat sampai digelar orang Kemal Attaturk Tunisia.

Bourguiba dan Ramadan

Walaupun Habib menganggap puasa Ramadan itu 'budaya yang indah' tetapi beliau juga percaya puasa 'alasan yang melumpuhkan aktiviti kita' dan 'keadaan mundur yang memalukan negara kita'. Bersama barisan kabinet, beliau muncul makan dan minum secara langsung di televisyen. Malah menyalahgunakan hadith Sang Rasul, "Bukalah puasa, dan kamu akan menjadi lebih kuat untuk menghadapi musuh."

Diroyatkan beliau bertemu Sheikh Muhammad al-Tahir Ibnu Ashour, pengarang 'Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah' yang menjadi Mufti Besar Tunisia ketika itu meminta dikeluarkan fatwa menurut kehendak kerajaan.

Sheikh Ibn Ashour keluar di kaca televisyen dengan selamba membaca:
"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kalian puasa ... sampai akhir ayat"

Bourguiba akhirnya dilantik parlimen menjadi presiden seumur hidup. Lamun, beliau digulingkan oleh kudeta yang dikepalai perdana menteri beliau sendiri, Zine el-Abidine Ben Ali yang diabadikan oleh menara jam di tengah-tengah Avenue Habib Bourguiba.

Mungkinkah pelakon Latif Borgiba berketurunan Tunisia?

Dari Kartago ke Kairouan III

No comments: