Dari Kartago ke Kairouan V
Kata orang tua-tua, malas menggarit perut perit. Dengan motivasi perut aku bergarit sedang tempat tujuan tegal dikenal pasti ketika mencari-cari hotel tadi. Menurut pengalaman dan pengajaran berpergian ke Setambul-Parsi tempoh tahun moleklah makan di restoran rakyat sahaja. Murah harga kenal budaya.
Sebab tujuan itu hendak mencari makan sambil-sambil melaksana kerja-kerja reconnaissance bagi memudahkan kerja jalan esok-esoknya, aku mengenakan sepasang selipar jepun semata. Sempat juga anak muda tempatan perasan seraya menegur, "Kau tak sejuk?"
Sewaktu melilau-lilau mencari hotel itu, syahdan ternampak aku kedai makan kecil di lorong pencil Rue Mustafa Mbarek. Mat'am al-Barakah dan menu dalam kepala aku sudah tentu, couscous. Couscous pertama yang aku rasa ialah di Mesir, buah tangan Baba, jiran Arab kami yang pertama.
Di Mesir couscous dikukus bersama kismis, sekali-sekala buah badam lalu ditabur kelapa parut dan dituang sedikit susu, dimakan sebagai pencuci mulut atau dijaja sebagai jajan di tepi-tepi jalan. Kali yang akhir aku menikmati couscous ialah di Khan Khalili ketika membeli-belah buat kali penghabisan sebelum meninggalkan Mesir.
Cuscous ialah hidangan tradisi masyarakat Berber merangkap makanan ruji negeri-negeri Afrika Utara dari Libya sampai Maghribi. Biasanya dihidang bersama stu daging atau ayam serta sayuran. Menghasilkan couscous dengan cara tradisi adalah satu proses yang renyah.
Semolina yang telah ditabur gandum durum hendaklah direnjis dengan air kemudian digentel menjadi butir-butir halus. Butir-butir ini kemudian diayak dan ketulan yang tidak melepasi penapis akan digentel semula. Proses ini diulang-ulang sehingga couscous yang halus terhasil.
Kebetulan aku sampai ketika kedai hampir katup. Jadi aku dijamu dengan couscous penghabisan stok. Walaupun dalam menu diasingkan couscous daging, couscous ayam tapi aku dihidang dengan semua jenis lauk yang ada. Tauke pun bermurah hati menghabiskan semua couscous ke dalam mangkuk aku. Mat'am Barakah memang berkat. Perut pun sudah kenyang buntal. Kerja reconnaissance nampak gaya kurang jaya. Balik hotel saja. Tidur ...
No comments:
Post a Comment