Sunday, February 25, 2007

Dari Perlembahan Nil Ke Dataran Syam II

Kota Damsyik

Kota Damsyik sebagai disebut orang Melayu kita, Damascus sebagai disebut orang Barat sana dan Dimashq sebagai disebut orang Arab di situ dikatakan antara kota yang paling lama didiami manusia. Sejak 3000 S.M sehingga sekarang seperti juga Jericho dan Faiyoum. Kota ini pernah dikuasai Greek Seleucid kemudian bertukar tangan kepada Rom. Pada tahun ... Islam telah sampai ke kota ini oleh Khalid Al-Walid. Kota ini kemudiannya menjadi ibu kota Islam yang pertama di luar Hijaz iaitu pada zaman pemerintahan Bani Umayyah. Kota ini ketiga terpenting dalam Islam hinggakan kelas ketiga terpandai dalam sekolah dahulu dinamai dengan Dimashq. Dikatakan, bagi orang tempatan lebih mesra dipanggil Sham sahaja. Kalau mahu lebih, carilah sendiri.

Sehari Suntuk Tiada Mandi

‘Diselamatkan’ Ust Nasir, langsung menuju ke Bosra. Ust Nasir menawarkan, kerana jaulah yang dianjurkan baru bertolak setengah jam yang lalu, apakah mahu berehat dahulu atau mahu meneruskan. Kami yang busuk-busuk ini penuh semangat mahu terus ikut sahaja. Dari stesen itu kami ke Baramkeh untuk ambil bas ke sasaran seterusnya. Naik ‘servis’ atau yang biasa dipanggil di Kairo ‘microbus’ atau ‘tramco’. Tambang di Syria murah sahaja. Lima dirham seorang ke mana-mana. Maka, senang-senang sahaja Ust Nasir itu menyewa sebuah servis. Tetapi ingat, katanya, jangan diambil teksi, nanti dikapak mati.



Dataran Ladang Zaitun

Dataran Syam

Jam sepuluh sepuluh minit pagi, kini berada benar-benar di tengah Levant. Sedang menuju ke arah selatan Damsyik ke Dera’a. Kota lama Bosra, kota tinggalan Rom tempat Nabi kita SAW bertemu rahib Buhaira dan tanda kenabiannya diketahui. Naik bas yang umpama bas cepat di Kelantan itu. Khidmat di sini menyediakan air minum. Kadang kala gula-gula. Seorang remaja konduktor bas mengagihkan gelas plastik untuk semua kemudian menuang pula air sejuk untuk kami satu-satu.

Di kiri kanan jalan tiada pemandangan yang lain melainkan dataran lapang yang saujana mata memandang. Bukan padang pasir tetapi dataran tanah yang penuh dengan ketul-ketul batu sebesar bantal tidur. Memang benarlah Sham ini satu dataran. Menurut buku Lonely Planet Middle East yang dibawa, batu-batu itu ialah batu basalt hitam. Sekali sekala diisi dataran kosong itu dengan ladang-ladang Zaitun dan villa-villa yang aneh-aneh rekabentuknya.



Nabi kita pernah ke sini

Bostra, Busrana, Bozrah, Bozra, Busra Eski Sham, Busra ash-Sham, Nova Trajana Bostra

Sudah mampir di tempat tujuan, kami melalui sebuah gerbang lama di tepi jalan. Kata Ust Nasir itulah gerbang kota Bosra yang dibina orang Arab Al-Anbat (Nabatean).



Gerbang Nabatean

Kemudian sampailah. Sambil menunggu-nunggu coaster jaulah di depan kota teater. Kota itu sebenarnya mengandung teater rom di dalam. Kemudian dibina tembok kota berkeliling setelah Islam datang yang saya pun kurang periksa mengapa.



Kota Teater

Kumpulan jaulah sudah berada jauh ke dalam kota. Kami pun berjalanlah masuk ke kota lama itu. Sungguh menarik! Kota lama itu masuknya tidak perlu berbayar! Begitu sahaja. Mungkin sekali kerana masih dalam pemulihan.



Katil anak dara raja, paling atas sebelah kiri

Katil Anak Dara Raja

Sedang berjalan-jalan itu ada satu tinggalan yang unik. Namanya seperti tajuk di atas itulah. Menurut cerita, ada seorang raja yang punya anak gadis. Kerana tidak mahu anaknya disengat kala jengking yang banyak terdapat di situ, raja itu pun membina katil untuk tidur anaknya di tempat yang tinggi. Makan minum anaknya pun dihulurkan ke atas. Tetapi akhirnya anak gadisnya itu mati juga oleh kala jengking.



Tiang-tiang basalt hitam

Kemudian kami lalui tempat mandi awam dan tinggalan tiang-tiang kota yang masih kukuh. Semuanya berwarna hitam kerana diperbuat daripada batu basalt hitam yang banyak itulah.



Masjid Umari

Ketika menjenguk-jenguk ke dalam tempat mandi awam Al-Manjak yang lebih indah, terserempaklah kami dengan kumpulan jaulah. Akhir sekali menziarahi Masjid Umari yang diubah suai pada lebih seribu tahun lalu (1113M). Dinamakan Umari sempena nama Khalifah Umar Al-Khattab r.a yang bertanggungjawab membuka Bosra.



Kerana menumpang orang, tidak sempat kami masuk lebih jauh ke dalam untuk melihat sendiri biara Buhaira yang mungkin sekali tempat Nabi bertemu Buhaira ketika mengikut pamannya berniaga seusia 12 tahun. Kota ini jugalah tempat kelahiran ulama besar iaitu Ibnu Kathir. Anak muris Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim. Pentafsir Al-Quran dan ahli sejarah Islam.

Kota Teater



Parit Kota



Berpatah balik keluar. Barulah kota teater yang Cuma dilihat dari luar tadi dimasuki. Tempat ini berbayar pula. Masuklah semua ahli jaulah ke kota itu. Paritnya (moat) pun sudah kering dan ditanam orang dengan pepohon Palma. Dan sudah pasti, seperti di mana-mana negara pun, bendera Syria berkibar di atasnya.



Bayar tiket sebelum menonton



Pentas Panggung

Uniknya teater ini berbanding yang lainnya di dunia, selain dibina daripada batuan basalt hitam tempatan, ia tidak dibina di kawasan bukit sebagaimana biasa. Seperti kebiasaan, teater rom dibina di kawasan bukit dan kerusi penonton dibina di atas bukit itu. Bukit diteres dan batu disusun diatasnya. Tetapi di Bosra, teaternya berdiri sendiri dengan tidak disokong bukit.



6000 Penonton



Sudah terlupa nombor kerusi

Wadi Yarmouk



Ada anak kali di tepi

Setelah menaiki coaster lama selama beberapa puluh minit, jaulah berhenti di tepi jalan di sebuah bukit. Di sebelah kiri jalan, terpandanglah oleh kami sebuah pandangan yang cukup lazat kepada mata. Pemandangan bukit-bukit rata menghijau dengan lembah-lembah yang luas. Ada anak kali mengalir dari dataran tempat kami berdiri ke bawah lembah.

Menurut kisah, lembah ini namanya lembah Yarmouk yang menjadi medan pertempuran Yarmouk yang dikepalai antaranya oleh Khalid Al-Walid r.a dalam usaha membawa Islam sampai ke Syam.



Surya kiri, Urdun kanan, Palestin depan

Kami sebenarnya berada dekat benar dengan perbatasan Syria. Menurut pemandu coaster yang baik itu, bukit di sebelah kiri kami dalam kawasan Syria, di sebelah kanan kami Urdun dan nun jauh di depan kami ialah Palestin.



Muka tak mandi dan coaster di belakang

Kami berhenti lagi di suatu tempat di lembah itu juga. Ada sekeluarga Syria sedang berkelah. Sedang panggang kebab. Kata Munir kebab orang sini hanyalah kofta di Mesir. Kata Ust Wan pula yang menjadi ketua Jaulah, ada bangunan tinggalan Uthmaniyyah di sini kalau nampaklah. Tapi tiada nampak.

Rehlah di Tasik Mzreeb



Tasik tersebut

Mentari sudah jauh tergelincir. Mahu jatuh pun ia. Zohor telah masuk sejak di Masjid Umari lagi. Kerana mengikut rencana akan jamak ta’khir, maka tidak bersolatlah di situ. Seorang anak mengeluh. Ust Wan pun kata, solat di masjid ini sama sahaja seperti solat di masjid-masjid lain. Tiada fadhilat seperti di Masjid Haram atau Masjid Nabi.

Coaster lama berwarna merah kuning itu pun tibalah di sebuah kawasan berpagar. Saya sangka sudah sampai di Nawa, rupanya itu kawasan santai Tasik Mzreeb. Tasik itu tidak kurang besar juga dan ada satu dua perahu dan kapal kayuh ala-ala Tasik Titiwangsa begitu. Kami berkelah di situ. Ustaz-ustaz memasang dapur memanaskan teh dan menghampar tikar. Ustazah-ustazah pula menyenduk nasi dan menuang lauk. Nasi kuning dan ayam masak merah. Malu alah kami bila dijemput makan. Sudahlah tidak mandi lebih sehari, menumpang jaulah orang pun satu sen belum bayar. Tetapi makan juga...

Job Alaihi Salam



Papan Tanda Tidak Terjaga

Usai makan minum semua dan telah mencelup kaki dan tangan ke dalam air tasik, kami menyambung semula. Telah beberapa lama berpusing roda, sampailah kami ke makam Nabi Allah Ayub Alaihi Salam. Kami jamak di situ juga. Sedih juga. Makam kurang terjaga. Senasib dengan Nabi Allah Harun dan Nabi Allah Saleh yang terbiar sepi di gurun Sinai itu. Di sebelah makam Nabi Ayub ada sebuah makam yang tertulis ‘makam anak Nabi Ayub’. Begitu sahaja tanpa nama lain lagi. Munir tegak lama di depan makam dengan mulut terkumat-kamit entah apa yang dibaca. Setelah lama dia berhenti dengan menyapu muka. Pak Ten pula mengadap kiblat menadah tangan.



Makam Dua Beranak

Jaulah disambung lagi. Kini masuk ke celah-celah kampung orang pula. Telah itu berhenti di depan sebuah bangunan buruk. Atapnya dari asbestos telah robek. Rupanya itulah dikata orang telaga Nabi Ayub. Di dalamnya telah tumbuh rumpai dan ada pula sekeping plastik makanan ringan dibuang orang! Sayang. Tinggalan kafir buta dijaga dan tinggalan nabi-nabi dibiar saja. Tiada pun yang sudi mencelup tangan ke dalam.



Telaga Tua

Tidak jauh dari situ, dengan berjalan kaki sahaja, ada sebuah makam sahabat Nabi. Sa’ad bin ‘Ubadah Al-Ansari Al-Khazraji namanya.

Matan Arba’in An-Nawawiyyah



Kami Ziarah

Pekan Nawa. Tiba di sana sudah mampir dengan waktu maghrib langsung ke kawasan pemakaman. Makam-makam di situ serupa sekali dengan di tanah air. Tidak seperti makam di Mesir yang aneh sekali sistem pemakamannya. Di tengah-tngah makam ada sebuah bangunan tanpa bumbung. Nyata sekali kerana terkeluar dari atasnya dahan-dahan kayu besar yang telah tua.



Kami Kenal

Di dalam itulah dimakamkan ulama turath kita yang agung. Imam besar dalam mazhab Syafi’ie. Itulah makam Al-Imam Abu Zakaria Yahya bin Syarafuddin An-Nawawi Ad-Dimashqi. Lahir pada sepuluh awal Muharram 631H/1233M. Wafat pada malam Rabu 24 Rejab 676H/1277M. Pengarang Al-Majmu’, Riyadhus Salihin dan Matan Arba’in An-Nawawiyyah yang masih kita tatapi sampai hari ini. Simbol keberkatan umur umat manusia. Walaupun usianya 45 tahun cuma, tetapi punya kesempatan untuk membuahkan kitab-kitab bernas buat panduan ummah hingga masa kini.



Pokok Tua di Pemakaman

Di dalam makam itu, pokok besar yang tumbuh dengan sendirinya selepas dimakamkan Imam Nawawi itu berdiri gagah. Tetapi telah dimatikan kerana takut jadi tumpuan orang buat amal khurafat. Menurut riwayat, seorang ulama’ telah bermimpi bahawa akar pokok itu membalut jasad Imam Nawawi. Penjaga makam yang ada di situ menunjukkan pada kami entah apa yang saya kurang periksa pada dahan kayu itu. Menurutnya, ketika hidup pokok itu, di daunnya ada tertulis kalimat-kalimat suci. Munir dan Pak Ten seperti biasa dengan rutin mereka sampai ke semua makam yang kami lewati nanti pun.

Maghrib telah menjelang azan sudah berkumandang. Semua pun bersolatlah di masjid di seberang jalan yang dinamai sempena nama tuan makam yang kami ziarahi. Kerana hari telah gelap dan tempat tujuan pun sudah selesai, kami pun pulanglah...

Saturday, February 24, 2007

Kaherah Banjir Mounira Tiada Air

Tajuk di atas sudah cukup untuk menjelaskan. Demi kesihatan saya turun Metro satu stesen lebih awal. Apabila sampai ke hujung Jalan Falaki atau Jalan Mansour sebenarnya...apa ini?

Jalan Mohamed Ezz El-Arab telah tenggelam! Saya pun jalan dekat lagi. Mungkin ada tempat yang kering. Tiada. Jalan lagi. Mungkin boleh sampai ke Jalan Kasr El-Ainy. Tidak dapat. Harus melintas jalan yang tenggelam. Ada lubang kumbahan di jalan dibuka. Air masuk laju. Memang sungguh banjir. Apakah air Sungai Nil sudah melimpah?

Patah balik. Naik Metro sajalah. Ada bas nombor empat di jalan. Mahu saja tumpang. Biarlah. Ada orang mengharung air. Kaki ayam. Mahu saja mengharung tapi berfikir, gelilah. Kalau di tempat kita tidak apa, kita tahu. Tapi tempat ini...boleh kira tempat kitalah dan sudah tentu kita tahu kotornya Kaherah! Banyak najis, nanti kena infeksi.

Ada anak yang menabur pasir di tepi kaki lima. Kerana air sudah mahu melimpah masuk ke kedainya. Tidak jadi naik Metro. Cari jalan lain. Di sebelah landasan Metro itu. Itu pun ada tempat yang tenggelam. Terpaksa meniti kaki lima yang sempit dengan kereta banyak di jalan. Ruginya tiada kamera. Tiada bahan bukti!

Mungkin sekali paip pecah. Kerana sampai sekarang tiada air...

Tuesday, February 20, 2007

Dari Perlembahan Nil Ke Dataran Syam I

Bukan Sesuatu Yang Mudah...

Mengharap perjalanan yang  indah selesa, menikmati pemandangan tempat orang bagai mengharap ayam masak dipanggang jauh dari bara...

Bas Timur Delta

Tanggal 26 Januari itu, mujur tiba di stesen kurang lebih jam sebelas dan berangkatlah kami berenam ke Nuweiba meninggalkan Kota Kaherah dengan dihantar oleh Senu, Pok Nik dan Zohdi di stesen.
Tujuh pagi esoknya tibalah pula di kota pengkalan Nuweiba. Bersubuh gajah di masjid Ar-Rahman kerana bas tiada berhenti untuk fajar. Langsung bersarapan di situ dengan bekalan Hazri berupa roti, luncheon ayam dan daging, keju rumi dan ikan tuna. Elok-elok sahaja kantor tiket kapal dijangka buka, pergi pula membeli tiket. Tiket bot laju.

Jam sembilan setengah pagi. Sedang menunggu-nunggu bot laju di tengah panas terik mentari Sinai yang katanya bakal tiba jam tiga nanti. Bosan. Bersiar-siar ambil angin di keliling kota Nuweiba – pekan yang sebetulnya – bersama Zul. Pekan ini banyak kedai-kedai makan. Kedai-kedai itu pula seolah-olah mewakili setiap muhafazah yang wujud di Mesir ini. Ada Kedai Makan Anak-anak Syarqiyyah. Ada Kedai Makan Anak-anak Daqhiliyyah. Begitulah.



Mengunyah apa entah...

Jumaat

Matahari sudah tegak di kepala. Sedikit lagi mahu condong ke barat. Kembali semula ke masjid tadi untuk Jumaat. Adapun isi khutbahnya:
Kepentingan hikmah dan ilmu. Empat golongan yang bakal masuk sorga tanpa hisab
• Imam yang adil
• Alim yang beramal
• Pemuda yang bertobat
• Isteri yang mentaati suami

Kisah pembukaan Al-Quds. Kiblat Muslimin pertama, tanah haram ketiga serta kesan peninggalan Rasulullah SAW. Adapun Khalid Al-Walid dan Amru Al-As yang membukanya. Amir Al-Quds enggan menyerahkan anak kuncinya. Lalu surat diutus kepada Khalifah Umar Al-Khattab.
Umar datang menunggang baghal atau unta. Sekali dia naik. Sekali budaknya yang naik. Sekali keduanya turun. Memberi rehat pada tunggangan.
Setelah nampak oleh Amir Al-Quds maka katanya: “Aku tidak serahkan kunci ini kerana aku membaca dalam kitabku, orang yang layak diserahkan kunci bakal datang dengan berjalan kaki.”
Maka, kunci pun diserahkan dan tidaklah Umar menyambut dengan perayaan yang besar-besar seperti kita hari ini bahkan dengan zikir kepada Allah dan munajat di sepertiga malam...

Di Dekat Dermaga

Dua suku. Masih menunggu di dermaga. Begitu azmat sekali suasana. Ramai orang bersesak-sesak. Ramainya orang kaum pekerja. Mahu naik ‘Abbarah. Feri biasa. Mujur dibawa ‘Di Dalam Lembah Kehidupan’ sebagai teman. Dapat juga membaca beberapa muka beberapa cereka. Suka pula aku melihat-lihat bekal makan kaum pekerja. Roti ‘ish, sayur sawi mentah, telur rebus, keju, buah tomato. Ringkas sekali. Dipetik daun sayur sehelai dibalut dengan roti terus makan. Seperti sirih lagaknya. Telur rebus begitu juga. Buah tomato dimakan sahaja. Khabarnya kapal sudah tiba. Kapal yang dikhabar tiba itu bot laju tetapi yang mengasak pintu itu semua pula. Mujurlah terlepas keluar semua berenam. Ada lagi bala. Kalau mahu ke kapal perlu naik bas. Aduh sakit. Terpaksa melompat, memanjat, menarik pula bas kerana pintu tengah tinggi lagi tidak bertangga. Pintu depan wanita sahaja.



Tempat bersubuh gajah...

Kapal Puteri

Naik kapal. Tiada tempat duduk. Masih ramai di belakang yang berdiri. Di tiket ada nombor. Di kapal tiada. Apa kapal ini? Nampaknya tinggi sangat darjatnya. Mencari-cari. Akhirnya anak kapal memanggil. “Maliziy? Ta’al.” Kami dibawa ke tingkat teratas. Kelas pertama. Semua aganib dikumpul di sana rupanya. Kasihan pula pada orang-orang Mesir di bawah.
Aku kata,”Lega sikit.” Munir kata,”Lega banyak.”
Kapal yang dijanji jam tiga baru bertolak jam lima setengah. Mahu lihat ke luar, gelap. Mahu lihat ke depan (televisyen) tiada faham. Mahu tidur, perjalanan sekejap sahaja. Takut tiada sempat lelap.
Hari ini memang hari menunggu. Tunggu di balai berlepas. Tunggu di stesen bas. Tunggu di dalam bas. Tunggu lagi di perut kapal. Kapal kelajuan tinggi ‘The Princess’ pun meluncur pantas merentas Selat Aqaba...

Lesen Besar Seorang Muslim

Anak-anak itu berkenal-kenal dengan seorang minah Korea yang datang bertanya bagaimana hendak ke mana. Kemudian tiba di Urdun dan turunlah. Aganib diberi turun dahulu. Disambut dengan senyuman Raja Abdullah II di samping motto negara ‘Al-Urdun Awwalan’ (Jordan First atau Jordan Segalanya atau mungkin juga Keranamu Jordan). Tunggu lagi di pejabat imigresen. Solat dahulu sementara tunggu paspot siap sambil Jepun bernama Keichi yang mahu mengikut sekali ke Amman itu bingung melihat. Keichi selamat. Entah apa hubungan Maharaja Jepun dengan Raja Urdun, dia lepas begitu sahaja tanpa perlu dicop paspotnya.
Kami dipanggil ke atas. Keichi menunggu di bawah. Sebelum kami ada beberapa orang. Dipanggil seorang demi seorang ke dalam. Kami semua berpakat akan menjawab semua bakal pergi ke Irbid. Zul masuk dulu. Sebentar kemudian ia keluar dan kami semua lepas. Dapat sebulan residensi percuma. Kata Zul orang-orang itu bertanya apakah antara kami terdapat pelajar Azhar. Kerana tiada maka kami dilepaskan. Entah apa busuknya pelajar Azhar di mata mereka ini.
Keichi hilang. Barangkali bosan menunggu atau sudah ada peneman yang lain. Sebelum keluar dari pengkalan harus melalui kastam terlebih dahulu. Pegawai kastam muda yang tidak berseragam itu bertanya,”Muslim?”
“Alhamdulillah.”
Kami pun dilepaskan pergi tanpa disentuh pun barangan kami...



The Arab Bridge Maratime Company

SuperJet TransArab

Pemandu-pemandu bas ramai. Semua pun memekik nama destinasi masing-masing dan yang paling banyak didengar Amman! Amman! Cuba mengintai-intai kalau Keichi ada. Meleset. Makan bekal nasi Yaman yang sudah mahu berlendir. Orang lain sudah makan dekat dermaga lagi. Berpisah dengan Zul. Dia mahu ke Amman. Baki lagi terjumpa bas terus ke Damsyik. 10 JD.

Sampai semua penumpang kapal turun barulah bas berangkat pergi. Semua pun tidur. Apabila sampai pada sempadan keluar dari Aqaba ada pemeriksaan. Semua penumpang yang tidak ramai itu dikerah turun. Bagasi dipunggah keluar dan dibuka satu-satu. Usai. Berangkat semula.

Tiba di satu kedai. Tiba-tiba bingit. “Rehat! Rehat! Rehat! Ada teh ada kopi ada Nescafe! Rehat! Rehat! Rehat! Ada ayam ada daging ada kedai runcit!” Bingit sekali. Sangka kami pemandu rupanya tuan toko. Apa perangai ini memaksa-maksa. Turun sekejap membetulkan angin dan urat. Masuk kedai lihat-lihat. Waktu keluar disekat! Dipaksa membeli dengan jeritan umpama tadi. Pedulilah, mahu beli pun dinar tak ada.

Tiba pula di Amman. Pemandu yang khabarkan tetapi tiada yang mahu turun. Amman sepi. Dikejutkan pemandu lagi. Kali ini ada pengurup mata wang asing. Mungkin sekali pasaran gelap. Tukar dinar walaupun ditawar lira.

Akhirnya sampai di hudud Jabir. Sempadan Syria-Jordan. Paspot diserah kepada pemandu. Dia urus semua. Tetapi lama menunggu kerana hal-hal orang Mesir leceh sekali. Akhir sekali masuklah kami ke tanah Syria disambut dengan wajah-wajah Al-Asad anak-beranak. Di pejabat imigresen itu kurang dilayan. Aganib agak jarang. Kami sahaja. Pegawainya berpakaian tentera. Khali daripada senyuman. Mujurnya dapatlah visa dua minggu percuma. Tetapi lama juga menunggu kerana dua beranak Iraq yang bersama kami punya masalah. Maklumlah negara itu tiada berkerajaan...

Diselamatkan Ustaz Nasir

Mampir dengan Kota Damsyik, Munir (sudah kali kedua ke situ) sudah berpesan, kota itu di bawah lembah. Benar. Sepanjang ke arah Damsyik itu, jalannya yang lurus itu turun menuju ke bawah sahaja. Tibalah di kota tua itu di stesen bas yang baru. Munir sudah mengeluh manakah tempat yang dibawa ini? Tidak cam! Dengan tidak semena-mena setelah bas berhenti, naiklah seorang Melayu. Itulah dia Ust. Nasiruddin Jumain penyelamat kami kenalan Kang Mede di situ. Kalau dia tidak naik. Tidaklah kami tahu mana yang perlu dituju...



Sunday, February 18, 2007

Merah

Empat hari kelmarin ramainya orang mengenakan baju merah. Kebetulan, saya juga ada memakai kerana hari itu jatuh giliran baju itu. Mulanya saya tidak tahu sampailah Aslam pulang dan khabarkan ramainya orang mengenakan baju merah pada hari itu di kuliah. Kebetulan Aslam juga. Walaupun hari itu pasukan bola sepak Korea tidak beraksi. Manchester United dan Al-Ahly tidak juga. Tapi kerana hari itu hari orang berkasih-kasihan. Kuat sekali orang Mesir berpegang pada hal-hal yang tidak sepatutnya. Di stesen Metro ada orang menjual mawar setengah genih sekuntum. Di jalanan banyak anak-anak gadis membawa hadiah masing-masing dalam bungkusan indah-indah yang juga merah.

Bercakap tentang merah ini, teringat pula saya pada Bah Air Merah. Bah besar yang berlaku di Kelantan dan barangkali juga Terengganu pada tahun 1926 dulu (paling awal direkodkan mungkin). Kemudian berulang-ulang selang 40 tahun. Pada tahun 1967 lebih kurang sekali lagi. Kata orang tua-tua lama, air bah itu warnanya merah. Keruh sahaja barangkali. Bah itu penting sekali dalam hidup orang dulu-dulu. Sampai dijadikan ukuran waktu. Contohnya ada kata-kata begini:

"Tua sangatkah Pak Cu Husin tu?"
"Entahlah, tapi masa bah merah tu dia dah ada."

Sepupu saya ada seorang lahir pada waktu itu. Kata orang tua lagi, kalau hujan mula turun pada malam atau hari Jumaat, alamat payahlah lagi hendak berhenti dan bersiap-siaplah untuk bah...

Menulis tentang bah, teringat pula saya pada orang Johor dan kemudian Jakarta. Kanda saya yang sulung yang tinggal di Kota Tinggi itu tidak dapat pulang beraya haji. Kerana jalan semuanya tutup. Tetapi akhirnya dia pulang juga selepas surut sedikit. Tetapi tidak dapat pulang semula ke Kota Tinggi. Terkena gout!

Artikel berkait:
Sekali Air Bah