Thursday, April 26, 2007

Rampokan

Rumahnya Bobby dibolos perampok. Mujurnya semua selamat. Barang yang dirampas pun dilempar kembali. Tetapi Bobby yang bergelut dipijak-pijak perutnya. Sampai hari ini masih muntah-muntah. Makan minum semua keluar semula. Malam ini masuk wad dibedah untuk eksplorasi atau kerana disyaki appendicitis. Maka kalian harus (dalam bahasa Indonesia bererti mesti) pastikan pintu dan jendela diselak kemas. Kalau panas pakai saja kipas. Bacalah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir sambil mengunci. Moga anak-anak itu selamat.

Ambillah 'ibrah di sebalik cerita.

Wednesday, April 25, 2007

Merdeka Mafkat, Negeri Fairuz

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang



Di Garisan Bar Lev

Hari ini cuti.

Hari ini cuti walaupun slogan tidak rasmi sejak dua tahun lepas ialah 'Everyday is a Holiday'. Maka itu, tiada sebarang kesan cuti hari ini. Mungkin tidak, pada penduduk Suez atau Sinai seluruhnya. Hari ini menyambut ulangtahun pembebasan Semenanjung Sinai. Tahrir Saina'. Pada hari ini, pada tahun 1982, Israel telah berundur sepenuhnya dari Sinai setelah mendudukinya selama 15 tahun.

Tidak ada sebarang perbarisan di Kaherah (kerana aku tidak keluar rumah pun sebetulnya). Tiada juga tembakan bunga api dari balik Hotel Four Seasons sepertimana Eid Shourtah (Hari Polis). Tetapi suasananya mungkin sekali berbeda di sepanjang Terusan Suez dan Sinai.

Siapa kata Turki sahaja negara dua benua? Mesir juga. Terusan Suez menjadi pemisah di antara Asia dan Afrika. Seluruh Sinai ialah Asia dan baki tanah besar Mesir ialah Afrika. Mesir juga, negara dua benua...  

Tujuan asal blog ini, bukan sekadar menulis diari harian diri. Sebab aku juga benci - kadangkala dan tengok orang juga - untuk membaca blog berbentuk diari harian. Tambah pula aku berpegang kepada kata-kata Confucius - ada yang kata Sayyidina Ali pernah berkata ini juga -

"What you do not wish for yourself, do not do to others"

Maka aku tidak menjadikan blog ini sebagai curahan gerak-geri aku tiap-tiap hari. Sebab ini juga aku tidak meletakkan sebarang lagu di dalam blog ini (melainkan bunyi anak ayam yang bingit). Lebih kepada berkongsi warna-warni Ummu Dunya ini, merekod pemikiran sendiri dan ilmu-ilmu lisan daripada orang tua-tua lama aku serta kisah-kisah lama penuh nostalgia.

Tetapi aku sudah jauh menyimpang. Aku sudah terlepas dua event menarik. Mawlid El-Nabi El-Syarif dengan patungnya dan Sham El-Naseem. Alasanya? A33o yang gering atau sikap 'mencuri masa' aku? 

Apahal tajuk updet kali ini?


Friday, April 20, 2007

Busana Siti Wan Kembang

Sudah lama mahu kongsi. Tetapi selepas membaca 'Baju Tidak Cukup Kain' barulah tahu apa itu kepala kain. Barulah tahu memakai kain batik ada aturannya. Mungkin sekali tidak perlu lagi merisik anak gadis. Kalau orang sekarang masih ikut masih pakai. Cukup dengan melihat cara pakai kainnya. Sebab itulah teringat dan terpanggil untuk berkongsi ini.

Aku bukanlah anak jati Kelantan. Sebab anak jati itu berhajat kepada ibu bapa yang sama-sama lahir di Kelantan. Tetapi kerana hidup aku dari umur 13 sampai 18 dibawah jagaan makcik aku -anak jati - yang bukanlah orang tua-tua lama sangat, cuma pernah hidup sezaman dengan orang tua-tua lama, maka banyaklah juga yang ia tahu. Maka itu, para wanita Kelantan. Kalau salah janganlah marah.

Makcik aku mesra dengan panggilan Mak Sah atau Sah sahaja. Maka, Sah kata:

Orang zaman hari tu tak pakai baju. Orang zaman hari tu pakai kain lepas. Sehelai diikat di pinggang macam kain biasa labuh sampai ke buku lali. Sehelai lagi dipakai berkemban. Diikat bawah ketiak di atas dada labuh sampai sekerat pinggang atau punggung. Sehelai lagi disangkut atas bahu. Sehelai lagi menutup kepala.

Maka begitulah kononnya pakaian wanita Kelantan dahulu kala. Allahu a'lam. Kain lepas ialah kain yang tidak berjahit - seperti kain batik jawa - dan kadangkala sedikit nipis. Bunganya juga biasanya ringkas dan kecil-kecil. Almarhumah nenek saya masih memanggil kain tudungnya sebagai kain lepas walaupun kebanyakannya ialah kain tudung moden pemberian anak cucu. Teringin juga nak baca Manikam Kalbu. Khabarnya komedi. Tapi di Kota Bharu susah nak dapat tulisan FT.

Pada mulanya tiada gambar contoh yang dapat dipamerkan. Tetapi ketika sedang mengkaji-kaji melalui internet, terjumpa pula forum ini. Jadi, betullah juga apa yang dikatakan Sah dan mungkin betul penulis dalam forum itu. Banyak maklumat tentang cara hidup orang Kelantan zaman hari tu dalam forum itu. Artikel itu diambil dari esei yang bertajuk 'Aspek-Aspek Budaya Ekonomi Masyarakat Kelantan Sebelum 1909' tulisan Zaidi - Saidi Ibrahim...



Wednesday, April 18, 2007

El-Khamaseen di Hospital Demam (Hari-hari Kuning)

I wish I had a camera!

Begitulah getus hati - Cannon A330 sudah gering paparan LCDnya, Olympus sudah kemalangan jatuh gaung di semenanjung Sinai dan Sony CyberShot DSC-P10 baterinya sudah bobrok saat di medan peperangan Mu'tah tanpa ada pengganti sampai hari ini. Di depan mata terbentang dua pemandangan yang harus dirakam.



Mata pelajaran ComMed menuntut ziarah-ziarah ke hospital dijalankan. Hari itu giliran El-Mostashfa El-Hommiyyet El-'Abbasia (Abbasia Fever Hospital). Kerana berada dalam lingkungan Liga Para Pemalas maka seperti yang diuar-uarkan dalam tulisan terdahulu, kerinan. Lagi. Hospital tua berusia 114 tahun itu 'tenang' walaupun berada mampir dengan Jalan Emtidad Ramsis. Hospital Demam sedikit tersorok ke dalam.

Bagai berada di alam lain. Saat melangkah ke dalam terasa seram. Hospital ini sepatutnya bukan demam tetapi mati. Tiada langsung kelihatan pelawat keluar masuk. Kakitangan pun jarang. Jalan utama dalam hospital lengang. Kenderaan dilarang masuk. Bangunan satu-satu jauh-jauh. Kekal dalam binaan kolonial. Bagai pondok polis Bukit Kepong zaman komunis bermaharajalela dulu. Seperti di kuaters lama kerajaan pun ada. Tambah angker dengan pohon-pohon Petai Belalang yang besar dan sudah kering menanti ajal. Sedang menunggu-nunggu itu dia datang. Menghembus kencang.

Ziarah bermula. Padah kerinan, jabatan meningitis ketinggalan. Mula di jabatan HIV. Seorang gadis dihidap jangkitan oportunistik pada paru-paru. Ada kata-kata doktor yang bagai halilintar memangkah tepat. Gayyid? Ma yanfa'ash fee tibb. Kemudian ke jabatan kulit. Seorang nenek dihidap erisipelas. Betisnya yang penuh berlepuh merah minta dipamerkan.

Saat perenggan ini ditulis Kairo hujan pula. Ada guruh lagi!

Aku dan El-Moataz Billah Ashraf.
"Tempat ini seperti muzium. Kami tidak ada tempat seperti ini (hospital demam) di Malaysia."
"Masya Allah. Tempat kamu tiada penyakit berjangkit?! Masya Allah. Saya macam tidak percaya."
"Penyakit berjangkit memang ada, tetapi tiada hospital khas seperti ini."
"Berapa populasi kamu?"
"20 juta?"
"Kami punya 60 hingga 70 juta. Tentulah kami berhajat tempat seperti ini."

Pulang semula ke bilik taklimat. Dia menghembus hempas dengan membawa habuk, kebuk, debu, pasir dari selatan. Papan-papan petai belalang yang kering berlanggaran sesama. Sekali-sekala seperti deru ombak lagak bunyinya. Sedang doktor menerangkan, tiba-tiba berhenti. Ada sesiapa ada asthma? Semua ketawa. Barang-barang entah apa-apa sampah yang ditiup berlanggaran serupa bunyi mercun senapang pula. Debu dan pasir mampir, habuk dan kebuk bangkit, serta hari pun menjadi kuning.

Ziarah pun selesai. Pulang. Dia menghembus lagi dengan tiupan yang menyesakkan. Lemas. Lubang-lubang hidung menjadi ketat. Penuh berisi. Pada hari ini, bergunalah bulu-bulu mata Arab yang panjang lentik yang dicemburui kaum yang lemah-lembut. Lembik lonyai. El-hawa' dee sammu ha el-khammasa. Begitulah terang El-Moataz Billah Ashraf. Di dalam teksi, menara Masjid Nur penuh izzah tinggi melangit nampak berbalam-balam cuma. 

Anak tangga stesen Metro menakung pasir. Wiper kereta di tepi jalan menakung pasir. Baju kesat berpasir. Rambut jadi keras. Ketika itu, jika menjilat bibir bakal tergigit pasir. Kata Mat, hari ini Kairo berwarna emas. Kata aku, dan Benson and Hedges tidak perlu menunggu waktu senja atau syuruk untuk membuat iklan. Bisa buat sepanjang hari.

And the day is yellow still...

Tahun kelmarin lebih hebat. Bahangnya lebih hangat. Hari-hari itu bukan perang. Bukan kuning. Juga bukan emas. Jingga!

* * *

Hospital Demam ialah hospital rujukan di mana tempat ia berada. Pesakit berjangkit akan dirujuk ke hospital-hospital ini yang terletak di kawasan-kawasan berbeda seluruh Mesir. Abbasia Fever Hospital ialah yang utama, terbesar dan tertua. Dibangunkan pada 1893 ia menjadi rujukan hospital demam di Mesir dengan kapasiti 832 katil.



Khamaseen ialah taufan yang biasa melanda Mesir dan Sudan dalam akhir bulan Mac dan awal bulan April. Dimulai dengan cuaca yang panas membahang kemudian menjadi ribut pasir. Menutur Kalendar Ribut orang-orang Turki, Khamaseen ialah ribut yang melanda selama tiga hari dan dijangka berlaku pada satu Februari. Ia adalah angin selatan atau tenggara yang kencang, panas dan berdebu yang melanggar kawasan Afrika Utara, Semenanjung Tanah Arab dan Dataran Syam sekali-sekala bermula akhir musim dingin hingga akhir musim bunga.

Rujukan:
  • Wikipedia
  • Buku Amali Perubatan Komuniti
  • Pengalaman peribadi
Gambar itu diambil dari Wikipedia. Pada hari ribut gambar itu masih belum ada. Pada hari updet ini baru muncul. Dikatakan diambil pada 17 April 2007. Hari ziarah itu!

Saturday, April 07, 2007

Dari Perlembahan Nil Ke Dataran Syam III

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihi

Beit ‘Arabiy




Rumahnya Syed Nahar

Pulang semula ke Damsyik. Hari sudah jauh malam. Kami dibahagi dua. Aku menumpang tidur di rumah Ust Nasir. Lain-lain menumpang di rumah Syed Nahar teman sekolahan Pak Ten dahulu.

Kata orang-orang tua kita, jauh perjalanan luas pemandangan. Benarlah juga kata-kata itu. Di hadapan kami terdapat pemandangan yang luar biasa bagi kami. Rumah-rumah di Syria yang berbeda sama sekali dengan rumah-rumah Kaherah yang berbentuk pangsapuri.

Rumah yang rekabentuknya dipanggil beit ‘arabiy. Tidak seperti di Kaherah yang mana satu bangunan punya banyak rumah-rumah di dalamnya tetapi di Syria setiap satu bangunan mengandung sebuah rumah sahaja. Bermakna, setiap rumah punya tingkat satu atau dua atau tiga. Sesuatu yang hampir tiada di Kaherah! Melainkan rumah pegawai-pegawai di Zamalek.

Sobia



Seperti Tajuk di Atas

Mudah sekali kesejukan di rumah Syed Nahar kerana ruang terbuka yang ada. Jadi kami masuk ke dalam berehat-rehat dahulu sebelum aku dan Mede Sapar ke rumah Ust Nasir. Di dalam bilik tamu yang luas itu, ternampaklah oleh kami suatu alat perkakas yang tiada pernah dilihat sebelum ini. Begitu pun, sudah dapat dijangka kegunaan alat ini kerana nampak nyata paip serombong asap yang besar bersambung dengan badannya naik ke atas bumbung rumah.

Sobia berfungsi dengan bahan bakar diesel. Minyak disel dituang ke dalam tangki yang terletak di atas paip kecil di tepi badan sobia (tempat bakar). Selepas itu sebuah pelaras pada pangkal tangki dilaraskan untuk membolehkan minyak mengalir ke dalam tempat bakar. Minyak akan menitis setitis demi setitis ke dalam paip dan seterusnya ke dalam tempat bakar. Jika dilaraskan supaya minyak menitis lebih laju, api akan menjadi lebih kuat tetapi minyak dapat bertahan sekejap sahaja. Tetapi jika dilaraskan lebih perlahan api akan lemah tetapi minyak dapat bertahan lebih lama. Selepas itu mancis dinyalakan dan dilempar ke dalam tempat bakar melalui ‘tingkap kecil’.

Kata mereka, paling maksima sobia dapat bertahan selama hampir 12 jam. Begitu pun, sobia tidak boleh dibiar hidup jika mahu tidur. Juga, kalau sobia itu sudah agak tua, satu bilik bakal berbau disel...

Rumah Ust. Nasiruddin

Katanya Ust Nasiruddin, rumahnya bukan beit arabiy yang asli. Pun begitu sudah cukup aneh bagi saya. Rumahnya kecil sahaja tetapi tiga tingkat semuanya. Paling bawah memuatkan bilik air, tandas dan dapur. Tengah ialah bilik tidur dan ruang tamu. Atas sekali ialah sutuh dan bilik Ust Nasir sendiri. Kami tumpang diam di ruang tamu itulah yang ditutup dengan langsir. Bilik sebelah tidak pernah saya masuk. Usik tidak intai pun tidak. Bilik Ust Nasir atas sutuh tempat jemuran dihubung dengan tangga kayu yang kalau dipanjat akan bergoyang-goyang. Seram.

Mangkuk di dalam Mangkuk

Susunan rekabentuk beit arabiy mengikut cara Islam. Tandas dan bilik air dibina berasingan. Tandas pula semuanya jenis mencangkung dan tiada yang jenis duduk. Waktu itu saya pun terfikir, moden pula Kota Kaherah saya.

Selangkah ke dalam tandas, saya jadi terkejut. Ada mangkuk kecil menutup lubang mangkuk tandas! Selera hendak buang terbantut. Saya tanya Ust Nasir bagaimana, ia mungkin sudah biasa dengan pertanyaan itu. Senyum dan cuma menyuruh saya ‘buang dulu baru tahu’. Sedang-sedang di dalam itu, fikiran saya mula berputar. Apakah setelah buang atau apabila mangkuk kecil sudah penuh, perlu diangkat mangkuk itu dan isinya dibuang ke tempat lain. Aduh...kuno!

Ketika asyik berfikir itu tiba-tiba SNAP! Saya intai dibawah. Sudah tiada! Barulah saya faham sekarang. Esoknya kami berbincang-bincang hingga kami ketawa. Antara kami yang pernah ke tanah suci menceritakan perkara yang sama ada di sana. Orang-orang yang berhajat semuanya terbantut. Masing-masing menahan sehingga ada yang berani menyuarakan. Akhirnya yang berpengalaman pun menjawab. Kalau buang itu biar berat sedikit.

Saya dapati ada dua kebaikan tandas serupa ini
• Menjimatkan air kerana tidak perlu disimbah
• Tiada masalah air mangkuk tandas terpercik

Cuma yang dibimbangkan, kalau hasil buangan itu tidak cukup berat. Payah juga.

Dari Bab Srijeh Ke Medan Marjeh



Medan Marjeh 1925, tiang besar di tengah itu datang sekarang pun masih ada

Malam itu, walaupun hanya bersiram dan rehat sekejap sahaja kaki ini masih mahu berjalan. Kononnya sambil merencana untuk esok. Tapi sebenarnya perut lapar yang mendorong. Ust Nasir membawa kami ke luar. Dari kawasan rumahnya Bab Srijeh ke pusat bandar Damsyik lama, Medan Marjeh. Pendek kata, Medan Marjeh samalah tarafnya dengan Medan Tahrir dengan hotel-hotelnya dan restoran-restorannya. Di situ kami menukar wang belanja dan Munir mencari-cari tempat makan. Kerana ia tahu dari perjalanannya kali yang dahulu kedai itu sahaja yang sedap. Atau kedai itu sahaja yang ia tahu.

El-Wardah El-Syamiyyah



Kabsah Ayam dan Mozza

Kedai itu ditemukan. Semua pun pergi beramai-ramai. Kedai yang kecil sahaja. Dapurnya pun muat-muat untuk dua pekerja. Kabsah ayam dan mozza (peha kambing) dipesan. Restoran kecil itu bertaraf dua bintang sebenarnya di sisi Kementerian Pelancongan Syria.



Ulam dari Syam

Malam Di Kota

Malam itu kami makan hingga perut hampir pecah. Kerana masing-masing berdegil mahu makan salad pembuka selera walau ada yang melarang. Akhirnya tinggallah kedai itu dengan baki kabsah yang tidak mampu lagi masuk. Rugi. Demi tidak tidur dengan perut kenyang, perjalanan diteruskan. Belum puas, sambil merancang-rancang untuk esok. Dalam sejuk-sejuk malam yang sudah jauh, Ust Nasir mempin kami dari Medan Marjeh ke Kubu Lama Damsyik.



Bab El-Faraga

Kami masuk ke dalam kawasan kota menyusuri Sungai Barada melalui pintu Al-Faraga. Damsyik sudah lama sepi dan kabus-kabus pun sudah mulai naik ke permukaan. Sekali-sekala ada kereta meluncur laju keluar dari kubu. Pukulan roda kereta ke atas jalan lama berbatu mengeluarkan bunyi seakan derapan tapak kaki kuda. Bagaikan telah kembali ke zaman silam. Zaman Mu’awiyah.



Kupu-kupu Malam

Akhirnya sampailah ke sasaran utama Kota Damsyik. Masjid Agung Damsyik – mungkin sekali jika ia di Indonesia – atau Masjid Umawi. Dari atas jejambat sebelum masuk ke kota, sudah nampak ‘kubah helang’nya. Cuba ambil gambar tetapi tidak jadi kerana tidak pandai. Di situ Cuma dapat lihat pintunya yang besar dan ‘menara pengantin’ yang dibaluti lampu-lampu. Tidak masuk. Pintu sudah tutup rapat. Jauh malam.



Romantika Souk Hamediyya

Souk Hamediyya




Kuil Jupiter

Setelah puas melihat-lihat dari luar walaupun yang nyata cuma berlalu sahaja, beralih pula ke sebelah kanan. Melalui puing-puing gerbang batu yang merupakan tinggalan kuil Jupiter kami masuk ke pasar Hamediyya. Menurut apa yang saya baca setelah pulang, pembinaan ini adalah antara usaha-usaha Khalifah Sultan Abdul Hamid II untuk menguatkan kembali khilafah dan menyatukan ummah.



Di mana ini? Di Istanbulkah atau di Eropahkah?

Pasar sudah lama mati. Yang tinggal hidup cuma lampu-lampu sahaja. Lampu-lampu mentol malap yang bergantungan di atas setiap pintu kedai. Pasar bergaya Victoria dengan lampu mentol malapnya, lantai jalan berbatu dan bumbung zink melengkung tinggi melangit. Cukup romantik. Kata Syazwan, suasana di situ persis Istanbul. Maklumlah, siapa pun yang membinanya. Kami melalui pasar yang lengang itu melalui jalannya yang lembab-lembab basah. Bukan sebab dingin cuaca, tapi bekas orang mencuci kedai.



Tempat guru kami mengaji

Kami berjalan sampai ke luar. Sampai kembali ke jalan tar, ke kemodenan. Sebelum itu kami membelok menyelit ke celah-celah pasar kerana Ust Nasir ingin menunjukkan Darul Hadith An-Nabawi As-Syarif. Dikatakan tempat ulama-ulama besar lama-lama dulu mengajar dan mengaji. Munir sungguh-sungguh mahu kami ambil gambar papan namanya. Kalau datang siang-siang hati taubat tidak jumpa...



Sultan Salahuddin An-Nasir

Keluar ke jalan besar di depan Kubu Damsyik. Di depan itu ada patung Salahuddin. Bangsa Arab masa kini, segalanya dari barat pun ditelan. Segala tokoh pun mau dipatungkan. Mujur Nabi SAW tidak dibuat begitu. Kisah Salahuddin pun pernah dibangsakan kisahnya dalam sebuah filem tahun 70an. Padahal mereka lupa satu faktor. Salahuddin Kurdi.



Damsyik, di sebelah kiri itu mahkamah

Hampir di'pau' secara halus oleh askar Syria disitu...