Saturday, January 05, 2008

Jelajah Jordan VI

Asal-usul Karkun

Karkun ialah gelaran kepada para pengikut Jamaat-e-Tabligh. 



Suatu pagi, kami bersama-sama dibawa mendaki sebuah bukit (dengan menaiki bas) di Karak, Jordan bukan Karak, Pahang. Kemudian Ust Hazimin memimpin kami beramai-ramai ke sebuah kuburan. Kerana ia duduk di bukit, lagaknya seperti jirat pula. Di penjuru kuburan itu, di tepi tebing tinggi nan curam sebuah bangunan lama diam di situ. Itulah tempat yang orang percayai sebagai makam Nabi Nuh alaihi salam. Adapun, ia tempat persinggahan Nabi Allah itu cuma. Di Karak juga tetapi di Lubnan, terdapat sebuah kubur yang panjang. Lamun, di Mardin Turki, di sisi Bukit Coudi (Judi) dikatakan ada makamnya di sisi bahteranya dalam timbunan tanah

Allah menurunkan surah khas dan dijudulkan dengan namanya. Nabi Nuh ialah salah seorang Ulul 'Azmi. Hidup berdakwah selama 950 tahun tetapi sedikit sahaja yang mengikut. Allah memerintahkan supaya bahtera dibina kerana bala bakal menimpa. Pun kaumnya masih mengejek. Akhirnya Allah membuka pintu langit dan merobek perut bumi dan air turun menimbun dan keluar membuak. Kaumnya yang ingkar habis mati termasuk anaknya sendiri yang menjadi dalil kepada 'iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa.'

Kaum Nuh ialah yang pertama seumpamanya di mata dunia menyembah berhala. Mereka menyembah lima orang soleh yang telah wafat. Wadd, Suwa, Yaguth, Ya'uq dan Nasr. Bermula dengan bisikan syaitan untuk memperingati jasa-jasa mereka, lama-kelamaan selepas beberapa generasi mereka sudah lupa punca asal mereka dirikan patung orang-orang soleh itu lantas menyembahnya. 

Kisah-kisah asal-usul yang menarik

Kisahan ini riwayat daripada Sayidah Ayesha dan Ibnu Abbas.

Nabi Nuh mengambil masa selama seratus tahun untuk menanam pokok, menunggu sehingga pokok besar dan menebang pokok untuk dijadikan bahan binaan bahtera penyelamat.

Haiwan yang mula-mula sekali dimuatkan ialah burung kelicap rumah dan yang paling akhir ialah keldai kerana Iblis bergantungan pada ekornya.

Bahtera penyelamat punya tiga bagian. Setiap satu untuk haiwan ternakan dan liar, burung-burung dan manusia. Apakala najis-najis haiwan menjadi banyak, Allah perintahkan ekor gajah dipukul. Maka jatuhlah sepasang babi dan ia mula memakan najis-najis itu. Apakala tikus-tikus menggerit badan kayu bahtera mereka dikejar oleh sepasang kucing yang muncul dari antara dua mata singa.

Ada riwayat lain pula membarikan. Kaum Nabi Nuh mengadu tentang keselamatan mereka kerana bersama-sama mereka dalam bahtera ialah singa. Maka Allah menjadikan singa demam dan itulah demam yang pertama dihantar ke bumi. Ketika mereka mengadu pula makanan mereka dirosakkan tikus, Allah membuatkan singa bersin. Kucing pun keluar dari mulutnya dan tikus pun menyorok.

Bagaimana Nuh tahu bah sudah surut?

Mula-mula gagak dihantar meninjau. Tetapi ia tidak pulang lantaran terjumpa bangkai. Nabi Nuh murka dan berharap ia tidak akan menghampiri rumah-rumah. Kemudian merpati dihantar dan ia mencelupkan kakinya ke dalam lumpur dan membawa pulang ranting zaitun. Maka tahulah sudah banjir telah kering. Merpati pun dimuliakan dan diberi rumah dekat rumah manusia.

Ada orang menambah, itik juga dihantar tetapi tidak pulang kerana leka bermain air.

Kaum Nabi Nuh yang selamat sebanyak 80 keluarga telah membina sebuah perkampngan baru. Keesokan paginya, masing-masing bangun bertutur bahasa yang berbeda dan salah satunya ialah Arab. Nabi Nuh mentafsirkan untuk mereka.

Anak Nabi Nuh yang terselamat ada tiga. Sam ialah bapa kepada Arab (Asia), Ham ialah bapa kepada Habsyi (Afrika) dan Yafuth ialah bapa kepada Rom (Eropah). Riwayat lain membari Sam ialah moyang kepada Arab, Parsi dan Rom. Yafuth ialah moyang kepada Ya'juj, Ma'juj dan Turki. Ham ialah moyang kepada Mesir, Barbar dan Sudan.

Moral kisahan ini ialah:
Bacalah kitab agama Islam dalam bahasa tulisan asalnya iaitu Arab. Jangan baca terjemahan atau edisi Inggerisnya bimbang tidak tepat. Paling penting, BERGURU dan bukan membaca sendiri.

Makam Nabi Nuh

Selepas balik jalan-jalan dari Kota Karak di sebelah. Aku kata,
"Karak (كرك) kalau dijamakkan jadi Karkun (كركون) jadi adakah orang-orang tabligh asalnya dari sini?"
Kami pun naik bas. Tiba-tiba seorang Arab yang sememangnya karkun datang naik bas bagi ucapan tazkirah sambil berkenal-kenal dengan kami. Kebetulan.
Apakah Karak di Pahang itu dibuka oleh orang-orang dari Karak, Jordan atau Lubnan?

Sebetulnya Jamaat-e-Tabligh diasaskan di India dan di Pakistan juga ada sebuah daerah bernama Karak.



Aku namakan gambar ini permainan cahaya. Di pinggir bukit kuburan itu. Waktu itu angin deras dan awan sakan. Cahaya cuma boleh masuk ikut celahan. Angin deras menolak awan-gemawan dan celah-celah turut bergerak. Tompok-tompok cahaya nampak seolah-olah sedang menari-nari berkejar-kejaran antara satu dengan satu.


No comments: