Thursday, December 23, 2010

Kuleli Askeri Lisesi


Mengadap Sultan Setambul XXX
VII

Maktab Tentera Uthmaniyyah

Caranya mudah saja. Petiklah punat kamera. Tangkap, pukul dan ambil apa saja. Apa benda belakang kira. Begitulah halnya dengan bangunan agam di tebing Selat Istanbul -orang Turki panggil Bosforus macam ni. Bangunan besar, nampak klasik, sikit-sikit nampak macam Hogwart kot? Bila balik barulah tau bangunan apa.

Bangunan yang lebih dikenali sebagai Berek Kuleli ini diasaskan oleh Sultan Abdulmecid I selaras dengan Tanzimat yang dibawa baginda iaitu reformasi dan pemodenan dalam sistem pemerintahan dan ketenteraan Daulah Uthmaniyyah.

Berek Kuleli menyatukan beberapa buah kolej tentera yang sedia ada untuk memudahkan urusan. Tapi dipecah-pecahkan juga akhirnya setelah nyata bila disatukan menyusahkan urusan. Dalam siri-siri peperangan di pengakhiran Daulah Uthmaniyyah -macam Perang Rusia Turki, Perang Balkan dan Perang Dunia Pertama- Berek Kuleli beberapa kali menjadi hospital. Oleh sebab itu, selain menjadi kolej tentera sebahagian daripada Berek Kuleli dijadikan sekolah perubatan tentera.

Datang sekarang, Berek Kuleli masih dipakai oleh Universiti Teknik Istanbul.

War is the only proper school of the surgeon.

-Hippocrates-


Monday, December 20, 2010

Amjad yang susah senyum


Amjad yang susah senyum. Puas dah buat ciku cak atau bababababababa tu bulan! Pun Amjad tengok saja tak ada rasa. Sampai Papa kena tarik mulut kasi senyum. Sampai Tok Ayah kasi gelar Awang Don.

Saturday, December 18, 2010

Ojii-san no Fotogurafu

Tengok atuk yang tengah membidik kamera ke arah Aphaea di bawah pokok. Sementara tunggu bas gerak semua orang lepak-lepak di luar tokong. Sambil-sambil boleh tengok pemandangan seluruh pulau dari atas bukit. Tapi masing-masing pun tak tau nak buat apa sangat. Nak bertegur sapa pun ... suman, nihon-go hanashimasen. Maka, oleh sebab sangat berangin untuk bergambar jadi aku pun pukul gambar pokok, pukul gambar bas. Tiba-tiba aku perasan, oh! Atuk tua pun tiru. Aku bidik pokok dia bidik pokok, aku bidik bas dia bidik bas. Bangganya aku. Hari ni baru aku sedar masa aku pukul gambar bas, rupanya ada makcik kat dalam tu. Muka macam tak puas hati.

Anarki di Athina LII

Thursday, December 16, 2010

Bubur Husin

Nasi telah menjadi bubur, bubur telah menjadi . . . ? Nasik?!

Biarlah orang lain buat bubur asyura gaya Utara yang manis, ala Pantai Timur yang spicy atau versi Selatan yang lemak. Biar saya buat bubur pulut hitam saja sebab saya suka. Bubur pulut hitam, ada orang campur terus santannya, ada orang diletak asing kepala santannya. Kata mama, orang-orang hilir, orang-orang Kota Bharu saja yang buat begitu -letak asing. Macam orang Jepun pulak yang makan nasi merah lepas kebah demam.

Bila cakap pasal puasa asyura, saya teringat Tok Guru Nik Aziz dalam salah satu kuliah pagi Jumaat. Ketika itu Tok Guru Haji Hadi masih lagi MB, tiba-tiba tok guru terdiam:

"Allah ... (mengomel perlahan sorang-sorang) Allah ... Ambo tok ingat sunggoh. Baru ni ... Ambo gi mesyuarat rajo-rajo, pahtu ore jamu makey. Ambo ambik kuih, Haji Hadi tok ambik. Ambo minum air. Haji Hadi tok minung. Ambo dok mikir bakpo. Lepah lamo dok mikir baru ambo teringat, ambo lupo nok poso. Tu lah, dok besaing nga pok-pok ni pah ko kito lupo. Allah ... Tu lah, tahung depey pakak-pakak poso belakolah."

Rakyat marhaen tergelak saja dengar cerita.

Wednesday, December 15, 2010

Si-o-se Pol

30 Tahun Revolusi Islami XXXVI

Dulu pun dah cakap, kadang-kadang kita kena jalan dengan orang tempatan baru kita tau yang mana kaca dan yang mana permata di satu-satu tempat tu. Orang-orang luar kadang-kadang suka menilai sesuatu itu sampai jadi overrated.

Inilah Si-o-se Pol. Nah, sekarang cuba tuan puan bandingkan antara Pol-e-Khaju yang gambarnya banyak dalam papan-papan tanda pelancongan di Isfahan dengan Si-o-se Pol yang banyak terpampang dalam buku-buku travel macam Lonely Planet.

Pun, Si-o-se Pol punya 'charm'nya yang tersendiri ...

Mengambil kesempatan ini mengucapkan kepada seluruh masyarakat Iran dan yang sewaktu dengannya, Selamat Menyambut Asyura.

Monday, December 13, 2010

Bachelor Party Untok Israk VI

Sebuah minisiri Bursaid

Akhir

Bila kita fikir pasal Port Said, mesti terbayang baju-baju sejuk di kedai bundle. Tapi Port Said lebih darpada itu. Sebuah diari antik milik seorang gadis keturunan Greek ditemukan dalam longgokkan buku-buku lama di kedai buku Azbekiya Garden -yang dekat Attaba itu- membongkar kisah hidup di situ sekitar hujung abad 19 hingga awal abad 20.

Sejak pembukaan Terusan Suez, Port Said telah berkembang sebagai sebuah bandar pelabuhan yang maju. Sejak zaman hari itu lagi ia menjadi pintu masuk utama orang-oang luar ke Mesir. Dengan itu juga, Port Said menjadi sebuah bandar ekspatriat dengan didiami oleh bangsa-bangsa asing banyaknya dari Perancis, Itali, dan Greece.

Ia bukan sahaja menarik golongan usahawan, malah ia seolah-olah menjadi 'land of opportunity' persis Amerika Syarikat apabila ia menarik kedatangan kaum pekerja dari negara luar. Boleh dikatakan hampir kesemua penduduk Port Said terdiri daripada warga asing. Daripada tauke-tauke besar sehinggalah kuli-kuli kilang. Daripada pengusaha panggung wayang sehinggalah penjual daging.

Ia dibarisi dengan jalan-jalan yang diberi nama dalam bahasa Perancis dan dihiasi dengan menara-menara gereja. Port Said juga seakan-akan terpisah daripada rakyat tempatan. Maka itu, wujudlah tinggalan-tinggalan unik Port Said yang nampak pada rumah-rumah kedainya yang dibina daripada papan dan dihiasi ukiran pula. Malah rumah kedainya yang moden sedikit pun berbeda bentuknya mirip Georgetown dan Parit Buntar -ada kaki lima termasuk ke dalam, kecuali tingkatnya lebih tinggi.

Kami jalan dari tugu sampai jauh. Sudah hampir gelap jadi gambar kabur. Jalan punya jalan punya jalan jumpa orang jual coklat tepi jalan. Berlonggok-longgok coklat-coklat mewah macam Toblerone misalnya dengan perisa-perisa yang jarang jumpa dijual dengan harga murah tiga hingga empat genih sahaja sepapan. Borong coklat banyak-banyak buat buah tangan. Lepak kedai kopi tonton Piala Afrika. Balik sambil cuak dekat tempat tafteesh. Takut diminta unjukkan pasport. Visa sidah mati ...

Tuesday, December 07, 2010

Xin Nian Kuai Le


Amermeftah dan krew Petaijeruk mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah.
Hijrah itu Islah. Hijrah mengajak kita berubah.

Monday, November 29, 2010

Gajus, Janggus dan Ketereh

Gajus, Janggus atau Ketereh semuanya sama. Buah yang terkenal kerana bijinya letak di luar. Ada orang cerita buah Ketereh terkejut, sebab apa lupa, sampai bijinya tersembul keluar. Apa pun pucuk ketereh memang sedap dibuat ulam. Masam-masam. Kalau Che Rohim, buahnya yang rasa aneh itu pun sedap dibuat ulam. Dan ya, yang terkenal pada buah ketereh tentulah bijinya.

Inilah pohon Ketereh yang terkenal di kampung kami kerana letaknya di atas kuburan. Dibajai oleh jasad-jasad manusia. Zaman sekolah dulu, hujung-hujung minggu saya pernah bersama sepupu datang ke sini mengutip bijinya yang gugur. Aktiviti yang juga terkenal di kampung itu. Kemudian bijinya kami goreng/panggang dahulu -buat di luar rumah sahaja- sebelum dimakan.

Menggoreng atau memanggang biji ketereh perlu hati -hati kerana getahnya memercik- sebab itu buat di luar. Kalau terpercik baju payah tanggal. Kalau terpercik kulit rupanya jadi macam keruping luka. Dua tiga hari juga baru tanggal. Orang tua-tua selalu pesan -takutkan- kalau terkena getahnya boleh jadi cacat. Boleh jadi adhesion kalau terkena bucu mulut. Asapnya pun bukan main tajam baunya. Tak macam asap biasa.

Baru-baru ini baharu saya tahu apa atau siapa yang ada di bawah pohon itu. Di perdu pohon itulah bersemadinya moyang kami Haji Ismail yang identitinya masih menjadi misteri. Menurut Mama memang Haji Ismail berasal dari kawasan itu -Pasir Tok Kambing. Tapi tak dapat dipastikan apa kerja atau pangkatnya sampai kebanyakan daripada sepuluh orang anaknya -majoriti lelaki- bertugas sepagai penggawa atau penghulu dari kawasan Pengkalan Petah sampai Pengkalan Datu sampai ke Kedai Lalat/Kota Jembal.

Menurut Mama lagi, zaman Mak Piah -nenek saya- masih muda dan baru bernikah dengan Tok Ayah, dia tinggal bersama-sama Tok Ayah Ka -abang Tok Ayah saya yang sulung, Tok Ayah saya bongsu- mengasuh anak kecilnya. Sekali-sekala mereka akan pinjamkan segala gelang, pending, dokoh dan pontoh emas kepada Mak Piah. Kalau ditanya kenapa atau nak ke mana akan dijawab, "Ngadak Tueku."

Saturday, November 27, 2010

a bridge too far

Mengadap Sultan Setambul XXXVI

Ke Eropah

Ke Asia

  • Boğaziçi Köprüsü
  • Jembatan Bosforus
  • Titi gantung terpanjang di dunia (di luar US), keempat terpanjang sebenarnya.
  • Sebuah lagi gertak terletak jauh sedikit bernama Jambatan Fatih Sultan Mehmet dekat dengan Rumelihisari.
  • Menjadi mercu tanda Istanbul yang romantis dan sering digandingkan dengan Masjid Ortakoy dalam foto-foto.

Tuesday, November 23, 2010

there's not a single drop of blood in my camera


Maka begitulah, garebek besar yang kecil saja sambutannya lantaran ujian dan peperiksaan yang bakal menimpa. Konvoi mini, bukan, konvoi mikro bermotor ke rumah Daud Sulaiman atas undangan jamuan soto yang lengkap dengan isi ayam carik, begedel dan sambal meletupnya. Mujur tamu tidak banyak jadi bolehlah bermaharajalela makan. Lepak-lepak sembang sambil beradu PES sampai zohor juga jadinya. Balik tidur.

Garebek Besar yang mudah-mudahan kali penghabisan di Kairo langsai begitu saja ...

Tuesday, November 02, 2010

Aphaea

Kami beli tiket lambat. Berlandaskan konsep 'alang-alang sudah sampai' kami beli juga walaupun mahal. Ada dua bas, satu Cina satu Jepun. Aku pilih naik bas Jepun sebab rasa Cina kampung sangat. I.K. Tan ikut saja. No offence ya.

Nasib kami (aku) baik. Keputusan untuk naik bas Jepun sangat tepat. Sebab kedua-dua bas melawat ke sebuah tempat sahaja yang berbeza. Bas Cina melawat sebuah biara besar Kristen yang sudah tentu bakal membosankan kami (aku) ...

Nun di atas bukit Pulau Aegina tertegaknya sebuah kuil untuk Aphaea. Dewi tempatan untuk kesuburan, pertanian dan perburuan yang disembah secara ekslusif di kuil ini dan di pulau ini sahaja.

Kuil pertama ditujukan untuk Aphaea. Setelah atapnya terbakar dan penguasaan Athens ke atas Aegina semakin jelas, kuil kedua ditujukan bersama-sama untuk Athena dan Artemis selain Aphaea.

Di sekeliling kuil ini terdapat banyak ukiran patung dan arca wira-wira Perang Troya (Trojan). Pedimen sebelah timur menggambarkan Perang Troya Pertama manakala pedimen sebelah barat mempamerkan Perang Troya kedua. Lamun, kesemuanya telah diselamatkan ke muzium.

Monday, October 25, 2010

Semangat Kita


Semangat kita
Bukan datang dari
angka 46
Bukan datang dari
seorang perempuan

Semangat kita
Datang dari yang mentakdirkan
tahun 46
Dari yang menciptakan
lekuk lengkung tubuh perempuan

Tuesday, October 12, 2010

Persian Bath

30 Tahun Revolusi Islami XXXV

Tunggu habis Ramadan baru siar yang ini ...

Sebagai memenuhi janji dan mengambil hati Encik Mojiri, kami pergi juga ke rumah mandi yang dikatakan miliknya di Esfahan. Sampai di situ, kami terlebih dahulu kami disambut oleh Imam Ali. | Ruang menyambut tetamu hamam yang tipikal, ada kolam dan air pancut di tengahnya dan inilah tauke yang menjaganya. Besar. | Di dalam hamam, anda mesti dan hanya boleh memakai kain ini sahaja. Pakcik yang berbaring itu menerima full course di mana tukang mandi menggosok seluruh tubuhnya -sampai terselak dan terbogel- dengan berbagai ramuan rempah-ratus mungkin. Dan bila air disiram, daki-daki hitam kelihatan mengalir. Adapun kami hanya menerima basic course sahaja-sabun biasa sahaja tanpa gosok lagipun gelilah. Maklumlah free. Kemudian kami menggosok tumit dengan batu untuk melicinkannya sehingga merah seperti tumit anak dara | Selepas itu kami menikmati teh yang diceritakan dalam edisi lepas dan rambut-rambut kami pun jadi kembang macam artis-artis Korea.

Monday, October 04, 2010

Abah dan Air Tuak

Sudah ghalib saya lewat menceritakan kisah-kisah bulan puasa. Sekarang sudah pun masuk bulan raya malah sudah hampir tamat pun. Kisah ini memang sangat lewat diceritakan. Sudah 30 tahun terlewat.

Waktu itu mama dan abah baru bernikah tapi mereka tinggal berjauhan. Mama mungkin sedang mengajar di Sekolah Menengah Kubang Keranji (sekarang Long Gafar) atau Sekolah Menengah Chung Hwa. Abah pula mungkin masih bekerja sebagai pengurus di Felda Jengka 12 atau sudah bekerja di Maybank di Kuala Lumpur. Ketika itu sudah hujung puasa, jadi abah balik beraya di kampung.

Ayah Li menjemput abah di padang kapal terbang. Waktu berbuka pun sudah hampir. Ayah Li berkata, "Kita pergi buka puasa di rumah Cikgu Awang Matlah." Cikgu Awang Mat ialah member seangkatan Ayah Li. Ketika sampai di rumah itu sudah pun ada dua tiga orang lelaki. Memang ada majlis berbuka rupanya. Masing-masing pun duduk bersila di atas lantai di depan safrah. Orang sudah benar-benar mahu azan maghrib.

Tiba-tiba salah seorang tetamu berkata, "Mana tuaknya?! Orang nak berbuka dah ni!" Terdengar tuak abah jadi terkejut. Tak sedap duduk. Dalam hati berkata, "Cih! Celaka orang Kelantan. Tak padan dengan kepiah bercotek-cotek atas kepala. Berbuka puasa dengan TUAK?!" Ayah Li yang menyedari keadaan abah yang nampak tak sedap duduk segera menyigung perlahan rusuk abah seraya berkata lembut sambil tersenyum, "Nira, nira."

Abah pun jadi lega ...

Maka begitulah, orang luar memanggilnya nira sedang orang Kelantan memanggilnya tuak yang memang mudah disalah erti. Ada tuak kelapa dan ada tuak nipah, malah di gurun Siwa di Mesir sana pun ada pula tuak kurma.

Tuak memang minuman favourite orang-orang Kelantan untuk berbuka puasa kerana di bulan ini orang memang mengabeng seperti mana yang diterangkan sebelum ini. Orang-orang akan berlingkung di gerai mana yang ada menjual air tuak seperti mana orang Mesir berkerumun di keliling orang yang menjual air tamr, subia atau irq sous.

Lamun, bulan puasa baru-baru ini gerai air tuak menjadi sunyi. Orang-orang moden sudah tidak menggemarinya lagi ...

Monday, September 13, 2010

Perutusan Eid

Amermeftah dan krew Petaijeruk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Mudah-mudahan Gusti Allah menerima segala puasa kita, solat kita dan qiyam kita. Njalok ngapuro seng akeh-akeh.

Juga mengambil kesempatam mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang bakal dan telah bernikah. Moga-moga diberkahi. Doakan kanda kalian yang tua ini agar lekas-lekas.

Thursday, September 09, 2010

Colek Kerang

Bulan puasa beginilah masanya orang berlagu, mengabeng dan sebagainya. Mulut mula mengarut terasa nak makan segala benda. Ketika inilah muncul colek kerang mengubati lecah-lecah mulut orang berpuasa. Aku mula sedar budaya ini ketika di sekolah menengah. Orang biasanya membeli dan memakan colek kerang selepas balik terawih di balaisah. Kerang rebus atau bakar yang dicelp di dalam sos pencicah. Mmmm~ 'sedap menenggak' (terlenggak?) kata orang Kelantan atau 'pecah kepala' kata orang Kedah sampai mak mentua lalu di belakang pun tak sedar.

Berhari rayalah dengan selamat kerana pada malam raya ini, macamnya Jepun telah kembali mendarat di Kota Bharu ...

Tuesday, September 07, 2010

Galatasaray Spor Kulübü

Tengah-tengah berlayar itu, terjumpa pulau buatan manusia. Rupa-rupanya 'Nadi Galatasaray'. Dah memang berlayar tepi tebing kawasan Galata pun (adakah Galatasaray ialah Istana Galata?).

Galatasaray S.K. ialah kelab bola sepak Turki yang paling berjaya. Tertubuh sejak 1905 dah banyak kali memenangi piala. Zaman aku cuma tengok bola dengan ekor mata dulu -zaman Ajax Amsterdam pun masih sangat power, Galatasaray memang hebat. Setiap kali Champions League pun masuk. Menyebabkan aku sikit kagum. Ada juga kelab negara Islam/separa Asia yang masuk.

Tapi sejak aku mula tengok bola dengan mata yang terjegil ni, Galatasaray sudah tak kedengaran lagi di persada Eropah. Musim lepas jiran mereka Besiktas masuk tapi tak mampu pergi jauh. Musim ni jom kita tengok sejauh mana Bursaspor boleh mara -kelab dari tempat budak-budak pergi main ski di Turki. Musim ini jugak Ajax kembali.

Skuad yang digelar 'Kuning Merah' ini -kalau Selangor 'Merah Kuning'- bukan setakat ada bola sepak saja tapi ada juga bola tampar, bola keranjang, bola keranjang atas kerusi roda, olahraga, bridge (main terup? kira sukan gak ke?), ekuastrian (tungang kuda), mendayung, belayar, renang, polo air dan lumba kereta. Tapi yang paling utama tentunya bola. Kiranya memang kelab besarlah Galatasaray ni. Patutlah boleh ada kelab terapung siap.

Monday, September 06, 2010

Nekbat

Masa mama mengandungkan aku dia mengidam kuih ni. Tapi mana nak cari kuih ni kat Iowa? Kuih penuh tradisi ini cukup sinonim dengan bulan puasa tapi boleh saja jumpa hari-hari atas pasar. Sekali pandang nampak macam kuih bahulu kena rendam. Tapi saiz asalnya lebih kecil. Kira-kira sebesar hujung-hujung ibu jari tangan begitu. Bahannya pun lain. Selepas disira baharulah kuih ni berkembang menjadi sebesar kuih bahulu. Biasanya orang jual yang siap disira kadang-kadang boleh balik sira sendiri di rumah. Kuih yang cukup sesuai untuk warga tua.

Kaifiyat sira

Mudah saja. Kaedah yang piawai untuk menyira pisang atau labu punggi. Mula-mula masak air gula. Masukkan daun pandan dan bunga cengkih. Tunggu sehinga mendidih kemudian masukkan apa-apa yang hendak disira. Untuk pisang atau labu mungkin boleh dimasukkan awal-awal sebelum menggelegak. Untuk labu mungkin ada persediaan khusus sebelum menyira seperti direndam dalam air kapur lebih dulu.

Makcik-makcik suri rumah sila betulkan saya yang masih bujang ini.

Sunday, September 05, 2010

Pulau Aegina

Kami ke Pulau Aegina (E-Yee-Nuh). Pulau paling besar yang kami singgah.

Dalam perjalanan ke situ, angin cukup kencang sampai merangsang bowel movement.

Pulau Poros yang ditinggalkan ...

Satu-satunya tiang yang masih tegak di tokong untuk Apollo di tebing Aegina.

Aegina sangat terkenal dengan pengeluaran kacang cerdik -pistachio. Pokok-pokok kacang cerdik yang ketika bukan musimnya, kering. Tapi bas bergerak laju sangat.

Nun di seberang, Pulau Salamis yang paling besar di teluk Saronik. Menjadi saksi pertempuran penentu yang hebat antara persekutuan kota-kota Yunani dengan Empayar Parsi. Pertempuran yang menyebabkan tentera Parsi berundur ke Asia dan mereka tidak lagi membuat cubaan untuk menakluk Yunani. Dalam pertempuran ini, pihak Yunani menggunakan taktik mengumpan kapal perang Parsi yang banyak ke selat yang sempit dan menyebabkan kapal mereka sukar dikawal.

Dalam Trojan War, Zeus memerlukan tentera untuk berperang bagi pihaknya lalu menukarkan semut-semut menjadi perajurit bertangan enam dan memakai perisai hitam (myrmidon). Oleh sebab Pulau Aegina tidak berpenghuni, ia dipilih sebagai tempat perkumpulan dan latihan tentera semut ini. Tentera-tentera ini dipimpin oleh hero perang itu, Achilles.

Anarki di Athina L

Saturday, September 04, 2010

Surat Halus

Lepas zohor Mak Piah akan tolak daun pintu buka luas-luas. Kemudian dia akan duduk di atas bendul dekat beranda sambil tengok kereta sebuah dua yang lalu-lalang. Waktu begitu jalan memang lengang. Sekali-sekala ada orang yang menggateh basikal lalu menyapanya. Kadang-kadang ada orang muda yang datang menegurnya yang dia sendiri pun tak kenal.

Telah puas, Mak Piah akan capai 'surat' dan membacanya di mana-mana tempat yang ditandanya sebelum ini. Tapi angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup selalunya memberatkan mata. Jadi Mak Piah akan berbaring mengiring mengkerekot di muka pintu. Lagipun memang sedap tidur di bawah atap bata yang dingin.

Kadang-kadang dia akan kata, "Halus sangat surat ni, mak tak nampak mata tak bergari dah, acu pegi ambil surat yang kasar sikit."

Orang Kelantan memanggil naskhah al-Quran sebagai surat sebagaimana orang Arab memanggilnya dengan mushaf. Ketahuilah olehmu bahawasanya ada bezanya al-Quran dan naskhah al-Quran.

Macam yang kita dah tahu, mushaf ada dua jenis. Quran Karim yang pakai rasm Uthmani dan Quran Majid yang orang tua-tua lama lebih biasa. Kalau nak ikut rasm Uthmani lebih mudah dibaca dengan tajwid yang betul kalau kena sistemnya. Tapi untuk orang tua-tua lama kadang-kadang tulisan Uthmani itu nampak halus dan nipis berbanding dengan Quran Majid yang tulisannya tebal-tebal. Tak nampak nak baca. Lagi pula, orang tua-tua lama kadang-kadang 'tak kena' nak baca surat halus sebab sistem barisnya yang berbeza dengan surat kasar.

Kadang-kadang Mak Piah akan bertanya pada cucunya, "Mengaji sekerat mana dah? Wa ma ubarri'u?"

Ini cara orang tua lama mengecam juzuk dalam al-Quran. Mereka kadang-kadang tak tahu yang mana satu juzuk 10 atau 15 atau 28. Tapi mereka cam dengan kepala ayat untuk setiap juzuk. Itu pun jasa Quran Majid yang menebalkan baris pertama setiap awal juzuk. Contohnya, juz alif lam, juz sayaqu, juz wa ma ubarri'u, juz walmuhsona, juz lantana, juz tilka ... Orang tua dulu-dulu mengaji tak tinggi mana. Tak masuk sekolah tahfiz pun. Tapi ayat Quran meniti di bibir. Kalau dibaca kepala ayat apa-apa nescaya boleh disambungnya sampai habis. Malah tahu pula kalau nak cari barang hilang kena baca ayat yang mana.

Monday, August 16, 2010

Cay

There is something peculiar about Iranian tea. Sudahlah tulis Inggeris setakat tu, aku cuma nak guna perkataan 'peculiar' tu saja.

Pertama, pada gulanya. Gula di rantau ini dari Mashhad sampai Edirne semuanya dalam bentuk ketul-ketul besar. Cuma di Turki, gulanya dalam bentuk yang lebih moden. Gula pasir dimampatkan dalam bentuk kiub-kiub kecil. Di Iran lebih tradisi, gulanya dari ketul gula yang besar kemudian diketuk-ketuk menjadi ketulan kecil. Pergi kedai minta gula sekilo dari tauke, nanti tauke ketuk-ketuk gula kasi.

Kedua, cara meminumnya. Ambil seketul gula. Masukkan kedalam mulut. Kemudian minumlah teh seperti biasa. Orang Iran tidak membancuh gula di dalam teko atau gelas mereka. Sebaliknya teh akan menjadi manis apabila bercampur-aduk, berselisih dan bergelumang dengan gula yang dikemam di dalam mulut terlebih dulu.

"Slruuup ... Ah! Sedapnya nikmat teh ni," kata Israk.

Friday, August 13, 2010

Bachelor Party untok Israk V


Sebuah minisiri Bursaid

Empat orang bujang tua (semua masih bujang ketika gambar diambil) berjalan lenggang-lenggang makan angin petang sambil sembang intai-intai mana-mana hotel di pinggir Suez untuk Israk bulan madu.

Thursday, August 12, 2010

Haja Fatma


Amermeftah dan Petaijeruk mengucapkan tahniah kepada seluruh umat Islam dengan kemunculan bulan Ramadhan. Mudah-mudahan sepanjang tahun kalian baik-baik saja.

Thursday, August 05, 2010