Tuesday, December 04, 2007

Jelajah Jordan V


Jethro and The Dwellers in the Wood

Di bawah lembah terpencil yang indah, yang mana kami terpaksa menuruni jalan yang panjang lagi berliku-liku, yang tiada apa pun di situ kecuali gunung-ganang dan pokok-pokok tirus di keliling, bersemadilah seorang nabi Allah. Dan lembah itu pun digelar orang Wadi Syu'aib.



Nabi Syu'aib ialah salah seorang nabi berbangsa Arab selain Hud, Saleh dan Nabi kita, dan dikirim kepada kaumnya, Madyan. Madyan ialah putera Nabi Ibrahim Khalilullah. Maka secara penaakulan mantiknya, Nabi Syu'aib ialah keturunan Nabi Ibrahim.



Ada riwayat yang mengatakan Nabi Syu'aib buta matanya dan butanya itu ialah disebabkan berat ia menangis lantaran rindukan Allah. Tetapi majlis fatwa negeri Kedah menolak pendapat ini kerana nabi sepatutnya sempurna sifat lahiriahnya. 

Nabi kita menggelar Nabi Syu'aib sebagai Khaatib Ar-Rusul atau Jurucakap Para Anbia' kerana kepetahannya, baik bahasanya dan indah kata-katanya dalam menyebar dakwah.



Kaum Madyan juga digelar Allah dalam kitabNya, Ashabul Aikah (the dwellers in the Wood). Aikah ialah kawasan padang pasir yang ditumbuhi pohon-pohon dari jenis pokok tirus (softwood).



Antara angkara kaum Madyan:
  • Menyembah Al-Aikah, padang pasir itu atau salah satu pokok di dalamnya.
  • Menipu dalam jual beli. Mengurangi sukatan dan timbangan. Mengambil banyak memberi sedikit.
  • Kaum pertama yang membuat tol. Mereka menyekat orang-orang di jalanan dan mengambil satu persepuluh daripada harta mereka.
  • Menjadi samseng jalanraya.
  • Menentang dakwah Nabi Syu'aib dan menghinanya.



Onar kaum Madyan dibalas dengan panas mentari yang terik sehingga terbakar kulit dan kering kerongkong. Ketika itu tiada teduhan yang dapat melegakan. Kemudian Allah kirimkan segumpal awan hitam yang mana mereka berlari-lari berteduh di bawahnya. Apakala  mereka di bawah itu Allah jatuhkan percikan api daripada awan itu berserta satu suara yang dahsyat (guntur) dan dengan keras Allah goncangkan bumi di bawah kaki mereka sehingga mereka hancur luluh sepertimana yang disifatkan Al-Quran sebagai, seolah-olah mereka tidak pernah diam di situ.



Nabi Syu'aib ialah bapa mentua Nabi Musa dan mereka hidup selepas Nabi Yusuf. Ada riwayat yang mengatakan Nabi Syu'aib dan orang yang beriman meninggalkan Madyan dan berpindah ke Makkah. Mereka wafat dan dimakamkan di barat Makkah.

Adapun Ust Hazimin yang memandu kami berpendapat Nabi Syu'aib, makamnya, kaum Madyan dan peristiwa azab mereka (The day of Gloom) berlaku di wadi itu berdasarkan ayat Allah yang menyatakan tempat mereka tidak jauh daripada tempat kaum Nabi Lut (Hud: 89). Satu lagi pendapat mengatakan ia terletak di Madyan berhampiran Madain Salih di timur teluk Aqaba di Arab Saudi. Tetapi jarak Madyan dengan Laut Mati ialah 400km sedangkan jarak Wadi Syu'aib dengan Laut Mati hanya 60km.

Allahu A'lam.

No comments: