Thursday, December 27, 2007

Dari Perlembahan Nil ke Dataran Syam VIII


Nah! Boleh jadi inilah entri terakhir dari Jumhureyya Suriyya El-Arabiyyah.

Masing-masing tidak tahu ke mana mahu menenangkan perut. Wardah Syamiah pula jauh di Medan Marjeh. Maka Hazri dah Pak Ten dikirim sebagai peninjau. Setelah mengintai di celah-celah pinggir Souq Hamediyya itu, mereka pulang dengan khabar gembira. Ada sebuah kedai yang bernama Kebablek.

Masing-masing takut nak masuk. Gaya semacam kedai mewah. Dengan lampu malap, muzik-muzik ringan, pelayan yang memakai sut dan napkin tersangkut di tangan. Bila sudah duduk di satu meja, Munir kata,

"Ni sorang ready kat tepi satgi nak lari pi tukar duit."

Takut duit tak cukup...



Sebagai pembuka selera, kami makan toushka. Hampir serupa dengan hawawshi tetapi lebih tipis dan rangup. Di depan Mede Sapar ialah nasi kabsah. Mede Sapar memesan makanan paling biasa kerana mengikut katanya Iqbal, Mede Sapar tidak biasa makan banyak dan yang aneh-aneh. Pinggan bulat di depan Munir yang belum terusik itu diisi dengan hummus, pes kacang kuda yang dicampur sedikit tahina (pes bijan), perahan limau dan bawang putih. Hummus di dataran Syam ibarat fuul di lembah Nil dan hummus hanya banyak muncul di Mesir ketika Ramadhan untuk sahur. Aku sedang menikmati basmashkat. Nasi bercampur daging cincang yang disalut daging (o.O). Mangkuk di depan aku penuh dengan Kebbeh Labaneh. Kibbeh ialah bebola daging cincang bercampur gandum burgul. Dihidang mentah, goreng atau di dalam yogurt. Akhirnya kami tutup dengan meminum kopi Arab percuma yang dituang oleh pakcik tua berpakaian tradisi yang ranggi. Cawan kopinya kecil molek tetapi memang patut kerana kopinya pahit dan pedas. Banyak halia?



Pak Ten seorang sahaja memesan teh. Aku masih utuh dengan prinsip tidak memesan 'makanan yang boleh dapat di rumah' di kedai-kedai. Kami tidak mencuci mulut di situ.

Sambung berjalan di dalam pasar Hamediyya. Teringat kata-kata Ust Nasir,
"Makanlah ais krim, makan ais krim musim-musim sejuk ni best."
Kebetulan pula belum mencuci mulut, kami singgah di sebuah kedai ais krim yang memang banyak di pasar itu. Kedai Ais Krim Bouzah. Kedai pro-Hezbollah yang menggantung bendera Hezbollah di dalam kedainya... Tidak lupa juga gambar pak long mereka (Bashar Al-Asad). Kamceng sungguh.



Bila sudah lama pulang ke tanah Nil, baharulah aku teringat, kami sebenarnya telah makan ais krim berperisa Tutti Fruitti yang tidak sedap itu. Berjalan punya fasal, lupa rasa. Ais krim itu digolek-golek di atas kacang cerdik.

Matahari pun masuk dan kami pun pergi bertemu tuhan di hadapan mahkamah Damsyik. Di Masjid Mawlawi. Masjid yang aku kira cukup lengkap. Tandas dan tempat wudhuk punya sakhanah dan tempat letak kasut pula ialah lokar yang disediakan kunci.



Selepas itu, Munir yang banyak mengaji kitab itu mengeret kami ke kedai buku. Mahu cari kitab. Di situ aku membeli satu-satunya tanda mata dari Damsyik selain stokin yang dijual di jalanan. Kitab Fadha'il As-Syam.

Setelah habis memborong, kami pulang ke Bab Srijeh. Tetapi sebelum itu ramai-ramai minum freez. Freez ialah farawlah di sisi orang-orang dataran Syam. Dalam perjalanan kaki ke rumah Ust Nasir, kami jalan-jalan di dalam pasar basah Bab Srijeh yang kering. Benarlah tanah ini tanah barakah. Banyak sekali hasil-hasilnya dari buah-buah yang gemuk-gemuk dan cantik-cantik hingga ke daging-daging ternakan dan ikan-ikan yang besar. Yang menarik perhatian aku ialah mukhallil atau turshi mereka. Kalau di Mesir ia terbiar terendam di dalam baldi tetapi di sana ia tersusun rapi dan warnanya cukup mempesona. Sayang sekali tidak diambil gambar.



Tiba di rumah, nampaknya ada tamu. Di depan mereka terhidang sejenis lagi hidangan. Namanya Sofihah. Semacam pizza yang serba ringkas. Di sebelah kiri ialah Sofihah dengan tomato dan cili dan di sebelah kiri ialah sofihah dengan jubnah (keju). USt Nasir sangat bagus. Dia sediakan yang terbaik sahaja untu tamu-tamunya. Katanya,
"Ini ana beli dekat kedai nombor dua (nombor dua paling sedap) sebab kedai nombor satu dah tutup."
Setelah makan dan berkenal-kenal dengan tamunya, Ust Nasir belum puas hati dan kami diheret keluar lagi ke beberapa tempat yang belum dituju...

Nampaknya belum sampai yang akhir lagi...

No comments: