Thursday, December 13, 2007

Tapai


Sudah empat hari di dalam bulan yang mengandung haji. Bererti kurang seminggu lagi ummah ini akan meraikan garebek mereka yang paling besar dan paling penghabisan buat tahun ini. Kalau di korok kampung aku itu, ia dirayakan dengan penuh gilang-gemilang sepatut dengan nilainya di sisi agama mengikut ajaran Tuhan dan sunnah sang Rasul seperti yang dikerja buat oleh orang-orang di tempat aku menumpang dagang inilah. Maka cuti pun dipanjang-panjangkan, ziarah-menziarah tetap berjalan dan adalah setengah-setengah masjid itu bertakbir seiring serentak seluruh jemaah tanpa berganti-ganti takbirnya dengan imam dan makmum.

Di kampung lamanku itu, kalau garebek sudah satu dua minggu hendak muncul maka perempuan-perempuan pun mulailah sibuk ke atas pasar mencari beras, membeli ragi, mengerat atau memetik daun demi membuat hidangan khusus yang muncul pada waktu garebek di negeri itu. Ia pun dipanggil orang tapai. Pun, untuk garebek haji mungkin sekali tapai tidak dibuat orang lantaran tenggelam dengan daging gerban itu sendiri dan daging pula mendapat tempat tinggi di hati orang-orang negeri itu. Makanan berprestij dan amat digemari. Adapun tapai itu ada dua macam, tapai ubi kayu dan tapai beras pulut. Tapai ubi kayu boleh ditemukan setiap hari, di pasar-pasar atau kedai pisang goreng (kerana tapai ubi juga digoreng seperti pisang) tetapi tapai beras pulutlah yang jarang diperbuat orang dan hanya muncul pada waktu gerebek. Lamun, pada zaman yang sudah baru ini apa pun boleh ditemukan bila-bila masa.



Tapai hasilan anak Melayu Mesir

Komposisi.
  • Beras pulut
  • Gula
  • Ragi
Kaifiyatnya.

Membikinnya gampang sahaja. Mula-mula sekali tanaklah pulut sampai masak semacam biasa. Kemudian setelah masak, tunggu sehingga sejuk sedikit. Selepas itu, repihkan ragi dan taburkan rata-rata. Gaulkan. Kemudian masukkan gula dan gaul lagi. Setelah itu, bungkuslah tapai itu dan susun di dalam besen. Tudungkan besen dan simpan di mana-mana. Kebiasaannya selepas dua hari, 'masaklah' tapai itu dan bolehlah dimakan.

Peringatan.
  • Nisbah pulut dan ragi ialah sekilo beras dengan sekeping ragi. Orang tua-tua lama memakai sukatan cupak.
  • Menjadi kepantangan orang tua-tua lama, kalau yang menggaulkan pulut dengan ragi mestilah orang yang tidak garang, tidak mudah marah dan lemah lembut serta manis mukanya. Maka barulah tapai itu manis dan menjadi.
  • Tapai dibungkus dengan daun pisang atau lebih tradisi lagi dengan daun pokok getah. Kalau dibungkus dengan daun pokok getah boleh dibungkus tiga tapai setangkai.
  • Tapai yang belum masak disimpan di tempat yang gelap dan tersembunyi seperti di bawah katil, di atas para atau di bawah meja sehingga masak. Kepantangan orang tua-tua lama juga supaya tapai yang disimpan tidak di heboh-hebohkan di mana diletaknya.
Di korok kampung aku, tapai disebut tape (tah-peh) dan jangan tertukar dengan tapir. Setelah aku halusi, rupanya tapai itu memang dibuat orang di seluruh Nusantara. Bagi pelajar-pelajar Melayu di Mesir khususnya, kalau tidak dapat beras pulut, boleh saja diganti dengan beras jemah Arab. Ragi ada dijual di koperasi Rumah Kelantan dengan harga dua genih sekeping.

Selamat mencuba dan selamat menyambut garebek korban/haji...

3 comments:

weAr said...

4 taun doh aku dop jjupo mugo gonih..

sis_aflah said...

salam...

tapai pulut dan tapai ubi kayu biasa akak tak makan, tapi tapai ubi kayu yg goreng akak makan.. :)

Anonymous said...

adei.. lmbt nk paham. ayat berbelit2.