Sunday, May 30, 2010

Bachelor Party Untok Israk III

Sebuah Minisiri Bursaid

Jalan-jalan dengan orang tua ni, sightseeing tu bukan yang utama. Apa yang utama ialah sembang-sembang dan event yang paling besar ialah:
Makan.

Berjalan dengan abang Munir, makannya tentulah yang kelas-kelas saja. Nak nak pulak zaman beliau tengah menggilai salad. Order Chef salad sepinggan LE25 tapi puas hati beb. Kenyang. Macam tak payah makan benda lain dah. Dengan hirisan daging serta ayam dan yang paling best ialah ketulan mozarella sebesar kotak mancis. Pergh. Sayur tu memang adalah dah nama pun salad.

Kat sini agaknya, first time Kang Mede ngan Bidil makan mendalah merepek yang mahal. Hasil asuhan bang Daus ngan bang Munet.

Milk Chick

Children Mails

Wednesday, May 26, 2010

Cerita Menara Jam Poros

Saya bukan nak cerita pasal asal-usul menara jam Poros ini sebab tak tahu sangat pun. Cuma dalam berjalan itu ada satu pasangan yang kami bajet kalaupun tidak Jepun, mungkin Korea, Tanah Besar Cina, Hong Kong atau Taiwan.

Tak banyak tempat menarik di Pula Poros jadi semua pun panjat bukit ke menara jam. Di situ ada seketul batu besar. Saya panjat naik berdiri lama-lama. Pelancong lain semua jeling-jeling kat saya. Saya pun cakap kuat-kuat sama I.K. Tan, "Semua orang mesti jaki tengok aku atas batu ni kan? Dia orang mesti teringin nak naik atas batu ni nak posing ambik gambar jugak kan? Hahaha, aku nak berdiri atas ni lama-lama nak tengok macam mana."

Tapi tiba-tiba dengar satu suara dari belakang dalam Bahasa Melayu, "Boleh turun tak?" Tengok-tengok minah yang kami bajet dari Asia Timur tu yang cakap. Aiyyah! Malu siot. Dia faham cakap Melayu rupanya. Orang sekampung rupanya. Dengan segan-segan aku turun, "Boleh, boleh, of course, naiklah, sila-sila." Dia pun balas, "Joking."

Malu sial. Silap Bajet.

Anarki di Athina XLVII

Tuesday, May 25, 2010

18 Cakar Penunduk Naga


Ketika Safwan Roslan giat menghentam hiburan Korea disamping menganjurkan hiburan Jepun sedang Hafizadam pula tekun mempromosikan hiburan Korea secara leluasa, saya telah selesai mengkhatam sebuah drama bersiri Tanah Besar Cina. Minat yang muncul sejak bangku sekolah tetapi terpaksa ditinggalkan sejak datang ke Mesir lantaran ketiadaan sumber.

Tian Long Ba Bu atau Demi-Gods and Semi-Devils atau versi komiknya oleh Tony Wong, Wira-wira Keinderaan, berasal dari sebuah wuxia -novel fiksyen Cina tentang wushu dan advencer para pendekar- yang ditulis oleh penulis prolifik dalam genre wuxia, Jin Yong. Pada saya beliau boleh dianggap sebagai Stan Lee versi timur kerana berhasil mencipta 'universe' beliau sendiri dalam 15 buah novelnya.

Setelah menekuni drama Tian Long Ba Bu saya telah mempelajari beberapa perkara.
  • Pertama, dalam wuxia orang Cina tak pandai membezakan jantina sampai boleh tertipu dengan perempuan yang diberi pakai baju lelaki dan topi saja.
  • Kedua, pendekar-pendekar Cina sangat kuat mujamalah. Contohnya kalau dipuji, "Wushu tuan sangat hebat," maka akan dibalas, "Tuan terlalu memuji saya."
  • Ketiga, kepentingan jemaah dalam dunia wuxia. Contohnya dalam sebuah episod Tian Long Ba Bu, anak-anak murid Wuyazi merayu supaya Xuzhu menerima mereka masuk dalam Carefree Sect kerana mengikut mereka sesiapa yang tidak mengikut mana-mana kumpulan akan dipandang hina dalam dunia wuxia.
  • Keempat, sejauh mana hebat pun wushu anda, anda tetap akan kalah dan hidup anda bakal musnah di tangan cinta. Sepertimana yang berlaku ke atas Duan Zhengchun dan para kekasihnya serta Wuyazi dan adik-beradik segurunya dalam Tian Long Ba Bu.
Wallahua'lam.

Saturday, May 22, 2010

Gunbad Taj-ol-Molk

30 Tahun Revolusi Islami XXXI

Gunbad-e Khaki atau Kubah Tanah ini dibina oleh Taj al-Mulk pengganti Nizam al-Mulk dan penasihat utama bonda Sultan Malik Shah. Keadaan kubah ini yang kelihatan berdiri sendiri dan kedudukannya yang terletak sedikit terkeluar dari kawasan masjid menunjukkan ia boleh jadi sebuah kutubkhanah, tempat ibadat peribadi atau ruang solat wanita yang mungkin berkait rapat dengan hubungan Taj al-Mulk dengan bonda sultan.

Walaupun kubah ini bukanlah kubah utama dan saiznya lebih kecil berbanding Kubah Nizam al-Mulk tetapi ia menjadi tarikan utama di masjid ini dan dianggap sebagai karya agung dalam senibina Turki Seljuk. Malah ukurannya -keharmonian antara ukuran menegak dan melintangnya- dianggap telah mencapai kesempurnaan matematik dan menjadi leluhur kepada senibina Gothic di Eropah pada zaman selepasnya.

Berbanding dengan kubah selatan yang terpaksa mengikut dan mengekalkan hiasan stucco pada dinding kerana dibina di atas binaan yang lebih lama, kubah utara mendapat sedikit kebebasan dalam menghias walaupun hanya menggunakan susunan bata yang beraneka arah. Kubah di utara ini dibina setahun dua selepas pembinaan kubah di selatan sana dan dikatakan ia dibina Taj al-Mulk untuk menandingi bahkan melampaui kubah pesaingnya Nizam al-Mulk.

Tuesday, May 18, 2010

Taman Orang-orang Baik


Beli kohl dekat atar. Tersangkut dengan makcik yang membeli-belah. Mula sedar lelaki mesti banyak sabar dengan perempuan. Mereka banyak membeli, banyak tawar-menawar, banyak tak puas hati, banyak bertukar fikiran.

Makcik membeli-belah memakai purdah. Ada anak dara kecil pun sudah pakai purdah. Selesai. Dapat kohl mahu bayar. Dekat kaunter ada pakcik sedang membayar juga bawa anak dara kecil sudah diberi pakai tudung.

Ketika membayar pakcik pun menunjukkan pada anaknya, anak makcik yang pakai purdah. Anaknya tunduk senyum tersipu-sipu kerana faham maksud bapaknya, "Hah tengok, adik tu pun dah pakai purdah."

Monday, May 17, 2010

Tembok Kota Kairo

Ketahuilah olehmu, Kairo juga suatu ketika dulu ialah sebuah walled city. Tiap kali naik teksi atau bonceng motor, akan perasan tanah kuburan yang luas di tepian jalan mula dari Sayeda Aisha sampai Sharia Salah Salem.

Untuk kawasan Sayeda Asiha ia dipanggil Qarafa al-Sughra atau Southern Cemetery. Bagi yang berada di sepanjang Sharia Salah Salem ia dipanggil Qarafa al-Kubra atau Nothern Cemetery.

Padahal zaman dahulu, kuburan diletak jauh di luar kota. Maka itu dapatlah kita baca bahawa kawasan sekitar Sayeda Aisha dan sepanjang Salah Salem sebenarnya sudah berada di luar kota Kaherah yang lama.

Adapun Kota Kaherah lama atau Kaherah Fatimiyyah meliputi kawasan daripada Bab Zuwayla di selatan, Bab al-Futuh di utara, Sharia Port Said di barat dan Sharia Salah Salem (lebih kurang) di timur. Bagi saya, inilah kota Kaherah sebenar.

Gawhar al-Siqili -jeneral Fatimiyyah yang menakluk Mesir, berbangsa Greek dari pulau Sicily yang ketika itu sebahagian Khilafah Fatimi- mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan kota Kairo.

Pun begitu pada zaman ini tembok yang dibina beliau hanyalah daripada bata lumpur sahaja. Ketika ini Kairo terkenal dan diketawakan orang sebagai sebuah ibukota yang tak punya benteng yang ampuh.

Dengan ancaman daripada Empayar Turki Seljuk, muncul Badr al-Gamali -jeneral dan wazir baru- yang membina semula dan mengubahsuai tembok Gawhar dengan menggunakan bahan baru iaitu ketul batu padu.

Pada zaman Salahuddin, beliau membina sebuah kubu di hujung bukit Mukattam dan menguatkan lagi tembok-tembok Fatimiyyah. Beliau juga membuat rancangan untuk menyambung benteng dari Kaherah Fatimiyyah ke kubunya dan seterusnya memagari seluruh Kaherah. Lamun, selepas kewafatannya rancangan itu tidak sditeruskan oleh para penggantinya.

Kalau anda naik bas ke Arma, kalau lencongan sebelum Medan Geish itu masih wujud, anda akan melalui sepanjang tembok utara Kaherah yang mengandung tembok dari era Fatimiyyah dan Salahuddin.

Friday, May 14, 2010

Jumaat

Jumaat yang gelap-gugup
Walau mentari cerah-ceraca
Tuhan kekal hidup
Takkan mati tetap ada

Thursday, May 13, 2010

Rona Bosphorus

Mengadap Sultan Setambul XXXI

Akhirnya kami pun buat benda yang semua orang pun akan buat kalau ke Turki. Naik kapal lalu Selat Bosphorus ...

Geng empat orang ambil gambar dengan latar Yeni Camii waktu kapal baru lepas.

Waktu tu mendung, hujan rintik-rintik, angin deras, sampai rambut Ayep dah jadi macam Trojan. Sejuknya macam nak mati. Tangan pun tak rasa apa macam kat atas Sinai.

Kerja-kerja memukul gambar pun bermulalah. Antara posing yang paling tipikal untuk tempat macam ini ialah posing merenung masa depan macam yang Mat buat ni.

Ayep pulak posing macam dalam Titanic. Ke macam Amer el-Bahr? Agaknya asalnya nak kasi baju dengan skaf terbang berkibar-kibar tapi tak cukup labuhlah Yep.

Tengah tengok gambar yang orang tolong ambilkan, puas hati ke tidak. Atau tengah mengarah orang supaya ambil gambar macam aku buat ni, biar masuk itu ini. Muka aku tengah tahan beku.

Banyak betul posing Ayep. Ini dia tengah buat posing macam dalam potret rasmi Sultan Abdumecid I. Padahal akulah yang tukang mengarah.

Remos Mat jadi macam itu sebab angin kuat. Jasa dia orang mintak pukulkan gambar lepas seorang-seorang berlatar masjid inilah aku tak dapat shot masjid ni versi OCD.

Sudahnya, semua tak tahan sejuk turun bawah masing-masing genggam cawan isi teh panas.

Kapten kapal yang sikit diskriminasi atas orang Asia. Kalau kat orang putih semua dia cerita. Kalau kita tanya dia tak layan. Tapi masuk gambar nak pulak. Entah apa Asle cakap kat dia.

Kalau jalan-jalan macam-macam benda boleh jadi macam-macam orang boleh jumpa. Ada saja advencernya.

Tiga orang minah saleh ni baru balik dari Iran -kami belum pergi lagi waktu ini. Dia orang dari Sepanyol. Dalam liburan dia orang ni, tak seorang pun bawak kamera. Katanya biar memori tu tersimpan dalam kepala saja. Itu lebih indah.

Makcik yang tengah tu tak hisap rokok sigaret dari kedai. Banyak bahan kimia katanya. Jadi dia hisap rokok gulung sendiri. Tin putih kat depan dia tu buat simpan tembakau.

Tuesday, May 11, 2010

Bachelor Party untok Israk II

Sebuah minisiri Bursaid

Masjid Besar Port Said. Tak pasti apa nama sebenar. Jamak di situ. Parkir kereta pun dekat situ. Secara peribadi, aku memang rimas (alergi) dengan masjid-masjid senibina neo-Mamluke. Nampak palsu, kering, tak ada effort. Kecuali Masjid Nur di Medan Abbasiya yang kubahnya macam kubah Gothic dan Masjid Fath di Medan Ramsis dengan menara tunggalnya yang tinggi melangut.

Monday, May 10, 2010

Kapcai

Terasa seperti di kampung halaman apakala berada di Poros (juga Athens) bila semuanya menggunakan kapcai.

Anarki di Athina XLVI

Sunday, May 09, 2010

Dua Bulan

Mereka berkata
Oh ...
lambat lagi exam mu

Tapi aku terasa
Bagai para Sahabat
Bukan dua bulan
Tapi dua jari
Dekat dengan kiamat

Aku terasa
Bagai sang Rasul
Bukan dua bulan
Tapi dua busur
Dekat dengan Tuhan

-----------

Forgive me Mother for I am not worthy.

Saturday, May 08, 2010

Empat Iwan

30 Tahun Revolusi Islami XXX

Suka aku pamerkan berkeping-keping gambar ketika kami sedang bertafannun dengan iwan yang empat. Sungguh pelik apabila tak seorang kita pun memukul gambar iwan utara seperti juga kita tidak memukul gambar kubah selatan dari bawah.

Ketahuilah oleh kalian, iwan ialah sebuah binaan kekubah serupa mihrab tetapi besar, berdinding pada tiga sisi tapi terbuka pada yang satu lagi, biasanya dijadikan sebagai pintu masuk ke dalam bangunan.

Asal-usul kata iwan ialah daripada kata ma'wa (مأوى) seperti yang termaktub di dalam Quran, Jannatul Ma'wa yang bermaksud tempat rehat atau tempat perlindungan. Adapun, binaan iwan berasal daripada senibina istana Empayar Sasan Parsi.

Pada tahun 1211 setelah berlaku kebakaran besar pada Jameh Masjid, ia telah diubahsuai daripada bentuk dewan hypostyle yang asal kepada sistem empat iwan. Selepas itu sistem ini menjadi
piawaian kepada setiap masjid era Turki Seljuk. Kalau kalian google iwan pun akan keluar gambar masjid ini.

Sehingga awal kurun ke 19 terdapat sebuah Iwan Agung di Kubu Salahuddin di Kairo yang menjadi tempat bersemayam sultan-sultan Mamluk sambil mengadili rakyat. Pun begitu ia telah dimusnahkan oleh Muhammad Ali Pasha.

Friday, May 07, 2010

Noktah

telah termaktub noktah itu
atas helaian kertas putih

Thursday, May 06, 2010

Bab Zuwayla 1087M

Dibina sebagai penghujung sebelah selatan Sharia al-Mu'iz Li Deenillah, ia dianggap kembar kepada Bab al-Futuh di penghujung sebelah utara. Lantaran itu senibinanya pun lebih kurang saja. Pun begitu sebagai kembarnya, senibinya lebih merujuk kepada senibina Syria dan Byzantium lantaran jurubinanya.

Terutamanya pada serambi di antara kedua menaranya yang menjadi tempat Sultan menonton perarakan mahmal iaitu perarakan tahunan kafilah yang membawa kiswah -kelambu Kaabah- yang baru ditenun di Mesir ke Makkah. Di situ juga orang memalu gendang ketika para amir berarak masuk kota.

Bab Zuwayla atau Zuweila dinamakan sempena al-Zawila, suku kaum Berber -perlu dibedakan antara kaum Berber dengan istilah barbarian- yang menjadi serdadu Fatimiyyah dan tinggal berhampiran situ. Adapun pada zaman Uthmaniyyah, orang memanggilnya Bawwabat al-Mitwalli kerana wali -gabenor- Uthmaniyyah tinggal berhampiran situ.

Adajuga orang menyebut kerana berhampiran situ tempat tinggalnya seorang wali Allah penuh karamah yang dipanggil Mitwalli al-Qutb. Jika rakyat tempatan berhajat sesuatu atau sakit maka mereka akan meminta bantuan wali lalu mengikat dan menggantung cebisan kain atau helaian rambut pada pintu Bab Zuwayla.

Walau bagaimanapun, sejarawan zaman pertengahan al-Maqrizi menyebut pintu ini sebagai sangat malang. Selain menjadi tempat kepala para pesalah yang dipenggal dipamerkan atas kayu pancang ia menjadi tempat sultan Mamluk terakhir, Tumanbay digantung oleh sultan Uthmaniyyah, Selim the Grim ketika Mesir alah dan dijajah Uthmaniyyah.

Binaan Bab Zuwayla tidak segagah saudara-saudaranya Bab al-Futuh dan Bab al-Nasr di utara kerana kerajaan Fatimiyyah ketika itu menjangka Turki Seljuk akan menyerang Kaherah dari utara dan bukan selatan. Pun begitu, ia tetap kelihatan gagah dengan dua menara tinggi yang tersemat di atasnya yang sebenarnya milik Masjid al-Mu'ayyad di sebelah.

Tuesday, May 04, 2010

Pancing


Tuhan
Bermain pancing dengan kita
Kail tersangkut di mulut
Bila ditarik kita sakit
Lalu timbul dekat padaNya
Bila dilepas kita lega
Sedap
Lalu tenggelam jauh dariNya

Allahu yashfeek, Allahu yashfeek
In and out

Monday, May 03, 2010

Seberang Galata


Mengadap Sultan Setambul XXX

Galata ialah kawasan di seberang Halic atau Golden Horn sebelah utara. Walaupun di seberang air ia masih dalam Eropah. Mengandung menara Galata yang masyhur serta kawasan komersial dan pusat kewangan zaman Uthmaniyyah di sekelilingnya. Juga menjadi home bagi kelab bola sepak terkemuka Galatasaray.

Zaman dahuku kala, Galata ialah sebuah koloni milik The Most Serene Republic of Genoa. Sebuah republik merdeka di Itali - pada zaman itu Itali banyak berpecah kepada kerajaan kecil dan banyak muncul republik perdagangan maritim seperti Venice, Genoa dan Florence.

Asal-usul nama Galata

Daripada kata Calata dalam bahasa Itali yang bermaksud cerun landai lantaran bentuk muka buminya begitu. Dari kata Galaktos dalam bahasa Yunani yang bermaksud susu kerana pada zaman pertengahan kawasan ini digunakan oleh para penggembala untuk projek tenusu.

Daripada kata Galat yang bermaksud Celtic dalam bahasa Greek kerana dipercayai kawasan ini menjadi tempat perhentian puak Celtic sebelum mereka berhijrah ke Galatia di tengah semenanjung Anatolia iaitu di bandar Ankara zaman moden.

Galata di seberang sana ...