Thursday, May 06, 2010

Bab Zuwayla 1087M

Dibina sebagai penghujung sebelah selatan Sharia al-Mu'iz Li Deenillah, ia dianggap kembar kepada Bab al-Futuh di penghujung sebelah utara. Lantaran itu senibinanya pun lebih kurang saja. Pun begitu sebagai kembarnya, senibinya lebih merujuk kepada senibina Syria dan Byzantium lantaran jurubinanya.

Terutamanya pada serambi di antara kedua menaranya yang menjadi tempat Sultan menonton perarakan mahmal iaitu perarakan tahunan kafilah yang membawa kiswah -kelambu Kaabah- yang baru ditenun di Mesir ke Makkah. Di situ juga orang memalu gendang ketika para amir berarak masuk kota.

Bab Zuwayla atau Zuweila dinamakan sempena al-Zawila, suku kaum Berber -perlu dibedakan antara kaum Berber dengan istilah barbarian- yang menjadi serdadu Fatimiyyah dan tinggal berhampiran situ. Adapun pada zaman Uthmaniyyah, orang memanggilnya Bawwabat al-Mitwalli kerana wali -gabenor- Uthmaniyyah tinggal berhampiran situ.

Adajuga orang menyebut kerana berhampiran situ tempat tinggalnya seorang wali Allah penuh karamah yang dipanggil Mitwalli al-Qutb. Jika rakyat tempatan berhajat sesuatu atau sakit maka mereka akan meminta bantuan wali lalu mengikat dan menggantung cebisan kain atau helaian rambut pada pintu Bab Zuwayla.

Walau bagaimanapun, sejarawan zaman pertengahan al-Maqrizi menyebut pintu ini sebagai sangat malang. Selain menjadi tempat kepala para pesalah yang dipenggal dipamerkan atas kayu pancang ia menjadi tempat sultan Mamluk terakhir, Tumanbay digantung oleh sultan Uthmaniyyah, Selim the Grim ketika Mesir alah dan dijajah Uthmaniyyah.

Binaan Bab Zuwayla tidak segagah saudara-saudaranya Bab al-Futuh dan Bab al-Nasr di utara kerana kerajaan Fatimiyyah ketika itu menjangka Turki Seljuk akan menyerang Kaherah dari utara dan bukan selatan. Pun begitu, ia tetap kelihatan gagah dengan dua menara tinggi yang tersemat di atasnya yang sebenarnya milik Masjid al-Mu'ayyad di sebelah.

2 comments:

Adam Lee said...

woh~ best2! pergi naik apa?
kepala utusan-utusan perang Monghol yg sepatutnya ada immunity dipenggal dan dipacak kat sini juga.
*Perang Ayn Jalut*

Amermeftah said...

Pegi Azhar tapi kat tempat kubri azhar turun masuk jalan belah kiri sampai ujung, jalan tu utk pejalan kaki je, naik bas je

Haa, pasni kiter citer pasal hero Ain Jalut plak