Monday, May 17, 2010

Tembok Kota Kairo

Ketahuilah olehmu, Kairo juga suatu ketika dulu ialah sebuah walled city. Tiap kali naik teksi atau bonceng motor, akan perasan tanah kuburan yang luas di tepian jalan mula dari Sayeda Aisha sampai Sharia Salah Salem.

Untuk kawasan Sayeda Asiha ia dipanggil Qarafa al-Sughra atau Southern Cemetery. Bagi yang berada di sepanjang Sharia Salah Salem ia dipanggil Qarafa al-Kubra atau Nothern Cemetery.

Padahal zaman dahulu, kuburan diletak jauh di luar kota. Maka itu dapatlah kita baca bahawa kawasan sekitar Sayeda Aisha dan sepanjang Salah Salem sebenarnya sudah berada di luar kota Kaherah yang lama.

Adapun Kota Kaherah lama atau Kaherah Fatimiyyah meliputi kawasan daripada Bab Zuwayla di selatan, Bab al-Futuh di utara, Sharia Port Said di barat dan Sharia Salah Salem (lebih kurang) di timur. Bagi saya, inilah kota Kaherah sebenar.

Gawhar al-Siqili -jeneral Fatimiyyah yang menakluk Mesir, berbangsa Greek dari pulau Sicily yang ketika itu sebahagian Khilafah Fatimi- mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan kota Kairo.

Pun begitu pada zaman ini tembok yang dibina beliau hanyalah daripada bata lumpur sahaja. Ketika ini Kairo terkenal dan diketawakan orang sebagai sebuah ibukota yang tak punya benteng yang ampuh.

Dengan ancaman daripada Empayar Turki Seljuk, muncul Badr al-Gamali -jeneral dan wazir baru- yang membina semula dan mengubahsuai tembok Gawhar dengan menggunakan bahan baru iaitu ketul batu padu.

Pada zaman Salahuddin, beliau membina sebuah kubu di hujung bukit Mukattam dan menguatkan lagi tembok-tembok Fatimiyyah. Beliau juga membuat rancangan untuk menyambung benteng dari Kaherah Fatimiyyah ke kubunya dan seterusnya memagari seluruh Kaherah. Lamun, selepas kewafatannya rancangan itu tidak sditeruskan oleh para penggantinya.

Kalau anda naik bas ke Arma, kalau lencongan sebelum Medan Geish itu masih wujud, anda akan melalui sepanjang tembok utara Kaherah yang mengandung tembok dari era Fatimiyyah dan Salahuddin.

No comments: