Friday, October 28, 2011

Makam Sève 1859M


Jalanlah melalui Corniche Nile menuju ke arah Maadi. Jalan sehingga anda menemukan jambatan pejalan kaki yang serupa dengan memorial bom atom Hiroshima dan melepasi Nilometer. Jalan ke depan lagi lebih kurang empat simpang di sebelah kiri, anda akan mendapati sebuah makam di hujung jalan. Begitulah lebih kurang penunjuk arah dalam buku tapi susah juga nak ditemukan makam Sève.

Sulayman Pasha al-Faransawi atau Joseph Anthelme Sève dilahirkan di Lyon. Mula menyertai tentera laut Napoleon pada umur 13 tahun dan mengikuti kempen Napoleon di Rusia.

Atas jemputan Muhammad Ali Pasha, Sève memodenkan tentera Mesir dengan menyelia sekolah-sekolah tentera dan kilang-kilang senjata di Giza dan Kaherah.

Bersama Ibrahim Pasha, beliau menyertai peperangan pembukaan Sudan, peperangan menentang pemberontakan di Kepulauan Greek dan peperangan dengan Osmaniyyah di Sham.

Beliau berkahwin dengan Maria Miriam Hanem, anak kepada Sherif Pasha, Perdana Menteri Mesir ketika itu. Dikurniakan tiga orang cahaya mata, salah seorang cicit beliau Nazli Sabri menjadi Sultanah dan Ratu Mesir iaitu isteri kepada Raja Fouad dan ibu kepada Raja Farouk.

Sebelum revolusi 1952, jalan dan medan Talaat Harb di Tahrir bernama jalan dan medan Suleiman Pasha dan patung beliau berdiri di situ. Selepas revolusi, patung beliau dibuang dan diganti dengan Talaat Harb. Pun, kini patungnya ditegakkan semula di Muzium Tentera di Qal'ah.

Seluruh pagar, tiang dan kubah makamnya dibuat daripada besi tempawan yang menawan. Kini makam beliau menjadi tempat melepak makcik-makcik tempatan dan tempat anak-anak kecil bermain.

Di sisi makam beliau ialah makam isteri kedua beliau Dame Maryam. Seorang gadis Yunani yang diselamatkannya dari kapal hamba abdi yang karam dalam ekspidisinya ke Greece.

Ketika aku leka memukul gambar, tiba-tiba penjaga makam melarang dengan mengatakan tidak dibenarkan mengambil gambar melainkan dengan surat kebenaran dari Kementerian Warisan. Baharulah aku tahu rupanya bukan semua monumen lama di Mesir boleh suka-suka hati diambil gambarnya. Jadi gambar di atas bolehlah dikira gambar ekslusif ...

No comments: