Sunday, October 30, 2011

Masjed-e Shah


30 Tahun Revolusi Islami XLI

Lupa nak cakap, medan ini dan isinya adalah kemuncak kepada kami di Iran.

Senibina masjid Iran yang khusus, pintu gerbang yang disematkan padanya dua menara.

Bila tengok pintu gerbang masjid ni nampak macam lebih kurang saja sama. Apakan daya dah memang itu saja senibinanya. Sudah mula sikit-sikit bosan. Tapi kalau perhati dengan perinci akan perasan lebih halus riasnya.

Muqarnas sarang lebah.

Macam Nabi bila baru masuk Madinah terus bina masjid begitulah juga Shah Abbas membina masjid selepas menjadikan Esfahan ibukota yang baru. Di bawah kelolaan arkitek Ostad Shaykh Bahai, masjid ini bakal menggantikan Jameh Masjed yang sudah uzur untuk menampung solat Jumaat.

Iwan yang paling popular. Pernah jadi cover LonelyPlanet.

Shah Abbas mahu membina sebuah masjid yang gah yang agung tapi baginda mahu ia siap dalam hayat hidupnya. Maka banyaklah jalan pintas yang diambil dalam pembinaan. Sampai satu masa seorang arkitek Abul Qasim memberi amaran tentang kelemahan tapak asas masjid tapi Shah tak peduli.

Akhirnya, dengan kemahiran pakar khat Reza Abbasi, kerja-kerja sentuhan terakhir masjid siap beberapa bulan sebelum Shah Abbas mangkat. Namun, lebih kurang 40 tahun kemudian amaran itu terbukti bila Masjid Shah terpaksa menjalani kerja baik pulih besar-besaran.

Keunikan orang Iran ialah kegemaran dan kerajinan mereka mencorakkan kubah luar dan dalam dengan teliti penuh dengan jubin.

Masjid ini masih menggunakan pelan empat iwan yang diasakan oleh Turki Seljuk serta menampung kubah yang terbesar di bandar ini dengan ketinggian 171 kaki. Padahal kedua-dua iwan dan kubah merupakan ciri-ciri senibina asal Parsi sejak zaman pra-Islam lagi.

Pintu masuk yang nyata senget dengan paksi masjid.

Apa yang menarik tentang masjid ini ialah kedudukannya relatif dengan Medan Naqsh-e Jahan. Kalau tuan-tuan masuk masjid, tuan-tuan akan membelok sedikit baru betul dengan kiblat. Ostad Shaykh Bahai sengaja merancang supaya medan itu tidak selari dengan kiblat.

Kubah terbesar di Esfahan tapi pelik dan sayang tak diiktiraf dan direkodkan.

Jika selari, maka sudah tentu kubahnya takkan dapat dinikmati oleh pandangan rakyat jelata. Dengan membuat sudut berbeza, baharulah keseluruhan masjid, pintu gerbang dan kubahnya dapat dikagumi walau di mana pun anda berada.

No comments: