Saturday, April 26, 2008

Compleano Feliz

Bon Anniversaire



Zami potong sambil buat wish,"Aku nak satu batch aku turun jogging pagi-pagi sama-sama."
Tak apa, aku akan gagalkan wish kau Zami.


Di sini, nampak gaya macam Izwan pulak yang terima hadiah.


Gambar paling penting yang menunjukkan kerja-kerja membahagikan kek memang diserahkan kepada Iqbal lantaran kemahiran dan keadilannya.


Ust Hairul stay dari circle lepas asar sampai malam...


Zami ditahnik sekali lagi oleh Ust Hairul.

Thursday, April 24, 2008

Jering Rebus


Kata orang, raja segala ulam itulah petai. Walaupun ulam raja itu tetap raja meskipun tidak mengharap pada manusia untuk merajakannya. Berkenaan petai, tidak dapat dipisahkan dengan beberapa ulam lain yang bagaikan kakak beradik kepada petai iaitu jering dan kerdas. Pun begitu, petai dan jeringlah yang lebih dikenali ramai. Adapun kerdas, tidak banyak dikenali orang. Berkenaan kerdas, jika tersilap makan boleh menyebabkan muntah yang barangkali kerana mabuk (keracunan).

Berbanding petai, jering dianggap sebagai kelas kedua dan kurang dikenali melainkan melalui simpulan bahasa tangkai jering. Ia kurang diminati kaum muda lantaran baunya yang lebih kuat dan rasanya yang pahit. Aku sendiri pun sebagai seorang neo-konservatif masih tidak dapat menerima buah jering ke dalam tembolok kerana rasanya yang kuat itu menyekat tenggorok. Pun begitu ia dikatakan berkhasiat untuk pesakit buah pinggang. Lamun, terlalu banyak memakan jering juga boleh membawa kepada masalah iaitu kencing sepit.

Ulam dimakan mentah (atau dicelur) dan mestilah muda. Baharulah mudah digigit, dimamah dan dihadam. Jika ulam-ulaman sudah tua, maka jadilah sia-sia. Seperti buah jering yang jika telah tua cukup keras. Pun begitu, orang Kelantan masih ada jalan untuk memanfaatkan jering tua. Dengan merebus. Dalam kerja-kerja merebus jering, banyaklah petua-petua pelembut yang digunakan. Antaranya memasukkan sabut kelapa, bahan-bahan daripada besi seperti paku atau rantai basikal. Ad juga yang memasukkan daun nangka dan petua-petua ini boleh juga diguna untuk melembutkan daging.


Apa pun, jering rebus sudah tidak lagi dimakan sebagai ulam. Tetapi dimakan sebagai sejenis makanan ringan yang dimakan dengan kelapa parut bergula. Rasanya sudah kurang pahit seperti memakan sejenis kacang yang lemak. Ala-ala buah berangan begitu. Snek ini amat digemari kaum tua dan mudah didapati di atas pasar (Pasar Besar Siti Khadijah). Pun, begitu masalah kencing sepit tetap ada dan kencing pun masih haring.

Ada satu lagi cara untuk memanfaatkan jering tua iaitu dengan merelung. Jering relung ialah jering tua yang ditanam di dalam pasir sehingga berakar dan dimakan sebagai ulam. Boleh jadi, kadang-kadang jering relung tidak ditanam tapi dicari. Orang-orang zaman dulu kadang-kadang mencari jering relung di bawah pokoknya. Jering tua yang gugur dan direlung alam.

Tangkai Jering?

Mengapa orang kedekut digambarkan sebagai tangkai jering? Buah jering tidak sekali-kali akan gugur melainkan setelah sudah benar-benar tua. Jering muda sebagai ulam di pasaran pun dikait orang juga masih liat tangkainya. Maka begitulah juga orang kedekut. Tidak sekali-kali akan menggugurkan duit atau hartanya dan cukup liat melepaskan duit juga hartanya.


Tuesday, April 22, 2008

Tugu-tugu Allah di Bahariyya VI

(Lihat tugu 'indah'mu tegak berdiri yang dipahat oleh tangan asing seperti mengalirnya darahmu untuk orang lain).

Usman Awang lewat 'tulang2 berserakan

English Mountain

Naik ke sini bukan main payah. Jip kami terpaksa mencuba berkali-kali. Sampai terpaksa tukar pemandu dan tukar jalan lain. Sampai pakcik pemandu yang berpaut di belakang pun terjatuh tergolek. Kami yang di dalam pun sudah tentu tergoyang-goyang terhuyung-hayang. Pegang kuat-kuat!


Dari puncak English Mountain, mentari mengundur diri.


Batu-batu di sini macam keping-keping jubin yang pecah.


General William dari British membina rumah di sini dan menempatkan sepucuk meriam di bucu puncak ini demi mengawal...


...Kampung Agouz ini...


dan Bawiti serta mengawal jika ada apa-apa ancaman daripada Siwa.


Menikmati mentari masuk.


Hadaf utama di English Mountain.


Kulit album rakaman kedua diorang...


Hotel .....
Sekelilingnya dipenuhi pemandu peancong daripada semuda-muda umur. Ada seorang yang aku tanya, apa kerja orang-orang Bahareya. Katanya dalam bahasa Inggeris fasih, "Tourist guide...and farmers". And he do mind his 'R'. Kemudian selepas dia tahu kami daripada kuliyyah tibb, dia minta kami diagnosis masalah kulit mukanya. Cuma habbah syabab.


Monday, April 21, 2008

Sawo nila


Seorang bapa muda sedang membuat kerja-kerja persatuan. Dia sedang memproses berhelai-helai borang bait muslim. Tiba-tiba anak kecilnya yang bakal mendapat adik masuk ke bilik. Mula-mula dia duduk di riba ayahnya. Ayahnya biarkan. Kemudian dia cuba merampas pen di tangan ayahnya. Sudah tentu dia gagal. Kemudian dia pun turut cuba 'memproses' borang-borang. Dia meramas borang-borang sampai keronyok.

Bapa muda itu pun mengalihkan anaknya itu ke tempat lain.
"Adik, orang tak buat macam tu. Pegi main dekat umi."
Tapi ibu muda sedang menanak pula.

Bapa muda itu menyusun semula borang-borang bait muslim. Dalam salah satu borang tertera pada bahagian 'ciri-ciri pasangan yang dihajati': Berkulit sawo matang.

* * *

Kulit sawo matang? Kata orang kulit sawo matang itu kulit orang melayulah. Tapi orang melayu pun ada yang putih kuning, putih merah, kuning langsat, hitam manis, hitam legam. Kulit sawo matang itu macam warna buah sawo yang masaklah. Tapi macam mana? Macam kulit buah yang di bawah inilah.


Buah ciku dari pokok di rumah Tok Wan. Sekarang cuma tinggal Tok Minah saja di situ.

Sawo nila itu ciku. Sawo itu ciku pada panggilan orang-orang Indo. Adapun nama penuhnya ialah Sawo Manila lantaran kemunculannya paling awal di rantau Asia Tenggara ialah di Filipina setelah diperkenalkan oleh Sepanyol yang membawanya dari tempat asalnya iaitu Mexico. Sawo nila itu bukanlah kerana dagingnya berwarna biru.

Dalam Bahasa Melayu Baku, sawo nila dipanggil ciku seperti juga bahasa-bahasa lain iaitu chico (Filipina) dan chikoo, chikku atau chiku (negara-negara Asia Selatan). Di semenanjung hanya mereka yang berdialek Pattani sahaja yang memanggil ciku sebagai sawo nila. Pun begitu tidak dapat dipastikan apakah penduduk pantai timur yang berdialek Pattani itu punya hubungan dengan Indo kerana sama-sama menamakannya sebagai sawo.

Buah sawo nila selamat dimakan wanita hamil kerana pada cuti yang lepas aku sempat menjamah buah sawo nila bersama sepupu yang hamil dan dia selamat melahirkan anak yang sihat melainkan terpaksa melalui jalan bedah. Tidak seperti buah nenas dan strawberry yang dianggap tajam bagi wanita hamil.

Apa kata orang tua-tua tentang sawo nila?

Kata orang tua-tua lama, rumah yang ada pohon sawo nila akan menjadi sunyi atau kelihatan sunyi. Allahu a'lam. Tetapi begitulah suasana rumah Tok Wan.


Tuesday, April 15, 2008

Teknik Baru Itali (Teknikiyyah I6aliyyah Gedeeda)

Kerana mereka tidak percaya tarian singa akan membawa tuah dan membakar mercun papan mampu menghalau kejahatan.


Bagi orang-orang Mesir hampir setiap majlis (kecuali majlis kematian) itu haruslah dalam 'festive mood'. Majlis kerja kahwin sudah tidak perlu dipersoal lagi. Majlis pembukaan atau pelancaran kedai-kedai baru pun wajib meriah juga.


Selama hayat hidup di tanah hitam Nil ini, sudah empat majlis pembukaan kedai yang aku tempuhi. Julung-julung kali ialah pembukaan cawangan rangkaian kedai makan El-Baghl yang teruk dilanyak marhaen ketika 6 April lantaran hubungan rapat dengan parti pemerintah dan melampau-lampau menaikkan harga jualan. Kedua kafe siber di Jalan Mawardy yang bermotokan 'Alhamdulillah, internet paling laju.' Kemudian kedai makan Ispaghetti yang khidmatnya baru kemas sedikit setelah bertukar tangan. Paling baru, pembukaan El-Mounira Bakery.


Majlis begini biasa dibuat pada waktu malam, barulah lampu-lampu warna-warni yang menjajah sepanjang jalan dan menjarah setinggi-tinggi bangunan mencapai maksud. Acara lampu paling hebat disaksikan dalam pembukaan El-Baghl. Mereka menyewa lampu neon berbentuk kincir angin yang berpusing. Maklumlah perusahaan besar.


Kalau bajet besar misalnya El-Mounira Bakery ini, walaupun cuma 'regional bakery' mereka akan menyewa patung belon berlampu dan lampu spotlight berputar seperti yang kedapatan di pesta ria atau taman tema. Semuanya itu berhajat kepada penjana kuasa sendiri kerana tidak mampu dijanakan dengan soket bangunan.


Malam itu separuh Jalan Sheikh Aly Youssef bagai milik mereka. Apapun, paling penting ialah dentuman muzik dan lagu rancak irama balady yang mampu didengari sepanjang jalan dari hujung ke hujung lantaran dipasang dengan speaker sebesar dan setinggi manusia dewasa. Sekali-sekala ada persembahan secara langsung tetapi lebih biasa untuk kerja kahwin sahaja.

Barang dagangan yang dipamer tersusun rapi.
Lepas solat maghrib kami terus turun kerana menurut iklan majlis bermula jam tujuh.


Pate berbagai jenis.
Tetapi tidak dibenarkan memukul gambar setelah meminta izin kerana majlis hanya akan bermula selepas isyak pula.


Bunga ucap tahniah.
Sanak saudara mara dan sahabat handai rakan taulan tauke dijemput khas duduk di kerusi yang tersusun sedia. Mereka berjabat tangan berpeluk cium sambil mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Ada jamuan minuman ringan.


Barang dagangan lain termasuk pretzel, pizza, kek dan croissant.


Kek telur beraneka.
Kami skeptikal, apakah barang yang dipamer bakal diberi percuma sebagai sampel?


Danish.


'Kurowa-San' (croissant) Coklat dan Krim.
Rupanya untuk dijual. Maka kami beli serba satu.


Pate bersalut krim dengan hirisan pic kering.


Pate ditabur kelapa kering dengan hirisan pic kering.
Rupanya memang cantik dipandang dan menyelerakan. Tetapi rasanya belum tentu.


Pate bersadur krim dengan ceri.


Pate berlumur coklat.
Lamun, kualitinya masih jauh untuk menandingi gergasi-gergasi besar dalam bidang bakery seperti Tseppas yang aku masih belum berani menjejakkan kaki ke kedainya atau El-Abd yang menjadi destinasi saban awal bulan setakat tahun lalu. Malah, dengan Gawady di Abou Rish itu pun masih ketinggalan jauh.


Timur jauh terlalu jauh untuk mempengaruhi budaya mereka (orang Mesir). Tetapi barat amat dekat. Di seberang laut putih cuma. Justeru, bunga ucap tahniah.

Pun begitu, kehebatan sesebuah 'regional bakery' hanya dapat dinilai melalui produk paling asasnya. Roti fino. Disinilah hasil sebenar teknik baru Itali. Fino yang gemuk gebu rangup di luar lembut di dalam setanding dengan fino di Hayyu Sabie'. Dibakar dengan ketuhar berteknologi Itali Mondial Forni yang mana setiap loyang di setiap tingkat bisa berputar tatkala dibakar. Harganya juga sepadan dengan teknologinya.


Monday, April 14, 2008

Ong Kededek


Siapa katak?

Dia mendabik dada
Seru orang keluarlah dari tempurung
Kemudian masuk semula dalam tempurung baru
Selepas keluar dari tempurung lama

Saturday, April 12, 2008

Dari Perlembahan Nil ke Dataran Syam IX

Episode Akhir

Malam akhir setelah makan sofihah, masih mahu memburu unta panggang. Juga masih belum naik ke bukit Qasioun. Orang tua-tua pula masih belum puas lagi, mahu mencari satu dua makam lagi.

Angin mula bertiup galak.


Tapi awal-awal lagi dibawa ke tempat Ust Nasir dan Hamdan. Ke tempat budak-budak DQ. Ke Markaz Qur'an. Memang untuk semua. Umumnya. Tapi untuk mereka khasnya. Markaz yang kemas, sistematik dan serba moden. Tiada yang seumpamanya di tanah hitam Nil. Kerana dataran ini terkenal dengan sheikh-sheikh qurra' yang sanadnya baharu 27 generasi daripada Nabi. Kerana sheikh-sheikh qurra'nya lebih serius, fokus dan tidak meminta upah. Dapatkan sehelai dua poster. Berangkat pergi.


Tetapi hujan sudah mula turun.


Muka-muka menahan beku.

Naiklah ke bikut Qasioun setelah meng'hijake' sebuah servis. Ditunjukkan tempat istana Pak Long. Berhenti di tepi jalan dekat tempat yang paling tinggi dan panorama indah. Angin semakin ganas. Sejuk mencengkam. Tapi tetap berbaris juga bergambar.


Malam di Syam. Katanya Ust Nasir cahaya-cahaya hijau itu masjid. Tapi tak jelas nampak di sini. Yang besar tinggi di tengah-tengah itu Four Seasons Damascus dan di sebelah kirinya Masjid Besar Umawy.


Masjid Besar Umawy dalam cahaya.

Sudah sejuk ketar.


Turun bukit. Masuk semula ke celah-celah pasar. Memburu unta di tengah malam. Khalas. Kempunan. Orang tua-tua minta ditunjukkan makam Sultan Nuruddin Zanki. Dalam bangunan usang tanpa terjaga inilah dia bersemadi. Sultan Nuruddin Zanki yang bermimpi dua Yahudi menggali makam cuba merosakkan batang tubuh jasad Nabi. Nabi berkata padanya: "Dua anjing merah sedang bersedia menerkam makamku. Buru mereka." Lalu dia memacu kuda segera ke Kota Nabi menghalang kerja keji Yahudi.


Dalam jalan pulang Ust Nasir belikan manisan Nablusi dan Madlukah. Harus makan segera kerana tidak tahan lama. Manisan Syam banyak yang berair. Sedap. Hujan sudah serik. Angin masih buas. Dalam gelap-gelap tiga pagi, separuh isi rumah dan tamu-tamu Ust Nasir iringi kami. Membawa barang-barang Senu yang banyaknya. Menghantar ke stesen teksi. Dengan begitu sahaja kami tinggalkan mereka setelah bersama selama hampir tiga hari. Setelah berbincang dan bertengkar dengan para pemandu. Tawar-menawar. Kami berangkat pergi melangkah ke Jordan di sebelah. Dengan di pandu angin laju serba tajam.

Sekian, Syam...


Friday, April 11, 2008

fiat iustitia et pereat mundus


Justice is not equality but justice is putting the right thing at its rightful place.

Aku tak berniat menarik balik tetapi berniat menambah baik. Keadilan ialah kesamarataan dalam beberapa hal. Misalnya...

Dalam suatu kes pengadilan, keterangan harus (dalam erti kata Bahasa Indonesia) didengari daripada kedua-dua belah pihak pendakwa dan tertuduh. Meskipun pendakwa itu seorang Syiah Rafidah yang terkenal dengan bohong dan tipu-dayanya dan tertuduh pula seorang Salafi Wahabi yang terkenal dengan melampau membesar-besarkan ceritanya. Kemudian baharulah kes itu diadili dengan diletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya. 

Akhir kata, elakkan diri daripada menjadi orang yang hanya suka dijilat tetapi tidak suka diludah kerana itu sifat manusia biasa. Ya, tak siapa suka diludah tetapi yang menjilat itu kalau ia anjing boleh jatuh najis pula. Jadilah manusia luar biasa.

"Betapa luar biasanya urusan Muslim! Semua urusannya adalah baik. Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Jika dia mendapat kesusahan, dia hadapinya dengan sabar dan tabah, dan itu juga baik untuknya."

Wednesday, April 09, 2008

Jenowori


Ini bukan Hari Natal di Seoul, Korea Selatan.
Tetapi ini Jenowori di Kota Bharu, Kelantan.

Rakyat dan negeri Kelantan diakui mereka sendiri dan orang luar sebagai unik. Keunikan itu ditambah lagi dengan sambutan keputeraan Sultan yang aku kira satu-satunya di Malaysia disambut dan diberi cuti selama dua hari. Malah banyak lagi keunikan dalam sambutan ini.

Kota Bharu bersimbah lampu. Tiang-tiang lampu di jalan-jalan utama seperti Jalan Sultan Yahya atau Jalan Pasir Puteh akan dihubungkan dengan rangkaian lampu-lampu berderet-deret. Macam ular cahaya nampak dari jauh. Setiap cabang empat pun bersiram cahaya dan setiap jabatan kerajaan yang berpejabat di tepi jalan utama seperti Jabatan Pengairan dan Saliran dan Kelantan Waters (kini Air Kelantan) akan membina pintu gerbang berhias masing-masing. Gilang-gemilang tampaknya.

Ini pula rutin rakyat saban tahun. Dulu-dulu sewaktu menumpang di rumah Esah, Uji akan membawa kami sebuah rumah dengan van kilangnya pusing-pusing keliling Kota Bharu tengok lampu. Lepas puas kami makan laksam special di Panji sebelum pulang. Tahun-tahun yang lain pula kami ikut Pak Su Ya dan Mak Su Ma ke Taman Orkid Tengku Anis. Sementera emak-emak budak membelek-belek pokok bunga, budak-budak boleh main-main apa entah, aku lupa.

Pada sebelah siang selain majlis penganugerahan darjah kebesaran, akan diadakan program Taman Kanak-kanak di perkarangan istana yang berupa persembahan seni silat dan kawat kaki kadet polis. Peserta persembahan semuanya ialah pelajar-pelajar sekolah atau lebih tepat lagi pelajar-pelajar sekolah kelolaan kerajaan negeri seperti SMU(A) Maahad Muhammadi.


Pada zaman mama, sambutan keputeraan dipanggil Jenowori kerana keputeraan sultan pada zaman itu jatuh pada bulan Januari. Tetapi kenapa lekat nama Januari itu menjadi istilah pula? Kerana pada zaman itu marhaen lebih maaruf dengan bulan melayu (kalendar hijrah) sedangkan sambutan itu pula dibuat mengikut bulan orang putih (kalendar masihi). Maka, ia menjadi sesuatu yang unik atau aneh sehingga marhaen mungkin sekali menganggap ia adalah istilah.

Sultan Kelantan seperti Raja Perlis mempunyai gelaran yang sedikit berbeda dengan Raja-raja Melayu yang lainnya. Sultan Kelantan satu-satunya Raja Melayu yang dipanggil dengan Al-Sultan dan permaisuri baginda pula dipanggil dengan Raja Perempuan.

Sebelum berakhir aku ingin mengajak rakyat Kelantan supaya meneliti baris kedua lagu Selamat Sultan yang berbunyi, Sultan Kelantan Raja Ikrami. Ramai terutamanya rakyat Kelantan sendiri tidak memahami maksud baris ini walaupun terjemahan Inggerisnya diterjemah sebagai The Divine Sultan of Kelantan. Pun begitu aku pernah terjumpa dalam buku-buku lama yang menulisnya sebagai Sultan Kelantan Raja ikami yang mungin menunjukkan Sultan Kelantan ialah sultan kami rakyat Kelantan. Lamun, baru-baru ini aku terjumpa dalam sebuah tulisan lama yang menulis baris itu sebagai Sultan Kelantan Rajai Kami, iaitu sultan Kelantan yang merajai kami. Manakah satu yang betul?

Ulangtahun keputeraan sultan disambut dua hari, 30 dan 31 Mac dan esoknya ulangtahun Puan Hasnah Haji Hassan, bonda. Aku merompak gambar-gambar dari Kelate - A Self Rediscovery. Orang-orang Kelantan tengok-tengoklah laman itu kalau rindu.

Akhirnya, aku menunggu tarikh 4 Mei, ulangtahun ke-80 Presiden Mohammad Hosni Mubarak bersama hadiah daripada rakyat Mesir, satu lagi hartal dan demo besar-besaran.


Kota Darulnaim turut tidak ketinggalan berlumur lampu.


Sunday, April 06, 2008

Hidup Kaum Makan Gaji! - Updated





Aku menjadi anak dara hari ini (iaitu tidak keluar rumah).

Seawal lepas maghrib ramai orang mengedar khabar yang memesan supaya tidak keluar rumah kerana kononnya Ikhwan Muslimin akan menganjurkan demosntrasi besar-besaran di bandar-bandar utama Mesir membantah kenaikan harga barangan.

Isi rumah juga ada menyebut rakan-rakan kuliahan memberitahu esok bakal diadakan tunjuk perasaan. Jiran-jiran Melayu juga menceritakan perbualan tauke-tauke toko sayur yang bercadang menutup kedai pada hari esok. Pun, aku masih skeptikal. Kemudian datanglah saudara Haikal membawa berita yang sama dengan mengatakan para marhaen diseru tidak keluar rumah, menutup kedai dan berpakaian hitam. Barulah aku sedikit yakin.

Pada malamnya aku membaca akhbar maya Mesir yang menyatakan Ikhwan tidak akan menyertai hartal pekerja kilang kapas tetapi menyatakan dan menyokong hak rakyat untuk berhartal demi mendapatkan hak mereka.

Esoknya jam sepuluh pagi, sepi. Seorang dua makcik lalu dengan memakai serba hitam.......seragam biasa makcik-makcik Mesir. Seorang pakcik lalu.......dengan seluar hitam. Seorang anak gadis lalu.......dengan baju berbelang merah putih! Orang Muar yang keluar membeli koshari kerana ingin berjimat-cermat berkata,"Takde pape pon."

Sebetulnya orang memang tidak boleh keluar hari ini kerana berlaku khammasah. Tetapi aku kira hanyalah khammasah kecil.

Pada malamnya, ramai mengeluh kerana hartal yang gagal. Pun begitu, Jiman di Alex melaporkan dia tidak dapat pulang dari kuliah kerana ketiadaan tramco. Polis juga tidak kelihatan kerana pergi muzaharat (tidak pasti sama ada mengawal atau melibatkan diri). Banyak kedai didapati tutup dan pasar tiada orang. Alex dikatakan kawasan yang disapu bersih (kerusi parlimen) oleh orang-orang Ikhwan.

Dzul pula meletakkan status ym yang merupakan laporan UN berbunyi 'Household expenses in Egypt rise to 50%' dan berharap mendapat perhatian pihak JPA. Mesir dilanda inflasi teruk sehingga bukan sahaja memukul rakyat tempatan tetapi juga anak dagang merantau seperti kami.




* * *

Aku, Muzaharat dan Gagak-gagak Hitam

I
Ketika dalam perjalanan ke bank di Talaat Harb, sebaik-baik keluar dari stesen Metro, aku dikejutkan dengan gagak-gagak hitam yang berbaris di sepanjang setiap jalan di Midan Tahrir. Setiap satu lengkap dengan topi keledar, perisai dan rotan. Rupanya hari itu ialah sambutan ulangtahun pencerobohan ke atas Iraq.

II
Ketika berada di Midan Talaat Harb, enam orang penyokong Ayman Nour, pemimpin Parti Ghad (DSAI versi Mesir?) telah bermuzaharat dengan mengangkat sehelai banner dan melaungkan slogan yang entah apa. Pun, mereka dikelilingi oleh lebih atau hampir dua kali ganda gagak-gagak hitam. Pelancong yang ramai berhenti melihat kejadian tetapi dihalau kepala gagak dengan berkata,"Pergi, pergi, teruskan hidup, tak ada apa-apa untuk ditengok."

III
Darul Hikmah di Jalan Kasr El-Ainy sentiasa dikerumuni gagak-gagak hitam setiap kali bermajlis. Bahu jalan pula dipagar. Pada mulanya aku sangka mereka menjaga pemimpin penting yang hadir. Rupanya Darul Hikmah menempatkan Etihad El-Atibba' El-Arab (Arab Medical Union) yang dikatakan proksi Ikhwan. Maka banyaklah polis-polis berpakaian preman di seberang jalan duduk di kerusi sambil bercakap melalui walkie-talkie dan di atas meja pula terhidang segelas syai. Di Jalan Ismail Sirry pula akan sendat dengan deretan trak hijau.

Hartal ialah pemogokan umum (penutupan kedai dll) sbg bantahan terhadap sesuatu. Mahatma Ghandi diangkat sebagai Bapa Hartal dan istilah ini memang berasal dari India. Malaya pernah melancarkan Hartal SeMalaya pada 20 Oktober 1947 bagi membantah Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu, Cina dan India pada waktu itu bersatu hati menjayakan hartal yang menyebabkan kerajaan British kerugian hampir empat juta atau mungkin billion pound sterling.

Poster6 April adalah ihsan saudara Tuan Hazri Tuan Mat yang diambil daripada grup 6 April Facebook. Kita telah punya Kobri 6 Oktober, 26th July Street dan Bandar 10 Ramadan. Apakah kita bakal punyai apa-apa yang 6 April?
Trivia: Enam April bunyinya sama seperti Enalapril, sejenis ubat darah tinggi. Pun begitu kedua-duanya saling tidak berkaitan. Apa pun.

Saturday, April 05, 2008

Belah Mulut...

...Shaimaa' yang baru lahir,
dan aku pula cerah perut dan berak cair.

Sampai tiga hari tidak habisan.

Dulu-dulu tinggal di rumah nenek, ada sepohon jambu air yang besar di belakang rumah. Kalau diserang berak cair, boleh saja buka jendela rumah dan petik sehelai dua pucuk jambu yang mana-mana tercapai dek tangan dan terus memamahnya.

Selalu penawar yang ditawarkan orang ialah teh kelat dan pekat. Saudara Haikal pula membancuhkan aku segelas air garam buat pencuci perut. Salah seorang kembar pula nasihatkan agar dimakan pisang banyak-banyak supaya bolehlah semuanya dihambur keluar.

Tetapi aku berserah kepada Gusti Allah setelah berusaha dengan comoran minyak Mestika di perut selain mengharapkan doa orang lain dan berulang-ulang ke kamar seni.

Sebetulnya, aku tak boleh bercakap banyak dari hal majlis ini...


Shaimaa' Ahmad Muhaimin

Anaknya Kang Muhaimin yang nomor dua. Beranak di rumah dan disambut sendiri dengan tangan bapaknya. Sudah banyak dan puas dikisahkan bapaknya sendiri di 'Ulama Ummah'. Tak perlu atau tak layak aku kisahkan lagi. Boleh baca sendiri.


Sudah dua kali aku tidak hadir majlis belah mulut. Pertama belah mulutnya Daing Imam Al-Fateh kerana maklum saja aku bukan orang yang berpagi-pagi. Harap Kak Daing tidak berkecil hati kerana bukan majlis anak Kak Daing saja yang saya tak hadiri, majlis anak orang lain juga.


Belah Mulut.


Kerat jambul.


Ramai-ramai berselawat ke atas Muhammad Sang Rasul.


Lobang hidongmu tatap menjadi poujaan hatikou...


Boleh jadi sedang mengumumkan nama anaknya...


Anak anak perempuan 'aqiqahnya ialah seekor biri-biri atau kambing.