Wednesday, April 09, 2008

Jenowori


Ini bukan Hari Natal di Seoul, Korea Selatan.
Tetapi ini Jenowori di Kota Bharu, Kelantan.

Rakyat dan negeri Kelantan diakui mereka sendiri dan orang luar sebagai unik. Keunikan itu ditambah lagi dengan sambutan keputeraan Sultan yang aku kira satu-satunya di Malaysia disambut dan diberi cuti selama dua hari. Malah banyak lagi keunikan dalam sambutan ini.

Kota Bharu bersimbah lampu. Tiang-tiang lampu di jalan-jalan utama seperti Jalan Sultan Yahya atau Jalan Pasir Puteh akan dihubungkan dengan rangkaian lampu-lampu berderet-deret. Macam ular cahaya nampak dari jauh. Setiap cabang empat pun bersiram cahaya dan setiap jabatan kerajaan yang berpejabat di tepi jalan utama seperti Jabatan Pengairan dan Saliran dan Kelantan Waters (kini Air Kelantan) akan membina pintu gerbang berhias masing-masing. Gilang-gemilang tampaknya.

Ini pula rutin rakyat saban tahun. Dulu-dulu sewaktu menumpang di rumah Esah, Uji akan membawa kami sebuah rumah dengan van kilangnya pusing-pusing keliling Kota Bharu tengok lampu. Lepas puas kami makan laksam special di Panji sebelum pulang. Tahun-tahun yang lain pula kami ikut Pak Su Ya dan Mak Su Ma ke Taman Orkid Tengku Anis. Sementera emak-emak budak membelek-belek pokok bunga, budak-budak boleh main-main apa entah, aku lupa.

Pada sebelah siang selain majlis penganugerahan darjah kebesaran, akan diadakan program Taman Kanak-kanak di perkarangan istana yang berupa persembahan seni silat dan kawat kaki kadet polis. Peserta persembahan semuanya ialah pelajar-pelajar sekolah atau lebih tepat lagi pelajar-pelajar sekolah kelolaan kerajaan negeri seperti SMU(A) Maahad Muhammadi.


Pada zaman mama, sambutan keputeraan dipanggil Jenowori kerana keputeraan sultan pada zaman itu jatuh pada bulan Januari. Tetapi kenapa lekat nama Januari itu menjadi istilah pula? Kerana pada zaman itu marhaen lebih maaruf dengan bulan melayu (kalendar hijrah) sedangkan sambutan itu pula dibuat mengikut bulan orang putih (kalendar masihi). Maka, ia menjadi sesuatu yang unik atau aneh sehingga marhaen mungkin sekali menganggap ia adalah istilah.

Sultan Kelantan seperti Raja Perlis mempunyai gelaran yang sedikit berbeda dengan Raja-raja Melayu yang lainnya. Sultan Kelantan satu-satunya Raja Melayu yang dipanggil dengan Al-Sultan dan permaisuri baginda pula dipanggil dengan Raja Perempuan.

Sebelum berakhir aku ingin mengajak rakyat Kelantan supaya meneliti baris kedua lagu Selamat Sultan yang berbunyi, Sultan Kelantan Raja Ikrami. Ramai terutamanya rakyat Kelantan sendiri tidak memahami maksud baris ini walaupun terjemahan Inggerisnya diterjemah sebagai The Divine Sultan of Kelantan. Pun begitu aku pernah terjumpa dalam buku-buku lama yang menulisnya sebagai Sultan Kelantan Raja ikami yang mungin menunjukkan Sultan Kelantan ialah sultan kami rakyat Kelantan. Lamun, baru-baru ini aku terjumpa dalam sebuah tulisan lama yang menulis baris itu sebagai Sultan Kelantan Rajai Kami, iaitu sultan Kelantan yang merajai kami. Manakah satu yang betul?

Ulangtahun keputeraan sultan disambut dua hari, 30 dan 31 Mac dan esoknya ulangtahun Puan Hasnah Haji Hassan, bonda. Aku merompak gambar-gambar dari Kelate - A Self Rediscovery. Orang-orang Kelantan tengok-tengoklah laman itu kalau rindu.

Akhirnya, aku menunggu tarikh 4 Mei, ulangtahun ke-80 Presiden Mohammad Hosni Mubarak bersama hadiah daripada rakyat Mesir, satu lagi hartal dan demo besar-besaran.


Kota Darulnaim turut tidak ketinggalan berlumur lampu.


1 comment:

Ben Youssef said...

Kelatae coti duo hari. Negeghi laeng ambik salah satu coti hari jadi ghajo untuk ulae tahung pertabalae ataupung hari hol..
Teghingak jamae kawae kechik2 mulo, boh kawae bowok gi tengok kheto berhiah di Koto Bharu. Letok kheto di alek Plaekbae (Palekbang) lepah tu naik bot turun dekat denge Hankyu Jayo (budok2 jamae lo ni tok ghama hok tahu Hankyu Jayo mmano).
Ghasonyo jamae boh kawe mudo2 mulo ado belombo peghahu maso haghi jadi ghajo... tak dok doh lo ni dok?