Tuesday, April 15, 2008

Teknik Baru Itali (Teknikiyyah I6aliyyah Gedeeda)

Kerana mereka tidak percaya tarian singa akan membawa tuah dan membakar mercun papan mampu menghalau kejahatan.


Bagi orang-orang Mesir hampir setiap majlis (kecuali majlis kematian) itu haruslah dalam 'festive mood'. Majlis kerja kahwin sudah tidak perlu dipersoal lagi. Majlis pembukaan atau pelancaran kedai-kedai baru pun wajib meriah juga.


Selama hayat hidup di tanah hitam Nil ini, sudah empat majlis pembukaan kedai yang aku tempuhi. Julung-julung kali ialah pembukaan cawangan rangkaian kedai makan El-Baghl yang teruk dilanyak marhaen ketika 6 April lantaran hubungan rapat dengan parti pemerintah dan melampau-lampau menaikkan harga jualan. Kedua kafe siber di Jalan Mawardy yang bermotokan 'Alhamdulillah, internet paling laju.' Kemudian kedai makan Ispaghetti yang khidmatnya baru kemas sedikit setelah bertukar tangan. Paling baru, pembukaan El-Mounira Bakery.


Majlis begini biasa dibuat pada waktu malam, barulah lampu-lampu warna-warni yang menjajah sepanjang jalan dan menjarah setinggi-tinggi bangunan mencapai maksud. Acara lampu paling hebat disaksikan dalam pembukaan El-Baghl. Mereka menyewa lampu neon berbentuk kincir angin yang berpusing. Maklumlah perusahaan besar.


Kalau bajet besar misalnya El-Mounira Bakery ini, walaupun cuma 'regional bakery' mereka akan menyewa patung belon berlampu dan lampu spotlight berputar seperti yang kedapatan di pesta ria atau taman tema. Semuanya itu berhajat kepada penjana kuasa sendiri kerana tidak mampu dijanakan dengan soket bangunan.


Malam itu separuh Jalan Sheikh Aly Youssef bagai milik mereka. Apapun, paling penting ialah dentuman muzik dan lagu rancak irama balady yang mampu didengari sepanjang jalan dari hujung ke hujung lantaran dipasang dengan speaker sebesar dan setinggi manusia dewasa. Sekali-sekala ada persembahan secara langsung tetapi lebih biasa untuk kerja kahwin sahaja.

Barang dagangan yang dipamer tersusun rapi.
Lepas solat maghrib kami terus turun kerana menurut iklan majlis bermula jam tujuh.


Pate berbagai jenis.
Tetapi tidak dibenarkan memukul gambar setelah meminta izin kerana majlis hanya akan bermula selepas isyak pula.


Bunga ucap tahniah.
Sanak saudara mara dan sahabat handai rakan taulan tauke dijemput khas duduk di kerusi yang tersusun sedia. Mereka berjabat tangan berpeluk cium sambil mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Ada jamuan minuman ringan.


Barang dagangan lain termasuk pretzel, pizza, kek dan croissant.


Kek telur beraneka.
Kami skeptikal, apakah barang yang dipamer bakal diberi percuma sebagai sampel?


Danish.


'Kurowa-San' (croissant) Coklat dan Krim.
Rupanya untuk dijual. Maka kami beli serba satu.


Pate bersalut krim dengan hirisan pic kering.


Pate ditabur kelapa kering dengan hirisan pic kering.
Rupanya memang cantik dipandang dan menyelerakan. Tetapi rasanya belum tentu.


Pate bersadur krim dengan ceri.


Pate berlumur coklat.
Lamun, kualitinya masih jauh untuk menandingi gergasi-gergasi besar dalam bidang bakery seperti Tseppas yang aku masih belum berani menjejakkan kaki ke kedainya atau El-Abd yang menjadi destinasi saban awal bulan setakat tahun lalu. Malah, dengan Gawady di Abou Rish itu pun masih ketinggalan jauh.


Timur jauh terlalu jauh untuk mempengaruhi budaya mereka (orang Mesir). Tetapi barat amat dekat. Di seberang laut putih cuma. Justeru, bunga ucap tahniah.

Pun begitu, kehebatan sesebuah 'regional bakery' hanya dapat dinilai melalui produk paling asasnya. Roti fino. Disinilah hasil sebenar teknik baru Itali. Fino yang gemuk gebu rangup di luar lembut di dalam setanding dengan fino di Hayyu Sabie'. Dibakar dengan ketuhar berteknologi Itali Mondial Forni yang mana setiap loyang di setiap tingkat bisa berputar tatkala dibakar. Harganya juga sepadan dengan teknologinya.