Thursday, April 24, 2008

Jering Rebus


Kata orang, raja segala ulam itulah petai. Walaupun ulam raja itu tetap raja meskipun tidak mengharap pada manusia untuk merajakannya. Berkenaan petai, tidak dapat dipisahkan dengan beberapa ulam lain yang bagaikan kakak beradik kepada petai iaitu jering dan kerdas. Pun begitu, petai dan jeringlah yang lebih dikenali ramai. Adapun kerdas, tidak banyak dikenali orang. Berkenaan kerdas, jika tersilap makan boleh menyebabkan muntah yang barangkali kerana mabuk (keracunan).

Berbanding petai, jering dianggap sebagai kelas kedua dan kurang dikenali melainkan melalui simpulan bahasa tangkai jering. Ia kurang diminati kaum muda lantaran baunya yang lebih kuat dan rasanya yang pahit. Aku sendiri pun sebagai seorang neo-konservatif masih tidak dapat menerima buah jering ke dalam tembolok kerana rasanya yang kuat itu menyekat tenggorok. Pun begitu ia dikatakan berkhasiat untuk pesakit buah pinggang. Lamun, terlalu banyak memakan jering juga boleh membawa kepada masalah iaitu kencing sepit.

Ulam dimakan mentah (atau dicelur) dan mestilah muda. Baharulah mudah digigit, dimamah dan dihadam. Jika ulam-ulaman sudah tua, maka jadilah sia-sia. Seperti buah jering yang jika telah tua cukup keras. Pun begitu, orang Kelantan masih ada jalan untuk memanfaatkan jering tua. Dengan merebus. Dalam kerja-kerja merebus jering, banyaklah petua-petua pelembut yang digunakan. Antaranya memasukkan sabut kelapa, bahan-bahan daripada besi seperti paku atau rantai basikal. Ad juga yang memasukkan daun nangka dan petua-petua ini boleh juga diguna untuk melembutkan daging.


Apa pun, jering rebus sudah tidak lagi dimakan sebagai ulam. Tetapi dimakan sebagai sejenis makanan ringan yang dimakan dengan kelapa parut bergula. Rasanya sudah kurang pahit seperti memakan sejenis kacang yang lemak. Ala-ala buah berangan begitu. Snek ini amat digemari kaum tua dan mudah didapati di atas pasar (Pasar Besar Siti Khadijah). Pun, begitu masalah kencing sepit tetap ada dan kencing pun masih haring.

Ada satu lagi cara untuk memanfaatkan jering tua iaitu dengan merelung. Jering relung ialah jering tua yang ditanam di dalam pasir sehingga berakar dan dimakan sebagai ulam. Boleh jadi, kadang-kadang jering relung tidak ditanam tapi dicari. Orang-orang zaman dulu kadang-kadang mencari jering relung di bawah pokoknya. Jering tua yang gugur dan direlung alam.

Tangkai Jering?

Mengapa orang kedekut digambarkan sebagai tangkai jering? Buah jering tidak sekali-kali akan gugur melainkan setelah sudah benar-benar tua. Jering muda sebagai ulam di pasaran pun dikait orang juga masih liat tangkainya. Maka begitulah juga orang kedekut. Tidak sekali-kali akan menggugurkan duit atau hartanya dan cukup liat melepaskan duit juga hartanya.


4 comments:

sis_aflah said...

salam...
dlm byk2 jering, jering rebus ni je la yang akak makan...jering yg tak rebus tak makan...tak tahan la..ehe...

Muhammad Warouq bin Qamar said...

aiseh..apsal lah sampai hari ni saye still takleh nak telan bende2 cmni..perit tekak ngan idong..

btw,u've been tagged!

Anonymous said...

penah makan tak jering masak sambal tempoyak. tumisannya macam nak masak sambal tumis biasa, tapi guna cili padi dan ditambah tempoyak. sangat sedap. tapi gune jering muda la:)

djambu puadovich said...

jering ni keras sgt baunye...aku layan petai je...kalo dpt dgn sambal tempoyak..ffuuiiiii!!! layan siot!!! sampai terkencing sepit gak aku kecik2 dulu