Sunday, April 06, 2008

Hidup Kaum Makan Gaji! - Updated





Aku menjadi anak dara hari ini (iaitu tidak keluar rumah).

Seawal lepas maghrib ramai orang mengedar khabar yang memesan supaya tidak keluar rumah kerana kononnya Ikhwan Muslimin akan menganjurkan demosntrasi besar-besaran di bandar-bandar utama Mesir membantah kenaikan harga barangan.

Isi rumah juga ada menyebut rakan-rakan kuliahan memberitahu esok bakal diadakan tunjuk perasaan. Jiran-jiran Melayu juga menceritakan perbualan tauke-tauke toko sayur yang bercadang menutup kedai pada hari esok. Pun, aku masih skeptikal. Kemudian datanglah saudara Haikal membawa berita yang sama dengan mengatakan para marhaen diseru tidak keluar rumah, menutup kedai dan berpakaian hitam. Barulah aku sedikit yakin.

Pada malamnya aku membaca akhbar maya Mesir yang menyatakan Ikhwan tidak akan menyertai hartal pekerja kilang kapas tetapi menyatakan dan menyokong hak rakyat untuk berhartal demi mendapatkan hak mereka.

Esoknya jam sepuluh pagi, sepi. Seorang dua makcik lalu dengan memakai serba hitam.......seragam biasa makcik-makcik Mesir. Seorang pakcik lalu.......dengan seluar hitam. Seorang anak gadis lalu.......dengan baju berbelang merah putih! Orang Muar yang keluar membeli koshari kerana ingin berjimat-cermat berkata,"Takde pape pon."

Sebetulnya orang memang tidak boleh keluar hari ini kerana berlaku khammasah. Tetapi aku kira hanyalah khammasah kecil.

Pada malamnya, ramai mengeluh kerana hartal yang gagal. Pun begitu, Jiman di Alex melaporkan dia tidak dapat pulang dari kuliah kerana ketiadaan tramco. Polis juga tidak kelihatan kerana pergi muzaharat (tidak pasti sama ada mengawal atau melibatkan diri). Banyak kedai didapati tutup dan pasar tiada orang. Alex dikatakan kawasan yang disapu bersih (kerusi parlimen) oleh orang-orang Ikhwan.

Dzul pula meletakkan status ym yang merupakan laporan UN berbunyi 'Household expenses in Egypt rise to 50%' dan berharap mendapat perhatian pihak JPA. Mesir dilanda inflasi teruk sehingga bukan sahaja memukul rakyat tempatan tetapi juga anak dagang merantau seperti kami.




* * *

Aku, Muzaharat dan Gagak-gagak Hitam

I
Ketika dalam perjalanan ke bank di Talaat Harb, sebaik-baik keluar dari stesen Metro, aku dikejutkan dengan gagak-gagak hitam yang berbaris di sepanjang setiap jalan di Midan Tahrir. Setiap satu lengkap dengan topi keledar, perisai dan rotan. Rupanya hari itu ialah sambutan ulangtahun pencerobohan ke atas Iraq.

II
Ketika berada di Midan Talaat Harb, enam orang penyokong Ayman Nour, pemimpin Parti Ghad (DSAI versi Mesir?) telah bermuzaharat dengan mengangkat sehelai banner dan melaungkan slogan yang entah apa. Pun, mereka dikelilingi oleh lebih atau hampir dua kali ganda gagak-gagak hitam. Pelancong yang ramai berhenti melihat kejadian tetapi dihalau kepala gagak dengan berkata,"Pergi, pergi, teruskan hidup, tak ada apa-apa untuk ditengok."

III
Darul Hikmah di Jalan Kasr El-Ainy sentiasa dikerumuni gagak-gagak hitam setiap kali bermajlis. Bahu jalan pula dipagar. Pada mulanya aku sangka mereka menjaga pemimpin penting yang hadir. Rupanya Darul Hikmah menempatkan Etihad El-Atibba' El-Arab (Arab Medical Union) yang dikatakan proksi Ikhwan. Maka banyaklah polis-polis berpakaian preman di seberang jalan duduk di kerusi sambil bercakap melalui walkie-talkie dan di atas meja pula terhidang segelas syai. Di Jalan Ismail Sirry pula akan sendat dengan deretan trak hijau.

Hartal ialah pemogokan umum (penutupan kedai dll) sbg bantahan terhadap sesuatu. Mahatma Ghandi diangkat sebagai Bapa Hartal dan istilah ini memang berasal dari India. Malaya pernah melancarkan Hartal SeMalaya pada 20 Oktober 1947 bagi membantah Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu, Cina dan India pada waktu itu bersatu hati menjayakan hartal yang menyebabkan kerajaan British kerugian hampir empat juta atau mungkin billion pound sterling.

Poster6 April adalah ihsan saudara Tuan Hazri Tuan Mat yang diambil daripada grup 6 April Facebook. Kita telah punya Kobri 6 Oktober, 26th July Street dan Bandar 10 Ramadan. Apakah kita bakal punyai apa-apa yang 6 April?
Trivia: Enam April bunyinya sama seperti Enalapril, sejenis ubat darah tinggi. Pun begitu kedua-duanya saling tidak berkaitan. Apa pun.

No comments: