Sunday, October 30, 2011

Masjed-e Shah


30 Tahun Revolusi Islami XLI

Lupa nak cakap, medan ini dan isinya adalah kemuncak kepada kami di Iran.

Senibina masjid Iran yang khusus, pintu gerbang yang disematkan padanya dua menara.

Bila tengok pintu gerbang masjid ni nampak macam lebih kurang saja sama. Apakan daya dah memang itu saja senibinanya. Sudah mula sikit-sikit bosan. Tapi kalau perhati dengan perinci akan perasan lebih halus riasnya.

Muqarnas sarang lebah.

Macam Nabi bila baru masuk Madinah terus bina masjid begitulah juga Shah Abbas membina masjid selepas menjadikan Esfahan ibukota yang baru. Di bawah kelolaan arkitek Ostad Shaykh Bahai, masjid ini bakal menggantikan Jameh Masjed yang sudah uzur untuk menampung solat Jumaat.

Iwan yang paling popular. Pernah jadi cover LonelyPlanet.

Shah Abbas mahu membina sebuah masjid yang gah yang agung tapi baginda mahu ia siap dalam hayat hidupnya. Maka banyaklah jalan pintas yang diambil dalam pembinaan. Sampai satu masa seorang arkitek Abul Qasim memberi amaran tentang kelemahan tapak asas masjid tapi Shah tak peduli.

Akhirnya, dengan kemahiran pakar khat Reza Abbasi, kerja-kerja sentuhan terakhir masjid siap beberapa bulan sebelum Shah Abbas mangkat. Namun, lebih kurang 40 tahun kemudian amaran itu terbukti bila Masjid Shah terpaksa menjalani kerja baik pulih besar-besaran.

Keunikan orang Iran ialah kegemaran dan kerajinan mereka mencorakkan kubah luar dan dalam dengan teliti penuh dengan jubin.

Masjid ini masih menggunakan pelan empat iwan yang diasakan oleh Turki Seljuk serta menampung kubah yang terbesar di bandar ini dengan ketinggian 171 kaki. Padahal kedua-dua iwan dan kubah merupakan ciri-ciri senibina asal Parsi sejak zaman pra-Islam lagi.

Pintu masuk yang nyata senget dengan paksi masjid.

Apa yang menarik tentang masjid ini ialah kedudukannya relatif dengan Medan Naqsh-e Jahan. Kalau tuan-tuan masuk masjid, tuan-tuan akan membelok sedikit baru betul dengan kiblat. Ostad Shaykh Bahai sengaja merancang supaya medan itu tidak selari dengan kiblat.

Kubah terbesar di Esfahan tapi pelik dan sayang tak diiktiraf dan direkodkan.

Jika selari, maka sudah tentu kubahnya takkan dapat dinikmati oleh pandangan rakyat jelata. Dengan membuat sudut berbeza, baharulah keseluruhan masjid, pintu gerbang dan kubahnya dapat dikagumi walau di mana pun anda berada.

Saturday, October 29, 2011

Amjad Pertama Kali Tengok Kapal Terbang


Tuh!

Semuanya, "Tuh!" Semua pun nak tunjuk. Tidur. Terjaga. Mamai. Tuh! Tidur balik. Kadang, "Tuh!" Nampak saja burung jauh atas pucuk pokok. Kadang, "Tuh!" Entah apa-apa yang ditunjuk. Tapi Amjad tak sempat pun tengok flight take-off. Menjawab panggilan alam ...

Friday, October 28, 2011

Makam Sève 1859M


Jalanlah melalui Corniche Nile menuju ke arah Maadi. Jalan sehingga anda menemukan jambatan pejalan kaki yang serupa dengan memorial bom atom Hiroshima dan melepasi Nilometer. Jalan ke depan lagi lebih kurang empat simpang di sebelah kiri, anda akan mendapati sebuah makam di hujung jalan. Begitulah lebih kurang penunjuk arah dalam buku tapi susah juga nak ditemukan makam Sève.

Sulayman Pasha al-Faransawi atau Joseph Anthelme Sève dilahirkan di Lyon. Mula menyertai tentera laut Napoleon pada umur 13 tahun dan mengikuti kempen Napoleon di Rusia.

Atas jemputan Muhammad Ali Pasha, Sève memodenkan tentera Mesir dengan menyelia sekolah-sekolah tentera dan kilang-kilang senjata di Giza dan Kaherah.

Bersama Ibrahim Pasha, beliau menyertai peperangan pembukaan Sudan, peperangan menentang pemberontakan di Kepulauan Greek dan peperangan dengan Osmaniyyah di Sham.

Beliau berkahwin dengan Maria Miriam Hanem, anak kepada Sherif Pasha, Perdana Menteri Mesir ketika itu. Dikurniakan tiga orang cahaya mata, salah seorang cicit beliau Nazli Sabri menjadi Sultanah dan Ratu Mesir iaitu isteri kepada Raja Fouad dan ibu kepada Raja Farouk.

Sebelum revolusi 1952, jalan dan medan Talaat Harb di Tahrir bernama jalan dan medan Suleiman Pasha dan patung beliau berdiri di situ. Selepas revolusi, patung beliau dibuang dan diganti dengan Talaat Harb. Pun, kini patungnya ditegakkan semula di Muzium Tentera di Qal'ah.

Seluruh pagar, tiang dan kubah makamnya dibuat daripada besi tempawan yang menawan. Kini makam beliau menjadi tempat melepak makcik-makcik tempatan dan tempat anak-anak kecil bermain.

Di sisi makam beliau ialah makam isteri kedua beliau Dame Maryam. Seorang gadis Yunani yang diselamatkannya dari kapal hamba abdi yang karam dalam ekspidisinya ke Greece.

Ketika aku leka memukul gambar, tiba-tiba penjaga makam melarang dengan mengatakan tidak dibenarkan mengambil gambar melainkan dengan surat kebenaran dari Kementerian Warisan. Baharulah aku tahu rupanya bukan semua monumen lama di Mesir boleh suka-suka hati diambil gambarnya. Jadi gambar di atas bolehlah dikira gambar ekslusif ...

Thursday, October 27, 2011

Khutbah Raya Pulau Melaka

Kalau nak solat Aidilfitri di masjid Tok Guru mesti ambik sunnah. Makan dulu sebelum turun. Sebab tok guru baca surah Qaf dan surah al-Qamar. Kalau raya haji baru Tok Guru baca surah al-A'la dan al-Ghasyiah. Sebab orang nak cepat jemelih gerban. Ketika solat iktidal Tok Guru panjang. Bacaan iktidal dibaca penuh dan dikuatkan dengan tujuan mengajar ...


Berikut antara mafhum khutbah:

Khutbah raya kali ini Tok Guru memulakan dengan menyatakan bahawa hari raya bukan anjuran kerajaan tapi anjuran agama. Kerajaan pada zaman Nabi dahulu 13 tahun halang Nabi daripada buat kerja dakwah. Kita berhari raya kerana kita gembira dan kita diminta bertakbir sebagai menunjukkan kegembiraan itu yakni atas hidayah yang Tuhan beri. Kemudian Tok Guru menegaskan lagi, raya bukan tradisi tapi perintah agama.

Kemudian Tok Guru menyebut sebelum beraya kita berpuasa di bulan Ramadan. Ramadan itu bulan Quran dan kita dituntut untuk banyakkan berzikir dan sebaik-baik zikir itulah Quran. Dalam bulan Ramadan janganlah buat benda yang salah. Bulan Ramadan sebagai latihan dan kita mesti berazam supaya Ramadan akan datang akan lebih molek lagi.

Tok Guru berkata dalam Islam setiap perjumpaan umpamanya hari raya atau hari Jumaat mesti ada ucapan dan dalam ucapan itu mesti dibacakan ayat Quran mengikut isu semasa waktu itu. Sebab itulah Quran diturunkan dalam masa 23 tahun.

Parameswara menerima Islam lalu orang Melayu juga berduyun-duyun menerima Islam tetapi Islamnya tidak cukup kuat. Sepertimana anak-anak dibentuk oleh mak bapak maka orang Melayu pada zaman itu dibentuk oleh 'mak bapak' mereka iaitu penjajah. Akhirnya orang Melayu dipimpin oleh orang yang tak mengaji. Mereka ini buang Islam dan mengambil nasionalisme.

Berikutnya Tok Guru menyebut tentang tauhid dan tauhid yang paling mudah ialah seperti yang disebutkan dalam ayat yang dibacakan dalam solat tadi (Qaf: 9). Di mana Allah menghidupkan kembali tanah-tanah yang mati dengan hujan. Tok Guru menegaskan tidak perlu lagi tauhid yang kompleks lantaran muktazilah tidak wujud lagi.

Dalam Quran ada ayat untuk para pemimpin yang menganjurkan supaya memimpin rakyat seperti Nabi. Nabi banyak berdoa untuk umat kenapa umat tak mahu ikut Nabi. Malangnya Quran dibaca bukan untuk digali maknanya. Macam mana umat sekarang tak murtad kalau shahadah pun tak difahami. Kalau semua isi Quran diterima semua pun tak akan murtad.

Tok Guru menegaskan supaya jangan mengundi kerajaan yang tidak betul. Mengundi itu wajib dan Nabi ialah 'Perdana Menteri' pertama yang memegang semua portfolio.

Dalam Quran banyak ayat yang menceritakan tentang malaikat. Malaikat-malaikat ini antara kerjanya ialah berdoa untuk orang mukmin. Malaikat ini benda ghaib dan Quran diturunkan untuk mempin manusia tapi untuk mereka yang percaya perkara ghaib sahaja. Antara perkara ghaib itu ialah Kursi. Allah ada Kursi tetapi rupa lagu mana Allah sajalah yang tahu.

Dalam Quran juga ada suruhan dan larangan Tuhan. Jadi apa pun yang dibawa oleh tok nenek kita tak semestinya semua betul. Hanya Quran sahaja yang betul.

Sepertimana khutbah-khutbah raya sebelum ini, Tok Guru menekankan lagi tentang hutang-piutang. Hutang mestilah dibayar dan jangan ditangguh.

Pada penghujungnya,Tok Guru menyebut doa yang paling utama ialah doa di dalam solat. Bacalah doa dan zikir-zikir yang lengkap dalam rukuk dan sujud. Bacalah kalau solat seorang diri tapi kalau menjadi imam tak payah kerana tak mahu membebankan makmum. Tok Guru juga menganjurkan supaya bacaan dalam solat difahami mudah-mudahan mendapat khusyuk.

Khutbah ditutup dengan doa dan antara doa yang ditekankan ialah berkenaan hak royalti gas dan minyak Kelantan yang dirampas ...

Tuesday, October 25, 2011

Tünel


Mengadap Sultan Setambul XL
II


Sampailah kami ke puncak di awal Istiklal Avenue. Di satu sudut nampak tram lama yang masih beroperasi. Ada pulak pakcik beruban putih berjalan pakai trench coat menambahkan aura antik. Tram laluan lima ini ialah tram lama yang dihidupkan kembali pada awal 90an menghubungkan antara Tunel dengan Taksim.

Adapun Tunel, ia adalah sistem keretapi bawah tanah yang kedua tertua di Eropah hanya selepas London Underground. Dibina mungkin sekali seiring dengan semangat Tanzimat yang baru dilancarkan. Ia menghubungkan kawasan Karakoy yang terletak pada paras laut dan Beyoglu yang terletak di atas bukit. Pembinaannya memudahkan 40 000 pekerja yang berulang alik dari Karakoy ke kediaman mereka di Beyoglu.

Menurut Orang Muar, antara sistem tram terawal di Malaya ialah di bandar Muar yang dibina seiring dengan pemodenan yang dibawa oleh Maharaja Abu Bakardan dipanggil Keretapi Kerajaan Muar. Baginda mempunyai special affection terhadap Muar dengan menjadikannya bandar diraja. Muar dimajukan sehingga menjadi bandar kedua terpenting selepas Johor Bharu.

Maharaja Abu Bakar berusaha memodenkan Johor dari segi pentadbiran dan ekonomi demi melengahkan penguasaan Inggeris ke atas Johor. Sampai hari ini, negeri Johor memilikinya tentera mereka sendiri yang dipanggil Timbalan Setia Negeri. Sesetengah orang Johor mendakwa negeri mereka tidak pernah dijajah British. Malah pada pertengahan kurun ke-19, Muar sendiri pernah menjadi sebuah entiti yang merdeka.

Selain banyak membuat hubungan dengan Ratu Victoria United Kingdom, baginda juga membuat hubungan dengan Sultan Abdulaziz dan Sultan Abdulhamit II Turki Osmaniyyah. Boleh rujuk Kitap Surat-surat Perempuan Johor.

Monday, October 24, 2011

Pisang Derhaka


Aku terpaksa meredah segala nyamuk aedes (dalam kamus dewan cakap nyamuk rimau) dan nyamuk tiruk (culex) demi membuat photoshoot ini terima kasih kepada air cha rumah Mak Som di sebelah. Pun ,tak berjaya mendapat shot yang elok lantaran laman sudah hutan berdaun terima kasih kepada anak jantan yang ramai termasuk aku yang tak boleh diharap.

Banyaklah pisang dalam alam melayu kita macam pisang emas, pisang tanduk, pisang raja, pisang awak, pisang lemak manis, pisang kelat keling, pisang kelat jambi, pisang raja udang, pisang rastali, pisang embun, pisang kebatu, pisang mentalun, pisang kaki? Inilah dia pisang derhaka.

Adapaun pisang ini dianggap menderhaka kerana jantungnya ingkar tiada mahu tunduk tumbuh ke bawah tapi naik menjulang ke atas. Sebagai balasan atas penderhakaannya, pisang ini tak tumbuh tinggi malah tak berbuah pula ...

Saturday, October 22, 2011

Parthenon

Tadaaa~! Inilah dia Parthenon. Cantik kan? Macam Setan.

Otai Besar pun dah bengang. Nasib baik tak mengamuk. Apa nak buat. Kebetulan hari tu ada mogok dan demo besar-besaran. Jadi pekerja dekat Parthenon semua ikut sekali. Tiga tahun lepas kami ziarah Athens pun keadaan tak selesai lagi dan makin buruk pulak. Itulah pasal, kononnya nak save the best for the last. Ambik padah.

Untuk tidak mengecewakan kau orang atau tidak membuatkan kau orang tertanya-tanya inilah dia Parthenon sebelah malam.

Ini pula Parthenon ikut pintu belakang.

Parthenon ialah mercu tanda kota Athens malah untuk Yunani pun. Tapi mercu tanda inilah yang kami gagal masuk. Damn betul la. Apa pun Parthenon ini ialah kuil untuk Athena yang merupakan dewi penaung negara kota ini sejak dulu lagi. Parthenon terletak di dalam acropolis (kota tinggi/citadel) yang ada banyak lagi benda lain tapi Parthenon paling menonjol.

Pada zaman Osmaniyyah, sebuah menara pernah tumbuh di celah-celah Parthenon ketika ia bertukar menjadi masjid. Walaupun tabiat orang Islam mengitar semula monumen lama untuk bahan binaan, tapi orang Turki amat menghormati Parthenon.

Hanya ketika perang antara Turki Osmaniyyah dengan Most Serene Republic of Venice menjadi semakin rancak baharulah tanda-tanda kemusnahan kelihatan bilamana pemodal-pemodal korporat Venice membedil Parthenon bertalu-talu dengan meriam. Banyaklah kerosakan yang berlaku pada tiang-tiang marmar Parthenon. Nak dijadikan cerita, Turki Osmaniyyah pulak pergi simpan bertong-tong ubat bedil dalam Parthenon. Salah satu tembakan tepat kena simpanan serbuk belerang itu. KABOOM!

Anarki di Athina LVII

Friday, October 21, 2011

Runtuhnya Daulah Fatimiyyah Kedua?


... maka setelah beberapa lama, Muammar Gaddafi pun hilanglah.

Ada seorang junior aku yang begitu cempiang dalam menentang syiah pernah memuatnaik sebuah video ucapan gemulah Gaddafi. Aku tak mahu sentuh kesahihan ucapan itu sebab Gaddafi sendiri memang orang yang unstable dan unpredictable maka cakapnya pun tak boleh pakai sangat melainkan ramalannya untk 'syahid' di tanah air sendiri memang menjadi kenyataan.

Antara isi ucapan itu yang memang ucapannya selalunya terkenal menarik berbunyi begini:

"... sesungguhnya kitalah yang telah membina Daulah Fatimiyyah Ula (Kerajaan Fatimiyyah pertama) dan kita boleha membina Daulah Fatimiyyah Gedida (kerajaan Fatimiyyah kedua) ...

... Kaherah tidak boleh terlepas daripada takdir Fatimi. Kaherah itu ialah kota al-Muiz billah. Kaherah dibina oleh Fatimiyyun, kalau tidak kerana Fatimiyyah tidak ada Kaherah, tidak ada Mesir ...

... Fatimiyyahlah yang memilih Mesir, qalbul ummah (hati ummat), sebagai ibukota dan membina Kaherah, Kaherah itu 100% Fatimiyyah ...

... Apa itu al-Azhar? Ia masjid Fatimah az-Zahra' ...

... seluruh Afrika Utara ialah syiah, kata orang Iran itu Syiah dan Arab itu Sunni, inilah satu penipuan paling besar dalam sejarah ...


... sejak bila pula kerajaan syiah yang pertama dibina di Iran atau luar dari dunia Arab? Kerajaan syiah pertama dalam sejarah ialah Daulah Fatimiyyah Ula di Afrika Utara ..."

Lama juga selepas saya menilik-tilik ucapan itu baharulah saya sedar kenapa Gaddafi menukar bendera Republik Arab Libya kepada bendera hijau semata. Sebab itulah bendera Khilafah Fatimiyyah! Atau mungkin cuma ada kitan dengan buku hijaunya saja, atau mungkin juga sebaliknya ...

Pada umur 27 tahun, Gaddafi telah pun menguasai Libya melalui kudeta, pada umur 27 tahun, apa sajalah aku dah buat?

Hahaha, bajet ayat-ayat tipikal pasal Sultan Fateh.


Thursday, October 20, 2011

Masjed-e Qubbat-e ’Azim

30 Tahun Revolusi Islami XL

Burung merak di puncak kubah dengan ekor bercahaya.

Masih di dalam Masjid Sheikh Lotfollah. Adapun nama tajuk itu ialah nama lain untuk masjid ini yang maknanya ialah Masjid dengan Kubah yang Agung.

Adapun Sheikh Lotfollah itu ada royat membarikan beliau ialah seorang ulama dari Lubnan bermazhab syiah tentunya yang melarikan diri lalu langsung akhirnya menjadi mentua Shah Abbas II. Pun, pendapat yang lebih kuat ialah beliau merupakan imam pertama di masjid ini berdasarkan rekod tangga gaji dalam simpanan bendahari negara yang menunjukkan gaji beliau datang terus dari sumber keluarga diraja.

Masjid ini dihiasi dengan ayat-ayat Quran dengan khat thuluth di sekeliling kubahnya dan pada dindingnya yang menunjukkan perbezaan antara Syiah Imamiyyah dengan Ahli Sunnah serta penentangan Parsi terhadap Osmaniyyah.

Pada kubah dalam siri yang lepas misalnya, tertera ayat-ayat dari surah al-Insan, as-Shams, al-Kauthar yang menekankan kesucian jiwa dan balasan bagi mereka yang menyimpang dari jalan Tuhan -merujuk kepada Osmaniyyah.

Dalam ruang solat pula -sanctuary- dihiasi dengan surah al-Bayyinah selain syair-syair tawasul dan permohonan syafaat daripada Ahlul Bait dan Imam yang dua belas.

Mat, Ayip, Asle boleh ingatkan tak nama minah ni?

Apa yang menarik ialah pada bahagian dalam kubahnya yang seakan-akan bertukar warna daripada kebiruan kepada kekuningan mengikut peredaran matahari dan perubahan cahaya. Lebih menarik lagi, seperti yang diterangkan seorang gadis tempatan yang aku lupa namanya. Ditengah-tengah kubahnya kelihatan seolah-olah ada seekor burung merak dengan cahaya sebagai ekornya.

Wednesday, October 19, 2011

Chrislam


Aku baru nak pergi tengok gereja tergantung esoknya, tapi malam itu pulak orang duduk baling-membaling dan bakar-membakar dekat Maspero.

Gambar di atas tu diambil Mamat -kenalah kasi kredit- tiga hari lepas Friday of Wrath, 28 Januari -mahal gambar ni. Kami jalan-jalan dari rumah ikut Corniche Nil sampai Tahrir dan balik semula. Aku memang tak ada jodoh dengan revolusi, langsung tak terfikir pasal kamera. Langsung.

Sejak revolusi, banyak betul orang bikin lambang bulan sabit yang bintangnya diganti dengan palang atau salib. Lambang penyatuan antara Muslim dan Kristen. Dekat dengan itu orang pun tulis 'agama untuk masing-masing, negeri untuk semua'. Wah, liberal betul bunyinya. Bukan mainnya lagi bersatu waktu itu tapi percakaran agama masih berlaku ...

Kalau pengikut dua agama besar boleh bersatu dan mampu menjatuhkan seorang diktator berzaman dan kemudian kembali bercakar maka apa nak hairan kalau di negeri kita PAS dan DAP boleh ber ... bergaru?

Lega jugak aku bila percakaran di Maspero itu diakui lebih antara askar dan kaum Kristen. Malah ada juga Muslim dari kaum sufi yang turut belarak bersama mereka awalnya. Cuma ada betulnya kebimbangan kaum Kristen itu bila ada satu lagi kaum Muslim yang keras. Di mana di dunia ini pun dia orang ni yang buat saham. Ini aku geram.

Selepas Malam Maspero, ada satu persoalan yang bermain dalam kepala aku. Aku tahu Islam itu tinggi dan tak ada yang lagi tinggi dari Islam. Tapi Islam jugak rahmat. Kita umat Islam kalau ada saudara kita yang jadi minoriti di mana-mana bukan main lagi kita tuntut hak segala. Kempen sana sini, demo situ sinun. Tapi bila kita yang jadi majoriti, macam mana pula?

Tapi tahukah tuan-tuan di Nigeria ada satu kaum yang mengamalkan sebuah fahaman yang diberi nama Chrislam yang menggabungkan antara dua agama samawi besar ini. Pengikut Chrislam sama-sama menerima Bible dan Quran dan mengadakan mass setiap hari Sabtu untuk mengelakkan pilih kasih.

Boleh jadi penyelesaian di Mesir ini juga ialah dengan menganjurkan HIMPUN ...

Sunday, October 09, 2011

Masjid Sultan Qaytbay 1481M

Menara dengan cerucuk besi di puncak. Siapa boleh jawab kenapa masjid lama begini?

Fakad (facade) yang sangat biasa.

Suq al-Hamrawi.

Yang paling menarik, papan tanda jalan dengan doa masuk ke pasar. Mesti doa sebelum masuk pasar untuk mengelakkan mindless spending.

Sepanjang aku meredah Kaherah (bunyi macam power je tapi poyo je), aku banyak (hanya) merujuk kitab Islamic Monuments in Cairo oleh Caroline Williams terbitan AUC Press (LE100 sahaja). Aku mengesyorkan kitab ini untuk para 'enthusiast' sekalian kerana di dalamnya terkumpul keterangan berkenaan sejarah monumen, pembina atau penaungnya serta senibinanya.

Demi memudahkan para 'enthusiast', bab-bab dalam kitab ini dibahagikan mengikut kawasan malah diberikan bintang untuk monumen wajib ziarah (3), menarik (2), biasa-biasa (1) dan hambar (0). Untuk tidak mengelirukan diri sendiri aku juga bakal meroyatkan mengikut tempat juga. Biar aku mulakan dengan The Island of Roda and Old Cairo lantaran ia dekat dengan aku.

Jangan memandang enteng Pulau Roda/Manyal dan kawasan sekitarnya walaupun setiap hari kita berkuliah di sini kerana ia menyimpan beberapa khazanah lama seperti Nilometer misalnya. Ketahuilah, di atas pulau inilah tempat bersemayam sultan terakhir Ayyubiyyah dan tempat bermulanya salah satu daripada dinasti Mamluk. Oleh sebab mereka memerintah dari pulau ini maka mereka digelar Bahri Mamluk (Mamluk Laut? Mamluk Air? Mamluk Sungai?).

Banyaklah binaan lama di pulau ini seperti istana dan berek tentera namun selain Nilometer yang kekal hanyalah sebuah masjid. Di celah-celah lorong Manyal yang berselirat terletaklah masjid ini berdekatan Suq al-Hamrawi iaitu pasar sayuran dan buah-buah kayu.

Walaupun ia patutnya ialah sebuah masjid diraja tapi binaanya amatlah ringkas diburukkan lagi oleh pengubahsuaian yang terlalu banyak. Hanya menaranya saja yang tinggal sebagai perecaman kerana mempunyai besi-besi cerucuk pada puncaknya sepertimana masjid lama yang lain. Sesungguhnya masjid ini tidak terkenal. Kalau anda cari di internet pun yang keluar hanyalah Makam dan Madrasah Sultan Qaytbay yang terletak di kawasan kuburan di sisi Sharia Salah Salem. Hanya 'enthusiast' seni dan sejarah sahaja yang berusaha menemukannya ...

Friday, October 07, 2011

Biskut Arab

Lama jugak saya duduk di negeri Arab tapi tak pernah saya jumpa biskut raya begini. Biskut yang saya pernah jumpa rasa lemak-lemak semata tepung tawar heber saja. Jadi tak tahulah saya dari mana atau di mana Arabnya biskut ni.

Adapun nak membuat biskut ini paling mudah di dunia. Ini sajalah biskut yang adik saya suka/tahu/rajin buat. Kenapa saya tak tahu lagi awal. Kalau tidak tiap-tiap hari pun boleh makan kuih raya. Lamun, yang menyusahkan untuk membikin biskut ini ialah bahan yang paling utama iaitu kerajinan. Maka sebagai abang mithali yang memanjakan adik sendiri saya pun cubalah buat sendiri lepas-lepas zohor sambil menunggu masuk dapur lepas asar.

Apapun, bahan yang butuh ialah
  • Minyak sapi
  • Gula Kastor
  • Tepung Gandum
Nisbah antara gula kastor dengan minyak sapi ialah 1:1 manakala nisbah antara minytak sapi dengan tepung gandum ialah 2:1. Sebermula, gula kastor dan minyak sapi dikacau hingga sebati. Kemudian, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kacau hingga rata. Selepas itu, langkah yang paling leceh melainkan ada banyak kakitangan ialah gentel mengikut bentuk yang disukai -bentuk yang diterima umum ialah bulat. Akhirnya, bakarlah dalam ketuhar pada suhu 150 darjah Celsius selama 20 minit.


Bagaimanapun, biskut saya gagal sejak dari mula sebagaimana percintaan saya juga. Belum pun habis masuk tepung sudah jadi keras dan kering. Akhirnya sebab minyak sapi dah habis, tambah marjerin saja yang menyebabkan biskut jadi terlalu lembik dan dalam ketuhar jadi leper pula.

Pada malamnya, dalam perlawanan Scrabble hampir berlaku perdebatan antara saya dengan abah yang menegaskan ghee ialah jenama sedangkan saya pula menegaskan ghee ialah istilah.

Monday, October 03, 2011

Kedai Vitamin

Mengadap Sultan Setambul XLI


Kami memulakan pendakian, kerana Galata berbukit, ke tujuan utama iaitu Jalan Istiklal dan Dataran Taksim. Melalui lorong-lorong yang sikit sempit dan berliku, perasan sebuah kedai jus macam yang di Mesir tapi versi Turki. Tapi tak beli pun sebab mahal cuma tertarik dengan nama kedainya saja. Vitamin Shop tapi bukan farmasi tapi jual vitamin secara alami.


Sunday, October 02, 2011

Teen Shouky

Aku fikirkan mendung berterusan tapi kini mentari muncul lagi. Mati-mati aku ingat musim dah dingin atau sekurangnya hawa sedang elok. Bolehlah aku menapak berjalan dengan riang. Tapi macam yang Wamap cakap, tahun ni winter cancel 'aasyan thaurah (sebab revolusi). Sekarang semua pun mogok. Cikgu sekolah mogok, doktor hospital mogok, drebar bas panjang mogok, polis dekat Maadi pun mogok. Nampaknya dengan winter sekali nak mogok.

Kalau musim-musim hangat tengah puncak macam hari tu sedap betul kalau dapat makan buah kaktus. Takjub betul zaman muda dulu tengok orang jual buah kaktus. Bila tengok balik rupanya biasa sangat buah kaktus ni kat tempat lain. Kampung kita saja yang tak ada. Adapun buah kaktus ni orang putih panggil prickly pear yakni buah pear berduri atau orang arab panggil teen shouky yakni buah tin berduri. Tak ada kaitan langsung, macam pineapple jugak. Tak ada kaitan pun dengan pokok pain apatah lagi epal. Tapi ada kaitan dengan setroberi.

Adapun buah kaktus ni memang dari pokok kaktus. Kalau nak nak beli mesti makan di situ jugak sebab nak mengupasnya memerlukan pisau dan skill. Tuan kedai pun pakai sarung tangan nak tolong koyak. Boleh jugak beli bawak balik tapi kena bawak plastik sendiri. Bawak balik rumah letak dalam ice box lepas tu makan sejuk-sejuk. Itu yang member arab Israk ajar dulu. Sebijik ada dalam rubu' hingga nus genih ikut saiz. Rasanya hawa-hawa manis begitu. Ya, macam dragonfruit cuma bijinya besar. Buah ni awal keluar ke pasaran warna hijau. Lama-lama jadi kuning, lama-lama jadi merah tapi rasa sama saja kot.

Di Mesir pokok teen shouky ditanam di tepi kebun, atau di tepi landasan keretapi atau mana-mana tanah kosong yang tak subur untuk pertanian. Di Australia pada mulanya orang perkenalkan pokok ini untuk dijadikan pagar rumah tapi lama-lama menyebabkan kerosakan ekologi pulak. Pokok prickly pear ini jugak ada dalam jata negara Mexico yang menggambarkan lagenda pengasasan Mexico yang mana seekor helang bertenggek atas pokok ni yang tumbuh di atas seketul batu di tengah tasik sambil makan seekor ular orok-orok.

Bertahun-tahun lamanya aku teringin nak pukul gambar buah ni atau orang jual buah ni tapi tak ada kekuatan. Segan takut tuan kedai marah. Nak bodek buat-buat comel pun dah memang tak comel. Jadi orang yang takdirnya macam aku ni yang terpaksa bergantung kepada usaha pun memintalah dengan penuh sopan (setelah beli seketul dua). Tuan kedai pun cakap, " 'Aadi!" (Biasalah bro, amik gambar je pun!).

Saturday, October 01, 2011

Greek Roadside Shrine

Aku tak tahu apa yang orang Yunani panggil ini tak sempat tanya. Sheikh Google pun tak mampu jawab melainkan jawapan seperti tajuk di atas. Semua pun tahu, Yunani atau Greece sememangnya sebuah negara Kristen Ortodoks yang kuat. Walaupun beratus tahun di bawah Osmaniyyah langsung tak lekat Islam malah era Osmaniyyah dianggap zaman gelap dalam sejarah mereka pula. Sedih betul aku dengar.

Maka, banyaklah ditemukan kuil tepi jalan? (terjemahan google translate) seperti ini di tepian jalan. Aku perasan, selang beberapa batu bahkan kadang selang beberapa ratus ela pun akan jumpa gereja mini macam ini. Pelik juga. Menurut Rina? Tina? yang memandu kami yang melancong ia dibina bagi memperingati dan mendoakan mangsa kemalangan yang berlaku di situ. Tapi ada juga pihak yang menafikan.

Kadang ia dibina oleh orang yang terselamat dalam kemalangan demi menunjukkan syukur. Kadang ia dibina semata-mata untuk memperingati wali-wali (saints) mereka dan untuk kegunaan para musafir bersembahyang lantaran kuatnya Kristen mereka agar sepanjang perjalanan mereka ingat Tuhan.

Di sinilah untungnya kita umat Muhammad yang diberi kelebihan seluruh muka bumi itu sebagai tempat sembahyang dan bahan untuk bersuci. Tak payah susah-susah bina balaisah. Kalau berjalan, berhenti, tak ada air tepuk-tepuk debu sikit, tahu arah kiblat dan sembahyanglah seperti biasa.

Adapun, banyaklah rupa bentuk gereja halus ini. Kalau orang kaya membinanya mestilah daripada batu siap dengan cat dan berupa gereja miniatur pula seperti gambar yang atas. Kalau yang miskin membinanya sekadar daripada tin atau besi buruk sahaja seperti gambar yang bawah. Tapi isi dalamnya wajib ada sebatang lilin sentiasa menyala, sekeping gambar santo atau santa mereka dan di atasnya ada palang pula.

Anarki di Athina LVI

By the way Wamap, happy birthday and have fun.