Tuesday, January 10, 2012

Mathaf al-Fann al-Islamy


Melencong sekejap daripada bab The Roda Island and Old Cairo.

Kita orang sambut Krismas di Museum of Islamic Art. Muzium yang sejak aku sampai sini sehinggalah aku tak balik-balik ni baru buka setelah sekian lama diubahsuai dan dipulihara.

Barangsiapa yang belum ada ilham untuk ke mana-mana cuti nanti boleh ke sini. Tiket untuk pelajar luar ialah LE25. Terletak di Sharia Port Said berdepan dengan mudiriyyah shurtah, dari Hayyu Sabiek boleh naik bas pendek nombor 14, dari DMAK boleh naik mana-mana bas ke Abou Rish, dari Mounira boleh naik teksi tambang lima genih atau bas atau jalan kaki saja.

Apakah kau orang perasan bahawasanya dalam dunia Islam hampir tidak ada tinggalan istana para amir, sultan atau khalifah lebih-lebih lagi di Mesir ini. Istana yang ada pun hanyalah Alhambra dan Topkapi dan itu pun zaman sudah akhir-akhir.

Adapun begitulah perangai umat dan kerajaan Islam zaman silam. Istana tinggalan kerajaan sebelumnya dimusnahkan langsung. Hanya masjid tidak diganggu gugat. Seolah-olahnya simbolik bahawa penguasaan kerajaan sebelumnya sudah tamat atau tak mahu ada langsung sebarang kesan kerajaan lama yang mungkin boleh mengeteng kehebatan senibina kerajaan mereka. Atau mungkin seperti biasa, sebagai sumber bahan binaan percuma.

Itulah bagi aku, tarikan utama dan sorotan penting muzium ini. Banyak serpihan-serpihan Istana Barat Besar Khilafah Fatimiyyah yang terselamat berupa pintu, dinding, alang yang padanya diukir kemeriahan kehidupan istana zaman itu berupa orang sedang minum-minum, mengetuk gendang, memetikgambus, meniup seruling, menari dan memburu.

Selain ukiran pada dinding istana, pinggan mangkuk, periuk belanga turut dilukis dengan gambar binatang seperti singa, unta, kerbau, burung, ikan dan yang paling digemari arnab. Tidak ketinggalan haiwan khayalan kesan pengaruh Yunani seperti griffin, sphinx dan harpy, burung berkepala manusia.

Kalau kau orang kata, darihal lukisan dan ukiran manusia dan hewan, "Syiah memang begitu ..." Kau orang silap. Ayyubiyyah dan Mamluk meneruskan tradisi begitu walaupun semakin kurang popular. Ini terbukti dengan ukiran baru bentuk harimau oleh Sultan al-Zahir Baybars yang diguna sebagai jata baginda (Baybars bermaksud harimau kumbang dalam bahasa Turki Kipchak) selain jata amir-amir yang lainnya yang menunjukkan tugas masing-masing.

Turut menarik perhatian aku ialah dua buah mihrab mudah alih zaman Fatimiyyah yang digunakan di Masjid Sayeda nafisa dan hanya dipakaiketika bulan Ramadan sahaja.

Selain itu ada perabot, sikat kutu, perisai untuk kepala kuda yang semuanya dari zaman Mamluk, botol-botol minyak wangi yang dulunya biasanya diselit di celah tali pinggang atau serban, kitab perubatan dan alat bedah.

Setiap fasa di muzium ini disusun mengikut zaman bermula Khilafah Umawiyyah hingga Osmaniyyah. Kemudian ditambah bagian-bagian khas untuk kesenian Parsi, seni kematian, seni warna, cahaya dan air serta pameran kain katifah, ambal, permaidani serta hamparan.

Lawatan akan jadi lebih menarik jika kau orang pandai arab kerana penerangan banyak dalam arab. Malang sekali, dilarang bergambar di dalam ...

No comments: