Showing posts with label Dataran Syam. Show all posts
Showing posts with label Dataran Syam. Show all posts

Saturday, July 19, 2008

Tersangkut di Tengah Laut


Sebagai menutup kembara dari perlembahan Nil ke Dataran Syam, nah, aku lampirkan sa-buah cerpendek, catatan paling akhir perjalanan. Untuk pengetahuan, aku sedang sibuk membaca Di Dalam Lembah Kehidupan karya Buya Hamka ketika itu. Maka banyklah pengaruh beliau...

Entri ini tiada bergambar.

* * *

Tersangkut di Tengah Laut

Kerana mahu lekas pulang. Kerana mahu mengejar pesta keluarga. Kami pun tergesa-gesa meninggalkan Aqaba. Tidak sempat pun berwada’ dengan kumpulan JJ. Sampai di pengkalan. Bot laju ‘Puteri’ masih tertambat di dermaga. Kami berkejar-kejar ke kantor tiket. Tapi tiket sudah tiada!

Baki tiket yang ada, feri lembab jam satu nanti. Maka acara pujuk rayu pun bermulalah. Pertunjukan muka kasihan pun beraksi. Ada cahaya harapan! Seorang yang diakui mudir meminta kami membayar cukai berlepas. Insya Allah kami dapat tunggangi ‘Puteri’. Turun naik kami. Hamdan yang paling kasihan. Semua pun dia yang aturkan. Aku yang sudah sakit badan duduk tengok di tepi. Naik, turun, tanya, pujuk, rayu, bayar. Semua dia.

Akhirnya kami memilih juga feri lembab. Kerana kononnya ada jam satu. Setelah tiket dibeli, cukai dibayar, paspot dicop kami segera turun untuk ambil bas ke dermaga. Tiada. Tanya orang penjaga pagar. Bot laju tiada feri lembab tiada. Pergi ke kantor tanya. Tiada harapan. Elok-elok sahaja kerani memberi penerangan kepada Hamdan, feri lembab sudah berlepas! Belum pun jam satu! Kecewa. Pasrah. Sesal.

Khutbah sudah lama diam. Jemaah sudah turun masjid. Kami pun bersolatlah. Baring-baring di masjid, ada pakcik yang baik mengurniakan kami segelas teh panas dan tiga ketul wafer. Tapi aku tak tahan lagi. Aku yang jarang sekali batuk pun tak tahan. Masjid itu di depan stesen kontena. Lorinya dibiar hidup. Tak tahan asap pekat menyumbat tekak. Pergilah kami ke hentian bas.

Jam empat. Feri lembab masuk dermaga. Semua lega. Kami yang dulu-dulu masuk ke kapal. Aneh! Tiada barisan kerusi seperti feri biasa. Kami diminta duduk-duduk sahaja di dalam kafeteria. Dua jam sudah baru feri berlepas. Gedek-gedek-gedek. Kami tinggalkan bumi Syam. Begitu saja. Jangkaan tiba jam 11.30 malam.

Bila kapten berkata melalui corong intercom, ‘Wasal masr bissalamah,’ kami sudah gembira. Terlalu bosan di atas kapal. Tapi tunggu-tunggu tiada boleh turun. Jam 12 tiada boleh. Jam satu tidak. Sampai jam dua tidak juga. Sedapkan hati sendiri. Barangkali dipunggah barangan barulah dipunggah orang.

Jam tiga. Begitu juga. Jam empat. Sudah putus asa. Tidur. Barangkali kapten sendiri yang azankan subuh. Solat lewat sedikit. Kerana gelap tidak tahu pula duduk letak kapal. Bergerak atau tidak. Lepas subuh tidur.

Tiba-tiba sudah jadi kacau. Terkejut dengan penumpang yang bergaduh. Semua sudah marah. Ternyatalah, kami memang tersangkut. Di tengah laut! Matahari sudah keluar di balik bukit dari jihat Saudi. Sudah terang lagi bersuluh. Maka banyak sekali khabar burung. Ada yang kata kapal sudah hanyut ke Saudi. Seorang penumpang berang. Minta diturunkan segera di Safaga. Ada yang kata angin tidak baik. Ada yang kata kapten malas kerja. Tak ada otak!

Sudah kecoh! Semua pun kerumun urusetia. Akhirnya jelaslah. Air sedang pasang di Nuweiba. Paras sudah lebih daripada dermaga. Maka kapal tiada dapat masuk. Semua pun lerai. Diam sahaja. Pasrah. Tunggu. Tapi kini kapal sedang bergerak perlahan. Berpusing. Cuba masuk dermaga barangkali. Tengok sajalah…

Dari Perlembahan Nil ke Dataran Syam -- Tammat


Saturday, April 12, 2008

Dari Perlembahan Nil ke Dataran Syam IX

Episode Akhir

Malam akhir setelah makan sofihah, masih mahu memburu unta panggang. Juga masih belum naik ke bukit Qasioun. Orang tua-tua pula masih belum puas lagi, mahu mencari satu dua makam lagi.

Angin mula bertiup galak.


Tapi awal-awal lagi dibawa ke tempat Ust Nasir dan Hamdan. Ke tempat budak-budak DQ. Ke Markaz Qur'an. Memang untuk semua. Umumnya. Tapi untuk mereka khasnya. Markaz yang kemas, sistematik dan serba moden. Tiada yang seumpamanya di tanah hitam Nil. Kerana dataran ini terkenal dengan sheikh-sheikh qurra' yang sanadnya baharu 27 generasi daripada Nabi. Kerana sheikh-sheikh qurra'nya lebih serius, fokus dan tidak meminta upah. Dapatkan sehelai dua poster. Berangkat pergi.


Tetapi hujan sudah mula turun.


Muka-muka menahan beku.

Naiklah ke bikut Qasioun setelah meng'hijake' sebuah servis. Ditunjukkan tempat istana Pak Long. Berhenti di tepi jalan dekat tempat yang paling tinggi dan panorama indah. Angin semakin ganas. Sejuk mencengkam. Tapi tetap berbaris juga bergambar.


Malam di Syam. Katanya Ust Nasir cahaya-cahaya hijau itu masjid. Tapi tak jelas nampak di sini. Yang besar tinggi di tengah-tengah itu Four Seasons Damascus dan di sebelah kirinya Masjid Besar Umawy.


Masjid Besar Umawy dalam cahaya.

Sudah sejuk ketar.


Turun bukit. Masuk semula ke celah-celah pasar. Memburu unta di tengah malam. Khalas. Kempunan. Orang tua-tua minta ditunjukkan makam Sultan Nuruddin Zanki. Dalam bangunan usang tanpa terjaga inilah dia bersemadi. Sultan Nuruddin Zanki yang bermimpi dua Yahudi menggali makam cuba merosakkan batang tubuh jasad Nabi. Nabi berkata padanya: "Dua anjing merah sedang bersedia menerkam makamku. Buru mereka." Lalu dia memacu kuda segera ke Kota Nabi menghalang kerja keji Yahudi.


Dalam jalan pulang Ust Nasir belikan manisan Nablusi dan Madlukah. Harus makan segera kerana tidak tahan lama. Manisan Syam banyak yang berair. Sedap. Hujan sudah serik. Angin masih buas. Dalam gelap-gelap tiga pagi, separuh isi rumah dan tamu-tamu Ust Nasir iringi kami. Membawa barang-barang Senu yang banyaknya. Menghantar ke stesen teksi. Dengan begitu sahaja kami tinggalkan mereka setelah bersama selama hampir tiga hari. Setelah berbincang dan bertengkar dengan para pemandu. Tawar-menawar. Kami berangkat pergi melangkah ke Jordan di sebelah. Dengan di pandu angin laju serba tajam.

Sekian, Syam...


Thursday, December 27, 2007

Dari Perlembahan Nil ke Dataran Syam VIII


Nah! Boleh jadi inilah entri terakhir dari Jumhureyya Suriyya El-Arabiyyah.

Masing-masing tidak tahu ke mana mahu menenangkan perut. Wardah Syamiah pula jauh di Medan Marjeh. Maka Hazri dah Pak Ten dikirim sebagai peninjau. Setelah mengintai di celah-celah pinggir Souq Hamediyya itu, mereka pulang dengan khabar gembira. Ada sebuah kedai yang bernama Kebablek.

Masing-masing takut nak masuk. Gaya semacam kedai mewah. Dengan lampu malap, muzik-muzik ringan, pelayan yang memakai sut dan napkin tersangkut di tangan. Bila sudah duduk di satu meja, Munir kata,

"Ni sorang ready kat tepi satgi nak lari pi tukar duit."

Takut duit tak cukup...



Sebagai pembuka selera, kami makan toushka. Hampir serupa dengan hawawshi tetapi lebih tipis dan rangup. Di depan Mede Sapar ialah nasi kabsah. Mede Sapar memesan makanan paling biasa kerana mengikut katanya Iqbal, Mede Sapar tidak biasa makan banyak dan yang aneh-aneh. Pinggan bulat di depan Munir yang belum terusik itu diisi dengan hummus, pes kacang kuda yang dicampur sedikit tahina (pes bijan), perahan limau dan bawang putih. Hummus di dataran Syam ibarat fuul di lembah Nil dan hummus hanya banyak muncul di Mesir ketika Ramadhan untuk sahur. Aku sedang menikmati basmashkat. Nasi bercampur daging cincang yang disalut daging (o.O). Mangkuk di depan aku penuh dengan Kebbeh Labaneh. Kibbeh ialah bebola daging cincang bercampur gandum burgul. Dihidang mentah, goreng atau di dalam yogurt. Akhirnya kami tutup dengan meminum kopi Arab percuma yang dituang oleh pakcik tua berpakaian tradisi yang ranggi. Cawan kopinya kecil molek tetapi memang patut kerana kopinya pahit dan pedas. Banyak halia?



Pak Ten seorang sahaja memesan teh. Aku masih utuh dengan prinsip tidak memesan 'makanan yang boleh dapat di rumah' di kedai-kedai. Kami tidak mencuci mulut di situ.

Sambung berjalan di dalam pasar Hamediyya. Teringat kata-kata Ust Nasir,
"Makanlah ais krim, makan ais krim musim-musim sejuk ni best."
Kebetulan pula belum mencuci mulut, kami singgah di sebuah kedai ais krim yang memang banyak di pasar itu. Kedai Ais Krim Bouzah. Kedai pro-Hezbollah yang menggantung bendera Hezbollah di dalam kedainya... Tidak lupa juga gambar pak long mereka (Bashar Al-Asad). Kamceng sungguh.



Bila sudah lama pulang ke tanah Nil, baharulah aku teringat, kami sebenarnya telah makan ais krim berperisa Tutti Fruitti yang tidak sedap itu. Berjalan punya fasal, lupa rasa. Ais krim itu digolek-golek di atas kacang cerdik.

Matahari pun masuk dan kami pun pergi bertemu tuhan di hadapan mahkamah Damsyik. Di Masjid Mawlawi. Masjid yang aku kira cukup lengkap. Tandas dan tempat wudhuk punya sakhanah dan tempat letak kasut pula ialah lokar yang disediakan kunci.



Selepas itu, Munir yang banyak mengaji kitab itu mengeret kami ke kedai buku. Mahu cari kitab. Di situ aku membeli satu-satunya tanda mata dari Damsyik selain stokin yang dijual di jalanan. Kitab Fadha'il As-Syam.

Setelah habis memborong, kami pulang ke Bab Srijeh. Tetapi sebelum itu ramai-ramai minum freez. Freez ialah farawlah di sisi orang-orang dataran Syam. Dalam perjalanan kaki ke rumah Ust Nasir, kami jalan-jalan di dalam pasar basah Bab Srijeh yang kering. Benarlah tanah ini tanah barakah. Banyak sekali hasil-hasilnya dari buah-buah yang gemuk-gemuk dan cantik-cantik hingga ke daging-daging ternakan dan ikan-ikan yang besar. Yang menarik perhatian aku ialah mukhallil atau turshi mereka. Kalau di Mesir ia terbiar terendam di dalam baldi tetapi di sana ia tersusun rapi dan warnanya cukup mempesona. Sayang sekali tidak diambil gambar.



Tiba di rumah, nampaknya ada tamu. Di depan mereka terhidang sejenis lagi hidangan. Namanya Sofihah. Semacam pizza yang serba ringkas. Di sebelah kiri ialah Sofihah dengan tomato dan cili dan di sebelah kiri ialah sofihah dengan jubnah (keju). USt Nasir sangat bagus. Dia sediakan yang terbaik sahaja untu tamu-tamunya. Katanya,
"Ini ana beli dekat kedai nombor dua (nombor dua paling sedap) sebab kedai nombor satu dah tutup."
Setelah makan dan berkenal-kenal dengan tamunya, Ust Nasir belum puas hati dan kami diheret keluar lagi ke beberapa tempat yang belum dituju...

Nampaknya belum sampai yang akhir lagi...

Saturday, December 01, 2007

Dari Perlembahan Nil ke Dataran Syam VII


Etto... Siri Dataran Syam bakal sampai ke hujungnya. Sejak tengah hari kami melawat ke Masjid Besar Umawi, itulah hari terakhir kami di situ...

Bab El-Saghir dan pusara tua.

Ano... Dari Istana Azem, kami berjalan kaki keluar dari Kota Lama Damsyik menuju ke pintu belakang kota yang juga pintunya paling kecil, Bab El-Saghir. Seperti mana kami/kita di Kaherah ini, kota lama kita juga dikelilingi tembok dan punya pintu-pintu pula. Seperti Kaherah ini, masih ada satu dua gapura yang masih kekal dan yang lain hanya tinggal nama. Antaranya, di kota Kaherah ini, Bab El-Lok, Bab El-Khalk, Bab El-Sha'reyya, Bab El-Nasr, Bab El-Fath dan Bab Zuwayla. Di luar temboklah diletaknya pusara ahli-ahli kota sebagaimana biasa. Itulah yang menjadi destinasi kami petang itu. 




Etto... Dalam perjalanan kaki keluar kota, banyaklah pemandangan yang ajaib-ajaib belaka. Di pinggir Kota Lama Damsyik itu, dalam satu lorong, ada tempat perusahaan membuat 'foosball'. Bukan satu dua bengkel, tapi sepanjang-panjang lorong itu menjadi bengkel membuat foosball. Sampai aku terfikir, laku sangatkah benda ini di sini? Ramaikah orang yang main benda ini di sini? Atau apakah mereka ekspot benda ini?
Kedai begini memang banyak di sini. Khusus menjual unta panggang. Kami cuba juga cari malam itu, tapi kempunan. Tapi ini satu-satunya yang buat seperti di bawah ini.



Sebaik-baik di luar kota, muncul pula perusahaan membuat nesan. Adapun, kuburan di dataran Syam serupa dengan kuburan di tanah air kerana yang ada di Mesir berbeda sekali. Banyaklah jenis-jenis nesan yang dipahat dan yang paling unik sekali, nesan dengan lambang Hezbollah. Keluarga Asad dan Hezbollah teman rapat.



Ano... Mula-mula sekali kami ziarahi Sayyidina Bilal bin Rabah Al-Habsyi radhiallahu 'anhu. Seperti yang semua kenal, beliau ialah mu'adzzin Rasulullah. Hamba hina yang tertindas, dibebas oleh Abu Bakar dan diangkat darjat oleh kerana Islam.



Berbetulan dengan lawatan kami ialah Hari 'Asyura'. Sewaktu kami menziarahi makam beberapa ahlul bayt, bersama-sama kami ialah sekeluarga Syiah. Wanitanya berpakaian litup berwarna hitam. Mereka ke setiap penjuru makam dan mencium kemudian menekapkan dahi.



Setelah menziarah salah seorang Ummul Mukminin, kami menziarahi/lalu di sebuah kuburan korban peristiwa Karbala'. Seperti di papan tanda ini, nampaknya hanya kepala mereka berada di sini.



Etto... Kerana perut pun sudah lapar, kami masuk semula ke kota mencari habuan. Beginilah Souq El-Hamidiya di waktu siang. Aku terpandang seorang makcik yang memakai niqab. Tetapi lain sedikit dengan yang biasa dilihat (kelakar). Niqabnya betul-betul di bawah hidung, menutup mulut sahaja.

Gadis-gadis Syria, waduuuh! Katanya orang, kalau pilih sambil menutup mata pun tak akan menyesal. Cerah belaka, gelapnya tiada (setakat yang nampaklah). Pakainya sopan. Kerana musim dingin, semua mengenakan baju sejuk labuh seumpama jubah. Maaf tak ada gambar.

Tuesday, November 20, 2007

Dari Perlembahan Nil ke Dataran Syam VI

Gamba lamo jah Mat Wear weh. Tapi kito putar-putar la hok baru nga lamo. Hok lamo pong buke ore tengok lagi.

Istana Azem

Ringkas dan kurang menarik entri kali ini.

Selepas bertandang mengadap Sultan Salahuddin. Kami berangkat ke sebuah istana yang tidak jauh juga dari situ. Istana Azem.



Gerbang masuk Istana Azem. Istana gabenor Uthmaniyyah di Damsyik, As'ad Pasha Al-Azem. Janganlah mengharap istana agam yang gah tersergam indah sebab keadaan Damsyik yang agak padat tidak mengizinkan. Duduk letaknya di celah-celah kota tua yang sedia sendat ini. Kami pun hampir tak perasan ada istana di situ.



Istana yang dibahagi dua kepada haramlik dan salamlik. Haramlik ialah ruang peribadi dan keluarga termasuklah dapur, rumah orang gajian dan jamban. Salamlik ialah ruang awam yang memuatkan tempat untuk tamu, dewan-dewan rasmi dan ruang hiburan.



Datang sekarang, jadi tempat pameran kehidupan gabenor lama-lama dulu. Dari sekecil-kecil kencing berak dan makan minum gabenor sampailah ke sebesar-besar upacara khatan dan keberangkatan pergi haji anak-beranak gabenor. Juga tempat pameran alat-alat senjata, itu yang aku paling suka.



Ruang legar bagaikan wajib untuk istana di zaman silam. Ada kolam dan air pancut.

Maaflah tak ada gambar di dalam. Dilarang bergambar di dalam. Kesimpulannya, dari tempat kediaman membawa ke kuburan, mereka memang suka tanam pokok oren.

Aku bakal exam esok. Doakanlah aku (mintak-mintak tak dapat cardiac cases)...

%%-

Saturday, November 03, 2007

Dari Perlembahan Nil ke Dataran Syam V


Makam Pahlawan


In 1917 Prime Minister of Britain after entering Jerusalem stated, “The crusade war has ended.” In the same year the French general, Goro went to the grave of Salahudeen-Ayubi. Salahudeen-Ayubi, the one who 730 years prier crushed the crusades and liberated Palestine & Syria he went to his grave in Damascus and kicked it and said," Wake up oh Salahudeen we are here…"

1924- Soldier of Allah



Letaknya mampir di sisi masjid besar Umawi.





Di bawah pohon oren ini, di situ juga, terletak makam pemuka-pemuka Turki.



Dia tidak ambil sebagai tentera, melainkan mereka yang bangun malam.
Dan kita menunggu bilakah dia akan lahir semula.



Di satu penjuru di makam batu, termaktub: Makam ini kosong, tiada apa-apa di dalamnya. Makam Salahuddin ialah makam kayu di sebelah. Makam ini dihadiahkan oleh Maharaja Jerman.

Kini, dengan kelesuan pemimpin serta ummah sunni dan kejaguhan Iran sertaHezbollah, berlakulah banyak fenomena tasyayyu' di kalangan ummah sunni. Apakah akan/telah sia-sia usaha Salahuddin di bumi Mesir ini? 

Sunday, October 21, 2007

Dari Perlembahan Nil Ke Dataran Syam IV






Denai-denai Damsyik

Telah sepakat pada jam lapan, tapi masing-masing kerinan. Jam sepuluh baru keluar.Tiba di rumah Syed Nahar...budak-budak itu pun baru bangkit saja. Hari ini sendiri-sendiri sahaja. Ust Nasir tidak membareng. Ada kuliah. Munir sahaja jadi pemandunya. Dia sudah kali kedua datang.

Kerinan

Telah direncana untuk bergerak esoknya pada jam lapan pagi. Ust Nasir walaupun berkuliah tetap mahu menunjuk jalan kerana kuliahnya bermula sedikit lewat. Pada jam sepuluh. Semalam sudah lelah berjalan dan malam pula tidur lewat. Pagi itu, usai bangkit subuh tidur semula. Kemudian, Mede Sapar mengejutkan. Sudah jam sembilan tiga puluh! Aduh, kerinan. Kesiangan. Rumah itu sudah sepi. Tuan-tuan rumah di bilik sebelah itu mungkin sekali sudah ke kuliah. Langsung tidak berbunyi. Mede Sapar sudah siap siaga dengan air bau semerbak melitup badan seperti biasa. Dia naik atas tangga gegar itu mahu memeriksa Ust Nasir sementara aku mandi.

Selesai. Aku pun turut naik tangga goyang itu. Atas sutuh itu angin tiup kuat. Tapi terhalang dek gebar-gebar kanvas di keliling dan di atas. Di situ tempat jemuran mereka dan ada sebuah mesin basuh di situ. Cuma ada sebuah bilik di situ. Bilik Ust Nasir. Nyata dia juga turut kerinan. Aku tidak masuk kerana segan dan takut dia pula yang segan. Cuma terdengar bualan Mede Sapar dengan Ust Nasir sambil cuba-cuba untuk melihat ke luar tapi gagal.

Budak-budak di rumah Syed Nahar pun tidak datang lagi. Kerinan jugalah itu. Akhirnya aku dan Mede Sapar pun keluar berdua sahaja melalui denai-denai Damsyik yang masih sunyi. Ust Nasir berkali-kali meminta maaf kerana tak dapat meneman tetapi dia ada bekalkan kami dengan dua helai peta Damsyik. Tidak apa, Munir pun boleh jadi penunjuk jalannya.

Di rumah Syed Nahar, tuan-tuan rumah bersembilan sudah tiada. Hazri yang membuka pintu dan hanya dia yang jaga. Baki lagi masih bergelimpangan. Sambil-sambil menunggu mereka sedia aku curi peluang melihat rumah aneh itu dengan lebih dekat.

Ya, aneh sekali. Dapur mereka duduk di tengah-tengah jalan naik ke tingkat dua. Dan pintu dapur pula duduknya tinggi sedikit dari tangga. Kalau mau memasak harus melompat sedikit ke dapur. Dalam pada itu, Fatah pulang. Dia mau gorengkan nasi untuk kami. Sudah berbelah bahagi, kalau mau terima kami sudah lewat, kalau menolak kasihan dia pulang awal semata kerana kami. Akhirnya sepakat menolak pelawaannya walaupun kedua belah pihak berkeras. Fatah mengalah.

Falafel Yasser

Keluarlah ke kota Damsyik dengan ingat-ingat lupa jalan yang ditunjuk Ust Nasir semalam. Kami melintas sebuah pejabat kerajaan, balai polis barangkali. Pada atas gerbangnya tertulis slogan

سورية للأسد الأسد للأبد
(Syria untuk Al-Asad, Al-Asad berabad-abad/selamanya)

Aduh, karat nasionalis campur taksub dictatorship. Abang Mat (Mohammad Hosni Mubarak) kita pun tidak sefanatik begini. Kelakar!



Masing-masing lapar. Jadi menjenguk-jenguk kedai makan. Terjumpa sebuah kedai falafel. Jadi makan di situ sahaja.

Bagi mereka yang pernah ke timur tengah pasti biasa melihat atau memakan falafel. Tapi kalau ke Mesir tidak kan terjumpa falafel melainkam to’miah sahaja. Maka, apakah bezanya falafel dan ta’meya? Adapun kedua-duanya adalah makanan atau snek utama timur tengah yang dibuat daripada kacang fava atau chickpeas (aku tidak tahu dalam bahasa melayu, kacang butir yang selalu dijual di stadium atau tempat ceramah) atau kedua-duanya sekali. Kacang ini direndam, dikisar bersama daun kayu apa entah dengan mesin yang unik kemudian digoreng.

Bedanya ialah, falafel dibentuk dengan acuan khas dan dimakan dengan roti pita gulung. Ta’meya dibentuk dengan tangan dan dimakan dengan roti ‘eish.

Di dalam kedai falafel tersebut, ada gambar pengasasnya seperti juga di Mesir. Tetapi di bahagian bawahnya ditulis Al-Fatihah tidak seperti di Mesir. Di tepi peti Pepsi itu ada sebuah water cooler moden yang mengekalkan konsep bandar-bandar lama Islam timur tengah iaitu menyediakan tempat minum air bagi orang ramai. Pada air sabil itu tertulis, disumbang oleh filan bin fulan sedekahkanlah al-fatihah untuknya...

Masjid Besar Umawi

Beruntung duduk di Bab Shrijeh. Kerana kami duduk di pinggir kalau pun tidak di dalam Kota Lama Damsyik. Jalan-jalan sedikit di celahan pasar, sudah sampai di Masjid Besar Umawi. Seperti sudah berjanji, kami tiba baik-baik sahaja zohor. Solatlah di situ. Pun tiada sempat mendengar azannya yang dikatakan dilaungkan serentak tiga atau lebih muadzzin.

Umat Syam rukuk dan sujud dengan pendek. Sama seperti di tanah air. Umat Mesir rukuk dan sujud mereka panjang-panjang, lama-lama.



Ruang solat dalam masjid pendek tetapi sungguh lebar. Memuatkan makam kepala Nabi Allah Yahya. Yang telah menyampaikan risalah kepada raja Rom yang mahu menikahi anak saudaranya sendiri. Nabi Allah Yahya menegah dan raja ingkar lalu nabi Allah itu dipancung.



Setelah bertanya seorang makcik, katanya inilah tempat kononnya dipancung kepala nabi Allah yang mulia dan ditadah kepalanya. Tiba-tiba ada orang buat-buat alim tiada mahu bergambar di dalam masjid. Aku pun tersekat angin dan kuranglah gambar di bahagian dalam.

Masjid ini asalnya ialah gereja St. Joh The Baptist, untuk Nabi Yahya juga. Setelah Damsyik dibuka, umat Islam mungkin sekali belum mampu membina masjid. Maka mereka menumpang atau menyewa sebahagian gereja ini dan telah bersepakat, Jumaat untuk muslim dan Ahad untuk nasara. Lama-kelamaan umat Islam diriwayatkan membeli seluruh bangunan gereja ini. Lamun, kedapatan riwayat barat yang mengatakan gereja itu diruntuhkan dan masjid yang datang sekarang ada ini adalah binaan yang baru.



Menara yang dipanggil Menara Pengantin.



Kubah Helang yang letaknya betul-betul di tengah ruang solat utama. Sama betul dengan mihrab. Barangkali.



Mozek emas. Ciri unik pada masjid ini. Dikatakan tinggalan yang kekal daripada gereja. Mozek menggambarkan keadaan kota Damsyik dan kemakmurannya.



Di sini juga dikatakan antara tempat ditanam kepala cucu Rasulullah yang mulia, Sayyidina Hussein selain di Mesir. Tidak masuk kerana sedang islah.



Pancur air buat ambil wudhu'.



Binaan yang paling popular di masjid ini, Beit El-Mal.



Menara yang dipanggil Menara Isa. Kerana diriwayatkan dari riwayat yang datang entah dari mana, Nabi Allah Isa akan muncul di sini pada akhir zaman nanti.



Ruang legar masjid cukup luas. Sampaikan tidak sempat diberi perhatian. Penuh tahi burung.

Saturday, April 07, 2007

Dari Perlembahan Nil Ke Dataran Syam III

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihi

Beit ‘Arabiy




Rumahnya Syed Nahar

Pulang semula ke Damsyik. Hari sudah jauh malam. Kami dibahagi dua. Aku menumpang tidur di rumah Ust Nasir. Lain-lain menumpang di rumah Syed Nahar teman sekolahan Pak Ten dahulu.

Kata orang-orang tua kita, jauh perjalanan luas pemandangan. Benarlah juga kata-kata itu. Di hadapan kami terdapat pemandangan yang luar biasa bagi kami. Rumah-rumah di Syria yang berbeda sama sekali dengan rumah-rumah Kaherah yang berbentuk pangsapuri.

Rumah yang rekabentuknya dipanggil beit ‘arabiy. Tidak seperti di Kaherah yang mana satu bangunan punya banyak rumah-rumah di dalamnya tetapi di Syria setiap satu bangunan mengandung sebuah rumah sahaja. Bermakna, setiap rumah punya tingkat satu atau dua atau tiga. Sesuatu yang hampir tiada di Kaherah! Melainkan rumah pegawai-pegawai di Zamalek.

Sobia



Seperti Tajuk di Atas

Mudah sekali kesejukan di rumah Syed Nahar kerana ruang terbuka yang ada. Jadi kami masuk ke dalam berehat-rehat dahulu sebelum aku dan Mede Sapar ke rumah Ust Nasir. Di dalam bilik tamu yang luas itu, ternampaklah oleh kami suatu alat perkakas yang tiada pernah dilihat sebelum ini. Begitu pun, sudah dapat dijangka kegunaan alat ini kerana nampak nyata paip serombong asap yang besar bersambung dengan badannya naik ke atas bumbung rumah.

Sobia berfungsi dengan bahan bakar diesel. Minyak disel dituang ke dalam tangki yang terletak di atas paip kecil di tepi badan sobia (tempat bakar). Selepas itu sebuah pelaras pada pangkal tangki dilaraskan untuk membolehkan minyak mengalir ke dalam tempat bakar. Minyak akan menitis setitis demi setitis ke dalam paip dan seterusnya ke dalam tempat bakar. Jika dilaraskan supaya minyak menitis lebih laju, api akan menjadi lebih kuat tetapi minyak dapat bertahan sekejap sahaja. Tetapi jika dilaraskan lebih perlahan api akan lemah tetapi minyak dapat bertahan lebih lama. Selepas itu mancis dinyalakan dan dilempar ke dalam tempat bakar melalui ‘tingkap kecil’.

Kata mereka, paling maksima sobia dapat bertahan selama hampir 12 jam. Begitu pun, sobia tidak boleh dibiar hidup jika mahu tidur. Juga, kalau sobia itu sudah agak tua, satu bilik bakal berbau disel...

Rumah Ust. Nasiruddin

Katanya Ust Nasiruddin, rumahnya bukan beit arabiy yang asli. Pun begitu sudah cukup aneh bagi saya. Rumahnya kecil sahaja tetapi tiga tingkat semuanya. Paling bawah memuatkan bilik air, tandas dan dapur. Tengah ialah bilik tidur dan ruang tamu. Atas sekali ialah sutuh dan bilik Ust Nasir sendiri. Kami tumpang diam di ruang tamu itulah yang ditutup dengan langsir. Bilik sebelah tidak pernah saya masuk. Usik tidak intai pun tidak. Bilik Ust Nasir atas sutuh tempat jemuran dihubung dengan tangga kayu yang kalau dipanjat akan bergoyang-goyang. Seram.

Mangkuk di dalam Mangkuk

Susunan rekabentuk beit arabiy mengikut cara Islam. Tandas dan bilik air dibina berasingan. Tandas pula semuanya jenis mencangkung dan tiada yang jenis duduk. Waktu itu saya pun terfikir, moden pula Kota Kaherah saya.

Selangkah ke dalam tandas, saya jadi terkejut. Ada mangkuk kecil menutup lubang mangkuk tandas! Selera hendak buang terbantut. Saya tanya Ust Nasir bagaimana, ia mungkin sudah biasa dengan pertanyaan itu. Senyum dan cuma menyuruh saya ‘buang dulu baru tahu’. Sedang-sedang di dalam itu, fikiran saya mula berputar. Apakah setelah buang atau apabila mangkuk kecil sudah penuh, perlu diangkat mangkuk itu dan isinya dibuang ke tempat lain. Aduh...kuno!

Ketika asyik berfikir itu tiba-tiba SNAP! Saya intai dibawah. Sudah tiada! Barulah saya faham sekarang. Esoknya kami berbincang-bincang hingga kami ketawa. Antara kami yang pernah ke tanah suci menceritakan perkara yang sama ada di sana. Orang-orang yang berhajat semuanya terbantut. Masing-masing menahan sehingga ada yang berani menyuarakan. Akhirnya yang berpengalaman pun menjawab. Kalau buang itu biar berat sedikit.

Saya dapati ada dua kebaikan tandas serupa ini
• Menjimatkan air kerana tidak perlu disimbah
• Tiada masalah air mangkuk tandas terpercik

Cuma yang dibimbangkan, kalau hasil buangan itu tidak cukup berat. Payah juga.

Dari Bab Srijeh Ke Medan Marjeh



Medan Marjeh 1925, tiang besar di tengah itu datang sekarang pun masih ada

Malam itu, walaupun hanya bersiram dan rehat sekejap sahaja kaki ini masih mahu berjalan. Kononnya sambil merencana untuk esok. Tapi sebenarnya perut lapar yang mendorong. Ust Nasir membawa kami ke luar. Dari kawasan rumahnya Bab Srijeh ke pusat bandar Damsyik lama, Medan Marjeh. Pendek kata, Medan Marjeh samalah tarafnya dengan Medan Tahrir dengan hotel-hotelnya dan restoran-restorannya. Di situ kami menukar wang belanja dan Munir mencari-cari tempat makan. Kerana ia tahu dari perjalanannya kali yang dahulu kedai itu sahaja yang sedap. Atau kedai itu sahaja yang ia tahu.

El-Wardah El-Syamiyyah



Kabsah Ayam dan Mozza

Kedai itu ditemukan. Semua pun pergi beramai-ramai. Kedai yang kecil sahaja. Dapurnya pun muat-muat untuk dua pekerja. Kabsah ayam dan mozza (peha kambing) dipesan. Restoran kecil itu bertaraf dua bintang sebenarnya di sisi Kementerian Pelancongan Syria.



Ulam dari Syam

Malam Di Kota

Malam itu kami makan hingga perut hampir pecah. Kerana masing-masing berdegil mahu makan salad pembuka selera walau ada yang melarang. Akhirnya tinggallah kedai itu dengan baki kabsah yang tidak mampu lagi masuk. Rugi. Demi tidak tidur dengan perut kenyang, perjalanan diteruskan. Belum puas, sambil merancang-rancang untuk esok. Dalam sejuk-sejuk malam yang sudah jauh, Ust Nasir mempin kami dari Medan Marjeh ke Kubu Lama Damsyik.



Bab El-Faraga

Kami masuk ke dalam kawasan kota menyusuri Sungai Barada melalui pintu Al-Faraga. Damsyik sudah lama sepi dan kabus-kabus pun sudah mulai naik ke permukaan. Sekali-sekala ada kereta meluncur laju keluar dari kubu. Pukulan roda kereta ke atas jalan lama berbatu mengeluarkan bunyi seakan derapan tapak kaki kuda. Bagaikan telah kembali ke zaman silam. Zaman Mu’awiyah.



Kupu-kupu Malam

Akhirnya sampailah ke sasaran utama Kota Damsyik. Masjid Agung Damsyik – mungkin sekali jika ia di Indonesia – atau Masjid Umawi. Dari atas jejambat sebelum masuk ke kota, sudah nampak ‘kubah helang’nya. Cuba ambil gambar tetapi tidak jadi kerana tidak pandai. Di situ Cuma dapat lihat pintunya yang besar dan ‘menara pengantin’ yang dibaluti lampu-lampu. Tidak masuk. Pintu sudah tutup rapat. Jauh malam.



Romantika Souk Hamediyya

Souk Hamediyya




Kuil Jupiter

Setelah puas melihat-lihat dari luar walaupun yang nyata cuma berlalu sahaja, beralih pula ke sebelah kanan. Melalui puing-puing gerbang batu yang merupakan tinggalan kuil Jupiter kami masuk ke pasar Hamediyya. Menurut apa yang saya baca setelah pulang, pembinaan ini adalah antara usaha-usaha Khalifah Sultan Abdul Hamid II untuk menguatkan kembali khilafah dan menyatukan ummah.



Di mana ini? Di Istanbulkah atau di Eropahkah?

Pasar sudah lama mati. Yang tinggal hidup cuma lampu-lampu sahaja. Lampu-lampu mentol malap yang bergantungan di atas setiap pintu kedai. Pasar bergaya Victoria dengan lampu mentol malapnya, lantai jalan berbatu dan bumbung zink melengkung tinggi melangit. Cukup romantik. Kata Syazwan, suasana di situ persis Istanbul. Maklumlah, siapa pun yang membinanya. Kami melalui pasar yang lengang itu melalui jalannya yang lembab-lembab basah. Bukan sebab dingin cuaca, tapi bekas orang mencuci kedai.



Tempat guru kami mengaji

Kami berjalan sampai ke luar. Sampai kembali ke jalan tar, ke kemodenan. Sebelum itu kami membelok menyelit ke celah-celah pasar kerana Ust Nasir ingin menunjukkan Darul Hadith An-Nabawi As-Syarif. Dikatakan tempat ulama-ulama besar lama-lama dulu mengajar dan mengaji. Munir sungguh-sungguh mahu kami ambil gambar papan namanya. Kalau datang siang-siang hati taubat tidak jumpa...



Sultan Salahuddin An-Nasir

Keluar ke jalan besar di depan Kubu Damsyik. Di depan itu ada patung Salahuddin. Bangsa Arab masa kini, segalanya dari barat pun ditelan. Segala tokoh pun mau dipatungkan. Mujur Nabi SAW tidak dibuat begitu. Kisah Salahuddin pun pernah dibangsakan kisahnya dalam sebuah filem tahun 70an. Padahal mereka lupa satu faktor. Salahuddin Kurdi.



Damsyik, di sebelah kiri itu mahkamah

Hampir di'pau' secara halus oleh askar Syria disitu...