Showing posts with label Menanak Menggulai Menyayur. Show all posts
Showing posts with label Menanak Menggulai Menyayur. Show all posts

Friday, May 10, 2013

Keladi Canek




Pok Jak telah mengaturkan supaya aku menjadi bidan terjun dalam tim luka. Banyaklah yang diajar makcik-makcik misi dalam tim luka itu. 

Misalnya, ada tiga larutan untuk mencuci luka dan yang paling biasa dipakai ialah dermacyn. Adapun, wujud sepuluh jenis bahan untuk membebat ( ya, istilah melayu untuk dressing ialah bebat) luka bergantung pada kondisi luka itu. Maka bahan-bahan itu ialah hydrogel, hydrocolloid, satu lagi geng hydro tak ingat, polyment, alginate, perak, madu, foam dan filem.

Ketika berborak dengan makcik-makcik misi itu teringatlah aku pada salah satu pembebat luka orang-orang dulukala seperti yang dibarikan mama dan Esah iaitu keladi canek. Adapun terkadang disebut orang keladi candik.

Zaman hari itu ketika rak masih banyak, kalau masuk mudah sangat menemukan keladi canek duduk berpayung bawah dahan-dahan rendang pohon besar lainnya. Orang muda macam aku takkan kenal pokoknya melainkan pada buahnya yang bergugus jingga ketika masak. Kata orang buahnya beracun tapi entah macam mana jadi kegemaran burung merbah jambul. Sebab itu juga orang luar memanggilnya keladi merbah.

Adapun yang menjadi ubat dan bebat luka itu ialah kulitnya yang disiat dan dibalut pula pada luka. Insya Allah Taala luka cepat siar. Makcik-makcik misi menambah lagi tentang daun kapal terbang yang dikunyah atau ditumbuk kemudian dicomor pada luka.

Kemudian kami berborak lagi tentang buah-buah kayu tradisi yang makin pupus lantaran kemajuan dan tiada nilai komersial lalu tak terkenal lagi pada lidah anak-anak muda. Buah keranji yang masyhur dalam pantun itu, buah terajang, buah keriyat, buah kecupu, buah gorek, buah batu pelir pelanduk. Keladi canek dalam gambar ini pun nasib-nasib tumbuh di belakang rumah sewa Yah Adam dan aku terperasan ketika masuk dapur rumah abang Zack.

Pertama kali cerita tentang tempat kerja dekat sini ...

Friday, March 29, 2013

Cuscous


Dari Kartago ke Kairouan V


Kata orang tua-tua, malas menggarit perut perit. Dengan motivasi perut aku bergarit sedang tempat tujuan tegal dikenal pasti ketika mencari-cari hotel tadi. Menurut pengalaman dan pengajaran berpergian ke Setambul-Parsi tempoh tahun moleklah makan di restoran rakyat sahaja. Murah harga kenal budaya.

Sebab tujuan itu hendak mencari makan sambil-sambil melaksana kerja-kerja reconnaissance bagi memudahkan kerja jalan esok-esoknya, aku mengenakan sepasang selipar jepun semata. Sempat juga anak muda tempatan perasan seraya menegur, "Kau tak sejuk?"

Sewaktu melilau-lilau mencari hotel itu, syahdan ternampak aku kedai makan kecil di lorong pencil Rue Mustafa Mbarek. Mat'am al-Barakah dan menu dalam kepala aku sudah tentu, couscous. Couscous pertama yang aku rasa ialah di Mesir, buah tangan Baba, jiran Arab kami yang pertama.

Di Mesir couscous dikukus bersama kismis, sekali-sekala buah badam lalu ditabur kelapa parut dan dituang sedikit susu, dimakan sebagai pencuci mulut atau dijaja sebagai jajan di tepi-tepi jalan. Kali yang akhir aku menikmati couscous ialah di Khan Khalili ketika membeli-belah buat kali penghabisan sebelum meninggalkan Mesir.

Cuscous ialah hidangan tradisi masyarakat Berber merangkap makanan ruji negeri-negeri Afrika Utara dari Libya sampai Maghribi. Biasanya dihidang bersama stu daging atau ayam serta sayuran. Menghasilkan couscous dengan cara tradisi adalah satu proses yang renyah.

Semolina yang telah ditabur gandum durum hendaklah direnjis dengan air kemudian digentel menjadi butir-butir halus. Butir-butir ini kemudian diayak dan ketulan yang tidak melepasi penapis akan digentel semula. Proses ini diulang-ulang sehingga couscous yang halus terhasil.

Kebetulan aku sampai ketika kedai hampir katup. Jadi aku dijamu dengan couscous penghabisan stok. Walaupun dalam menu diasingkan couscous daging, couscous ayam tapi aku dihidang dengan semua jenis lauk yang ada. Tauke pun bermurah hati menghabiskan semua couscous ke dalam mangkuk aku. Mat'am Barakah memang berkat. Perut pun sudah kenyang buntal. Kerja reconnaissance nampak gaya kurang jaya. Balik hotel saja. Tidur ...

Tuesday, January 31, 2012

Pempek Palembang

Pempek Kapal Selam
Pempek ialah makanan khas Palembang diperbuat daripada sagu dan ikan.

Lantaran menyambut ulangtahun puja umur Pengerusi ISMA yang hadir bersama anak istri di Restor Pempek Tulen Palembang, Hayyu Asir.

Tekwan
Sup pempek dalam kuah udang campur bihun.

Besdey boy kedua dengan remos Justin Bibir mengadap kek aiskerim.

Pempek Lenggang
Telur dadar berinti pempek.
Konon nama pempek berasal daripada apek karena yang pertama menjualnya ialah seorang apek tua.


Mugi-mugi Teuku Ambe berjaya dalam rencana-rencananya untuk berlibur di Tanzania, Kenya, Morocco atau Uzbekistan.

Mie Ayam Bakso
Hidangan yang paling kenakan.

Malam itu jua orang Korea mengajarkan kami tiga cara membuat aegyo. Tapi semua tak sanggup karena takut menjadi mangsa blog Jilaka nohorom.

Yah! Rileks dulu sementara keputusan ujian akhir terbit.

Monday, October 24, 2011

Pisang Derhaka


Aku terpaksa meredah segala nyamuk aedes (dalam kamus dewan cakap nyamuk rimau) dan nyamuk tiruk (culex) demi membuat photoshoot ini terima kasih kepada air cha rumah Mak Som di sebelah. Pun ,tak berjaya mendapat shot yang elok lantaran laman sudah hutan berdaun terima kasih kepada anak jantan yang ramai termasuk aku yang tak boleh diharap.

Banyaklah pisang dalam alam melayu kita macam pisang emas, pisang tanduk, pisang raja, pisang awak, pisang lemak manis, pisang kelat keling, pisang kelat jambi, pisang raja udang, pisang rastali, pisang embun, pisang kebatu, pisang mentalun, pisang kaki? Inilah dia pisang derhaka.

Adapaun pisang ini dianggap menderhaka kerana jantungnya ingkar tiada mahu tunduk tumbuh ke bawah tapi naik menjulang ke atas. Sebagai balasan atas penderhakaannya, pisang ini tak tumbuh tinggi malah tak berbuah pula ...

Friday, October 07, 2011

Biskut Arab

Lama jugak saya duduk di negeri Arab tapi tak pernah saya jumpa biskut raya begini. Biskut yang saya pernah jumpa rasa lemak-lemak semata tepung tawar heber saja. Jadi tak tahulah saya dari mana atau di mana Arabnya biskut ni.

Adapun nak membuat biskut ini paling mudah di dunia. Ini sajalah biskut yang adik saya suka/tahu/rajin buat. Kenapa saya tak tahu lagi awal. Kalau tidak tiap-tiap hari pun boleh makan kuih raya. Lamun, yang menyusahkan untuk membikin biskut ini ialah bahan yang paling utama iaitu kerajinan. Maka sebagai abang mithali yang memanjakan adik sendiri saya pun cubalah buat sendiri lepas-lepas zohor sambil menunggu masuk dapur lepas asar.

Apapun, bahan yang butuh ialah
  • Minyak sapi
  • Gula Kastor
  • Tepung Gandum
Nisbah antara gula kastor dengan minyak sapi ialah 1:1 manakala nisbah antara minytak sapi dengan tepung gandum ialah 2:1. Sebermula, gula kastor dan minyak sapi dikacau hingga sebati. Kemudian, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kacau hingga rata. Selepas itu, langkah yang paling leceh melainkan ada banyak kakitangan ialah gentel mengikut bentuk yang disukai -bentuk yang diterima umum ialah bulat. Akhirnya, bakarlah dalam ketuhar pada suhu 150 darjah Celsius selama 20 minit.


Bagaimanapun, biskut saya gagal sejak dari mula sebagaimana percintaan saya juga. Belum pun habis masuk tepung sudah jadi keras dan kering. Akhirnya sebab minyak sapi dah habis, tambah marjerin saja yang menyebabkan biskut jadi terlalu lembik dan dalam ketuhar jadi leper pula.

Pada malamnya, dalam perlawanan Scrabble hampir berlaku perdebatan antara saya dengan abah yang menegaskan ghee ialah jenama sedangkan saya pula menegaskan ghee ialah istilah.

Sunday, October 02, 2011

Teen Shouky

Aku fikirkan mendung berterusan tapi kini mentari muncul lagi. Mati-mati aku ingat musim dah dingin atau sekurangnya hawa sedang elok. Bolehlah aku menapak berjalan dengan riang. Tapi macam yang Wamap cakap, tahun ni winter cancel 'aasyan thaurah (sebab revolusi). Sekarang semua pun mogok. Cikgu sekolah mogok, doktor hospital mogok, drebar bas panjang mogok, polis dekat Maadi pun mogok. Nampaknya dengan winter sekali nak mogok.

Kalau musim-musim hangat tengah puncak macam hari tu sedap betul kalau dapat makan buah kaktus. Takjub betul zaman muda dulu tengok orang jual buah kaktus. Bila tengok balik rupanya biasa sangat buah kaktus ni kat tempat lain. Kampung kita saja yang tak ada. Adapun buah kaktus ni orang putih panggil prickly pear yakni buah pear berduri atau orang arab panggil teen shouky yakni buah tin berduri. Tak ada kaitan langsung, macam pineapple jugak. Tak ada kaitan pun dengan pokok pain apatah lagi epal. Tapi ada kaitan dengan setroberi.

Adapun buah kaktus ni memang dari pokok kaktus. Kalau nak nak beli mesti makan di situ jugak sebab nak mengupasnya memerlukan pisau dan skill. Tuan kedai pun pakai sarung tangan nak tolong koyak. Boleh jugak beli bawak balik tapi kena bawak plastik sendiri. Bawak balik rumah letak dalam ice box lepas tu makan sejuk-sejuk. Itu yang member arab Israk ajar dulu. Sebijik ada dalam rubu' hingga nus genih ikut saiz. Rasanya hawa-hawa manis begitu. Ya, macam dragonfruit cuma bijinya besar. Buah ni awal keluar ke pasaran warna hijau. Lama-lama jadi kuning, lama-lama jadi merah tapi rasa sama saja kot.

Di Mesir pokok teen shouky ditanam di tepi kebun, atau di tepi landasan keretapi atau mana-mana tanah kosong yang tak subur untuk pertanian. Di Australia pada mulanya orang perkenalkan pokok ini untuk dijadikan pagar rumah tapi lama-lama menyebabkan kerosakan ekologi pulak. Pokok prickly pear ini jugak ada dalam jata negara Mexico yang menggambarkan lagenda pengasasan Mexico yang mana seekor helang bertenggek atas pokok ni yang tumbuh di atas seketul batu di tengah tasik sambil makan seekor ular orok-orok.

Bertahun-tahun lamanya aku teringin nak pukul gambar buah ni atau orang jual buah ni tapi tak ada kekuatan. Segan takut tuan kedai marah. Nak bodek buat-buat comel pun dah memang tak comel. Jadi orang yang takdirnya macam aku ni yang terpaksa bergantung kepada usaha pun memintalah dengan penuh sopan (setelah beli seketul dua). Tuan kedai pun cakap, " 'Aadi!" (Biasalah bro, amik gambar je pun!).

Thursday, August 11, 2011

Laksa Johor



Oh, rupanya laksa Johor pun makan pakai tangan jugek.
Air tangan Wawan, islam eedak.

Thursday, July 28, 2011

Kebab Lagenda Medan Geish

Ia cukup popular di kalangan mantan-mantan penuntut di Mesir era 70an. Mereka yang baya-baya Dr. Abdul Rashid Dail atau Datuk Dr. Haron Din misalnya. Sejak itu ia menjadi buah mulut mereka. Meniti di bibir mereka dan turun pula pada keturunan dan anak murid masing-masing tentang kehebatannya. Kalau yang punya rezeki untuk menjejak kaki sekali lagi ke tanah hitam Nil ini pasti mencari. Memburu. Inilah dia Abou Gasir, kebab lagenda Midan Geish.

Tahap lagendanya yang tinggi hingga ada khilaf yang mana satu kedai yang asli. Menurut orang tua-tua kami. Abou Gasir ini lebih rajih. Kini Kang Mede Sapar kembali. Menebus hutang ziarah makan di sini. Tapi rugi, aku lupa nak ambil gambar papan tanda kedai. Dalam filem kungfu/wuxia, papan tanda cukup penting. Maruah.

Thursday, December 16, 2010

Bubur Husin

Nasi telah menjadi bubur, bubur telah menjadi . . . ? Nasik?!

Biarlah orang lain buat bubur asyura gaya Utara yang manis, ala Pantai Timur yang spicy atau versi Selatan yang lemak. Biar saya buat bubur pulut hitam saja sebab saya suka. Bubur pulut hitam, ada orang campur terus santannya, ada orang diletak asing kepala santannya. Kata mama, orang-orang hilir, orang-orang Kota Bharu saja yang buat begitu -letak asing. Macam orang Jepun pulak yang makan nasi merah lepas kebah demam.

Bila cakap pasal puasa asyura, saya teringat Tok Guru Nik Aziz dalam salah satu kuliah pagi Jumaat. Ketika itu Tok Guru Haji Hadi masih lagi MB, tiba-tiba tok guru terdiam:

"Allah ... (mengomel perlahan sorang-sorang) Allah ... Ambo tok ingat sunggoh. Baru ni ... Ambo gi mesyuarat rajo-rajo, pahtu ore jamu makey. Ambo ambik kuih, Haji Hadi tok ambik. Ambo minum air. Haji Hadi tok minung. Ambo dok mikir bakpo. Lepah lamo dok mikir baru ambo teringat, ambo lupo nok poso. Tu lah, dok besaing nga pok-pok ni pah ko kito lupo. Allah ... Tu lah, tahung depey pakak-pakak poso belakolah."

Rakyat marhaen tergelak saja dengar cerita.

Monday, November 29, 2010

Gajus, Janggus dan Ketereh

Gajus, Janggus atau Ketereh semuanya sama. Buah yang terkenal kerana bijinya letak di luar. Ada orang cerita buah Ketereh terkejut, sebab apa lupa, sampai bijinya tersembul keluar. Apa pun pucuk ketereh memang sedap dibuat ulam. Masam-masam. Kalau Che Rohim, buahnya yang rasa aneh itu pun sedap dibuat ulam. Dan ya, yang terkenal pada buah ketereh tentulah bijinya.

Inilah pohon Ketereh yang terkenal di kampung kami kerana letaknya di atas kuburan. Dibajai oleh jasad-jasad manusia. Zaman sekolah dulu, hujung-hujung minggu saya pernah bersama sepupu datang ke sini mengutip bijinya yang gugur. Aktiviti yang juga terkenal di kampung itu. Kemudian bijinya kami goreng/panggang dahulu -buat di luar rumah sahaja- sebelum dimakan.

Menggoreng atau memanggang biji ketereh perlu hati -hati kerana getahnya memercik- sebab itu buat di luar. Kalau terpercik baju payah tanggal. Kalau terpercik kulit rupanya jadi macam keruping luka. Dua tiga hari juga baru tanggal. Orang tua-tua selalu pesan -takutkan- kalau terkena getahnya boleh jadi cacat. Boleh jadi adhesion kalau terkena bucu mulut. Asapnya pun bukan main tajam baunya. Tak macam asap biasa.

Baru-baru ini baharu saya tahu apa atau siapa yang ada di bawah pohon itu. Di perdu pohon itulah bersemadinya moyang kami Haji Ismail yang identitinya masih menjadi misteri. Menurut Mama memang Haji Ismail berasal dari kawasan itu -Pasir Tok Kambing. Tapi tak dapat dipastikan apa kerja atau pangkatnya sampai kebanyakan daripada sepuluh orang anaknya -majoriti lelaki- bertugas sepagai penggawa atau penghulu dari kawasan Pengkalan Petah sampai Pengkalan Datu sampai ke Kedai Lalat/Kota Jembal.

Menurut Mama lagi, zaman Mak Piah -nenek saya- masih muda dan baru bernikah dengan Tok Ayah, dia tinggal bersama-sama Tok Ayah Ka -abang Tok Ayah saya yang sulung, Tok Ayah saya bongsu- mengasuh anak kecilnya. Sekali-sekala mereka akan pinjamkan segala gelang, pending, dokoh dan pontoh emas kepada Mak Piah. Kalau ditanya kenapa atau nak ke mana akan dijawab, "Ngadak Tueku."

Thursday, September 09, 2010

Colek Kerang

Bulan puasa beginilah masanya orang berlagu, mengabeng dan sebagainya. Mulut mula mengarut terasa nak makan segala benda. Ketika inilah muncul colek kerang mengubati lecah-lecah mulut orang berpuasa. Aku mula sedar budaya ini ketika di sekolah menengah. Orang biasanya membeli dan memakan colek kerang selepas balik terawih di balaisah. Kerang rebus atau bakar yang dicelp di dalam sos pencicah. Mmmm~ 'sedap menenggak' (terlenggak?) kata orang Kelantan atau 'pecah kepala' kata orang Kedah sampai mak mentua lalu di belakang pun tak sedar.

Berhari rayalah dengan selamat kerana pada malam raya ini, macamnya Jepun telah kembali mendarat di Kota Bharu ...

Monday, September 06, 2010

Nekbat

Masa mama mengandungkan aku dia mengidam kuih ni. Tapi mana nak cari kuih ni kat Iowa? Kuih penuh tradisi ini cukup sinonim dengan bulan puasa tapi boleh saja jumpa hari-hari atas pasar. Sekali pandang nampak macam kuih bahulu kena rendam. Tapi saiz asalnya lebih kecil. Kira-kira sebesar hujung-hujung ibu jari tangan begitu. Bahannya pun lain. Selepas disira baharulah kuih ni berkembang menjadi sebesar kuih bahulu. Biasanya orang jual yang siap disira kadang-kadang boleh balik sira sendiri di rumah. Kuih yang cukup sesuai untuk warga tua.

Kaifiyat sira

Mudah saja. Kaedah yang piawai untuk menyira pisang atau labu punggi. Mula-mula masak air gula. Masukkan daun pandan dan bunga cengkih. Tunggu sehinga mendidih kemudian masukkan apa-apa yang hendak disira. Untuk pisang atau labu mungkin boleh dimasukkan awal-awal sebelum menggelegak. Untuk labu mungkin ada persediaan khusus sebelum menyira seperti direndam dalam air kapur lebih dulu.

Makcik-makcik suri rumah sila betulkan saya yang masih bujang ini.

Monday, August 16, 2010

Cay

There is something peculiar about Iranian tea. Sudahlah tulis Inggeris setakat tu, aku cuma nak guna perkataan 'peculiar' tu saja.

Pertama, pada gulanya. Gula di rantau ini dari Mashhad sampai Edirne semuanya dalam bentuk ketul-ketul besar. Cuma di Turki, gulanya dalam bentuk yang lebih moden. Gula pasir dimampatkan dalam bentuk kiub-kiub kecil. Di Iran lebih tradisi, gulanya dari ketul gula yang besar kemudian diketuk-ketuk menjadi ketulan kecil. Pergi kedai minta gula sekilo dari tauke, nanti tauke ketuk-ketuk gula kasi.

Kedua, cara meminumnya. Ambil seketul gula. Masukkan kedalam mulut. Kemudian minumlah teh seperti biasa. Orang Iran tidak membancuh gula di dalam teko atau gelas mereka. Sebaliknya teh akan menjadi manis apabila bercampur-aduk, berselisih dan bergelumang dengan gula yang dikemam di dalam mulut terlebih dulu.

"Slruuup ... Ah! Sedapnya nikmat teh ni," kata Israk.

Wednesday, March 31, 2010

Ho Sik

Telinga kera
Antara lauk wajib kalau orang Cina sendiri yang makan selain batang sayur hijau mesti ada telinga kera goreng ni. Sekali lagi kena dengan selera Orang Muar, masam-masam.

Ka Meng
Hah, ini yang paling grand. Daging kambing masak sup pekat lada hitam. Aromanya, pergh! Dagingnya lembut sesekali macam span, sesekali macam getah. Tapi harganya pun grand beb.

Tang Chu Yue
Apa pun, ini yang paling best. Satu-satunya lauk yang diketahui namanya sebab Orang Muar salin. Ikan yang digoreng rangup kemudian disiram dengan kuah sweet and sour yang akan-akan masak merah. Yue adalah ikan.

Tuesday, March 16, 2010

Sihk Faahn ah, Sihk Faahn ah

Orang lain sibuk berdaurah, aku sibuk mentekedarah. Dengan tunjuk jalan abang Daus kami pergi ke salah satu restor cina yang ada dekat Arma. Lain semua taraf warung yang ini saja five star. Nama restoran tak tahu, nama nama lauk pun tak tahu, semua tulis Cina.


Kuey Teow masam konon sebagai pembuka selera. Minah purdah ambil pesanan yang fasih Arab dan Mandarin yang cadang. Tak perlu pun tapi kenalah dengan selera Orang Muar.

Ah Yam
Panduan. Kalau nak makan sini jangan pesan lauk ayam. Kebanyakannya biasa. Lauk ini sebiji macam masak kicap kecuali ada kuey teow lebar kat dasarnya.

Ba Zin Jan
Ini paling ngetop dan disyorkan. Terung goreng.

Wu Dang & Ken Tang
Kali pertama pesan atas cadangan abang Indo pelayan. Biasa juga tapi udang beb ...

Sunday, February 21, 2010

Hari Makan Besar

Gulungan dan bakuan buat pembuka selera.

Hidangan tepi, tom khakai campur.

Makan gaya Budin Pi Mai Pi Mai Tang Tu, nak daging nak ayam nak ikan nak udang nak sotong nak kerang, nasik sikit ja.

Kek yang tukangnya tak tahan nak bagitau kejutan-kejutan sendiri.

Tiada di dalam gambar, pencuci mulut lemak manis yang membangkitkan ingatan ke kampung halaman.

Menanti orang yang datang makan tapi tak bawa duit.

Thursday, December 31, 2009

Kerabu Pic

Kalau tak ada buah pauh, bolehlah ganti dengan buah pic muda.

Alang-alang tak sempat merasa pic tahun ni ...

p/s: bukan aku yang buat kerabu di atas

Saturday, November 14, 2009

Harapan Baru Untuk Kari

Bapak aku yang tak cerewet bab makan. Asalkan cukup dan decent. Jalan. Makan nasi tak ada lauk pun tak apa asal kuah sedap. Senang mak aku.

Sebetulnya aku dah bosan dengan kari. Kalau aku tengok kari sekarang ni rasa tak semangat. Dah terlalu common. Ujung-ujung ni aku minat benda-benda pedas pulak macam sambal, masak merah. Sampai Ust Najid kata nampak gaya kena cari orang luar. Melaka ke Johor ke.

Satu dinihari masa bersembang di puncak menara agam kami tengah rating masakan siapa yang paling hampir dengan masakan ibu di kampung halaman. Setelah dapat siapa kami namakan pulak orang yang sekurang-kurangnya masakan dia boleh naik selera.

Kemudian tuan rumah pun cepat bersuara. Itu sebab dia tumis cili kering dulu tu. Maka bersinarlah harapan baru untuk kari. Malangnya tak tahu nak bubuh mana dulu sebab kalau ikut kaedah sambal kena tumis cili kering dulu tapi kalau macam itu bila pulak nak tumis bawang merah, bawang putih dengan halia. Keadaan bertambah buruk apabila serbuk santan Giant ceroi. Yogurt jugak yang boleh diharap.

Kenapa masakan bujang tak setanding masakan ibu? Antaranya ialah kerana orang muda tak cukup sabar. Darah masih panas mendidih. Ibu-ibu bab masak memang lama. Ada kawan-kawan yang ajar kalau nak buat sambal kena tumis lada sampai kering dekat-dekat nak hangit. Kalau tumis kari pun kena tumis lama sampai nak-nak hitam jadinya. Betulkanlah kalau salah.

Tapi macam mana pulak gerangan halnya dengan mak Orang Muar yang kononnya boleh siapkan lima jenis lauk dalam masa setengah jam? Jawapanya ialah segala bahan dah siap potong. Rumah orang bujang ni hairan betul pisaunya. Kalau kelar tangan tak luka, geli ada.

Apa pun, orang bujang banyak yang redha dengan sekadar sepeket megi cuma ...

Kari yang gagah pada warnanya tapi ceroi pada teksturnya.

Thursday, September 24, 2009

Nani Pizza

30 Tahun Revolusi Islami XX

Pizza yang paling tebal di alam semesta.

Medan Jomhouri-e-Eslami? Medan Shohada? Medan Ghiyam? Sapa boleh ingatkan aku?

Alang-alang jalan, makan pun sakan. Konon nak cari makanan tempatan tapi Nani Pizza jugak nampak appealing. Kami order dua family atau jumbo kemudian manager datang kata tak boleh.Tapi kami tak peduli kami nak juga. Tapi manager kata tak boleh jugak. Akhirnya kami order satu family atau jumbo dengan satu large. Sekali ambik tuan-tuan, padanlah manager dia tak bagi. Nani Pizza penuh inti luar dalam. Macam pizza Bein Qasrein tapi dia tak pakai fatirahlah. Salad ubi keledek Nani Pizza yang paling sedap. Puas hati. Bila keluar kedai poket kami pun 'puas hati' dan menjadi antara poket yang paling nipis di alam semesta. Kan dah cakap, alang-alang jalan ...