Showing posts with label Redah Kaherah. Show all posts
Showing posts with label Redah Kaherah. Show all posts

Monday, January 30, 2012

Masjid Amr ibn al-As 642M


Pintu masuk yang anachronostic

Para pengunjung kepala kudung dimestikan mengenakan jubah hijau berhud berkilat

Menara Mourad Bey dengan gaya Osmaniyyah

Tok guru Quran

Mihrab lama daripada stucco dengan corak arabesque

Tinggalan lama yang kekal kayu jenang penguat tiang

Mihrab baru pakai sekarang

Masjid ringkas dengan pelan dewan hypostyle

Bahagian depan masjid yang tiada plaster ialah bagian yang lebih lama

Menurut sunnah sang Rasul, perkara yang paling awal dilakukan Sidina Amru ialah membina masjid sebagai tempat ibadat untuk tentera Islam dan sekaligus sebagai berek tentera sepertimana kebiasaan pada zaman awal Islam.

Masjid pada zaman beliau persis masjid Nabi berupa sebuah bangsal bertiangkan belahan batang kurma, berdindingkan bata lumpur, beratapkan pelepah tamar dan berlantaikan kerikil. Mihrab hanya ditanda oleh empat batang tiang.

Sidina Muawiyah menambah empat menara di setiap penjurunya. Khalifah Abdul Aziz bin Marwan menukar mihrab yang baru. Abdullah bin Tahir menggandakan keluasannya seperti datang sekarang ini. Pada zaman Fatimiyyah sebuah lagi menara ditambah di atas pintu masuknya.

Kemudian ia musnah ketika Kota Fustat dibakar dan dibina semula oleh Salahuddin al-Ayyubi siap dengan anjung di bawah menaranya. Amir Salar membaikpulihnya setelah gempa bumi dahsyat pada tahun 1303. Kemudian oleh Sultan Barquq kemudian oleh Sultan Qaytbay.

Sebelum kedatangan Napoleon, Mourad Bey memusnahkannya kerana usang dan membina semula bersama menara yang ada datang sekarang. Akhirnya ia diubahsuai lagi oleh Muhammad Ali Pasha, Khedive Abbas Helmi II, sekali lagi pada tahun 1930, gerbang masuk sekarang ini dibina pada tahun 1977 dan lagi pada tahun 2001.

Maka itu tidak ada lagi sebarang kesan tinggalan dari zaman Sidina Amru. Satu-satunya tinggalan lama yang ada ialah jenang (architave) pada tiang-tiang di dinding kiblat sebelah kanan. Makam anak Sidina Amru yang datang sekarang terkandung dalam ruang solat wanita.

Pada aku secara peribadi sebagai seorang enthusiast sejarah dan senibina, masjid ini kurang nilainya untuk dilawati. Lamun dari segi sentimental sebagai tapak awal Islam di Mesir, bekas Sahabat Nabi dan masjid pertama di benua Afrika, ia masih menjadi tumpuan para pengunjung yang kadang-kadang nampak macam pengikut tarekat mistik dengan jubah berhud hijau berkilat. Setiap malam ke-27 Ramadan, Jibril akan turun mengimamkan terawih dan membacakan qunutnya yang maha panjang. Kaum salafi (yang kurang senyum dan memandang tajam para pelawat) menjadikannya sebagai pusat pengajian lantaran tidak dapat menggunakan al-Azhar.

Tuesday, January 10, 2012

Mathaf al-Fann al-Islamy


Melencong sekejap daripada bab The Roda Island and Old Cairo.

Kita orang sambut Krismas di Museum of Islamic Art. Muzium yang sejak aku sampai sini sehinggalah aku tak balik-balik ni baru buka setelah sekian lama diubahsuai dan dipulihara.

Barangsiapa yang belum ada ilham untuk ke mana-mana cuti nanti boleh ke sini. Tiket untuk pelajar luar ialah LE25. Terletak di Sharia Port Said berdepan dengan mudiriyyah shurtah, dari Hayyu Sabiek boleh naik bas pendek nombor 14, dari DMAK boleh naik mana-mana bas ke Abou Rish, dari Mounira boleh naik teksi tambang lima genih atau bas atau jalan kaki saja.

Apakah kau orang perasan bahawasanya dalam dunia Islam hampir tidak ada tinggalan istana para amir, sultan atau khalifah lebih-lebih lagi di Mesir ini. Istana yang ada pun hanyalah Alhambra dan Topkapi dan itu pun zaman sudah akhir-akhir.

Adapun begitulah perangai umat dan kerajaan Islam zaman silam. Istana tinggalan kerajaan sebelumnya dimusnahkan langsung. Hanya masjid tidak diganggu gugat. Seolah-olahnya simbolik bahawa penguasaan kerajaan sebelumnya sudah tamat atau tak mahu ada langsung sebarang kesan kerajaan lama yang mungkin boleh mengeteng kehebatan senibina kerajaan mereka. Atau mungkin seperti biasa, sebagai sumber bahan binaan percuma.

Itulah bagi aku, tarikan utama dan sorotan penting muzium ini. Banyak serpihan-serpihan Istana Barat Besar Khilafah Fatimiyyah yang terselamat berupa pintu, dinding, alang yang padanya diukir kemeriahan kehidupan istana zaman itu berupa orang sedang minum-minum, mengetuk gendang, memetikgambus, meniup seruling, menari dan memburu.

Selain ukiran pada dinding istana, pinggan mangkuk, periuk belanga turut dilukis dengan gambar binatang seperti singa, unta, kerbau, burung, ikan dan yang paling digemari arnab. Tidak ketinggalan haiwan khayalan kesan pengaruh Yunani seperti griffin, sphinx dan harpy, burung berkepala manusia.

Kalau kau orang kata, darihal lukisan dan ukiran manusia dan hewan, "Syiah memang begitu ..." Kau orang silap. Ayyubiyyah dan Mamluk meneruskan tradisi begitu walaupun semakin kurang popular. Ini terbukti dengan ukiran baru bentuk harimau oleh Sultan al-Zahir Baybars yang diguna sebagai jata baginda (Baybars bermaksud harimau kumbang dalam bahasa Turki Kipchak) selain jata amir-amir yang lainnya yang menunjukkan tugas masing-masing.

Turut menarik perhatian aku ialah dua buah mihrab mudah alih zaman Fatimiyyah yang digunakan di Masjid Sayeda nafisa dan hanya dipakaiketika bulan Ramadan sahaja.

Selain itu ada perabot, sikat kutu, perisai untuk kepala kuda yang semuanya dari zaman Mamluk, botol-botol minyak wangi yang dulunya biasanya diselit di celah tali pinggang atau serban, kitab perubatan dan alat bedah.

Setiap fasa di muzium ini disusun mengikut zaman bermula Khilafah Umawiyyah hingga Osmaniyyah. Kemudian ditambah bagian-bagian khas untuk kesenian Parsi, seni kematian, seni warna, cahaya dan air serta pameran kain katifah, ambal, permaidani serta hamparan.

Lawatan akan jadi lebih menarik jika kau orang pandai arab kerana penerangan banyak dalam arab. Malang sekali, dilarang bergambar di dalam ...

Thursday, November 10, 2011

Nilometer 861M

Tahun lima ialah kali kedua aku lulus periksa tanpa durr tani. Aku mintak izin mak bapak untuk tak balik cuti. Lepas advencer Yunani aku jalan-jalan lagi dengan I. K. Tan menyusuri sungai Nil ke selatan di penghujung Pulau Roda. Tak tahu pulak kena bayar tiket lapan genih untuk masuk Nilometer ni ...

Sebagai meneruskan tradisi sejak zaman Firaun, Khalifah al-Mutawakkil memerintahkan Nilometer atau Miqyas el-Nil dibina. Arkiteknya ialah seorang ahli falak dari Turkestan bernama Abu'l 'Abbas Ahmad ibn Muhammad ibn Kathir al-Farqhani atau Alfaragnus di Barat.

Nilometer digunakan untuk mengukur banjir musim panas tahunan Mesir setiap Jun hingga September. Banjir ini yang sudah maklum meninggalkan mendakan lumpur pada lembah Nil. Maka semakin besar banjir semakin banyak mendakan semakin subur tanah semakin banyak hasil. Dari sinilah cukai dan ufti tahunan dikira.

Miqyas el-Nil terdiri daripada sebuah 'perigi' besar yang ditengahnya 'tersangkut' sebatang tiang. Pada tiang itu ada senggatan lebih kurang setengah meter setiap senggat. Banjir yang palig ideal adalah pada ukuran senggatan ke 16. Terkurang maka mungkin jadi kemarau dan kebuluran. Terlebih maka mungkin jadi kemusnahan.

Setiap tahun, jika cukup 16 senggatan upacara Fath al-Khalij atau The Opening of Canal, sebuah pesta gilang-gemilang akan diadakan beberapa hari yang dihadiri khalifah, sultan dan pasha. Sungai nil dipenuhi dengan perahu sampan berhias. Empangan tanah yang menutup Khalij (akueduk) akan dipecahkan dan akan mengairkan Kota Kaherah.

Sebelum hari yang dijangka banjir, mereka akan lumurkan tiang Nilometer dengan kasturi dan kunyit (zaafaran), sebuah khurafat dengan harapan mendapat banjir yang ideal. Jika tidak cukup bacaan, pesta akan diganti dengan puasa dan solat istisqa'.

Bangunan luar Nilometer berbentuk kon, seperti kebiasaan senibin bentuk kon, berasal daripada zaman Osmaniyyah. Hiasan pada silingnya yang kilau-kemilau berasal dari zaman Muhammad Ali Pasha. Pada dinding-dindingnya terukir dengan khat kufi ayat-ayat,

"And We send down from the sky blessed water whereby We give growth unto gardens and the grain of crops,"
(50:9)

"Seest thou not how Allah sendeth down water from the sky and then the earth becometh green upon the morrow? Lo! Allah is Subtile, Aware."
(22:62)

atas perintah Ahmad Ibn Tulun menggantikan ukiran kelolaan Khalifah al-Mutawakkil sebagai menunjukkan kemerdekaannya daripada Khilafah Abbasiyyah. Selepas Empangan Aswan dibina. Banjir pun tidak terjadi. Nilometer pun hilang fungsi ...

Friday, October 28, 2011

Makam Sève 1859M


Jalanlah melalui Corniche Nile menuju ke arah Maadi. Jalan sehingga anda menemukan jambatan pejalan kaki yang serupa dengan memorial bom atom Hiroshima dan melepasi Nilometer. Jalan ke depan lagi lebih kurang empat simpang di sebelah kiri, anda akan mendapati sebuah makam di hujung jalan. Begitulah lebih kurang penunjuk arah dalam buku tapi susah juga nak ditemukan makam Sève.

Sulayman Pasha al-Faransawi atau Joseph Anthelme Sève dilahirkan di Lyon. Mula menyertai tentera laut Napoleon pada umur 13 tahun dan mengikuti kempen Napoleon di Rusia.

Atas jemputan Muhammad Ali Pasha, Sève memodenkan tentera Mesir dengan menyelia sekolah-sekolah tentera dan kilang-kilang senjata di Giza dan Kaherah.

Bersama Ibrahim Pasha, beliau menyertai peperangan pembukaan Sudan, peperangan menentang pemberontakan di Kepulauan Greek dan peperangan dengan Osmaniyyah di Sham.

Beliau berkahwin dengan Maria Miriam Hanem, anak kepada Sherif Pasha, Perdana Menteri Mesir ketika itu. Dikurniakan tiga orang cahaya mata, salah seorang cicit beliau Nazli Sabri menjadi Sultanah dan Ratu Mesir iaitu isteri kepada Raja Fouad dan ibu kepada Raja Farouk.

Sebelum revolusi 1952, jalan dan medan Talaat Harb di Tahrir bernama jalan dan medan Suleiman Pasha dan patung beliau berdiri di situ. Selepas revolusi, patung beliau dibuang dan diganti dengan Talaat Harb. Pun, kini patungnya ditegakkan semula di Muzium Tentera di Qal'ah.

Seluruh pagar, tiang dan kubah makamnya dibuat daripada besi tempawan yang menawan. Kini makam beliau menjadi tempat melepak makcik-makcik tempatan dan tempat anak-anak kecil bermain.

Di sisi makam beliau ialah makam isteri kedua beliau Dame Maryam. Seorang gadis Yunani yang diselamatkannya dari kapal hamba abdi yang karam dalam ekspidisinya ke Greece.

Ketika aku leka memukul gambar, tiba-tiba penjaga makam melarang dengan mengatakan tidak dibenarkan mengambil gambar melainkan dengan surat kebenaran dari Kementerian Warisan. Baharulah aku tahu rupanya bukan semua monumen lama di Mesir boleh suka-suka hati diambil gambarnya. Jadi gambar di atas bolehlah dikira gambar ekslusif ...

Sunday, October 09, 2011

Masjid Sultan Qaytbay 1481M

Menara dengan cerucuk besi di puncak. Siapa boleh jawab kenapa masjid lama begini?

Fakad (facade) yang sangat biasa.

Suq al-Hamrawi.

Yang paling menarik, papan tanda jalan dengan doa masuk ke pasar. Mesti doa sebelum masuk pasar untuk mengelakkan mindless spending.

Sepanjang aku meredah Kaherah (bunyi macam power je tapi poyo je), aku banyak (hanya) merujuk kitab Islamic Monuments in Cairo oleh Caroline Williams terbitan AUC Press (LE100 sahaja). Aku mengesyorkan kitab ini untuk para 'enthusiast' sekalian kerana di dalamnya terkumpul keterangan berkenaan sejarah monumen, pembina atau penaungnya serta senibinanya.

Demi memudahkan para 'enthusiast', bab-bab dalam kitab ini dibahagikan mengikut kawasan malah diberikan bintang untuk monumen wajib ziarah (3), menarik (2), biasa-biasa (1) dan hambar (0). Untuk tidak mengelirukan diri sendiri aku juga bakal meroyatkan mengikut tempat juga. Biar aku mulakan dengan The Island of Roda and Old Cairo lantaran ia dekat dengan aku.

Jangan memandang enteng Pulau Roda/Manyal dan kawasan sekitarnya walaupun setiap hari kita berkuliah di sini kerana ia menyimpan beberapa khazanah lama seperti Nilometer misalnya. Ketahuilah, di atas pulau inilah tempat bersemayam sultan terakhir Ayyubiyyah dan tempat bermulanya salah satu daripada dinasti Mamluk. Oleh sebab mereka memerintah dari pulau ini maka mereka digelar Bahri Mamluk (Mamluk Laut? Mamluk Air? Mamluk Sungai?).

Banyaklah binaan lama di pulau ini seperti istana dan berek tentera namun selain Nilometer yang kekal hanyalah sebuah masjid. Di celah-celah lorong Manyal yang berselirat terletaklah masjid ini berdekatan Suq al-Hamrawi iaitu pasar sayuran dan buah-buah kayu.

Walaupun ia patutnya ialah sebuah masjid diraja tapi binaanya amatlah ringkas diburukkan lagi oleh pengubahsuaian yang terlalu banyak. Hanya menaranya saja yang tinggal sebagai perecaman kerana mempunyai besi-besi cerucuk pada puncaknya sepertimana masjid lama yang lain. Sesungguhnya masjid ini tidak terkenal. Kalau anda cari di internet pun yang keluar hanyalah Makam dan Madrasah Sultan Qaytbay yang terletak di kawasan kuburan di sisi Sharia Salah Salem. Hanya 'enthusiast' seni dan sejarah sahaja yang berusaha menemukannya ...

Thursday, September 22, 2011

Malam Pertama


Malam pertama Ramadan kami di Sharia Muizz, Kaherah Fatimiyyah. Pengalaman pertama kali benar-benar solat dua jemaah dalam satu masjid. Di sudut kiri yang terlindung tabir, geng-geng Syiah Ismailiyyah mungkin sedang solat kemudian berwirid beramai-ramai dengan kuat belum pun usai solat jemaah sunni di mihrab. Budak-budak yang mengikut takut. Sudah solat mereka langsung pulang maklumlah Imam mereka yang namanya dinisbahkan pada masjid ini mengharamkan solat terawih dengan menuduh ia bidaah rekaan sunni.

Sunday, July 31, 2011

The Wakidi Code


What if I tell you that the changing of the qibla never happened in Masjid Qiblatain?

Adapaun selepas, kisah yang paling masyhur yang sampai ke telinga kita ialah pertukaran kiblat berlaku saat Rasul sedang rukuk dalam rakaat kedua atau ketiga ketika solat Zuhur di Masjid Bani Salimah di perkampungan Bani Ammar bin Auf. Maka datang sekarang masjid itu digelar orang Masjid Qiblatain.

Adapun ini ialah pendapat kedua daripada tiga pendapat dan disokong oleh ulama-ulama yang besar antaranya pengarang Kitab Fathul Bari, Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani.

Lamun pendapat ini lemah dan tidak layak menjadi hujjah kerana ia direkod tanpa sanad dalam sebuah tabakat -buku sejarah- iaitu Tabakat Ibnu Saad. Malah antara yang merawikannya ialah Waqidi -guru Ibnu Saad- yang diselar oleh Imam Syafie sebagai pendusta.

Perintah pertukaran kiblat sebenarnya berlaku di Masjid Nabi. Bahkan berlaku di luar solat. Ketika hujung waktu Zohor atau ketika baru sahaja masuk waktu Asar. Dan solat Nabi yang pertama dan yang penuh menghadap Masjidil Haram ialah solat Asar.

Pendapat ini disokong juga oleh ulama-ulama besar antaranya pengarang Tafsir Jalalayn, Jalaluddin As-Suyuti.

Adapun, kejadian berpusing ke arah kiblat yang baru ketika sedang solat tetap berlaku. Tetapi di masjid Bani Harithah yang boleh dirujuk dalam sahih bukhari pada hadith bernombor 384 dalam Kitab Shalat. Adapun di Masjid Bani Salimah -Masjid Qiblatain- berlaku juga tetapi pada waktu Subuh yang menurut Imam Suyuti membuahkan kekeliruan ini. Semua ini langsung tidak melibatkan Nabi.

Dan ketika ini para sahabat yang berpusing tidak merasa aneh atau teragak-agak lantaran mereka telah pun bersedia menerima wahyu pertukaran kiblat yang boleh diterangkan jika ada umur lagi hingga Syaaban tahun depan.

Wednesday, July 13, 2011

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Islam) Sultan Qaytbay 1479M


Sekolah rendah saya ialah sekolah meayu tertua di Malaya. Mula beroperasi sejak tahun 1886. Tuan-tuan boleh menemukannya di dalam buku teks sejarah tingkatan satu dan lima. Tetapi bagaimana pula rupanya sekolah rendah pada zaman pertengahan atau tepatnya sekitar 1479?

Saya pernah menulis tentang sabil sebelum ini. Pada asalnya sabil dibina secara sendirian. Setelah kedatangan Osmaniyya ke Mesir sabil dikepilkan bersama kuttab iaitu sekolah untuk kanak-kanak belajar membaca, menulis dan menghafaz Quran yang biasanya dibina pada tingkat atasnya. Ini sebagai memenuhi dua tuntutan rahmat Rasul yang mulia; memberi minum kepada yang dahaga dan memberi ilmu kepada yang jahil.

Sabil-Kuttab ini dibina oleh Sultan Qaytbay, sultan yang paling prolifik dalam pembinaan infrastruktur dalam sejarah Kesultanan Mamluk. Pada asalnya baginda hanya membina sabil sahaja manakala kuttab pula dibina pada tahun-tahun 1500-an oleh Osmaniyyah. Ia adalah antara yang pertama dibina secara sendiri tanpa dikepilkan pada masjid sebagaimana lazimnya.

Sepertimana projek-projek di bawah kelolaan baginda, sabil ini dibina dengan hiasan yang mewah sekali. Lihatlah arca pintu masuknya yang dihiasi dengan ablaq dengan warna berselang seli merah, hitam dan putih. Ambang pintunya pula dihiasi dengan batu marmar biru. Di dinding sebelah lagi dihiasi dengan medalion yang terpahat nama 'Sultan Al-Ashraf Abul Nasr Qaytbay'. Di sekelilingnya pula dihiasi dengan ukiran-ukiran relif ayat-ayat suci dari plaster stucco.

Beginilah rupa bentuk sekolah rendah pada zaman hari itu. Pada saya, ia akan membuatkan saya lebih rajin untuk bangun pagi ke sekolah setiap hari.

Monday, January 10, 2011

Caliph of Cairo



Tajuk kecil dalam Bahasa Inggeris di atas ialah tajuk sebuah buku yang dijual di toko buku AUC. Di sebelah barat, saya percaya apabila disebut perkataan caliph sudah tentu yang wujud dalam fantasi mereka ialah Kota Baghdad. Pun, begitu buku ini -saya belum baca, bajet saja- cuba menarik perhatian pembaca dengan menyatakan bahawa Kota Kairo juga pernah menjadi a seat of caliphs.

Walaupun tajuknya berbunyi umum tetapi buku ini ditujukan khusus kepada seorang tokoh yang tidak asing dalam tarikh Mesir iaitu Abu Ali Mansur Al-Hakim bi Amrillah. Saya pernah beberapa kali membuat ulasan tentang khalifah yang terkenal dengan aneh lakunya dan sering digambarkan sebagai ganas dan gila. Baginda ialah khalifah keenam bagi Khilafah Fatimiyyah dan Imam ke-16 bagi Syiah Ismailiyyah.

Ketika al-Hakim baru naik takhta, sebagai reaksi kepada polisi mencaci-maki Sayyidina Abu Bakar, Umar dan Uthman serta Sayyidatina Aishah, pihak Sunni di Baghdad melancarkan 'Manifesto Baghdad' yang disebarkan melalui minbar khutbah menuduh baginda bukan dari keturunan Sayyidatina Fatimah kerana konon ibunya seorang Kristen. Dalam pergelutan dengan pihak Sunni ini baginda memansuhkan solat dhuha dan solat terawih kerana dikatakan bidaah ciptaan Sunni. Malah atas sebab yang sama baginda menukarkan seruan assolatu khayrun min an-naum dalam azan subuh kepada hayya 'ala kayrul amal yang diguna pakai Syiah sehingga kini.

Agama lain turut 'disentuh' al-Hakim. Setelah mengharamkan sambutan Easter, baginda mengarahkan agar Gereja Makam Suci di Al-Quds dimusnahkan. Dikatakan, arahan beliau ialah sebagai reaksi terhadap tuduhan bahawa ibunya seorang Kristen. Ketika hujung hayat baginda muncul pula ajaran Druze yang mengangkat baginda sebagai tuhan. Sesetengah pihak meriwayatkan baginda sendiri mengaku menjadi tuhan. Pun, sedikit sebanyak disangkal apabila baginda sendiri menghukum salah seorang pengasas ajaran ini yang mensucikan baginda.

Antara undang-undang pelik yang digubal al-Hakim ialah melarang memakan molokhia dan gargir, makanan Mesir turun-temurun. Mengharamkan permainan catur. Melarang nelayan menangkap ikan tanpa sisik dan melarang marhaen membeli serta memakannya. Melarang penyembelihan lembu kecuali pada Aidiladha.

Mengharamkan wanita keluar rumah dengan melarang tukang kasut membuat kasut untuk mereka -larangan ini diragui kerana mungkin diada-adakan musuhnya kerana mungkin timbul ekoran catuan bahan kulit untuk persediaan perang. Larangan terhadap wanita inilah dikatakan membawa kepada budaya fannus di bulan Ramadan. Di mana wanita dibenarkan keluar rumah pada malam Ramadan tetapi dengan syarat ditemani anak-anak lelaki yang akan membawa tanglung tembaga sebagai isyarat kepada kaum lelaki supaya ke tepi kerana ada akhawat nak lalu.

Suatu ketika madu lebah seluruh Kaherah dikumpulkan dan dicurah ke dalam Sungai Nil.

Sebaliknya, menurut sumber Ismaili, al-Hakim hidup serba ringkas dan sederhana. Gemar bertegur-sapa dengan rakyat jelata di jalanan sambil bertukar-tukar lawak jenaka dan pada sebelah malam pula sering merayau-rayau keliling kota untuk mengintip perjalanan negara.

Baginda yang semakin lama semakin gemar berkhalwat 'hilang' pada umur 36 tahun setelah menaiki keldai ke Bukit Mokattam tanpa pengawal. Keldai baginda ditemui berhampiran sebuah perigi bersama pakaian berlumuran darah. Ramai percaya bahawa kehilangan baginda berkait rapat dengan Sitt al-Mulk, kakak baginda yang sentiasa tidak setuju angin dengannya. Golongan Druze pula percaya beliau telah ghaib dan bakal muncul semula sebagai Mahdi.

Kesimpulannya, siapa tak mengaku/dianggap tuhan kalau buat peraturan dan arahan pelik pun menonong-nonong orang taat.

Tuesday, December 07, 2010

Xin Nian Kuai Le


Amermeftah dan krew Petaijeruk mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah.
Hijrah itu Islah. Hijrah mengajak kita berubah.

Monday, September 13, 2010

Perutusan Eid

Amermeftah dan krew Petaijeruk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Mudah-mudahan Gusti Allah menerima segala puasa kita, solat kita dan qiyam kita. Njalok ngapuro seng akeh-akeh.

Juga mengambil kesempatam mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang bakal dan telah bernikah. Moga-moga diberkahi. Doakan kanda kalian yang tua ini agar lekas-lekas.

Thursday, August 12, 2010

Haja Fatma


Amermeftah dan Petaijeruk mengucapkan tahniah kepada seluruh umat Islam dengan kemunculan bulan Ramadhan. Mudah-mudahan sepanjang tahun kalian baik-baik saja.

Tuesday, July 06, 2010

Masjid Sultan Az-Zahir Baybars 1269M

Masjid Zahir ialah masjid yang paling banyak disalahgunakan. Tapi bukan untuk tujuan politik semestinya. Pada zaman Napoleon ia menjadi kubu bernama Fort Sulkowski. Kemudian menjadi kilang sabun, kemudian bakeri. Pada zaman British ia menjadi stor tentera sebelum menjadi rumah sembelihan. Akhir sekali Raja Fuad menanam pokok hiasan di keliling dan di dalamnya dan dijadikan taman awam.

Masjid Zahir terletak agak terpencil daripada kawasan monumen Islam yang lain. Dibina ketika baginda baru mengasaskan kesultanan Mamluk dengan corak yang sama dengan Masjid Amru, Ibnu Tulun, Azhar dan Hakim. Masjid ini menjadi tempat perlindungan untuk pelarian Iraq dan Syria selepas serangan Mongol.

Juga masjid pertama yang dibina di Kaherah setelah pengaruh mazhab beralih dari mazhab Shafie -yang hanya membenarkan solat Jumaat didirikan di sebuah masjid sahaja dalam satu mukim- kepada mazhab Hanafi. Imam Jalaluddin As-Suyuti pernah mengajar di masjid ini.

Jika anda dalam perjalanan dari Abu Rish ke Arma menaiki bas pendek No. 14,No. 25, No. 30, atau No. 116, anda pasti akan mengelilingi masjid ini yang letaknya di Medan Zahir. Dulu aku selalu tertukar masjid ini dengan Masjid Ibnu Tulun atau Masjid Hakim.

Walaupun masih digunakan oleh penduduk tempatan, masjid ini berada dalam keadaan yang agak tenat. Kini ia sedang dipulihara. Sewaktu pergi melawat aku hampir kena tangkap dengan penyelia tapak sebab memukul gambar. Menurut penyelia tapak kerja-kerja mungin siap dua atau empat tahun lagi. Jadi aku terpaksa naik ke sutuh rumah orang untuk menengok keadaan di dalam.

Tuesday, June 15, 2010

Hero Ain Jalut

Dalam usrah dan jilsah yang biasa kita duduki, biasa kita mendengar orang menyebut nama Sultan Saifuddin Qutuz sebagai salah seorang hero Islam. Ada seorang lagi hero yang selalu dilupakan bila membincangkan pertempuran Ain Jalut iaitu Baibars.

Namanya ialah al-Malik al-Zahir Ruknuddin Baibars al-Bunduqdari Abu al-Futuh atau Baibars the Crossbowman. Bertubuh besar, berkulit putih dan ada selaput pada salah satu matanya yang kebiruan.

Baibars yang sebelum ini menjadi hero dalam Perang Salib Ketujuh menjadi dijemput menjadi second-in-command selepas Sultan Qutuz.

Dalam pertempuran Ain Jalut, tentera Mamluk mengenakan strategi Monggol ke atas mereka sendiri iaitu dengan mengumpan musuh ke dalam 'bottleneck'. Baibars dengan beraninya mengetuai kumpulan kecil yang menjadi umpan dengan menggunakan taktik gerila -langgar lari.

Selepas kemenangan di Ain Jalut, Baibars dijulang sebagai hero Islam dan sebuah hikayat iaitu al-Sirah al-Zahiriyyah atau Sirat al-Zahir Baibars ditulis menceritakan kisah hidup dan keperwiraannya.

Baibars tidak berhenti di situ saja, bahkan setelah menghapuskan ancaman Monggol beliau terus menumpukan untuk membebaskan Sham daripada tentera Salib dan berhasil merampas kembali beberapa buah wilayah.

Baibars dianggap sebagai pengasas kepada kesultanan Mamluk. Bahkan beliau juga cuba menghidupkan kembali Khilafah Abbasiyyah di Kaherah setelah ia runtuh di Baghdad.

Monday, May 17, 2010

Tembok Kota Kairo

Ketahuilah olehmu, Kairo juga suatu ketika dulu ialah sebuah walled city. Tiap kali naik teksi atau bonceng motor, akan perasan tanah kuburan yang luas di tepian jalan mula dari Sayeda Aisha sampai Sharia Salah Salem.

Untuk kawasan Sayeda Asiha ia dipanggil Qarafa al-Sughra atau Southern Cemetery. Bagi yang berada di sepanjang Sharia Salah Salem ia dipanggil Qarafa al-Kubra atau Nothern Cemetery.

Padahal zaman dahulu, kuburan diletak jauh di luar kota. Maka itu dapatlah kita baca bahawa kawasan sekitar Sayeda Aisha dan sepanjang Salah Salem sebenarnya sudah berada di luar kota Kaherah yang lama.

Adapun Kota Kaherah lama atau Kaherah Fatimiyyah meliputi kawasan daripada Bab Zuwayla di selatan, Bab al-Futuh di utara, Sharia Port Said di barat dan Sharia Salah Salem (lebih kurang) di timur. Bagi saya, inilah kota Kaherah sebenar.

Gawhar al-Siqili -jeneral Fatimiyyah yang menakluk Mesir, berbangsa Greek dari pulau Sicily yang ketika itu sebahagian Khilafah Fatimi- mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan kota Kairo.

Pun begitu pada zaman ini tembok yang dibina beliau hanyalah daripada bata lumpur sahaja. Ketika ini Kairo terkenal dan diketawakan orang sebagai sebuah ibukota yang tak punya benteng yang ampuh.

Dengan ancaman daripada Empayar Turki Seljuk, muncul Badr al-Gamali -jeneral dan wazir baru- yang membina semula dan mengubahsuai tembok Gawhar dengan menggunakan bahan baru iaitu ketul batu padu.

Pada zaman Salahuddin, beliau membina sebuah kubu di hujung bukit Mukattam dan menguatkan lagi tembok-tembok Fatimiyyah. Beliau juga membuat rancangan untuk menyambung benteng dari Kaherah Fatimiyyah ke kubunya dan seterusnya memagari seluruh Kaherah. Lamun, selepas kewafatannya rancangan itu tidak sditeruskan oleh para penggantinya.

Kalau anda naik bas ke Arma, kalau lencongan sebelum Medan Geish itu masih wujud, anda akan melalui sepanjang tembok utara Kaherah yang mengandung tembok dari era Fatimiyyah dan Salahuddin.

Thursday, May 06, 2010

Bab Zuwayla 1087M

Dibina sebagai penghujung sebelah selatan Sharia al-Mu'iz Li Deenillah, ia dianggap kembar kepada Bab al-Futuh di penghujung sebelah utara. Lantaran itu senibinanya pun lebih kurang saja. Pun begitu sebagai kembarnya, senibinya lebih merujuk kepada senibina Syria dan Byzantium lantaran jurubinanya.

Terutamanya pada serambi di antara kedua menaranya yang menjadi tempat Sultan menonton perarakan mahmal iaitu perarakan tahunan kafilah yang membawa kiswah -kelambu Kaabah- yang baru ditenun di Mesir ke Makkah. Di situ juga orang memalu gendang ketika para amir berarak masuk kota.

Bab Zuwayla atau Zuweila dinamakan sempena al-Zawila, suku kaum Berber -perlu dibedakan antara kaum Berber dengan istilah barbarian- yang menjadi serdadu Fatimiyyah dan tinggal berhampiran situ. Adapun pada zaman Uthmaniyyah, orang memanggilnya Bawwabat al-Mitwalli kerana wali -gabenor- Uthmaniyyah tinggal berhampiran situ.

Adajuga orang menyebut kerana berhampiran situ tempat tinggalnya seorang wali Allah penuh karamah yang dipanggil Mitwalli al-Qutb. Jika rakyat tempatan berhajat sesuatu atau sakit maka mereka akan meminta bantuan wali lalu mengikat dan menggantung cebisan kain atau helaian rambut pada pintu Bab Zuwayla.

Walau bagaimanapun, sejarawan zaman pertengahan al-Maqrizi menyebut pintu ini sebagai sangat malang. Selain menjadi tempat kepala para pesalah yang dipenggal dipamerkan atas kayu pancang ia menjadi tempat sultan Mamluk terakhir, Tumanbay digantung oleh sultan Uthmaniyyah, Selim the Grim ketika Mesir alah dan dijajah Uthmaniyyah.

Binaan Bab Zuwayla tidak segagah saudara-saudaranya Bab al-Futuh dan Bab al-Nasr di utara kerana kerajaan Fatimiyyah ketika itu menjangka Turki Seljuk akan menyerang Kaherah dari utara dan bukan selatan. Pun begitu, ia tetap kelihatan gagah dengan dua menara tinggi yang tersemat di atasnya yang sebenarnya milik Masjid al-Mu'ayyad di sebelah.