Monday, June 23, 2008

Jelajah Jordan XVII


Gerasa
Kami tidak mengikut laluan yang disarankan ketika melawat Gerasa. Kami ikut laluan terbalik kerana tidak minat bertembung dengan kanak-kanak yang ramai.


Teater Selatan
Alunan bunyi bagpipe dan dentuman gendang perang telah menggoda kami ke teater itu.



Rupa-rupanya seumur hayat hidup Mede dia tak pernah dengar bunyi bagpipe. Maka tentera-tentera berjubah (tentera Pemberontakan Arab?) pun membuat satu pertunjukkan. Bukan main khusyuk dan kagum lagi Mede. Suka betul dia. Setelah menderma sebanyak sedinar dua, kami pun pergi.


Segi empat bujur
Sesuatu yang aneh dalam senibina purba apabila medan yang dibina tidak simetri (jurubina purba semuanya mengidap OCD?) Tetapi ia bertujuan menyamakan paksi kuil Zeus selari dengan paksi cardo dan seluruh bandar.



Antara dua zaman
Cardo, jalan utama bagi sesebuah bandar romawi. Menempatkan kedai-kedai saudagar, warung-warung penjaja dan kem tentera. Biasanya menganjur dari utara ke selatan. Jalan yang menganjur dari timur ke barat dipanggil decumanus dan biasanya hanyalah jalan sampingan.



Kuil Artemis
Gambar tiang-tiang kuil ini dari sudut ini menjadi ikon kepada pelancongan Jordan. Menjadi tarikan paling utama dan 'kemuncak' kepada lawatan di Jerash. Membuatkan aku tertanya-tanya.



Artemis, dewi hutan dan bukit-bukau Yunani. Dewi yang sama bagi romawi pula ialah Diana tetapi dewi perburuan dan haiwan liar. Kedua-duanya digambarkan sebagai seorang pemburu dengan busur dan panah dan ditemani seekor rusa atau anjing. Kedua-duanya kemudiannya 'dinaikkan pangkat' menjadi dewi bulan di mana ramai mengatakan bulan sabit itu ialah busur panah mereka...


Antara gereja para wali di situ
Bulan dan bintang sebagai lambang Islam dipercayai datang daripada lambang Turki Uthmaniyyah yang punya beberapa kisah asal-usulnya. Antaranya ialah ketika penaklukan Constantinople, pihak Turki tertarik dengan bendera bulan bintang (atau kerana ia merupakan pencapaian terbesar mereka) lalu diguna pakai sebagai lambang mereka. Lambang itu asalnya mewakili Diana yang merupakan dewi penaung bandar itu. Setelah Kristian masuk, ditambah sebutir bintang yang mewakili Mary.

Sunday, June 22, 2008

改善


Abang aku kata,
Kalau mau panjat pokok kelapa, panjatlah perlahan-lahan. Kalau naik terlalu laju, takut letih di tengah jalan, terus jatuh.

Kata-kata ini, samalah dengan,
Dont be afraid of walking but be afraid of standing still.

Jerebu 2005

Berkaitan dengan pohon nyiur pula, aku mau memetik kata-kata Cerah,
Waktu kecil-kecil dulu, saya kuat berimpian. Lebih kepada angan-angan sebenarnya. Bonda saya suka untuk menegur, jangan berangan-angan, nanti jadi macam Mat Jenin. Tapi, saya terus-terusan juga berangan-angan, kerana pada saya, Mat Jenin itu hanya watak rekaan penjajah yang tidak ingin orang Melayu mempunyai impian. Kalau benar akhirnya dia mati jatuh pokok kelapa, siapa yang tau pasal angan-angannya?

* * *


Agaknya Belanda memanjat terlalu laju, semalam letih lalu tersungkur.

Ada junior menyifatkan kemenangan Turki sebagai kebangkitan Ottoman. Aku lebih takut kebangkitan Kemal.

p/s: ada perkembangan dalam bantahan pelajar tahun lima Ain Shams. Sila lihat sini.


Saturday, June 21, 2008

Jelajah Jordan XVI

Jerash
Jelajah ke daerah silam

Gapura selatan
Ruang kosong di balik pintu gerbang ini diguna sebagai pasar.



Tembok selatan
Tembok yang wujud kini ialah tinggalan Byzantium.



The Oval Square
Segiempat yang berbentuk bujur.


Jalan lurus yang menyesatkan
Jalan utama yang masih mengekalkan batuan asal. Kesan-kesan roda kereta kuda masih kelihatan. Jalan ini dilebarkan ke bentuk Corinthian sekitar kurun kedua.


Colonnaded Street
Jalan jajaran tiang, nadi kegiatan Jerash dan tulang belakang kepada senibinanya. Di kiri kanan jalan dibina kaki lima yang luas selain lubang-lubang yang mengalirkan air hujan serta sistem kumbahan bawah tanah yang mengalir di sepanjang jalan.


Tetrapylon Selatan
Tetrapylon yang bermaksud empat pintu ialah binaan monumen yang unik dalam senibina Rom purba. Ia berbentuk kiub dan mempunyai empat pintu di setiap sisi dan biasanya dibina di tengah-tengah persimpangan jalan/simpang empat.


Jalan jajaran tiang barat
Jalan yang setentang dengan Jambatan Selatan ini menuju ke arah kawasan rumah-rumah Umayyah. Kerajaan Umayyah memakmurkan Jerash yang terkenal sebagai lombong perak dan gangsa serta kawasan industri pasu belanga (pottery).

Friday, June 20, 2008

Kepalkan tinjumu ke awan

Siapa kata pelajar sudah hilang kuasa?


Universiti Ain Shams, Kaherah, pelajar-pelajar tahun lima bertindak membantah kertas peperiksaan di hadapan pejabat dekan kuliah perubatan Dr. Taher Farid. Antara bantahan yang dibuat ialah berkenaan
  • peperiksaan MCQ yang sepatutnya amali tetapi soalan yang diajukan ialah teori
  • arahan untuk menulis nama di kedua-dua bahagian kertas yang dipercayai akan menimbulkan pilih kasih dalam pemberian markah
  • waktu peperiksaan yang tidak jelas
  • pembahagian markah
  • bentuk soalan
Di Mesir, persatuan pelajar sangat berkuasa. Antaranya dalam menentukan tarikh peperiksaan, jurang masa antara kertas peperiksaan dan hari cuti. Malangnya kuasa mereka hanya terhad dalam bidang akademik. Hal-hal politik? Sama ada disekat ketat atau mereka tidak ambil pusing langsung. Pun begitu, dalam hal akademik mereka benar-benar berkuasa dan menuntut hak berbanding pelajar Malaysia yang sudahlah bergerak dalam politik disekat ketat, dalam hal akademik pula kurang bersungguh.

Jangan marah.

Berita selanjutnya di sini.


Thursday, June 19, 2008

Jelajah Jordan XV


Gerasa
Seperti yang tertera di papan tanda.


Jerash atau Gerasa termasuk di dalam projek Wilayah Ekonomi Koridor Timur Tengah di bawah Rancangan Rom ke berapa entah.


Arka Hadrian
Dibina semata-mata untuk menyambut Maharaja Hadrian yang datang melawat.


Jerash diasaskan oleh Alexander the Great kemudian beralih tangan kepada Empayar Seleucid sebelum bertukar tangan kepada Rom.


Arka Kemenangan dengan corak pokok Acanthus.
Selepas itu jatuh ke tangan Parsi sebelum dirampas semula oleh Byzantium.



Oleh sebab Jerash ialah kota paling besar dan lengkap di luar Itali, maka ia mengandung sebuah hippodrome.


Kalau kena pada hari dan masa, boleh berpeluang tengok persembahan formasi tentera-tentera Rom di hippodrome ini.

Wilayah Ekonomi Koridor Timur Tengah atau nama sebenarnya Decapolis bermaksud 10 bandar atau Mudun 'Asyar di dalam bahasa Arab. Bandar-bandar autonomi ini disatukan secara tidak formal di bawah satu liga perbandaran oleh Jeneral Pompey atas sebab persamaan kebudayaan penduduknya.

Kota-kota itu ialah Gerasa (Jerash) kota terbesar, Philadelphia (Amman) pusat pentadbiran Decapolis, Gadara (Umm Qays), Capitolias (Bayt Ras), Abila (Hartha, Sungai Yarmuk), Pella (Tabaqat Fahal), Canatha, Bostra, Hippos (Syria) dan Scynthopolis (Palestin).