Saturday, April 26, 2008

Compleano Feliz

Bon Anniversaire



Zami potong sambil buat wish,"Aku nak satu batch aku turun jogging pagi-pagi sama-sama."
Tak apa, aku akan gagalkan wish kau Zami.


Di sini, nampak gaya macam Izwan pulak yang terima hadiah.


Gambar paling penting yang menunjukkan kerja-kerja membahagikan kek memang diserahkan kepada Iqbal lantaran kemahiran dan keadilannya.


Ust Hairul stay dari circle lepas asar sampai malam...


Zami ditahnik sekali lagi oleh Ust Hairul.

Thursday, April 24, 2008

Jering Rebus


Kata orang, raja segala ulam itulah petai. Walaupun ulam raja itu tetap raja meskipun tidak mengharap pada manusia untuk merajakannya. Berkenaan petai, tidak dapat dipisahkan dengan beberapa ulam lain yang bagaikan kakak beradik kepada petai iaitu jering dan kerdas. Pun begitu, petai dan jeringlah yang lebih dikenali ramai. Adapun kerdas, tidak banyak dikenali orang. Berkenaan kerdas, jika tersilap makan boleh menyebabkan muntah yang barangkali kerana mabuk (keracunan).

Berbanding petai, jering dianggap sebagai kelas kedua dan kurang dikenali melainkan melalui simpulan bahasa tangkai jering. Ia kurang diminati kaum muda lantaran baunya yang lebih kuat dan rasanya yang pahit. Aku sendiri pun sebagai seorang neo-konservatif masih tidak dapat menerima buah jering ke dalam tembolok kerana rasanya yang kuat itu menyekat tenggorok. Pun begitu ia dikatakan berkhasiat untuk pesakit buah pinggang. Lamun, terlalu banyak memakan jering juga boleh membawa kepada masalah iaitu kencing sepit.

Ulam dimakan mentah (atau dicelur) dan mestilah muda. Baharulah mudah digigit, dimamah dan dihadam. Jika ulam-ulaman sudah tua, maka jadilah sia-sia. Seperti buah jering yang jika telah tua cukup keras. Pun begitu, orang Kelantan masih ada jalan untuk memanfaatkan jering tua. Dengan merebus. Dalam kerja-kerja merebus jering, banyaklah petua-petua pelembut yang digunakan. Antaranya memasukkan sabut kelapa, bahan-bahan daripada besi seperti paku atau rantai basikal. Ad juga yang memasukkan daun nangka dan petua-petua ini boleh juga diguna untuk melembutkan daging.


Apa pun, jering rebus sudah tidak lagi dimakan sebagai ulam. Tetapi dimakan sebagai sejenis makanan ringan yang dimakan dengan kelapa parut bergula. Rasanya sudah kurang pahit seperti memakan sejenis kacang yang lemak. Ala-ala buah berangan begitu. Snek ini amat digemari kaum tua dan mudah didapati di atas pasar (Pasar Besar Siti Khadijah). Pun, begitu masalah kencing sepit tetap ada dan kencing pun masih haring.

Ada satu lagi cara untuk memanfaatkan jering tua iaitu dengan merelung. Jering relung ialah jering tua yang ditanam di dalam pasir sehingga berakar dan dimakan sebagai ulam. Boleh jadi, kadang-kadang jering relung tidak ditanam tapi dicari. Orang-orang zaman dulu kadang-kadang mencari jering relung di bawah pokoknya. Jering tua yang gugur dan direlung alam.

Tangkai Jering?

Mengapa orang kedekut digambarkan sebagai tangkai jering? Buah jering tidak sekali-kali akan gugur melainkan setelah sudah benar-benar tua. Jering muda sebagai ulam di pasaran pun dikait orang juga masih liat tangkainya. Maka begitulah juga orang kedekut. Tidak sekali-kali akan menggugurkan duit atau hartanya dan cukup liat melepaskan duit juga hartanya.


Tuesday, April 22, 2008

Tugu-tugu Allah di Bahariyya VI

(Lihat tugu 'indah'mu tegak berdiri yang dipahat oleh tangan asing seperti mengalirnya darahmu untuk orang lain).

Usman Awang lewat 'tulang2 berserakan

English Mountain

Naik ke sini bukan main payah. Jip kami terpaksa mencuba berkali-kali. Sampai terpaksa tukar pemandu dan tukar jalan lain. Sampai pakcik pemandu yang berpaut di belakang pun terjatuh tergolek. Kami yang di dalam pun sudah tentu tergoyang-goyang terhuyung-hayang. Pegang kuat-kuat!


Dari puncak English Mountain, mentari mengundur diri.


Batu-batu di sini macam keping-keping jubin yang pecah.


General William dari British membina rumah di sini dan menempatkan sepucuk meriam di bucu puncak ini demi mengawal...


...Kampung Agouz ini...


dan Bawiti serta mengawal jika ada apa-apa ancaman daripada Siwa.


Menikmati mentari masuk.


Hadaf utama di English Mountain.


Kulit album rakaman kedua diorang...


Hotel .....
Sekelilingnya dipenuhi pemandu peancong daripada semuda-muda umur. Ada seorang yang aku tanya, apa kerja orang-orang Bahareya. Katanya dalam bahasa Inggeris fasih, "Tourist guide...and farmers". And he do mind his 'R'. Kemudian selepas dia tahu kami daripada kuliyyah tibb, dia minta kami diagnosis masalah kulit mukanya. Cuma habbah syabab.


Monday, April 21, 2008

Sawo nila


Seorang bapa muda sedang membuat kerja-kerja persatuan. Dia sedang memproses berhelai-helai borang bait muslim. Tiba-tiba anak kecilnya yang bakal mendapat adik masuk ke bilik. Mula-mula dia duduk di riba ayahnya. Ayahnya biarkan. Kemudian dia cuba merampas pen di tangan ayahnya. Sudah tentu dia gagal. Kemudian dia pun turut cuba 'memproses' borang-borang. Dia meramas borang-borang sampai keronyok.

Bapa muda itu pun mengalihkan anaknya itu ke tempat lain.
"Adik, orang tak buat macam tu. Pegi main dekat umi."
Tapi ibu muda sedang menanak pula.

Bapa muda itu menyusun semula borang-borang bait muslim. Dalam salah satu borang tertera pada bahagian 'ciri-ciri pasangan yang dihajati': Berkulit sawo matang.

* * *

Kulit sawo matang? Kata orang kulit sawo matang itu kulit orang melayulah. Tapi orang melayu pun ada yang putih kuning, putih merah, kuning langsat, hitam manis, hitam legam. Kulit sawo matang itu macam warna buah sawo yang masaklah. Tapi macam mana? Macam kulit buah yang di bawah inilah.


Buah ciku dari pokok di rumah Tok Wan. Sekarang cuma tinggal Tok Minah saja di situ.

Sawo nila itu ciku. Sawo itu ciku pada panggilan orang-orang Indo. Adapun nama penuhnya ialah Sawo Manila lantaran kemunculannya paling awal di rantau Asia Tenggara ialah di Filipina setelah diperkenalkan oleh Sepanyol yang membawanya dari tempat asalnya iaitu Mexico. Sawo nila itu bukanlah kerana dagingnya berwarna biru.

Dalam Bahasa Melayu Baku, sawo nila dipanggil ciku seperti juga bahasa-bahasa lain iaitu chico (Filipina) dan chikoo, chikku atau chiku (negara-negara Asia Selatan). Di semenanjung hanya mereka yang berdialek Pattani sahaja yang memanggil ciku sebagai sawo nila. Pun begitu tidak dapat dipastikan apakah penduduk pantai timur yang berdialek Pattani itu punya hubungan dengan Indo kerana sama-sama menamakannya sebagai sawo.

Buah sawo nila selamat dimakan wanita hamil kerana pada cuti yang lepas aku sempat menjamah buah sawo nila bersama sepupu yang hamil dan dia selamat melahirkan anak yang sihat melainkan terpaksa melalui jalan bedah. Tidak seperti buah nenas dan strawberry yang dianggap tajam bagi wanita hamil.

Apa kata orang tua-tua tentang sawo nila?

Kata orang tua-tua lama, rumah yang ada pohon sawo nila akan menjadi sunyi atau kelihatan sunyi. Allahu a'lam. Tetapi begitulah suasana rumah Tok Wan.


Tuesday, April 15, 2008

Teknik Baru Itali (Teknikiyyah I6aliyyah Gedeeda)

Kerana mereka tidak percaya tarian singa akan membawa tuah dan membakar mercun papan mampu menghalau kejahatan.


Bagi orang-orang Mesir hampir setiap majlis (kecuali majlis kematian) itu haruslah dalam 'festive mood'. Majlis kerja kahwin sudah tidak perlu dipersoal lagi. Majlis pembukaan atau pelancaran kedai-kedai baru pun wajib meriah juga.


Selama hayat hidup di tanah hitam Nil ini, sudah empat majlis pembukaan kedai yang aku tempuhi. Julung-julung kali ialah pembukaan cawangan rangkaian kedai makan El-Baghl yang teruk dilanyak marhaen ketika 6 April lantaran hubungan rapat dengan parti pemerintah dan melampau-lampau menaikkan harga jualan. Kedua kafe siber di Jalan Mawardy yang bermotokan 'Alhamdulillah, internet paling laju.' Kemudian kedai makan Ispaghetti yang khidmatnya baru kemas sedikit setelah bertukar tangan. Paling baru, pembukaan El-Mounira Bakery.


Majlis begini biasa dibuat pada waktu malam, barulah lampu-lampu warna-warni yang menjajah sepanjang jalan dan menjarah setinggi-tinggi bangunan mencapai maksud. Acara lampu paling hebat disaksikan dalam pembukaan El-Baghl. Mereka menyewa lampu neon berbentuk kincir angin yang berpusing. Maklumlah perusahaan besar.


Kalau bajet besar misalnya El-Mounira Bakery ini, walaupun cuma 'regional bakery' mereka akan menyewa patung belon berlampu dan lampu spotlight berputar seperti yang kedapatan di pesta ria atau taman tema. Semuanya itu berhajat kepada penjana kuasa sendiri kerana tidak mampu dijanakan dengan soket bangunan.


Malam itu separuh Jalan Sheikh Aly Youssef bagai milik mereka. Apapun, paling penting ialah dentuman muzik dan lagu rancak irama balady yang mampu didengari sepanjang jalan dari hujung ke hujung lantaran dipasang dengan speaker sebesar dan setinggi manusia dewasa. Sekali-sekala ada persembahan secara langsung tetapi lebih biasa untuk kerja kahwin sahaja.

Barang dagangan yang dipamer tersusun rapi.
Lepas solat maghrib kami terus turun kerana menurut iklan majlis bermula jam tujuh.


Pate berbagai jenis.
Tetapi tidak dibenarkan memukul gambar setelah meminta izin kerana majlis hanya akan bermula selepas isyak pula.


Bunga ucap tahniah.
Sanak saudara mara dan sahabat handai rakan taulan tauke dijemput khas duduk di kerusi yang tersusun sedia. Mereka berjabat tangan berpeluk cium sambil mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Ada jamuan minuman ringan.


Barang dagangan lain termasuk pretzel, pizza, kek dan croissant.


Kek telur beraneka.
Kami skeptikal, apakah barang yang dipamer bakal diberi percuma sebagai sampel?


Danish.


'Kurowa-San' (croissant) Coklat dan Krim.
Rupanya untuk dijual. Maka kami beli serba satu.


Pate bersalut krim dengan hirisan pic kering.


Pate ditabur kelapa kering dengan hirisan pic kering.
Rupanya memang cantik dipandang dan menyelerakan. Tetapi rasanya belum tentu.


Pate bersadur krim dengan ceri.


Pate berlumur coklat.
Lamun, kualitinya masih jauh untuk menandingi gergasi-gergasi besar dalam bidang bakery seperti Tseppas yang aku masih belum berani menjejakkan kaki ke kedainya atau El-Abd yang menjadi destinasi saban awal bulan setakat tahun lalu. Malah, dengan Gawady di Abou Rish itu pun masih ketinggalan jauh.


Timur jauh terlalu jauh untuk mempengaruhi budaya mereka (orang Mesir). Tetapi barat amat dekat. Di seberang laut putih cuma. Justeru, bunga ucap tahniah.

Pun begitu, kehebatan sesebuah 'regional bakery' hanya dapat dinilai melalui produk paling asasnya. Roti fino. Disinilah hasil sebenar teknik baru Itali. Fino yang gemuk gebu rangup di luar lembut di dalam setanding dengan fino di Hayyu Sabie'. Dibakar dengan ketuhar berteknologi Itali Mondial Forni yang mana setiap loyang di setiap tingkat bisa berputar tatkala dibakar. Harganya juga sepadan dengan teknologinya.