Sebuah kisah
Anda pasti pernah membaca buku cerita kana-kanak terbitan Al-Arqam (kini Rufaqa') yang menceritakan tentang:
Pada suati hari, seorang pemuda telah memasuki sebuah dusun/kebun. Sambil memerhati kepada semua pokok yang ditanam di situ dia merungut. Mengapa pokok yang besar buahnya kecil-kecil sahaja, sedangkan pokok yang kecil yang batangnya lembut malah tumbuh menjalar di atas tanah buahnya besar-besar pula. Setelah lama mengomel, dia berasa letih lalu pergi berteduh di bawah sebuah pokok yang besar. Sedang dia berehat, tiba-tiba sebiji buah dari pokok besar itu telah luruh dan menimpa batang hidungnya. Dia pun terkejut dan berkata mujurlah buah yang gugur itu kecil. Kemudian barulah dia tersedar salah satu hikmah Allah jadikan pokok kecil berbuah besar, pokok besar berbuah kecil. Kalau tidak, mahunya penyek batang hidung.
Buah empat musim
Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang mengalami empat musim, kewujudan buah-buahan mengikut musim tertentu amat dirasakan. Antara buah yang biasa terdapat pada musim dingin ialah oren dan 'grapefruit'. Antara buah yang terdapat pada musim panas pula ialah tembikai, pic, anggur, epal, tembikai susu dan epal.
Rahsia aturan musim
Sungguh tidak sia-sia Allah mengeluarkan buah pada waktu tertentu sahaja.
Pada musim dingin, kita selalu mudah dihidapi selsema, batuk, asma dan sebagainya. Tetapi, pada musim ini jugalah Allah mengeluarkan buah oren sebagai sumber vitamin C yang baik untuk menentang jangkitan, membantu dalam penyembuhan dan menguatkan imuniti.
Pada musim panas pula, bayangkan betapa indahnya, setelah bersesak-sesak di dalam Metro yang panas seperti ketuhar selepas pulang dari peperiksaan pada waktu tengah hari, jika dapat memakan buah tembikai yang merah berair-air. Tambah-tambah kalau telah disejukkan terlebih dahulu.
Buah-buahan musim hangat
Buah-buahan tempatan
Pun begitu, aku belum nampak rahsia musim buah-buahan tempatan. Kerana musimnya tidak jelas. Keluar satu keluar semua. Malah kini, ada pekebun yang memaksa buah-buahan mereka gugur sebelum matang demi memenuhi pasaran. Hingga di Jeli, sebiji durian harganya jatuh 30 sen sebiji.
Asal-usul
Kononnya, pada zaman dahulu semua buah-buahan tempatan berbuah serentak. Ini menyebabkan buah terhasil dengan berlebihan dan pembaziran berlaku. Banyak buah menjadi busuk. Akhirnya, semua buah-buahan durian, rambutan, manggis, langsat, duku, kelapa dan pisang bermesyuarat untuk mengatur supaya setiap pokok berbuah pada satu-satu masa sahaja. Mereka sepakat untuk mengadakan pertandingan perlumbaan bagi menentukan giliran berbuah masing-masing. Kelapa dan pisang menjadi hakim. Melalui perlumbaan itu, semua buah mendapat giliran untuk musim masing-masing. Oleh sebab kelapa dan pisang menjadi hakim, maka mereka dapat berbuah pada bila-bila masa sahaja.
Firman Allah:
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.
Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air,
Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?
Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
(Yaa sin : 33-36)
No comments:
Post a Comment