Wednesday, May 09, 2007

Sejarah Sudah Berulang

Buah Pic Panjang Umur

Tahun ini pakcik penjual sayur yang kami gelarkan Pakcik 'Addi Eih?' menjual buah pic lagi. Apakah tahun ini aku akan beli daripada dia lagi? Apakah aku bakal biar sahaja dia memilih untuk aku lagi? Apakah aku bakal dapat buah-buah yang busuk buruk lagi? Apakah aku bakal mengadu pada Idil dan kemudian dia akan meminta aku bertegas dengan Pakcik Addi Eih? Apakah aku terpaksa berhadapan dengan Pakcik Addi Eih? Apakah Pakcik Addi Eih? bakal menukar buah yang dibeli dengan begitu mudah tanpa banyak soal, lagi?

Buah pic yang dia jual gemuk-gemuk cantik-cantik, masih rangup.

Oleh-oleh

Masih awal untuk itu. Mahu pulang atau tidak pun tiketnya masih belum beli. Imtihan pun entah ke mana-mana. Tapi sudah dapat satu ilham apa mau bawa pulang tahun ini. Minyak masak! Tahun sudah gula...

Pautan Berkait










Monday, May 07, 2007

Maka begitulah...




Mmm...ada sate, nasi kapit, kuah kacang. Tapi hari ni bukan hari raya.



Tapi sekejap, kenapa boys pakai baju melayu?



Tapi girls pulak...



Sebenarnya inilah makan malam tahunan kami. Uuu...tengoklah apa yang kami lantak. Nak pecah perut makan. Nasib baik tak ada orang ambil gambar dekat meja pencuci mulut. Dekat situ ada krim karamel, kek coklat lembab, kek pisang, koktel buah (ke salad buah?), candy dan roti sandwich. Tersesat sekali dengan pencuci mulut.



Apa pun, inilah hari yang ditunggu-tunggu setiap tahun. Jumpa lagi semua tahun depan. Imtihan nanti buat elok-elok.


Thursday, April 26, 2007

Rampokan

Rumahnya Bobby dibolos perampok. Mujurnya semua selamat. Barang yang dirampas pun dilempar kembali. Tetapi Bobby yang bergelut dipijak-pijak perutnya. Sampai hari ini masih muntah-muntah. Makan minum semua keluar semula. Malam ini masuk wad dibedah untuk eksplorasi atau kerana disyaki appendicitis. Maka kalian harus (dalam bahasa Indonesia bererti mesti) pastikan pintu dan jendela diselak kemas. Kalau panas pakai saja kipas. Bacalah tasbih, tahmid, tahlil dan takbir sambil mengunci. Moga anak-anak itu selamat.

Ambillah 'ibrah di sebalik cerita.

Wednesday, April 25, 2007

Merdeka Mafkat, Negeri Fairuz

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang



Di Garisan Bar Lev

Hari ini cuti.

Hari ini cuti walaupun slogan tidak rasmi sejak dua tahun lepas ialah 'Everyday is a Holiday'. Maka itu, tiada sebarang kesan cuti hari ini. Mungkin tidak, pada penduduk Suez atau Sinai seluruhnya. Hari ini menyambut ulangtahun pembebasan Semenanjung Sinai. Tahrir Saina'. Pada hari ini, pada tahun 1982, Israel telah berundur sepenuhnya dari Sinai setelah mendudukinya selama 15 tahun.

Tidak ada sebarang perbarisan di Kaherah (kerana aku tidak keluar rumah pun sebetulnya). Tiada juga tembakan bunga api dari balik Hotel Four Seasons sepertimana Eid Shourtah (Hari Polis). Tetapi suasananya mungkin sekali berbeda di sepanjang Terusan Suez dan Sinai.

Siapa kata Turki sahaja negara dua benua? Mesir juga. Terusan Suez menjadi pemisah di antara Asia dan Afrika. Seluruh Sinai ialah Asia dan baki tanah besar Mesir ialah Afrika. Mesir juga, negara dua benua...  

Tujuan asal blog ini, bukan sekadar menulis diari harian diri. Sebab aku juga benci - kadangkala dan tengok orang juga - untuk membaca blog berbentuk diari harian. Tambah pula aku berpegang kepada kata-kata Confucius - ada yang kata Sayyidina Ali pernah berkata ini juga -

"What you do not wish for yourself, do not do to others"

Maka aku tidak menjadikan blog ini sebagai curahan gerak-geri aku tiap-tiap hari. Sebab ini juga aku tidak meletakkan sebarang lagu di dalam blog ini (melainkan bunyi anak ayam yang bingit). Lebih kepada berkongsi warna-warni Ummu Dunya ini, merekod pemikiran sendiri dan ilmu-ilmu lisan daripada orang tua-tua lama aku serta kisah-kisah lama penuh nostalgia.

Tetapi aku sudah jauh menyimpang. Aku sudah terlepas dua event menarik. Mawlid El-Nabi El-Syarif dengan patungnya dan Sham El-Naseem. Alasanya? A33o yang gering atau sikap 'mencuri masa' aku? 

Apahal tajuk updet kali ini?


Friday, April 20, 2007

Busana Siti Wan Kembang

Sudah lama mahu kongsi. Tetapi selepas membaca 'Baju Tidak Cukup Kain' barulah tahu apa itu kepala kain. Barulah tahu memakai kain batik ada aturannya. Mungkin sekali tidak perlu lagi merisik anak gadis. Kalau orang sekarang masih ikut masih pakai. Cukup dengan melihat cara pakai kainnya. Sebab itulah teringat dan terpanggil untuk berkongsi ini.

Aku bukanlah anak jati Kelantan. Sebab anak jati itu berhajat kepada ibu bapa yang sama-sama lahir di Kelantan. Tetapi kerana hidup aku dari umur 13 sampai 18 dibawah jagaan makcik aku -anak jati - yang bukanlah orang tua-tua lama sangat, cuma pernah hidup sezaman dengan orang tua-tua lama, maka banyaklah juga yang ia tahu. Maka itu, para wanita Kelantan. Kalau salah janganlah marah.

Makcik aku mesra dengan panggilan Mak Sah atau Sah sahaja. Maka, Sah kata:

Orang zaman hari tu tak pakai baju. Orang zaman hari tu pakai kain lepas. Sehelai diikat di pinggang macam kain biasa labuh sampai ke buku lali. Sehelai lagi dipakai berkemban. Diikat bawah ketiak di atas dada labuh sampai sekerat pinggang atau punggung. Sehelai lagi disangkut atas bahu. Sehelai lagi menutup kepala.

Maka begitulah kononnya pakaian wanita Kelantan dahulu kala. Allahu a'lam. Kain lepas ialah kain yang tidak berjahit - seperti kain batik jawa - dan kadangkala sedikit nipis. Bunganya juga biasanya ringkas dan kecil-kecil. Almarhumah nenek saya masih memanggil kain tudungnya sebagai kain lepas walaupun kebanyakannya ialah kain tudung moden pemberian anak cucu. Teringin juga nak baca Manikam Kalbu. Khabarnya komedi. Tapi di Kota Bharu susah nak dapat tulisan FT.

Pada mulanya tiada gambar contoh yang dapat dipamerkan. Tetapi ketika sedang mengkaji-kaji melalui internet, terjumpa pula forum ini. Jadi, betullah juga apa yang dikatakan Sah dan mungkin betul penulis dalam forum itu. Banyak maklumat tentang cara hidup orang Kelantan zaman hari tu dalam forum itu. Artikel itu diambil dari esei yang bertajuk 'Aspek-Aspek Budaya Ekonomi Masyarakat Kelantan Sebelum 1909' tulisan Zaidi - Saidi Ibrahim...