Thursday, December 31, 2009

Kerabu Pic

Kalau tak ada buah pauh, bolehlah ganti dengan buah pic muda.

Alang-alang tak sempat merasa pic tahun ni ...

p/s: bukan aku yang buat kerabu di atas

Sunday, December 27, 2009

Bubur Ashura, Tepuk Kepala dan Libas Badan

30 Tahun Revolusi Islami XXV

Kollu Yom Asyura', Kollu Ardh Karbala'~!

Yah, sempena hari asyura nan mulia, aku pun membuat dubel entri Iran. Kebetulan sela masa antara Ashura dengan perkelanaan kami tak jauh. Maka, nah! Saksikanlah kesan Ashura yang masih baki ...

La Fata Illa Ali, La Seif Illa Dzulfikar~!

Poster yang menunjukkan anak Sayyidina Husin yang mati dipanah.

Err, doa kesedihan apa benda entah. Di kiri kanan kain hitam digantung tanda berkabung.

Sayyidina Husin dianggap penghulu segala shuhada'. Macam mana pula dengan Sayyidina Hamzah?

Kain-kain rentang doa-doa ratapan tergantung dalam bazar.

Ah, tak ada siapa pula yang ambil gambar doa minta syafaat dari Husin ...

Betapa besarnya Hari Ashura dengan nikmat dan kemenangan untuk para anbia' sedang umat tuding-menuding, kalian sempit dan melampau, kalian pula memutar belit sejarah dan memalsu hadith.

Dengan itu aku sudahi dengan pegangan salafussoleh seperti Imam Abu Hanifah, Hasan Al-Basri dan Umar bin Abdul Aziz:

"Itulah darah-darah yang telah tertumpah, yang Allah telah membersihkan tanganku daripada percikannya; maka tidaklah aku suka darah itu melumuri lidahku."


Saturday, December 26, 2009

Thursday, December 24, 2009

Maneki Neko

Pernah tak tengok di kedai-kedai cina, patung kucing yang melambai tangan sambil pegang syiling emas? Sebenarnya itu budaya Jepun. Dia orang percaya kalau kucing tu lambai tangan kiri boleh tarik pelanggan, kalau tangan kanan boleh tarik tuah. Lagi tinggi tangan melambai lagi kaya. Dalam kartun Doraemon pun ada episod yang tajuknya 'Kucing Panggil Pelanggan.'

Kononnya zaman Sengoku dulu, waktu Oda Nobunaga nak ke mana entah ada seekor kucing lintas di depan. Dia nampak kucing tu macam melambai panggil. Oda pun pergi dekat kucing tu dan sebab perjalanan dia dah terlencong dia teselamat daripada perangkap musuh di depan. Sejak tu kucing dianggap dewa bijaksana dan tuah.

Kucing ni. Kami lalu depan satu kedai di Hydra. Lepas tu, ada seekor kucing keluar dari kedai tu. Kucing manja. Kami main-main kejap dengan dia. Tuan kedai tu senyum saja tengok. Bila kami nak ke lain dia ikut. Asyik ikut. Dalam hati aku, "Ceh, takkan tuan kedai ni pakai kucing untuk panggil pelanggan kot?"

Anarki di Athina XL

Wednesday, December 23, 2009

Teksi Palang

Naiklah teksi putih dengan abang Munir dan adik Mamat. Nak pergi Sarag Mall beli glove goal keeper. Masuk, nampak gambar tok sheikh bertongkat. Belakang tok sheikh tu ada Perawan Terberkati Maria dengan kepala bercahaya. Munir pun cakap, "Dia ni macam orang tak sembahyang ja Mat." Aku sambut, "Palang, orang palang." Teksi pun jalan.

Kat Sikkah jalan macet. Mamat bosan-bosan boleh pulak dia gobel tangkal azimat apa entah yang ada ukiran Perawan Terberkati Maria yang tersangkut kat cermin pandang belakang. Munir kata, "Hang ni tak boleh dok diam ka?" Mamat gelak.

Teksi jalan lagi sangkut-sangkut. Tiba-tiba drebar pasang radio. Mula-mula lagu. Lama-lama 'Iza'atul Qur'an' -Radio Qur'an. Tiba-tiba je drebar ni. Munir nak tergelak, aku senyum. Lama lagi, dia mula ikut-ikut orang mengaji, mendayu-dayu lagi. Mamat paling belakang kata, "Apahal macam pelik je mamat ni."

Lama lepas tu drebar teksi mengeluh pulak, "La ilaha illallah, Sayyidina Muhammad Rasulullah." Munir dengan aku nak tergelak lagi.

Jalan pun lega. Sampai dekat belok nak masuk Abbas Akad drebar tanya Mamat, "Kau belajar Azhar?" "Tak, Ain Shams," Mamat jawab. Bila dah nak dekat Sarag Mall drebar tu pun kata, "Aku pun muslim jugak sebenarnya, tuan kereta ni je yang Kristen, aku cakap ni sebab tadi aku nampak kau orang dok gelak-gelak kat aku tadi."

Begitulah ...

Saturday, December 19, 2009

Jameh Masjid

30 Tahun Revolusi Islami XXIV

Rezeki Allah berpeluang tahun lepas jejak tiga negeri. Yunani, Turki dan Parsi. Walaupun negerinya jauh-jauh dan budayanya berbeza -terima kasih kepada nasionalisme buta- tapi cukup berkait rapat.

Yunani dan Turki yang ada hubungan dan pergeseran pada zaman Uthmaniyyah banyak bertukar-tukar budaya dan yang baru aku belajar selepas ke Turki dan Parsi ialah betapa budaya Turki dan Parsi telah berasimilasi sejak Zaman Pertengahan. Boleh jadi orang-orang dari Turkmenistan sampai Edirne semua mampu berbahasa Turki dan Parsi.

Dari perjalanan itu juga baru aku sedar betapa besarnya impak dan jasa orang-orang Turk ini kepada Islam dan alam. Mungkin tepat dengan apa yang Tuhan kata. Kalau satu kaum sudah tidak mahu jaga Islam Allah beri pada kaum lain. Dari Arab pindah ke Turki. Sekarang ini pindah pada siapa? Ada orang kata pindah ke Nusantara, ke orang putih sebenarnya?

Adapun, orang Turki bukan penduduk asal semenanjung Anatolia - Republik Turki yang kita suka pergi jalan-jalan itu. Tapi mereka berasal dari padang rumput Asia Tengah. Mereka kemudian turun dari pergunungan Altai dan Ural ke Transoxiana - atau dalam bahasa Arab 'Ma Wara-un Nahr' (apa yang di belakang sungai).

Antara suku-suku Turki itu Bani Seljuk menerima Islam. Dalam kurun ke 11 Bani Seljuk mula masuk ke Parsi dan membentuk Empayar Besar Seljuk.

Mereka amat sinonim dengan budaya ketenteraan yang menjadikan mereka para ghazi. Mereka muncul sebagai 'defender of the Sunni' (ansari sunnah? tapi mereka bukan salafi, mereka bermazhab Hanafi/Shafii) dengan membebaskan kota Baghdad daripada pemerintahan Syiah Buwaihiyyun serta menjadi pelindung Khilafah Abbasiah.

Kemaraan diteruskan lagi ke barat sehingga ke jajahan takluk Byzantine di Asia Kecil -Anatolia. Khilafah Uthmaniyyah lahir daripada Bani Seljuk dan mereka menetap di Anatolia hingga zaman moden kini.

Empayar Besar Seljuk menjadi benteng daripada serangan tentera salib dan merupakan pesaing utama Khilafah Syiah Fatimiyyah. Di bawah pemerintahan Malik Shah sempadan Empayar Besar Seljuk merentasi dari Hindu Kush ke Anatolia dan dari Asia Tengah ke Teluk Parsi.

Jameh Masjid dianggap sebagai kemuncak senibina Seljuk.

Sunday, December 13, 2009

Perempuan-perempuan Purdah

Sebermula, Al-Azhar meminta pelajar-pelajarnya tidak memakai niqab di dalam kawasan kuliah. Kalakian, kuliah-kuliah lain pun membarengi.

Perempuan-perempuan purdah dengan abaya hitam yang besar dan labuh pada mata aku tak ubah macam Ringwraith dalam LOTR. Ada dalam sembilan orang semuanya mengerumuni Taher Farid seolah-olah The One Ring ada dalam tangan dia.

Boleh jadi dia orang tak dapat masuk exam dengan niqab jadi dia orang pergi tuntut hak purdah dan bantah peraturan baru. Ada seorang perempuan yang pakai biasa-biasa simpati dengan dia orang berdiri di belakang tapi tak kata apa-apa. Sebelah sana ada abang salafi seorang yang macam tengah tadah telinga dengar dan nampaknya bersedia bila-bila masa untuk membela perempuan-perempuan purdah.

Pun, ada yang terlepas dan mampu meneruskan kemandirian niqab dengan menanggalkan niqab dan menggantikannya dengan topeng bedah bersempena dengan kemeriahan jangkitan virus H1N1.

Friday, December 11, 2009

Madrasah Amir Sarghatmish 1356

Balik memborong dari Maaradh Kutub. Macam tahu-tahu tahun-tahun depan tak akan pergi lagi. Borong banyak dari Darussalam sebab diskaun sampai 60%. Beli sikit-sikit dari Dewan Italia.

Balik borong bonceng belakang Mamat atas motor. Macet sebab lalu ikut Jalan Saliba nan sempit - nanti kita cerita kenapa sempit. Hari dah nak maghrib. Mamat kata ah kita asar kat sini sajalah.

Seberang jalan ada masjid lama yang kami cam dari pintunya saja - aku tak perasan menara atau kubah. Dinding masjid nan buruk. Berhabuk kelabu asap. Malap. Pintu pun lusuh. Kusam ditelan zaman. Bawwab masjid tanya nak naik menara? Tak, kami nak sembahyang asar. Masuk dalam. Cantik.

Lawa. Berlawan dengan dinding luar. Putih kuning. Cerah cahaya. Ada sahn lapang yang ada astaka untuk wudhuk dan pokok-pokok rwnwk hijau dalam pasu macam taman. Hati Mamat mudah tersentuh jadi tenang. Lepak sampai maghrib.

Sebelum balik tanya Bawwab, apa nama masjid ni? Madrasah Amir Sarghatmish. Amboi, pelik pula nama. Bina tahun 757 Hijrah. Dalam abad ke-14 Masihi. Di balik tembok-tembok busuk rupanya ada tempat-tempat wangi.

Macam rumah-rumah Mesir yang luarnya dinding tak plaster macam setinggan tapi dalamnya perabot -serabut?- indah macam istana. Orang Mesir gamaknya pentingkan isi dari kulit.

Jadi kami azam nak cari lagi tempat macam ni.

Wednesday, December 09, 2009

Rendang Unta

Khutbah raya Masjid Hidayah masih berkisar tentang kekalahan Mesir 1-0 menentang Algeria dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia yang penuh kontroversi. Khatib menyebut walaupun Algeria menang dan Mesir kalah ia tetap tidak mengubah keadaan pembangunan insan kedua-dua negara. Khatib juga berkhutbah bahawa bola sepak tidak memberi impak pun dalam membangunan ummah.

Khatib menyeru bahawa jika bola sepak bakal menyebabkan persengketaan antara saudara muslimin lebih baik kita tinggalkan bola sepak jangan main lagi selain menyeru bahawa ukhuwwah Islamiyyah lebih penting dari segalanya (bola sepak).

Tahun ini solat di luar masjid kerana keluar lewat walaupun masjid sejengkal. Terpaksa menahan sejuk kerana musim sejuk (yang betul-betul sejuk) sudah bermula secara rasmi dengan turunnya hujan pada subuh raya yang diiringi guruh. Guruh yang menjadi fenomena jarang di sini membuatkan aku yang terlalu banyak menonton siri Lost terfikir apakah ada kapal terbang nak terhempas? Khabarnya ada juga makcik jiran yang terjerit takut atau terkejut lantaran jarangnya guruh.

Hari Raya Haji bererti sudah setahun berlalu persinggahan aku dan Tan di Yunani kerana kami beraya di atas kapal laut tahun kelmarin. Juga diingati ulangtahun pertama pembunuhan seorang remaja di tangan polis di kota Athens yang dihiasi lontaran bom petrol. Jadi menurut perkiraan kota Athens setiap tahun akan mengingati persinggahan kami ke situ.

Makan rendang dan kuah kacang di rumah Mede dan Iqbal yang masih rajin memasak walaupun dalam peperiksaan.

Tuesday, December 01, 2009

Infigar Kabeer

Mengadap Sultan Setambul XXIV

Infigar Kabeer ialah Big Bang.

Malam kedua kami pisah. Mengelak ikhtilat konon. Cewah. Berkat kononnya mengelak ikhtilat berbuah. Sulieman ajak kami makan di restoran ikan oleng-oleng. Dia belanja. Jadi dia, aku, Mamat dan Konsti berjalanlah ke kedai yang katanya tak jauh.

Masa tengah jalan nak makan ikan dia orang banyak membuka minda kita orang tentang cara orang putih. Kami banyak tanya pasal cuaca, pasal perempuan, pasal arak. Dulu kami ingat orang putih dah biasa dengan cuaca sejuk, dah tak kisah. Rupanya dia orang tak suka jugak. Sebab tu dia orang masih panggil bad weather.

Sulieman (dah tentu sebab dia muslim) dengan Konsti pun anggap mini-skirt menjolok mata sampai Konsti kata dia orang ni gila ke apa musim-musim sejuk pakai singkat-singkat dedah-dedah kaki. Bila tanya apa rasa arak dia kata you wont like it. Pening. Busuk. Kita orang pun, "Oh!" Agaknya kita orang terserempak orang putih baik-baik kot. Tapi agak mengubah persepsi terhadap orang eropah dan nampak sangat orang kita saja yang terikut buta-tuli apa-apa yang dalam TV. Masa aku kata, orang Asia banyak yang berkiblatkan Barat. Sulieman pun terkejut, "No, no, no, it shouldn't be like that" ...

Sekali masa kami jalan-jalan nak pergi kedai ikan tu, apa entah yang Mamat tanya Konsti tapi baru kami tau yang dia tu atheist. Patutlah dari tadi asyik dok sindir-sindir Islam. Sulieman pun apa lagi. Panas. Terus tanya, "So, how do you explain The Big Bang?" Sepanjang-panjang jalan dari Topkapi sampai jejantas Eminonu tak habis-habis debat. Rasa bersalah pulak Mamat buka topik. Akhirnya potong buat-buat tanya, "Sulieman, kenapa kau pilih nama tu?" Tapi dia orang cool saja. Dia orang berhenti takat tu saja. Balik hostel main backgammon sama-sama.


Sunday, November 29, 2009

Tumbang


O Lord, this came from You and return to You, so accept from me ...

Tak dapat yang putih, hitam pun jadilah.

Kalau anda buat korban, ambil hati dan makan hati. Kalau pun anda tak berahi makan kibdah pada hari-hari biasa atau sudah fobia dengan lauk kibdah di maidah rahman dua bulan lepas, ambil hati dan makan hati. Memang limpa, paru-paru dan perut sedap tapi hati lebih afdhal sebab Nabi makan sebagian hati binatang korbannya. Jadi tuan korban, ambil hati dan makan hati.

Saturday, November 21, 2009

Gatos


Orang-orang di Kepulauan Yunani lebih gemarkan kucing berbanding anjing. Anjing hampir tidak kelihatan di pulau-pulau. Berbeza dengan orang tanah besar yang lebih gemarkan anjing. Anjing di tanah besar tidak dipasang cawak. Dibiarkan bebas berjalan di sebelah tuannya. Yang membezakan dengan anjing kurap hanyalah kolar pada leher.

Di belakang kucing yang memejam mata ini mungkin sekali teksi air.

Anarki di Athina XXXIX

Friday, November 20, 2009

Berita! Buang Bayi

Tuut! ... Tuut! ... Pukul tujuh pagi. Inilah berita nasional dari Radio Satu Kuala Lumpur. Berita disampaikan oleh Mariamah Tijo. Sari berita penting ...

Mounira, 12 November - Istana Presiden hari itu gempar dengan penemuan seketul bayi di hadapan pintu. Bayi yang cukup sifat dan seberat tidak sampai suku kilo itu ditemukan dengan skaf merah terlilit pada lehernya dan hanya dibaluti kain tudung. Menurut jurucakap Istana Presiden, pada malam kejadian loceng pintu ditekan dua kali namun setiap kali pintu dibuka tiada orang kelihatan. Namun apabila loceng ditekan kali ketiga sekujur bayi ditemukan terbaring di hadapan pintu.

Bayi malang yang ditemui dalam keadaan sudah kaku.

Thursday, November 19, 2009

In Chand e?

30 Tahun Revolusi Islami XXIII

Kalimah pertama yang dianggap paling penting untuk kemandirian yang kami pelajari ialah kalimah untuk berjual-beli. Jadi kami belajar bagaimana nak menyebut, "Bikam dah?" (berapa harganya ni?) dalam bahasa Parsi dari seorang Pakistan (kot) yang ada di Stesen Azadi waktu itu. Orang itu kata, "In chand e?"

Tapi macet juga sebab kalau tauke kedai sebut, "Se hezaar toman," kami akan cuma tahu melopong saja. Akhirnya kami tanya juga tapi tauke kedai petik kalkulator saja. Lagi pening bila di peringkat pasar, Iran masih menggunakan matawang lama iaitu toman berbanding matawang rasmi rial. Bukan setakat beza nama, tapi beza nilai pulak. 1 toman = 10 rial. Mudahnya tolak kosong saja.

Uniknya kedai-kedai runcit Iran ni, kalau masuk semuanya mesti ada papan tanda 'Welcome to your shop'.

Aku tak banyak pengalaman dengan kedai runcit sebab tak banyak membeli-belah macam orang lain (kedekut?). Cuma sekali tersilap beli kredit untuk telefon genggam Phuong. Tapi nasib baik pakcik kedai Iran baik. Pakcik pelanggan yang boleh cakap orang putih sikit-sikit pun tolong dan sanggup beli kredit yang dah terguris.

Di Iran telur dijual pakai kilo.

Tuesday, November 17, 2009

Takut dalam Cinta

Tak sangka akan bertemu lagi dengan kata-kata di atas di Topkapi. Dulu kata-kata tu tergantung di atas salah satu pintu Masjid Islah di Maahad Muhammadi. Zaman itu -sampai sekarang pun- tak tahu exactly apa maksud ayat tu. Apa pun ia menunjukkan kepentingan takut Tuhan yang menjadi elemen penting kepada wisdom.

Kemudian persoalan takut Tuhan ditanya Bro. Mohiyuddin ketika di MCIIUM -sekarang ni dah nama CENFOS. Katanya kenapa kita mesti takut Tuhan. Apakah sebab Tuhan ni jahat? Apakah sebab Tuhan ni samseng? Apakah sebab Tuhan ada neraka? Apalah sebab Tuhan boleh balas kerja jahat kita dengan bala bencana?

Tapi kata Bro. Mohiyuddin, kita takut Tuhan sebab kita sayang. Sebagaimana orang yang kita sayang, kita takut untuk buat sesuatu yang menimbulkan marahnya. Lebih-lebih lagi dengan tuhan. Begitulah takut kita kepadaNya.

Maka itu, kalau anda sayang seseorang janganlah buat benda yang boleh mendatangkan marah. Kalau dah tau dia tak tak suka, sudah-sudahlah. Tak usah ulang.

Juga, jangan marah, nanti kena jual.

Sunday, November 15, 2009

Sabil

Sabil atau Sebilj di Sarajevo ialah tempat memberi minum air kepada orang-orang yang lalu-lalang yang dahaga. Berbeza dengan air pancut di Eropah yang aliran airnya bergantung kepada graviti dan akueduk tinggalan Rom, sabil biasanya bergantung kepada tangki bawah tanah yang menakung air hujan atau mata air. Kadang-kala air dialirkan melalui terusan dari tasik atau sungai di pinggir kota atau diangkut dari situ.

Kewujudan sabil ialah salah satu ciri-ciri bandar yang bertamadun selain lambang kepada kamakmuran dan kebajikan. Sabil banyak dibina berhampiran masjid sebagai kemudahan bersuci. Zaman dulu kala, sabil atau air pancut benar-benar berfungsi sebagai sumber air untuk awam. Bila zaman berubah, air pancut hanya tinggal sebagai hiasan.

Sabil boleh muncul dalam banyak rupa. Sampai zaman ini bentuk seringkas ini masih boleh ditemukan.

Pada zaman dulu, sabil dibina dengan binaan yang teliti dan gah seperti ini sebagai menunjukkan kepentingannya selain mempamerkan prihatin dan prestij pemerintah.

Zaman moden, sabil muncul dalam bentuk ini. Dengan sistem penyejuk yang menyamankan tekak pada musim hangat dan masih dihiasi dengan ayat-ayat Tuhan seperti,

"...and their Lord shall make them drink a pure drink."
[76:21]

"...We made from water every living thing."
[21:30]

Saturday, November 14, 2009

Harapan Baru Untuk Kari

Bapak aku yang tak cerewet bab makan. Asalkan cukup dan decent. Jalan. Makan nasi tak ada lauk pun tak apa asal kuah sedap. Senang mak aku.

Sebetulnya aku dah bosan dengan kari. Kalau aku tengok kari sekarang ni rasa tak semangat. Dah terlalu common. Ujung-ujung ni aku minat benda-benda pedas pulak macam sambal, masak merah. Sampai Ust Najid kata nampak gaya kena cari orang luar. Melaka ke Johor ke.

Satu dinihari masa bersembang di puncak menara agam kami tengah rating masakan siapa yang paling hampir dengan masakan ibu di kampung halaman. Setelah dapat siapa kami namakan pulak orang yang sekurang-kurangnya masakan dia boleh naik selera.

Kemudian tuan rumah pun cepat bersuara. Itu sebab dia tumis cili kering dulu tu. Maka bersinarlah harapan baru untuk kari. Malangnya tak tahu nak bubuh mana dulu sebab kalau ikut kaedah sambal kena tumis cili kering dulu tapi kalau macam itu bila pulak nak tumis bawang merah, bawang putih dengan halia. Keadaan bertambah buruk apabila serbuk santan Giant ceroi. Yogurt jugak yang boleh diharap.

Kenapa masakan bujang tak setanding masakan ibu? Antaranya ialah kerana orang muda tak cukup sabar. Darah masih panas mendidih. Ibu-ibu bab masak memang lama. Ada kawan-kawan yang ajar kalau nak buat sambal kena tumis lada sampai kering dekat-dekat nak hangit. Kalau tumis kari pun kena tumis lama sampai nak-nak hitam jadinya. Betulkanlah kalau salah.

Tapi macam mana pulak gerangan halnya dengan mak Orang Muar yang kononnya boleh siapkan lima jenis lauk dalam masa setengah jam? Jawapanya ialah segala bahan dah siap potong. Rumah orang bujang ni hairan betul pisaunya. Kalau kelar tangan tak luka, geli ada.

Apa pun, orang bujang banyak yang redha dengan sekadar sepeket megi cuma ...

Kari yang gagah pada warnanya tapi ceroi pada teksturnya.

Tuesday, November 10, 2009

Sulieman & Konsti

Mengadap Sultan Setambul XXIII

Paulo Coelho ajar kalau berjalan jangan takut bersembang dengan stranger. Tapi kemodenan membuatkan kita jadi nafsi-nafsi sebab masing-masing cuak dengan orang jahat yang makin ramai ...

Idris Suleiman, 31 tahun, bujang. Kami kenal dia bila Omer dan Fateh tak mampu nak jawab Jumaat masuk jam berapa. Suleiman seorang British dari Preston. Sekarang dah setahun cuti. Misi dia dalam cuti ialah berkelana ke beberapa negara Islam dan solat di setiap masjid di situ.

Dia kerja construction. Sebelum ni pernah kerja di Oslo, Norway. Katanya waktu di sana dia struggling Islamically sebab tak ada kawan muslim yang boleh ingatkan dia sembahyang bang. Jadi dia berhenti sebab tak tahan. Famili dia Kristen Katolik kuat. Sejak umur dia tia empat belas tahun dah pergi Zimbabwe buat kerja-kerja amal. Tolong orang bedah selaput mata.

Bila tanya dia macam mana dia jadi muslim dia macam jawab gitu-gitu saja. Katanya, "When you search, you'll find out that Islam is the right way." Kita orang frust sekejap. Mak bapaknya tak menentang atau membuang dia. Lagipun dia anak sulung katanya. Siapa nak lawan? Ke mana-mana pun dengan seragam yang sama. Kopiah, berkalung sorban dan seluar 'cikantong'. Pantang dengar azan terus berlari ke masjid.

Suleiman suka fotografi. Lawa-lawa gambar-gambar dia dalam FB. Kami tak tahu dia ada dslr -nampak gaya macam selekeh saja- sampailah malam dia belanja makan tu. Ini antara benda yang aku belajar dari dia orang. Macam gitulah orang putih makan angin. Tak menunjuk dia orang kaya. Bukan macam kita yang ke hulu ke hilir dslr tersangkut di tengkuk. Konsti pun cakap benda yang sama.

Mamat suka sangat bersembang dengan dia orang. Pasal agama dengan dia, pasal life orang putih dengan Konsti. Sekali aku cerita dekat Suleiman pasal orang Islam kat tempat kita yang murtad yang jenis sebab jumpa Jesus dalam mimpi. Tak sudah dia mengucap. Dia kata, "If I dreamed of being Superman last night, I dont become Superman today," sambil gelak-gelak mengucap.

Konstantin orang Austria. Tapi kami panggil Konsti saja sebab dia kata itu memang nama pendek untuk Konstantin. Kebetulan nama dia sama dengan bandar kami lepak tu. Umur lebih kurang aku tapi rupa macam dah tua bangka. Orang putih ... Dia pun budak medik. Pernah mengaji dekat UK sekejap. Konnnya baru lepas grad. Tapi boleh pulak jalan-jalan.

Sebab orang-orang yang lepak Hostel Anzac semuanya best gila jadi kami mudah kenal. Lagipun dia asyik menyampuk masa kami tengah sembang-sembang pasal agama. Dia dok sindir-sindir. Kami tanya dia pasal Austria dengan Jerman sebangsa ke? Dan kenapa tak gabung dengan Jerman. Tak jelas tapi nampaknya orang Austria ada pride sendiri.

Kebetulan, sambil mengaji medik agaknya dia jurulatih ski. Jadi satu malam tu budak-budak ni menengar kuliah ski dari dia. Maklumlah kita orang kan kononnya nak main ski kat Iran sana. Konsti lagi suka tengok benda-benda nature. Jadi bengunan keliling Setambul tu dia tak hairan pun.

Sekali Konsti nampak Asle punya Croc, "Aaaa! Kenapa kau pakai itu? Kau nak pakai itu main ski?" Asle segan-segan backing diri sendiri. Konsti cakap kat rumah dia baju dia semua Gucci. Tapi masa makan angin dia pakai baju bodoh-bodoh selekeh saja. Barulah tak ada orang nak merompak. Barulah orang tak cekik darah atau sembelih tekak.

Banyak benda yang dapat daripada dia orang ni. Contohnya, patutlah orang putih kaki makan angin. Sebab kalau dia orang lepak negara sendiri lagi mahal belanja. Kemudian bila Mamat mula buka topik pasal love and relationship aku dah tak layan. Dia kata awek dia malas masak. Prinsip dia pun lain sikit. Makan angin pun soeorang-seorang.

Monday, November 09, 2009

Satu Tolak Tiga

Paling baik ialah menunggu penjelasan ulama. Lebih baik ialah bertanya terus pada ulama atau sekurangnya pada mana-mana pandai agama.

Serta busuklah orang-orang yang tayang panau di belakang badan sendiri serta membawa mulut tentang hal rumahtangga sendiri ke jiran sebelah-menyebelah.

Adapun dalam banyak-banyak opini yang ditelurkan (pinjam kalimah Idil) tak kira orang kecil besar, hairannya tak ada satu pun yang memberi penjelasan paling ringkas seperti yang diberikan Orang Muar yang lebih berpengalaman iaitu pilihannya mudah saja, kalau tak sanggup melafaz taklik tak payah bertanding awal-awal.

Kemudian ada orang timbulkan soal taksub. Kata Orang Muar lagi, ini bukan soal taksub tapi soal keyakinan. Kalau sudah yakin dengan satu jalan patutlah kita pegang dengan kuat. BUat betul-betul. Kalau orang lain boleh yakin dengan jalan ilmu kenapa tidak orang ini yakin dengan jalan gerakan. Pegang sampai hangit letung lumat le'it (pinjam kalimah Ust Osman 'neraka'). Kalau tak boleh barulah tukar jalan lain. Tapi kalau setakat duduk-duduk atas pagar, masuk jalan ni eh tak yakin, belok ke lorong tu eh tak pasti, buat apa? Bawalah untuk aku apa beza antara yakin dan taksub.

Lagipun berjuang untuk agama itu berjalan seiringan dengan berjuang untuk bini dan keluarga. Saling melengkapi dan menguatkan. Kalau sudah stray to the other side secara moralnya dah hilang bini dan famili walau tak ada taklik pun.

Akhirnya, aku tak minat untuk guna alasan faham. Tapi orang yang kurang berjuang atau di pihak satu lagi kurang mengerti. Orang berjuang meletak Tuhan dan perjuangan untukNya itu di atas podium nombor satu. Orang yang di pihak lagi satu pula terkejut dengan alasan mencampuri siyasah dengan famili. Pisah-memisah ni kan kerja dia orang. Sekular.

Rujuklah ulama dan pandai-pandai agama. Tapi penjelasan yang aku berkenan boleh klik perkataan ini.

Sunday, November 08, 2009

Kenaikan di Hydra

Kenderaan bermotor sama sekali tidak dibenarkan masuk ke Pulau Hydra.

Entah kenapa dilarang masuk pun tak tahu. Tapi kalau ada pun tak guna. Ke mana sangatlah yang boleh dibawa sebab Pulau Hydra ni kecil. Lagipun kawasan penempatan padat. Sekitar pelabuhan Hydra saja dan kawasan lain berbukit-bukau. Kalau nak ke mana pun semua orang jalan kaki saja. Jadi orang cuma jalan kaki, naik teksi air, naik basikal (jika ada) atau kenderaan rasmi lagi tradisi -atau kenderaan buat duit- dia orang yakni keldai.

Tapi itulah tarikan utama Pulau Hydra. Untuk orang yang nak siasat kenapa tak boleh pakai kereta atau untuk orang yang setakat nak kata, "Yes, aku dah sampai kat pulau yang tak ada langsung kereta."

Kalau pun ada kenderaan bermotor hanyalah lori sampah macam yang ini.

Anarki di Athina XXXVIII

Saturday, November 07, 2009

Gunung Wasata

Sebuah gunung bernama Wasata ...

Bukan mana-mana gunung di negeri Jepun,

Dan Tuhan pun berkata,
"Thus We have appointed you a middle nation, that ye may be witnesses against mankind, and that the messenger may be a witness against you ..."
[2:143]

Kemudian sebilangan ulama pula menyebut,
Adapun perkataan wasata itu ialah seperti puncak gunung yang mana apabila kalian mendakinya kemudian menuruninya, puncaknya berada di tengah-tengah dan apabila kalian berada di puncak itu, kalian boleh melihat orang lain dan orang lain boleh melihat kalian kerana perkataan shuhada' (saksi) itu perkataan yang aneh kerana ia merangkumi maksud shahid (menyaksi) dan masyhud (disaksi).

Adapun, jika kalian berada di lembah yang itu (eksrimisme) kamu tidak akan nampak lembah yang di sini. Apabila kamu berada di lembah yang ini (bermudah-mudah? bersenang-senang?) kamu juga tidak akan nampak lembah yang di situ.Tetapi apakala kalian berada di puncak, kalian akan dapat melihat kesemua lembah-lembahnya ...

A Common Word, Between Mercy and Mercy

Wednesday, October 28, 2009

Keluarga Hasan Agha


30 Tahun Revolusi Islami XXII


Hasan Agha ialah abang Mojiri Agha yang itnggal di Esfahan. Di Esfahan, Hasan Agha yang bawa kami pusing-pusing dari alif sampai ya. Malam di Nani Pizza rupanya dia datang rumah bawa anak-anak bawa cucu.

Dia telefon tapi masing-masing macam ayam bercakap dengan itik. Tapi entah macam mana dia jumpa juga kami di Nani Pizza. Bukan susah sangat nak berhubung kalau dah dapat 'bahasa dunia'. Anak dia yang lebih muda itu namanya Mustafa. Dia saja yang boleh cakap Inggeris. Itu pun sepatah-sepatah. Cucu dia aku tak ingat nama. Tapi cukup biasa dengan orang asing.

Balik Tehran, istrinya Mojiri Agha tak putus-putus memuji abang iparnya itu. Katanya dia orang sabar. Tak banyak cakap. Katanya istri Mojiri kalau dia bawak kami pergi bazar dan kami shopping lama-lama dia langsung tak kompelin.

Dan Ayep memang penuh dengan paternal love ...

Tuesday, October 27, 2009

Jemuran

seolah-olah ada kain merah merentang di atas kepala,
aku sudah putus dari langit ...

-siri siri keliling rumah sendiri-

Sunday, October 25, 2009

Nilometer 861

Kalau suka tengok bangunan-bangunan lama yang boleh dapat di ceruk rantau kota Kairo ni, moleklah juga kalau tahu susur-galur penguasa-penguasa Mesir pada zaman Islamnya.

Adapun secara ringkas bolehlah disebut begini, paling awal dimulai dengan Khulafa' Rashidin, kemudian Umayyah, lepas itu Abbasiyah dan Tulunid, kemudian Fatimiyyah, lepas itu Ayyubiyah, kemudian Mamluk, lepas itu Uthmaniyyah, kemudian Muhammad Ali Pasha.

Maka sudah tentulah tinggalan paling lama ialah Masjid Amru Al-As. Lamun, datang sekarang yang dapat kita lihat banyaknya hasil tokok tambah zaman Uthmaniyyah.

Adapun selepas masjid yang di Fustat itu, bangunan kedua paling lama ialah Nilometer ini ...


Thursday, October 22, 2009

Berbual dengan Malaikat

Primero
Bersembang dengan Hafazah
Dia selamatkan aku dari kegelepan dengan dia sengaja-sengaja pulang dari melepak di Malikul Saleh tengah-tengah malam.

Secundo
Bersembang dengan Hafazah
Dia ingatkan aku tertinggal kunci rumah di sekerat jalan sebab rupanya ada orang nak datang ke rumah.

Tersero
Bersembang dengan Hafazah
Aku memang niat nak goreng appalam tapi lupa langsung. Kemudian dia saja-saja goreng appalam sebab nak makan.

Quarte
Bersembang dengan Hafazah
Dia membuka jalan untuk aku dengan membuka mata aku dengan suka-suka membeli buku itu dan ini walaupun dia sendiri tak pernah buka apa lagi baca.

Bersembang dengan Malaikat Hafazah ...

Wednesday, October 21, 2009

Gerau

Mengadap Sultan Setambul XXII

Gerau ialah tukang masak diraja. Nak cari istilah untuk dapur istana tak jumpa. Tapi tak masuk sebab tutup tengah ubahsuai. Di bawah kubah-kubah kecil yang menudung dan serombong-serombong asap yang menjulang awan ada peragaan seragam-seragam tukang-tukang masak, pelayan-pelayan sultan, senduk dan sudip, periuk dan belanga.

Pada zaman Dinasti Ching, Kota Larangan mempunyai 185 orang gerau dan membeli 3000 ekor ayam seminggu demi menampung 1200 orang sida-sida, 840 orang pengawal dan 350 orang inang dan dayang walaupun dinasti itu telah berakhir.

Ada 1200 orang gerau di Topkapi yang menyediakan 20000 hidangan makanan setiap hari, termasuk hidangan tiga kali makan untuk 5000 orang yang tinggal di istana dan hidangan yang diagihkan untuk dapur umum (untuk kebajikan) atau untuk caravanserai.

Tuesday, October 20, 2009

Monday, October 19, 2009

Hydra Port

Pulau Hydra ialah yang paling kecil (antara yang kami singgah) di Teluk Saronik. Pun, ada orang cakap pulau ni sebahagian daripada teluk Argolik sebab dia duduk di tengah-tengah antara dua teluk tu.

Sebut betul-betul nama dia, ee-druh bukan high-druh. Maknanya air sebab dulu di pulau ni ada mata air, bukan sebab Lernaean Hydra (raksasa ular kepala sembilan) pernah muncul kat sini. Tapi mata air tu dah kering.

Inilah pelabuhan Hydra yang boleh nampak rupa, gaya dan senibina Yunani yang cukup tipikal. Pelabuhan berbentuk bulan sabit yang dikelilingi kedai, pasar, restoran dan galeri. Pekan yang paling besar di pulau ni pun, Hydra Port inilah.


Anarki di Athina XXXVII

Sunday, October 18, 2009

Ufti

Ufti yang dipersembahkan oleh budak-budak berupa tat nenas, almond london, biskut mazolla, biskut cornflake, biskut persis suji, biskut tak tahu nama yang diletak keju dan baunya dah jadi macam super ring, mama carrie, kerepek pedas, kuih siput, semprit, maamor dan teratai layu di tasik madu. Tahun ni, orang-orang banyak mula kembali kepada salaf dengan memakan kuih-kuih tradisi seperti kuih bangkit, bahulu, putu jawa dan kuih kapit.

Tat Nenas dan Almond London

Kuih raya 'rasmi' tahun ni. Tahun-tahun depan, bolehlah bariskan tat nenas dengan almond london bersama-sama dengan ketupat, lemang dan rendang sebagai ikon dan simbol hari raya.

Saturday, October 17, 2009

Mehdi


30 Tahun Revolusi Islami XXI


Angle Ayep yang bagus. Mamat nampak macam bincang benda serius.

Anak Mehdi?

Masih di Nani Pizza. Kalau tak silap, kami mintak tolong Mehdi yang datang dengan famili besarnya untuk explain kepada manager Nani Pizza kenapa order kami besar. Kemudian kami sembang. Mehdi pernah sampai Malaysia kot, sebab sebelum pisah dia kata, "Tell the Malaysians ... I LOVE THEM!"

Mehdi salah seorang dari dua tiga orang penyokong kerajaan yang kami jumpa sepanjang jalan. Selain Pakcik Ali atas bas satu famili. Sebab anak-anak muda lain kalau kami semua kata, "Kita orang suka Ahmadinejad," dia orang nanti besar ketawa. Mehdi tanya kami apa opini kalian tentang Ayatollah Ali Khameini. Alamak, manalah kami tahu, yang tembus ke dunia luar pun Ahmadinejad saja.

Hujung-hujung Mehdi tanya bukan ke Inggeris tu bahasa kedua kalian, kenapa kalian nampak sangkut-sangkut? Cis Mehdi, kita orang saja turunkan level. Cakap laju-laju karang kau pulak tak sempat tangkap. Cecece. Ceh.