Wednesday, June 28, 2006

Ikan Pulang ke Lubuk

Itik pulang petang

Blog ini bakal bercuti. Benar-benar bercuti. Melainkan punya peluang ke kantor bapa. Atau Tuhan menangguhkan kejayaan. Aku tinggalkan kamu dengan 'update-update' picisan, kurang popular lagi tidak serius. (Macam pernah dengar, tapi di mana ya?)

Aku titipkan pada Allah Din kalian, amanat kalian dan akhir amal kalian.

Semoga Allah membekali kita dengan taqwa. Semoga Allah mengampuni dosa kita. Semoga Allah memudahkan kita dimana saja kita berada.

---

Ya Allah,
kepada-Mu aku memohon dan bertawakkal,
ya Allah mudahkan urusan kami, gampangkan kesusahan safarku,
berilah rezeki padaku berupa kebaikan yang lebih banyak dari yang aku minta,
jauhkan dariku segala keburukan. Ya Rabb lapangkan dadaku,
mudahkan urusanku.
Ya Allah aku memohon perlindungan-Mu,
dan menitipkan diriku, agamaku, keluargaku, kerabatku dan ni'mat yang telah engkau berikan padaku dan pada mereka dalam hal akherit dan dunia,
dan jagalah kami semua dari setiap keburukukan ya Karim.

Aku dan Tengku Kadir bakal berlepas dinihari nanti. Jaga diri kalian baik-baik

Lang Melayang


Lang melayang terbalik-balik,
Lang menuju ke Pulau Pinang,
Tunggu mama tak balik-balik,
Air mata berlinang-linang.

Kata mama boleh diganti dengan sesiapa. Lagu ini dinyanyikan abah kalau aku menangis sewaktu kecil jika mama lambat pulang dari mengajar di sekolah.

Mencari Kamaruddin

Sebelum meninggalkan kota Kaherah.

Qamaruddin

"Kamaruddin ada?"

"Tak ada."

Pergi ke tempat lain.

"Kamaruddin ada di sini?"

"Di sini tiada."

Pergi ke tempat lain pula.

"Di sini ada Kamaruddin?"

"Demi Allah, tak ada."

Pergi tempat lain lagi.

"Kamaruddin?"

"Kamaruddin cuma keluar pada bulan Ramadhan sahaja."

Qamaruddin--sebutan rakyat tempatan Amaruddin--ialah 'apricot paste'.


---

Burung Hud Hud

Tiga empat ekor burung Hud Hud yang telah kering atau diawetkan tergantung di kedai 'atar.

"Burung itu untuk apa?"

"Hasad."

"Bagaimana?"

"Kalau kamu ada rumah. Gantungkan pada rumah kamu. Kalau ada orang berniat jahat yang datang. Kamu boleh nampak pada wajahnya."

Burung Hud Hud ialah burung Belatuk. Tetapi spesis di rantau ini sedikit berbeda.
---
Alexandrite

Minggu lalu. Batu Alex ada di sebuah kedai. Tapi tak mahu. Terlalu kecil. Minggu ini. Batu Alex tiba-tiba tiada. Di kedai yang sama.

Kedai lain.
"Tengok gambar itu. Itu Sheik Fulan bin Fulan. Bekas Sheikh Azhar. Saya gantung gambar itu mestilah saya orang baik. Takkan nak tipu kamu."

Batu Alex dapat bertukar warna mengikut perubahan cahaya. Berwarna ungu kebiruan di bawah cahaya pendafluor dan berwarna merah di bawah cahaya mentol tungsten.

Jami' Azhar dan teksi Kaherah

Solat itu Cermin

Solat itu cermin hidupmu

Solat terdiri daripada af'al (perbuatan), aqwal (percakapan) dan ma'nawi (niat).

Af'al antaranya
  • Ruku'
  • I'tidal
  • Sujud
  • Duduk antara dua sujud
  • Duduk tasyahud

Aqwal antaranya

  • Takbiratul ihram
  • Membaca Al-Fatihah
  • Membaca tahiyat
  • Selawat ke atas Nabi

Ma'nawi antaranya

  • Niat

Dalam solat anda hanya boleh membuat, bercakap dan berniat perkara tertentu sahaja. Jika anda menggerakkan anggota besar lebih dari tiga kali apatah lagi berlari-lari, batal solat anda. Jika anda membuat bunyi yang yang punya makna selain bacaan dalam solat apatah lagi ketawa atau berbual-bual, batal solat anda.

Begitu juga dalam hidup anda. Islam hanya membenarkan anda membuat perkara yang diperintahkan Allah dan meninggalkan larangannya. Anda tidak boleh mencuri, membunuh dan berzina atau sebagainya. Islam hanya membenarkan anda bercakap yang baik-baik sahaja. Anda tidak boleh mengumpat, memfitnah, mangadu domba dan sebagainya.

Secara halus, Allah telah mendidik kita bagaimana untuk menjalani hidup melalui solat. Solat harus mencerminkan hidup dan begitu juga sebaliknya.

Firman Allah:

"...sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar..."

(Al-'Ankabut : 45)

Rujukan : Khusyuk Dalam Solat, Nik Abdul Aziz Nik Mat

Makanlah Buah-buahan Tempatan

Ini adalah siri-siri:
"...Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka."
(Ali 'Imran : 191)

Sebuah kisah

Anda pasti pernah membaca buku cerita kana-kanak terbitan Al-Arqam (kini Rufaqa') yang menceritakan tentang:

Pada suati hari, seorang pemuda telah memasuki sebuah dusun/kebun. Sambil memerhati kepada semua pokok yang ditanam di situ dia merungut. Mengapa pokok yang besar buahnya kecil-kecil sahaja, sedangkan pokok yang kecil yang batangnya lembut malah tumbuh menjalar di atas tanah buahnya besar-besar pula. Setelah lama mengomel, dia berasa letih lalu pergi berteduh di bawah sebuah pokok yang besar. Sedang dia berehat, tiba-tiba sebiji buah dari pokok besar itu telah luruh dan menimpa batang hidungnya. Dia pun terkejut dan berkata mujurlah buah yang gugur itu kecil. Kemudian barulah dia tersedar salah satu hikmah Allah jadikan pokok kecil berbuah besar, pokok besar berbuah kecil. Kalau tidak, mahunya penyek batang hidung.

Buah empat musim

Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang mengalami empat musim, kewujudan buah-buahan mengikut musim tertentu amat dirasakan. Antara buah yang biasa terdapat pada musim dingin ialah oren dan 'grapefruit'. Antara buah yang terdapat pada musim panas pula ialah tembikai, pic, anggur, epal, tembikai susu dan epal.

Rahsia aturan musim

Sungguh tidak sia-sia Allah mengeluarkan buah pada waktu tertentu sahaja.

Pada musim dingin, kita selalu mudah dihidapi selsema, batuk, asma dan sebagainya. Tetapi, pada musim ini jugalah Allah mengeluarkan buah oren sebagai sumber vitamin C yang baik untuk menentang jangkitan, membantu dalam penyembuhan dan menguatkan imuniti.

Pada musim panas pula, bayangkan betapa indahnya, setelah bersesak-sesak di dalam Metro yang panas seperti ketuhar selepas pulang dari peperiksaan pada waktu tengah hari, jika dapat memakan buah tembikai yang merah berair-air. Tambah-tambah kalau telah disejukkan terlebih dahulu.

Buah-buahan musim hangat

Buah-buahan tempatan

Pun begitu, aku belum nampak rahsia musim buah-buahan tempatan. Kerana musimnya tidak jelas. Keluar satu keluar semua. Malah kini, ada pekebun yang memaksa buah-buahan mereka gugur sebelum matang demi memenuhi pasaran. Hingga di Jeli, sebiji durian harganya jatuh 30 sen sebiji.

Asal-usul

Kononnya, pada zaman dahulu semua buah-buahan tempatan berbuah serentak. Ini menyebabkan buah terhasil dengan berlebihan dan pembaziran berlaku. Banyak buah menjadi busuk. Akhirnya, semua buah-buahan durian, rambutan, manggis, langsat, duku, kelapa dan pisang bermesyuarat untuk mengatur supaya setiap pokok berbuah pada satu-satu masa sahaja. Mereka sepakat untuk mengadakan pertandingan perlumbaan bagi menentukan giliran berbuah masing-masing. Kelapa dan pisang menjadi hakim. Melalui perlumbaan itu, semua buah mendapat giliran untuk musim masing-masing. Oleh sebab kelapa dan pisang menjadi hakim, maka mereka dapat berbuah pada bila-bila masa sahaja.

Firman Allah:

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.

Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air,

Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?

Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

(Yaa sin : 33-36)

Tuesday, June 27, 2006

Ertinya Kebebasan

"Freedom isn't something you're given, it's something you take" Malcolm X, pejuang Islam

"Freedom in capitalist society always remains about the same as it was in ancient Greek republics: freedom for slave owners" Vladimir Ilyich Lenin, bapa komunis

"Freedom is the encapsulation of everything that's worth fighting for" Winston Churchill, Perdana Menteri British semasa Perang Dunia kedua

"Freedom is something you can only appreciate if you've ever lost it" Angelina Jolie

"Freedom is what you do with what's been done to you" Jean Paul Sartre, novelis, pemikir Perancis

"Liberty is the right to choose. Freedom is the result of the right choice" Lech Walesa, anti-komunis, bekas presiden Poland, pemenang Nobel Keamanan

"Freedom is the oxygen of the soul" Moshe Dayan, jeneral tentera Yahudi laknat

"Freedom is being able to leave the toilet seat up" Robin Williams


Usaha

Peperiksaan sudah tamat...merdeka?

Monday, June 26, 2006

Schistosomes : The Aggressive Lovers


Ini adalah siri-siri :
"...Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka."
(Ali 'Imran : 191)

Schistoma : Lambang kasih suci

Keunikan tabiat (seperti di dalam gambar) cacing pipih ini membuatkan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan, Universiti Ain Shams menjadikan tabiat mereka ini sebagai lambang jabatan mereka.

Sebuah kisah romantik

Setelah larva schistoma jantan dan betina melalui perjalanan yang sukar--melalui salur darah, sebelah kanan jantung, paru-paru, sebelah kiri jantung seterusnya ke seluruh badan--barulah mereka dapat bertemu di dalam salur darah pelvic (haematobium) atau salur darah mesenteric (mansoni). Itu pun kalau mereka tiba ke destinasi, jika tidak, bukan setakat bertemu, hidup (menjadi dewasa) pun belum tentu.

Setelah masing-masing cukup umur, maka mereka pun menunaikan tanggungjawab menambah zuriat. Dengan penuh kasih sayang, si jantan menyelimuti tubuh si betina sewaktu menjalankan tugas mereka (seperti di dalam gambar). Bukan itu sahaja, setelah pasangan dibajai, si jantan akan 'mendukung' pasangannya melawan arus (seperti di dalam gambar). Sehingga ke pembuluh darah yang sempit, yang mana si jantan tidak mampu lagi menembusi, si betina dilepaskan pergi. Menyambung tugas dan tanggungjawab.

Cinta yang bergelojak

Namun, harus diingati. Schistosoma adalah cacing pipih yang bersifat aktif, invasif dan agresif berbanding cacing yang lain.
  • Pertama, telur schistosoma akan serta-merta menetas sebaik sahaja menyentuh air, tidak seperti cacing pipih yang lain.
  • Kedua, tidak seperti cacing pipih yang lain yang menanti diri mereka dimakan oleh perumah, larva schistosoma menjangkiti perumah (manusia) dengan menembusi kulit mereka--larva schistosoma hidup di dalam air, jadi ia hanya menjangkiti mereka yang berada didalam air yang dicemari larva.

Apa yang boleh diambil

Allah Tabaraka wa Ta'ala menciptakan mereka (schistosoma) tidak berakal. Malah menyusahkan hidup manusia pula--bilharzia, penyakit yang disebabkan jangkitan cacing ini merupakan penyakit paling masyhur di Mesir. Bukan itu saja, mereka ini juga sangat kecil-- 8-20 x 1-0.15mm sahaja -- dan tidak bermakna pada manusia. Lekat celah gigi.

Pun begitu, sehalus-halus mereka, mereka tetap punya sifat berkasih sayang, mengambil berat dan tidak pentingkan diri sendiri yang Allah tanamkan pada mereka supaya menjadi tanda buat manusia yang berakal lagi nampak di mata.

Hikmah yang nampak

  • Suami bertanggungjawab menjadi pelindung kepada isteri
  • Suami bertanggungjawab memimpin dan mendidik isteri ke jalan yang benar
  • Susah senang kehidupan harus tabah dihadapi bersama
  • Sikap toleransi amat perlu dalam menjaga hubungan
  • Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri

Ada satu spesis schistosoma yang bukan sahaja satu-satunya wujud di dunia malah mampu menulis blog pula:

Schistosoma malayi

Gambar: Schistoma senggama. Jantan yang bertubuh leper membaluti tubuh betina.

Sunday, June 25, 2006

Tamu Semalam

Ustaz Mahyuddin bin Hashim

Bekas naqib kami itu datang lagi setelah pulang tahun kelmarin untuk bernikah dengan orang dari Tanjung Malim. Demi menamatkan penulisan tesis peringkat sarjana tentang Ibn Khaldun dan menunggu untuk diperbincangkan dengan para doktor di Darul Ulum, Universitas Kaherah.

Lawak dalaman

Tahun lalu pergi ke rumahnya Ust. Mahyuddin di Haiyyu 'Asyir. Dia tunjukkan kami album kenangannya waktu kecil-kecil dahulu.

Aku bermonolog,"Oh, Ust. Saufi pun ada dalam gambar ni! Kerap jugak dia datang rumah Ust. Mahyuddin ya."

Aku bertanya," Ust. memang rapat dengan Ust. Saufi dari kecik lagi ya?"

Ust. Mahyuddin mula kerut dahi...blur,"Ha?" Orang lain di tepi dah mula nak tergelak. Rupanya Ust. Mahyuddin dengan Ust. Saufi kakak beradik. Aku cuma,"Oh, ye ke, hehehe." Aku seorang sampai hari itu belum tahu. Sudah dua tahun duduk di sini...-_-'

Ust. Saufi adiknya Ust. Mahyuddin itu ialah bekas Presiden PMRAM.

Bubur Lemak


Berpakat dengan Mede Sapar untuk masak semalam kerna ada tamu.

Acap dihinggapi virus Hepatitis A. Idil memohon aku bertanya mamaku bagaimana mahu membuat bubur lambuk. Mudah-mudahan Acap yang anorexic (tidak lalu makan) bisa makan. Acap sudah sihat sedikit. Tapi kuningnya belum hilang.

Bahan yang dihajati

  • Beras
  • Air
  • Santan
  • Rempah-ratus (pilihan)
  • Ayam atau daging (pilihan)
  • Ikan bilis atau udang kering (pilihan)
  • Sayuran
  • Serai
  • Bawang goreng (hiasan)
  • Daun kucai (hiasan)

Kaifiyat

Tanaklah nasi atau beras. Satu bagian beras dengan lapan atau sembilan bagian air. Tanak hingga masak. Masukkan rempah-ratus kalau suka. Masukkan lauk kesukaan (ayam, ikan bilis...). Masukkan santan. Masukkan sayuran. Ketuk serai dan masukkan. Masak lagi hingga semua bahan masak. Sebelum hidang taburlah bawang goreng dan daun kucai.


Mulahadzah

  • Jika guna beras Mesir (bagi kami) cukup sekadar satu bagian beras dengan lima atau enam bagian air.
  • Rempah-ratus yang paling sesuai ialah lada hitam
  • Barangkali tidak ikut tertib tidak apa, tapi tanak beras mesti dahulu

Harus dibedakan

  • Secara umumnya masakan sebegini dipanggil bubur nasi.
  • Secara khusunya ia dipanggil juga moi (bagian utara semenanjung), bubur lambuk (bagian tengah dan selatan semenanjung), bubur lemak (bagian pantai timur semenanjung).
  • Moi dibuat dengan tambahan lauk-pauk, biasanya tidak bersantan.
  • Bubur lambuk dibuat dengan tambahan lauk-pauk yang berbagai, santan dan serbuk rempah barangkali. Wajib masukkan santan.
  • Bubur lemak dibuat tanpa tambahan lauk. Wajib dimasukkan santan. Kemudian dimakan dengan gula melaka!

Batang jingga

Friday, June 23, 2006

Para Para Sitologi

Bookworm reading wormbook.

Shuib Khairudin Mohammad

Thursday, June 22, 2006

Perang Pijat

Pijat yang ditangkap Idil di tepi tingkap sambil studi selepas subuh.

Musim panas ialah musim pijat.

Perang Mede Sapar.

Minggu kelmarin, Mede Sapar berperang. Sudah lama tidur di lantai. Mede Sapar tak tahan lagi. Mede Sapar guna penyembur air berisi cecair pencuci pinggan mangkuk 'Pril'. Mede Sapar bongkarkan tilam, ceraikan papan-papan katil. Mede Sapar sembur mana-mana pijat yang jumpa. Tambah-tambah tempat anak-anak pijat berlari-lari, hujung kaki sebelah kiri. Nah. Sunnah Getong riwayat Dzul nyata berkesan. Semua pijat mati di tempat kejadian. Selang dua hari juga tilam bantal dijemur di balakona. Tapi sampai hari ini Mede Sapar tidur atas lantai lagi.

Malam hari lepas perang, aku lepak rumah Mede Sapar. Baring-baring atas lantainya. Rasa geli-geli atas belakang. Tekup belakang cekup. Hamdaan pijaat. Mede Sapar capai penyembur terus sembur. Bangun dari lantai jumpa seekor lagi. Psst! Disembur juga.



Perang yang lagi satu.

Minggu lebih awal. Mamat dengan sokongan Apit melancar kempen besar-besaran. Mamat pakai racun makhluk merayap. Busuk! Aku masuk intai sekejap sudah pusing kepala loya. Slem campur tangan. Bawa topeng muka seorang satu. Semua lurah, celah, rekah, kena sembur. Puas sembur racun, timbul ilham baru. Ambil pemetik api. Sembur! Katil menyala-nyala. Sampai hangit.

Selang sekejap saja lepas perang, periksa balik papan katil. Ada biji-biji putih. Telur? Mamat kecewa.


'Alat' yang kami guna untuk memerhati pijat.

Cadangan Idil.

Musim sejuk tidur atas katil. Musim panas tidur atas lantai. Musim panas bungkus simpan tilam katil.



Cimex Lectularis (Bed Bug)

Sun Tzu berkata:
If you know both yourself and your enemy, you will come out of one hundred battles with one hundred victories.

Untuk maklumat lanjut boleh rujuk di atas atau di sini. Secara ringkasnya tentang pijat

  • Busuk
  • Perang kemerahan
  • Tidak boleh terbang
  • Hisap darah waktu malam di tempat gelap
  • Dikatakan dapat tahan enam bulan tanpa makan
  • Bertelur di celahan dinding, perabot atau tilam
  • Telur tetas lepas dua minggu, anak matang lepas dua minggu juga
  • Gigitan pijat sakit lagi gatal
  • Antara penyebab insomnia (gangguan tidur)
  • Penyebar virus hepatitis B

Pijat yang ditangkap ini ialah pijat jantan kerana jelas terdapat aedeagus(alat kelamin jantan) pada hujung abdomennya. Jelas juga mesothorax yang setentang dengan mata seperti yang diajar di dalam makmal.

Kata-kata yang sering didengar tenang pijat mafhumnya:
Di Malaysia pernah dengar saja nama pijat, tapi tak pernah tengok. Dekat sini baru tahu.

Perang yang lebih hebat.

24 Jun ini, kami akan berperang dengan pijat dan seangkatan. Doakan kami.

Monday, June 19, 2006

Lujnah 9, bukan sesuatu yang mudah

  • Seorang gadis dengan wajah monyok mengadu sesuatu kepada pegawai polis yang menjaga pintu masuk dewan peperiksaan--anda perlu ingat, negara ini separa ketenteraan, figura seperti ini dapat ditemukan hampir di mana-mana sahaja walaupun tidak sepatutnya. Pegawai polis itu menasihati," Bacalah: 'Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara hari kiamat itu." Surah An-Najm : 58
  • Quotable quote dari buku Pathology: Rheumatic fever licks the joints but bites the heart.
  • Kepayahan yang dilalui lujnah 9 tidak minat untuk dipanjangkan. Boleh rujuk sini. Baca bahagian separuh akhir.
  • Antara ahli lujnah 9 ialah Ashraf, aku, As-Sa'id, As-Sayyid, Al-Mu'taz dan anak-anak gadis yang tidak pasti namanya. Tetapi tidak lari dari As-Syaima' atau Amirah.
  • Sengaja ditulis besar kerana aku ditanya pada bahagian lisan--causes of liver enlargement.
  • Antara istilah berkaitan dengan saiz tulisan ialah hyperplasia, hypertrophy, splenomegaly.

Saturday, June 17, 2006

Kari Tamil


Tidak masak kari pun, tetapi peduli apa.

Termasuk di dalam cara alternatif untuk memasak kari. Terutama sekali jika sukar untuk mendapatkan santan kelapa.

Bahan yang butuh.

  • Ayam atau daging
  • Bawang besar dan putih(lebih banyak daripada biasa)
  • Minyak benar
  • Serbuk kari
  • Asam jawa
  • Buah tomato
  • Garam(banyak sedikit daripada biasa)
  • Rempah-ratus(bunga lawang dan seangkatan

Kaifiyatnya.

Ayam atau daging disiang, dipotong dan dibersihkan sesuka hati. Rempah ratus ditumis. Bawang dihiris dan ditumis kemudian. Tumislah rempah kari yang telah dilarutkan dahulu dengan air. Tumis sehingga masak. Masukkan air asam jawa. Tumis lagi. Masukkan daging atau ayam. Kacau hingga sebati. Masukkan segelas dua air. Biar hingga daging atau ayam empuk. Masukkan garam. Masukkan buah tomato. Biar hingga layu. Siap untuk dihidang.

Mulahadzah.

  • Untuk lebih sedap, tumiskan bawang dengan lama sehinga betul-betul masak. Untuk itu kecilkan api untuk mengelak kehangusan. Barulah rasa bawang akan keluar?
  • Tumis rempah kari sehingga warnanya menjadi gelap atau hampir kehitaman. Bukan hangus! Atau sehingga ia berketul-ketul bersama minyak.
  • Kari jenis ini tidak berhajat kepada air yang banyak. Secara alami kuahnya pekat. Jika air banyak, ia akan ceroi dan rasa seperti meminum air paip berempah.
  • Garam diperlukan lebih banyak sedikit untuk meng'compensate' ketiadaan santan kelapa. Bawang juga diperlukan banyak untuk memekatkan kuah.
  • Kari ini lebih sedap masam. Maka, penggunan buah tomato amat digalakkan. Asam jawa boleh diganti dengan asam keping tetapi kurang sedap.

Petua (jika yang memberi petua ialah orang muda, adakah akan dipanggil pemuda?).

Melembutkan daging

Masukkan sebatang sudu besi dalam masakan daging tersebut. Alternatif lain ialah anak kunci, paku atau rantai basikal. Dengan syarat semuanya diperbuat daripada besi. Selain itu, sabut kelapa juga boleh digunakan. Petua ini diamalkan secara turun-temurun terutama untuk merebus jering tua.

Timun Cina dan Timun Batang.

Timun Susu: tiada di dalam gambar.

  • Bawang dipanggil Vengayam di dalam bahasa Tamil (rujuk semula)
  • Orang Johor memanggil kuah sebagai lauk
  • Surat-surat Perempuan Johor ialah hasil tulisan Faisal Tehrani
  • Orang Kelantan menyebut minyak masak atau makan sebagai minyak benar. Pun begitu kewujudan minyak bohong tidak pernah diketahui.
  • Untuk memasak kurma yang sedap, gunakan rempah kurma dengan banyak
  • Untuk resepi asli, sila rujuk jiran-jiran Tamil anda. Paling tidak Mamak.
  • Orang Kelantan memanggil tembikai sebagai timun cina, timun sebagai timun batang, tembikai susu sebagai timun susu. Mereka tidak menamakannya tanpa sebab kerana dari segi taxonomy timun dan tembikai berasal dari keluarga yang sama. Mungkin orang Kelantan telah lama memerhati kesamaan yang terdapat pada biji tembikai dan timun atau ciri-ciri isi dan kulitnya lalu yakin bahawa mereka daripada keluarga yang sama. Buah lain dari keluarga ini ialah labu punggi dan labu sayur. Wallahua'lam.

Thursday, June 15, 2006

Oleh-oleh

Baraka (kapsul habbatus sauda') sudah beli. Barangan koka pun sudah. Nanti pergi Husin (atau Khan Khalili, nama tempat) cari barang lagi. Kemeja T, jubah kalau mau. Oh ya, balah billuz (kurma berbijikan badam) dan buah Tin untuk Esah. Lepas itu pergi Crystal Asfour, cari barangan kristal. Cari gelang adik. Apa lagi?

Oh Kadir, aku tahu apa lagi kita kena bawa balik Malaysia...

GULA!

'Oleh-oleh' ialah buah tangan manakala 'ole-ole' ialah lagu yang dikaitkan dengan bola sepak.

Tuesday, June 13, 2006

As-Syarbati

Masuk kedai. Beri salam. Dijawab. Berdiri lama di depan kotak-kotak susu. Tilik lama-lama. Yang mana paling lewat tarikh luput. Ambil. Seluk poket. Keluar duit halus. Kira satu-satu. Bagi...

Mahmoud,"Satu, dua, tiga, empat, saya mahu lagi suku genih."

Konsumer,"Ish, ish, ish..."

Seluk poket.

"Ma'lish. Semua barang di Mesir makin mahal. Sebab kerajaan di sini ptui!(meludah)"

Berfikir sejenak.

"Di tempat kami pun sama."

Mencelah.

"Di sini harga barang naik. Tapi rakyat terus beli, beli, beli. Mereka tak kisah. Di sini mana boleh berdemonstrasi. Kerajaan di sini tak bagus. Harga barang naik, rakyat tetap susah..."


Kedai runcit tipikal. Tapi bukan Syarbati.

Harga susu cair naik suku genih demi suku genih dalam masa yang singkat. Sekilo wira' pula sudah meningkat dua kali ganda kepada LE14. Telur jatuh setengah genih sebiji. Tinggal harga sayuran belum berubah.

postscript:

  • Ma'lish bermaksud 'maaf', juga boleh bermaksud 'tidak mengapa'. Ma'lish dikatakan hasil gabungan daripada ayat Ma 'alaihi syai'.
  • Wira' ialah ayam pada bahagian peha dan tongkeng.

Monday, June 12, 2006

Ujian Lisan Parasitologi, Universiti Kaherah

Soalan yang diajukan kepada bakal Dr. Nurul Faaiqah Jainuddin:

Senaraikan arthropod yang disebutkan di dalam Al-Qur'an...

Khulasah Makhluk Haloi

  • Dua kali aku temuramah Idil, apa yang disoal doktor.
  • Aku dan Idil disoal doktor yang sama (hari berlainan).
  • Aku yang memilih doktor itu.
  • Soalannya sebiji sama!
  • Soalannya ialah, virus transmitted by contaminated food, virus causing gastroenteritis, hypersensitivity type I.
  • Aku tetap kurang boleh jawab terutama hypersensitivity type I.
  • Aku baru saja baca type I hypersensitivity sebelum masuk.
  • Kebanyakannya doktor yang tolong jawabkan untuk aku.
  • Doktor siap lukis gambarajah beri penerangan mechanism of mast cell degranulation.
  • Doktor kata,"This is a simple thing (hagah basitah)." Aku monolog,"Benda simple kalau lupa tak ada apa juga."
  • Doktor kata lagi,"What is the most important virus causing gastroenteritis? 80% in Egypt, maybe more in Malaysia." (senyum)
  • Doktor ini pernah menegur aku kerana tidur dalam muhadharah(lecture) dan satu dewan pandang aku.
  • Nama jabatan ini Microbiology and Immunology Department = Qism Ka'inat Daqiqah wal Mana'ah = Department of Minute Being and ....? = Jabatan Makhluk Halus dan Kekebalan?Tentangan?Larangan? imunitilah tu.
  • Halus-halus lada burung. Ramai juga orang yang dapat PhD (Pass with High Difficulty) dalam subjek ini.
  • Dr. Muhaya (UKM) kata,"Kadang-kadang apa yang kita dah baca tak ingat, kadang-kadang apa yang kita ingat tak keluar dalam soalan."
  • Haloi bermaksud halus atau kecil dalam bahasa Banjar.
  • Makhluk halus yang kami hadapi bukan hantu, jin atau syaitan tapi sekadar bakteria, virus dan kulat.
  • Tangan anda punya lebih banyak bacteria berbanding mangkuk tandas.
  • Angin ahmar (stroke) dikatakan berpunca daripada makhluk halus (jin, syaitan) yang membina istana di dalam salur darah manusia. Mungkinkah istana itu thrombus?
  • Angin ahmar dapat dielak insya Allah dengan membaca doa angin ahmar.
  • Nabi pernah bersabda bahawa syaitan itu berlari-lari dalam salur darah anak Adam dan menyempitkan salur darah mereka terutama mereka yang makan banyak. Jadi, adakah syaitan ini microorganism juga tetapi tak boleh atau belum ada alat untuk melihat mereka (tanaklah tengok)? Jadi, penyakit-penyakit yang tak mampu didiagnosis memang disebabkan oleh mereka? Sekadar pendapat jahil, jangan pegang.
  • Kesusahan kami sudah tentu tak terbanding dengan kesusahan para mu'alij(mereka yang pakar dalam mengubati hal-hal makhluk halus dengan mengguna Al-Quran semata-mata literally physician?).
  • Para mu'alij percaya bahawa kanser disebabkan oleh jin.
  • Kesemua maklumat selain berkaitan peperiksaan lisan wajib dirujuk semula atau dibuat kajian susulan.
  • Sengaja ditulis kecil.
  • Aku ada letakkan gambar dalam entry ini, tapi mikroorganisma tak dapat dilihat dengan mata kasar (naked eye=mata bogel!).

Saturday, June 10, 2006

Gulai Darat

Bukanlah menjadi lambang rakyat Kelantan, tetapi ini ialah cara alternatif untuk memasak kari yang ada diguna pakai di situ. Bolehlah juga dianggap sebagai masakan malas.

Bahan yang butuh.
  • Ayam atau daging
  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Serbuk kari
  • Asam jawa
  • Santan atau susu
  • Bunga lawang, cengkih, kayu manis dan buah pelaga

Kaifiyat.

Ayam atau daging disiang, dipotong dan dicuci sesuka hati. Bawang besar dan putih dikisar. Masukkan ayam atau daging, bawang kisaran, serbuk kari, air asam jawa, santan dan rempah ratus (bunga lawang dan seangkatan) ke dalam periuk. Kacau hingga sebati. Letakkan di atas dapur dengan api yang sederhana besar (macam masak benda-benda lain). Biar hingga pecah minyak iaitu wujud lapisan minyak di atas permukaan kuah.

Pecal. Buat jamu orang besar.

p/s (sampai hari ini aku tak tahu p/s itu singkatan untuk apa):

* Kedua-dua resepi (yang sebelum ini) berhajat kepada meletakkan periuk di atas dapur setelah bahan-bahan dicampur.

* Masakan ini lebih sedap dimasak bersama bumbang kelapa.

* Merujuk kepada perkataan alternatif, orang tua aku berpesan 'Jangan miskin cara'.

* Idil hari ini pulang dengan mulut yang tak henti-henti menyebut syukur setelah menghadapi makhluk halus bahagian lisan dengan mudah katanya. Esok giliran aku, Dr Kadir dan Pak Ten pula. Doakan kami.

Friday, June 09, 2006

Dengan Munasabah Musim Peperiksaan

Firman Tuhan:
"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka): Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa."
Al-A'raf : 171
Buatlah sebagai wirid zikir. Demi menguatkan ingatan. Susah benar menghadapi 'makhluk halus'.

Wednesday, June 07, 2006

Tanah Gempa

‘Selalu bencana yah’


Tanah ini pernah gempa

"Apabila Allah mahukan sesuatu yang baik untuk hambaNya, disegerakan untuknya balasan buruk di dunia..."

"Apabila Allah mengasihi hambaNya, diperbanyak ujian kepadanya..."

"Takjubnya urusan seorang Mu'min, Semua perkara adalah baik untuk dirinya dan ini hanya berlaku kepada mereka yang Beriman, Jika dia mendapat suatu yang baik maka dia akan bersyukur dan itu adalah baik buatnya, Jika dia menghadapi sesuatu musibah dia akan bersabar dan itu adalah baik buat dirinya."

Atau sebagaimana disabdakan...

Bukankah yang banyak terima ibtila' itu para anbia'?

Sunday, June 04, 2006

Kisah dari Jilsah

Seorang pemuda telah tamat pengajiannya dari seorang Syeikh selama enam tahun. Lalu dia keluar untuk berjuang.

Sampai di suatu kawasan, ada seorang tuan guru yang mengajarkan ajaran yang sesat pada murid-muridnya yang mencecah ribuan orang. Pemuda itu masuk kuliah. Duduk mendengar. Selesai kuliah, pemuda itu berdiri dan berkata,"Wahai tuan guru, ajaran yang kamu ajar ini sesat." Pengikut-pengikut tuan guru marah. Pemuda itu dibelasah. Pemuda itu lari.

Pemuda itu lari mengadu kepada Syeikhnya. Syeikhnya pula keluar. Masuk kuliah duduk mendengar. Selesai kuliah, syeikh itu berdiri dan berkata,"Wahai para pengikut tuan guru. Tuan guru kamu ini bagus orangnya. Ketahuilah, jika kamu ambil dan simpan rambut tuan guru kamu, kamu bakal masuk syurga."

Para pengikut menyerbu tuan guru. Seorang berkata,"Tuan guru, boleh kami ambil?" Dicabut rambut tuan guru. Datang seorang begitu juga. Seorang lagi begitu juga. Dan lagi. Dan lagi. Sudah habis rambut tuan guru, bulu yang lain diambil juga. Akhirnya tinggal dogol guru itu, habis luka satu badannya.

Syeikh pun berkata,"Wahai tuan guru, lihatlah. Inilah akibatnya ajaran kamu." Maka semua orang pun tersedar...

Saturday, June 03, 2006

Masakan malas Mama

Mama tidak pernah malas. Malah aku menganggap mama adalah seorang 'iron woman'. Baki lagi, mama tidak pernah diberi peluang bergiat aktif dalam bidang politik. Masakan ini digelarkan malas kerana mama memang memahami anak bujangnya. Lalu diajar masakan yang mudah-mudah.
Bahan yang butuh.
  • Ayam
  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Kicap
  • Sos Tomato atau puri tomato
  • Garam (sesuka hati)
  • Gula (jika perlu)
  • Ubi kentang (optional)
  • Cili (optional)
  • Tomato (optional)
  • Kayu Manis
  • Bunga Lawang
  • Bunga cengkih

Kaifiyatnya.

Ayam disiang dan dipotong sesuka hati dan di basuh. Masukkan ke dalam periuk. Bawang besar dan putih dikisar. Masukkan juga ke dalam periuk. Masukkan kicap sedikit demi sedikit sehingga warna agak-agak menjadi hitam. Masukkan sos tomato dengan jumlah yang lebih sedikit daripada kicap. Kacau semuanya hingga sebati. Boleh peram dahulu sesuka hati. Atau letak terus di atas dapur dengan api yang kecil. Tutup periuk dan biarkan hingga masak.

Mulahazah.

Bahan-bahan optional boleh dimasukkan setelah masakan sudah mula mendidih. Tomato dan cili seeloknya dimasukkan hujung-hujung. Pastikan api sentiasa kecil dan periuk ditudung kerana masakan ini dimasak dengan wap. Biasanya mama tidak memasukkan bahan-bahan rempah yang di hujung kerana anak-anaknya tidak suka. Jika guna kicap manis, masukkan garam. Jika guna kicap masin, masukkan gula.


* Pohon bunga kesayangan mama.

Dirgahayu Tuanku

Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan,
Raja kita, selamat bertakhta.


Kami berkongsi moyang yang sama.

Friday, June 02, 2006

Duga Akal Hari Jumaat

Soalan
Apakah dia, yang datang macam semut/siput, pergi macam ribut?

Jawapan
Jemaah solat Jumaat

Tanya Dukturah Samiyah

Belum apa-apa lagi sudah...

"Kenapa kamu panjangkan rambut?"

Kerut dahi. Tidak jelas.

"Kenapa kamu biarkan rambut?'

Mengangkat bahu. Anag gadis di sebelah yang berhijab, berjilbab bergalabiyah serba hitam asyik mencelah. Membela barangkali. Dr. Samiyah menegah.

"Biar dia jawab."

Tersengih cuma.

"Begini. Rambut yang panjang bukankah lebih sesuai dengan perempuan? Berdandan, melaram, melawa (tagmil) kerja perempuan. Kamu tahu haram lelaki menyerupai perempuan bukan? Bukankah kamu Islam?"

Hanya mengangguk, "Alhamdulillah."

"Pulang nanti, buanglah rambut kamu ya. Jangan bimbang, ini tiada kaitan dengan nizom peperiksaan."

Sampai saat ini, rambut masih utuh di kepala...

Menjawab Dukturah Samiyah


Awal-awal lagi Dr. Samiyah-aku dzon namanya Samiyah-sudah menjatuhkan 'morale' aku.
Lelaki berambut panjang dituduh menyerupai wanita. Siapa yang menetapkan lelaki mesti berambut pendek dan wanita berambut panjang? Barangkali atau sememangnya 'mind set' ini dibawa oleh orang-orang Barat. Sebelum zaman kolonial, di serata dunia rambut tidak membezakan jantina. Tapi selepas itu... Patut lelaki dan wanita tidak boleh dibezakan dengan rambut. Lelaki dan wanita harus dibezakan dengan hijab atau tidak. Kerana kita Islam. Orang-orang putih itu kafir, maka layaklah mereka.
Namun sudah beribu kali dunia dilanda bah dan pasir-pasir ikut berubah. Anak cucu kolonialis-kolonialis itu memberontak dengan membolak-balikkan 'mind set' nenek moyang mereka. Atas dasar yang nyata lebih jelek daripada orang tua mereka.
Maka, terlebih aula memendekkan rambut.
Imbas kembali 'Hikayat Rambut'.
*Gambar seorang penuntut yang rambutnya pandak.