Saturday, July 19, 2008

Tersangkut di Tengah Laut


Sebagai menutup kembara dari perlembahan Nil ke Dataran Syam, nah, aku lampirkan sa-buah cerpendek, catatan paling akhir perjalanan. Untuk pengetahuan, aku sedang sibuk membaca Di Dalam Lembah Kehidupan karya Buya Hamka ketika itu. Maka banyklah pengaruh beliau...

Entri ini tiada bergambar.

* * *

Tersangkut di Tengah Laut

Kerana mahu lekas pulang. Kerana mahu mengejar pesta keluarga. Kami pun tergesa-gesa meninggalkan Aqaba. Tidak sempat pun berwada’ dengan kumpulan JJ. Sampai di pengkalan. Bot laju ‘Puteri’ masih tertambat di dermaga. Kami berkejar-kejar ke kantor tiket. Tapi tiket sudah tiada!

Baki tiket yang ada, feri lembab jam satu nanti. Maka acara pujuk rayu pun bermulalah. Pertunjukan muka kasihan pun beraksi. Ada cahaya harapan! Seorang yang diakui mudir meminta kami membayar cukai berlepas. Insya Allah kami dapat tunggangi ‘Puteri’. Turun naik kami. Hamdan yang paling kasihan. Semua pun dia yang aturkan. Aku yang sudah sakit badan duduk tengok di tepi. Naik, turun, tanya, pujuk, rayu, bayar. Semua dia.

Akhirnya kami memilih juga feri lembab. Kerana kononnya ada jam satu. Setelah tiket dibeli, cukai dibayar, paspot dicop kami segera turun untuk ambil bas ke dermaga. Tiada. Tanya orang penjaga pagar. Bot laju tiada feri lembab tiada. Pergi ke kantor tanya. Tiada harapan. Elok-elok sahaja kerani memberi penerangan kepada Hamdan, feri lembab sudah berlepas! Belum pun jam satu! Kecewa. Pasrah. Sesal.

Khutbah sudah lama diam. Jemaah sudah turun masjid. Kami pun bersolatlah. Baring-baring di masjid, ada pakcik yang baik mengurniakan kami segelas teh panas dan tiga ketul wafer. Tapi aku tak tahan lagi. Aku yang jarang sekali batuk pun tak tahan. Masjid itu di depan stesen kontena. Lorinya dibiar hidup. Tak tahan asap pekat menyumbat tekak. Pergilah kami ke hentian bas.

Jam empat. Feri lembab masuk dermaga. Semua lega. Kami yang dulu-dulu masuk ke kapal. Aneh! Tiada barisan kerusi seperti feri biasa. Kami diminta duduk-duduk sahaja di dalam kafeteria. Dua jam sudah baru feri berlepas. Gedek-gedek-gedek. Kami tinggalkan bumi Syam. Begitu saja. Jangkaan tiba jam 11.30 malam.

Bila kapten berkata melalui corong intercom, ‘Wasal masr bissalamah,’ kami sudah gembira. Terlalu bosan di atas kapal. Tapi tunggu-tunggu tiada boleh turun. Jam 12 tiada boleh. Jam satu tidak. Sampai jam dua tidak juga. Sedapkan hati sendiri. Barangkali dipunggah barangan barulah dipunggah orang.

Jam tiga. Begitu juga. Jam empat. Sudah putus asa. Tidur. Barangkali kapten sendiri yang azankan subuh. Solat lewat sedikit. Kerana gelap tidak tahu pula duduk letak kapal. Bergerak atau tidak. Lepas subuh tidur.

Tiba-tiba sudah jadi kacau. Terkejut dengan penumpang yang bergaduh. Semua sudah marah. Ternyatalah, kami memang tersangkut. Di tengah laut! Matahari sudah keluar di balik bukit dari jihat Saudi. Sudah terang lagi bersuluh. Maka banyak sekali khabar burung. Ada yang kata kapal sudah hanyut ke Saudi. Seorang penumpang berang. Minta diturunkan segera di Safaga. Ada yang kata angin tidak baik. Ada yang kata kapten malas kerja. Tak ada otak!

Sudah kecoh! Semua pun kerumun urusetia. Akhirnya jelaslah. Air sedang pasang di Nuweiba. Paras sudah lebih daripada dermaga. Maka kapal tiada dapat masuk. Semua pun lerai. Diam sahaja. Pasrah. Tunggu. Tapi kini kapal sedang bergerak perlahan. Berpusing. Cuba masuk dermaga barangkali. Tengok sajalah…

Dari Perlembahan Nil ke Dataran Syam -- Tammat


No comments: