Friday, July 31, 2009

Keturunan Wan asal dari Belanda?

Aku mulakan dengan kata-kata nan mulia, "Great minds think alike."

Sebagai hamba rakyat marhaen yang biasa, pangkal nama aku tak memegang sebarang gelaran warisan Che baik Nik baik Wan baik Tuan baik Megat baik Meor baik Daeng baik Raden baik apatah lagi Tengku atau Raja.

Menurut buku 'Kelantan Sosio dan Budaya' yang Dr. Nik Safiah Karim salah seorang penyumbangnya -sekali lagi aku merujuk buku ini- antara gelaran Nik, Che dan Wan, kedudukan yang paling tinggi ialah Nik diikuti Wan dan Che.

Maka barangsiapa yang pangkal namanya ada memegang gelar, janganlah segan-silu untuk mewariskan pada anak-anak kelak sekalipun pasangan anda tidak setuju. Kerana ini warisan bangsa dan keluarga serta tidaklah menyimpang dari igama. Sekadar nama.

Adapun selepas, keturunan bergelar Wan itu agak luas kedapatan di utara semenanjung dari timur sampai ke barat. Biarpun berlambak di Kelantan dan Terengganu ada banyak juga di Kedah dan segelintir di seluruh semenanjung nan beruntung.

Manakala di Jerman dan Belanda kedapatan nama keluarga seperti Von dan Van. Von di Jerman ialah gelaran bangsawan manakala Van di Belanda ialah nama keluarga yang biasa tetapi ada hubung kait rapat dengan Von.

Seperti yang maklum, dalam pelat Jerman walaupun kedapatan banyak huruf W tetapi semuanya dibunyikan dengan V. Maka itu apakah Von atau Van itu asalnya dari Wan dan sebab pelat mereka maka jadilah Van? Atau mungkin orang-orang berketurunan Wan dibawa Belanda balik ke sana dan lekatlah Van di Belanda dan Von di Jerman?

Bapak kawan sekolah aku bernama Wan Lah Wan Yahya. Ketika mengaji di tanah Arab, orang Arab memanggil namanya Wa Inna Lahu Wa Anna Yahya.
-------
Wan yang asli sebenarnya ialah gelaran bangsawan yang berketurunan Syed dari cucu Nabi, Sayyidina Husin.

Kalu baso mung tok puah ati, oyat kakku aku tarek balek.

Thursday, July 30, 2009

Van Kedisi

Mengadap Sultan Setambul XV

... Apakala melintas laman istana Sultan yang lega lagi lapang itu, yang luasnya tujuh kali laman rumah Datuk Bendahara, terpandanglah makhluk-makhluk Allah Taala yang ajaib-ajaib dan indah-indah. Ada rusa berbelang kaki, ada merak berekor emas yang semuanya bawah jagaan dan belaan Sultan juga. Maka terpersil dari mulut puji-puja untuk Tuhan semesta nan esa, "Tabarakallahu ahsanal khaliqin." ...

Van Kedisi atau kucing Van asal-usulnya dari wilayah Tasik Van di timur Semenanjung Anatolia. Van Kedisi bertubuh besar, berbulu putih, berkaki jenjang, bermata aneh (odd-eye, sebelah kuning sebelah biru). Van Kedisi ada reputasi sebgai 'terrible pet house'. Walaupun bijak dan mesra, Van Kedisi lebih suka melolong dari mengiau. Van Kedisi suka memecahkan barang dan cemburu dengan haiwan lain yang dibela.

Van Kedisi spesis yang jarang. Simbol bagi bandar Van dan simbol bagi Turki. Kalau mau membiak anak harganya 30 USD tapi salah kalau bawanya keluar dari Turki. Dulu kerajaan Turki beri elaun untuk pembela Van Kedisi. Lagi dulu, Sultan Abdulhamid II pernah membela Van Kedisi dan sampai sekarang menjadi simbol status pemiliknya.

Sepupu jauh Van Kedisi ada tanda merah di antara belikatnya. Konon menurut riwayat, ketika kucing itu meninggalkan bahtera Nabi Nuh, Allah memberkati kucing ini dengan menyentuh kepala, bahu dan ekornya lalu meninggalkan tanda. Orang Turki dan Kurdis memanggilnya 'cap ibu jari kanan Allah'. Astaga ...

Wednesday, July 29, 2009

Sistem Surname di Kelantan

Muhammad ialah antara nama yang paling common di dunia. Kalau di Tanah Hitam nan Tua ini, kalau anda berdiri di khalayak nan ramai, kalau anda jerit "Ya Muhammad!" Mahunya dua atau tiga atau sepuluh orang berpaling.

Maka bagi membedakan antara Muhammad gelaran (kunniah atau laqab) kadang-kadang dipakai. Di Tanah Melayu nan Beruntung, gelar-gelar pun dipakai. Antara contoh yang aku boleh bawa dari kampung di Kedah atau di pejabat abah di Penang ialah

Id Konyang - kawan baik abah yang akan mengajuk cakap orang Negeri Sembilan "Konyang" lepas makan kenduri. Pak Mat Gunting - kerana kerjanya sebagai tukang gunting. Pak Mael Mata Cemeh - kerana cacat sebelah matanya.

Ucop Berus - kerana rambutnya pendek macam berus sabut. Usop Cengkoi - kerana tangannya sedikit cacat. Kak Ba' - kerana mukanya lebar. Tok Su Gon - kerana rumahnya terletak di atas gon (tanah yang meninggi).

Awang Cat Hijau - yang bahasa Inggerisnya tunggang-langgang tapi suka mencuba cakap Inggeris. Mat Jepun - bapa penakan aku yang lahir di zaman Jepun.

Man Bai - kawan seopis abah yang jambangnya macam benggali. Man Cak Celak - kawan seopis abah yang pernah pakai baju warna macam burung Cak Celak? Pak Hashim Janggut - bapa penakan uncle Man Cak Celak, bilal Masjid Jamek Sungai Nibong.

Adapun di Kelantan, mereka lebih gemar memakai sistem surname selain ada juga memberi gelar. Kadang-kadang macam sistem barat yang mana perempuan akan memakai surname lelaki setelah bernikah.

Contoh di barat, kalau Clark Kent menikahi Lois Lane, Lois Lane akan menjadi Lois Kent. Contoh di Kelantan, kalau Rahim menikahi Esah maka kalau orang mahu kenal akan bertanya, "Esah mana? Esah Rahim?"

Apa yang unik ialah, sebaliknya boleh berlaku. Contohnya kalau mahu mengecam Rahim yang mana, bolehlah bertanya begini, "Rahim mana? Rahim Esah?" Antara contoh orang-orang di keliling aku ialah

Limah Daud - sudah gemulah, bidan dan tukang urut terkemuka. Daud Limah - suaminya yang membawanya ke tempat-tempat orang panggil mengurut. Minah Mamat - tok peraih di Pasar Besar Siti Khadijah. Mamat Minah - suaminya, bilal di balaisah Pak Heng, mereka berdua boleh dilihat berbasikal berdua penuh romantik ke surau.

Che Jah Had - juga tok peraih di Pasar Besar. Mael Chu Yah - penternak lembu. Nik Mah Ku Semail - jiran Mek Esah Rahim.

Tuesday, July 28, 2009

Teluk Corinth


Teluk Corinth. Teluk sempit yang menjadi saksi kekalahan teruk armada Turki dalam peperangan Lepanto sampai tak bisa bangkit lagi sebab kalau cuma bahtera yang hilang boleh diganti tapi kalau serdadu yang hilang pengalamannya sukar dicari. Sekarang ada jambatan merentangi selain ada terusan menembusi segenting.

Dekat kedai makan nampak pokok Janda Kaya. Rupanya pokok Janda Kaya yang merah pucuknya ada kaitan dengan Krismas. Patutlah banyak tanam.

Anarki di Athina XXIX

Monday, July 27, 2009

Adab-adab Menziarah Orang Sakit


Menziarahi orang sakit sangat dituntut Islam. Ia menjadi salah satu daripada hak muslim ke atas muslim sebagai yang dikhabarkan Nabi.

Adapun selepas, semacam adab-adab menziarah pesakit yang sudah makruf, berikut ialah beberapa adab-adab tambahan:
  • Berbaju batik
  • Mengambil gambar pesakit
  • Menggunakan flash ketika mengambil gambar pesakit
  • Membawa bendera Jalur Gemilang (jika perlu)

Sunday, July 26, 2009

Seiro Safare Iran Travelling Co.

30 Tahun Revolusi Islami XIV

Dingin Tochal belum hangat lagi, kami dah nak turun ke selatan ke Esfahan. Sebut betul-betul, Es-Fo-Hon. Untuk perjalanan yang makan enam jam, harga tiket ialah 5000 toman seorang atau lima dolar.

Stesen bas Jonub Tehran ada salon (bilik) menunggu. Konon macam balai berlepas bandara. Sambil-sambil kami tengok Robin Williams cakap Parsi dalam filem Patch Adams. Kalau pro-Iran yang confirmist pasti akan tulis, lihatlah wanita muda Iran bertudung litup menutup aurat mengisi masa kosong menunggu bas dengan mengulangkaji pelajaran atau menyudahkan kerja. Tapi betul pun.

Tiba-tiba dalam bas ada telefon awam yang masing-masing jakun, perak lagi darat melihat akan dia dan ada yang tiba-tiba nak jadi model telefon awam. Jangan bimbang aku tak siarkan gambar tersebut.

Maka Begitulah ...

Saturday, July 25, 2009

Di Bawah Pohon Petai Belalang Yang Jarang


Sepasang uda dan dara sedang ramah beramas mesra bercanda bergurau senda di bawah pohon di lorong belakang yang orang jarang lalu-lalang. Kemudian seorang anak kecil lari-lari anak mampir duduk antara kedua uda dan dara seraya bertanya ...

"Ada berapa orang bawah pokok ini sekarang?"
Uda menjawab,"Tigalah."
Anak kecil menjawab, " Salah, empat."
Anak kecil pantas pergi meninggalkan uda dan dara terpinga-pinga bingung.
-------

Balik saing tu baik-baik.

Friday, July 24, 2009

Muzium Arkeologi Delphi II

Amaran: Entri yang mengandung bahan porno.

Patung kouros (remaja tanpa janggut atau amrod) kembar. Reka bentuk patung awal Yunani yang keras kaku tak nampak hidup yang mungkin ada pengaruh Mesir. Patung dua beradik Kleobis dan Biton dibina sempena keimanan mereka yang tinggi. Konon riwayat, mak mereka ialah paderi dewi Hera. Dalam perjalanan ke kuil naik kereta lembu, lembu dia orang letih. Maka dua beradik ni tarik mak mereka atas kereta lembu sampai ke kuil sejauh lima batu.

Hiasan pediment kuil Apollo. Menunjukkan singa tengah baham rusa.

Not muzik zaman hari tu.

Pillar of the Dancers.

Omphalos.
Inilah batu suci yang jadi penanda kepada pusat dunia. Kononnya Delphi ialah pusat atau titik tengah kepada dunia dan inilah batu tandanya yang terletak dekat kuil Apollo sana.

Antinous ialah pengiring kepada Maharaja Hadrian dan juga selaku balaknya. Antinous mati lemas dalam sungai Nil. Lepas mati Maharaja hadrian sedih gila dan mengumumkan Antinous sebagai dewa.

Akhir sekali, ikon kepada Delphi. Patung pelumba kuda daripada gangsa berskala 1:1. Patutnya patung ni nampak hebat dan agung. Sebab asalnya patung ni berdiri atas pedati (chariot) dan sebelah tangannya pegang tali kuda, ada empat ekor kuda di depan pedati dan di kiri kanan ada stable boy tengah heret atau siapkan kuda.

Macam mana nak bezakan patung Yunani dan Romawi? Patung Yunani buatannya dan bahannya lebih kasar. Patungnya nampak lebih maskulin. Patung Romawi buatannya lebih halus, bahannya pun halus contohnya marmar. Patungnya lebih feminin. Kalau patung lelaki pun ototnya diukir tak jelas. Mimik muka pun kena tempias sekali.

Anarki di Athina XXVIII

Tuesday, July 21, 2009

Kisah Horror Untuk Kanak-Kanak

Dulu-dulu, sepupu kami yang besar akan cerita kisah ni untuk kami yang kecik-kecik dengan harapan kami semua duduk diam-diam tak kacau orang tua.
-------

Satu pagi macam biasa, bapak gondang (sejenis siput sungai) pergi mengail. Sebelum turun bapak gondang pesan pada mak gondang, jangan lupa hantar bekal makan tengah hari nanti.

Dekat tengah hari, mak gondang pun masak nasi. Mak gondang minta tolong udang hantarkan nasi pada bapak gondang. Udang pun pikul nasi panas-panas atas belakang.

Sampai tengah jalan, udang pun mati kena masak, sebab nasi atas belakang panas sangat. Badannya jadi merah melengkung. Bila udang tak balik-balik, mak gondang pun masak nasik sekali lagi.

Mak gondang mintak tolong etok (sejenis kerang sungai). Etok pun pikul nasi panas-panas atas belakang. Sampai tengah jalan, sebab nasi panas sangat, etok pun mati sebab masak. Badannya terbukak.

Bila etok tak balik-balik, mak gondang pun masak nasi sekali lagi. Kali ni dia sendiri hantar. Dia pikul nasi panas-panas atas belakang.

Sampai tengah jalan, mak gondang pun mati kena masak sebab nasi panas sangat. Di tepi sungai, bapak gondang tengah tunggu-tunggu bekal nasi tengah hari yang tak sampai-sampai. Akhirnya bapak gondang pun mati sebab terlalu lapar. 
-------

Budak-budak memang ralit dengar cerita walaupun tak masuk akal dan tak ada moral.

Yang pasti sungai ni tak ada etok. Udang belum tentu, kalau gondang pun mungkin spesis lain.

Sunday, July 19, 2009

Laman Istana Sultan

Mengadap Sultan Setambul XIV

... Kalakian, yakni setelah lepas gerbang pertama, duta berlima pun mulailah jadi takjub dengan pandangan laman istana Sultan. Dengan pohon merimbun sepanjang jalan yang berjajar bertatah puspa tujuh rona. Berbalam-balam di kejauhan, pintu kota lapis kedua. Gerbang Meriam. Jaraknya, habis juga sepuntung rokok kalau dihisap ...

Hagia Irene dekat muka pintu. Gereja utama sebelum Hagia Sofia terbina. Kalau Hagia Sofia bermaksud Holy Wisdom, Hagia Irene bermaksud Holy Peace. Pada zaman kesultanan, dijadikan gedung senjata.

Istana Topkapi punya empat laman dalam. Keluasannya hampir separuh keluasan negeri Monaco.

Kerana mereka keturunan Turk, istana ini masih mengekalkan pengaruh budaya dan senibina asal-usul mereka yang berasaskan kepada kehidupan nomad. Di mana istana tidak dibina seperti kebiasaan iaitu laman mengelilingi istana. Sebaliknya, istana yang mengelilingi laman di tengah.

Saturday, July 18, 2009

Bila dia orang lambung syiling dan Puyol yang dapat sepak mula, aku dapat rasa, ini omen yang baik!

Friday, July 17, 2009

Muzium Arkeologi Delphi I

Paulo Coelho kata, kalau berjalan-jalan jangan ke muzium. Alasan orang muda ialah sebab bosan walaupun kadang orang muda yang macam pergi muzium sebab tak reti berjalan. Paulo Coelho kata sebab tujuan kita berjalan ialah nak tengok sekarang di tempat tu bukan nak tengok dahulu. Nak rasa sekarang, nak rasa kehidupan, nak rasa kehidupan sekarang dan hidupkan sekarang itu. Kalau nak tengok dahulu pakai internet pun boleh.

Sampai-sampai, pasangan kuat merokok ni pun baru nak masuk muzium.

Bukan orang Mesir saja ada sphinx. Sampai ke barat pun ada malah bersayap pulak. Tapi sphinx memang berasal dari timur. Kemungkinan besar Parsi tapi India pun ada sphinx. Sphinx ini dari Thebes dan ada kaitan dengan kisah malang Oedipus. Kerja sphinx ni ialah sekat orang tengah jalan dan bagi teka-teki. Kalau gagal jawab dia makan orang tu.

Hiasan bumbung atau pediment Perbendaharan Athena yang menggambarkan adegan perang. Kemungkinan besar Amazonomachy, perang antara Greek dengan Amazon. Bukan orang asli dalam hutan Amazon tapi kaum yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan wanita. Wanita sahaja.

Makcik-makcik Greek tengah mengonyah (mengompat).

Topi keledar perang dari gangsa yang terkambus sudah berkarat hijau.

Antara persembahan untuk dewa Apollo. Patung lembu jantan daripada gangsa yang hanya kepingan yang tak lengkap saja selamat.

Sambung lagi ...
Anarki di Athina XXVII

Tuesday, July 14, 2009

Air Bau

Entri separa hukum-hakam.

Ayep kata better strike the iron while it's still hot sebab kalau dah sejuk nanti susah nak bentuk kuat mana pun ketuk. Macam orang Melayu kata kalau nak lentur buluh biar dari rebungnya sebab kalau dah tua nak lentur nanti bukan setakat payah atau tangan kita yang miang, buluh pun patah. Atas sebab aku seorang yang konon perfectionist dan ada sikit OC maka aku tangguhkan dulu entri ni sampai sekarang.

Mukadimah aku ini lebih penting dari isi. Ia apply untuk semua hukum-hakam atau orang muda sekarang suka guna kalimah fatwa-fitwi. Bila ada perintah Tuhan, yang terbaiknya kita tak bertanya kenapa tapi patutnya kata kami dengar dan kami patuh. Tapi oleh sebab level akal dan iman orang sekarang (akal tinggi tapi iman rendah?) maka pada aku bolehlah dicari sebabnya atau kata lain yang lebih molek, hikmahnya. Macam yang aku komen pada blog seseorang, kadang kita kena buat dulu perintah itu baru kita dapat hikmahnya.

Adapun selepas, air bau atau air wangi pada sebutan orang timur ialah hanyasanya minyak wangi. Berwangi-wangian menjadi galakan dalam igama. Nabi kita sendiri seorang yang sangat wangi. Sampai ada riwayat membarikan orang boleh tahu jalan mana yang Nabi baharu saja lalu kerana lekat harumnya pada jalan itu. Macam Mede Sapar jugalah...

Air bau juga antara tiga benda yang tak patut ditolak kalau disemawa selain bantal duduk dan lupa apa satu lagi, kalau tak salah menurut mafhum hadith Nabi yang tak mampu aku nak bawa matan apa lagi sanadnya.

Mafhum kata Sayyidina Umar, dalam banyak-banyak benda, kalau mau bermewah-mewah, bermewah-mewah dalam membeli dan memakai minyak wangi paling tak apa.

Ulama silam pula -kalau tak silap Imam Syafie- mengatakan antara perkara yang menguatkan badan ialah memakai wangi-wangian.

Air bau yang terbaik pada zaman hari itu ialah Misk, Oud dan Ambar. Misk atau Kasturi datang dari ketuat kijang, Oud datang dari kayu gaharu dan Ambar datang dari hempedu ikan paus. Dalam alam Melayu air bau yang terbaik ialah Narwastu yang datang dari serai wangi.

Adapun air bau yang baik untuk lelaki ialah yang kuat baunya tetapi cair warnanya. Manakala air bau yang baik untuk wanita pula ialah yang tidak kuat baunya tetapi pekat warnanya.

Maka timbul persoalan kenapa anak-anak gadis dilarang memakai bauan sampai langsung digelar budak busuk. Adapun tujuan sekolah ialah mendidik lamun boleh jadi tak kena caranya.

Memakai wangian yang keterlaluan bagi perempuan adalah hal yang serius sampai satu kali Nabi menyuruh seorang wanita yang kuat bau air wanginya pulang ke rumah dan mandi. Sekali lagi aku tak mampu bawa matan atau sanad tapi boleh cek kalau tak silap dalam Tafsir Ibnu Kathir pada Surah An-Nur dalam bahagian Hadith Al-Ifk.

Adapun orang perempuan boleh bukan tak boleh pakai wangian tapi biar kena tempatnya. Satu untuk suami sendiri atau di kalangan mahramnya, dua sekadar menutup bau busuk badan sendiri. Maka itu dinyatakan tadi air bau yang baik untuk perempuan itu macam yang disebut di atas tadi. Untuk ketiga dan keempat tanya ulama dan ustaz ustazah sendiri.

Arkian, apakah gerangannya laki-laki itu lebih boleh ia memakai wangian dan kuat pula baunya. Ok, sebab itu aku tulis dalam blog dan bukan buat buku sebab ini cuma pendapat aku. Kalau memang ada kajian bolehlah depankan supaya kita sama-sama boleh tengok.

Kalakian, orang lelaki itu kalau tercium bau wangi wanita maka akan terangsanglah ia atau kata orang timur, naik ra (boleh jadi berasal dari 'rawr'). Kalau tidak pun, perempuan yang memakai air bau yang kuat-kuat seolah-olah memakai gelang loceng di kaki yang menarik perhatian lelaki dan menunjukkan pula murahnya harga mereka yang patutnya tinggi.

Orang perempuan pula kononnya akan lebih tertarik dengan bau asli badan lelaki atau dalam bahasa sainsnya pheromone. Maka baiklah orang-orang lelaki menutup langsung bau asli pheromone mereka agar orang perempuan pula tidak naik ra.

Maka begitulah...

Air bau Bujang Sudin. Aku minyak atar pun dah lama tak pakai.

Monday, July 13, 2009

Bercakap dengan Shaho


30 Tahun Revolusi Islami XIII

Kami: So, you are Sunni?
Shaho: Okay.

Kami: Do you pray Friday prayer wiht the Shi'e?
Shaho: No.

Kami: Will you follow us to the bus station?
Shaho: Okay.

Kami: How much is the ticket? 5000 toman?
Shaho: Okay.

Kami: Maybe some day you can come to Egypt.
Shaho: Okay.

Shaho tengah gosok baju sebelum hantar kita orang ke stesen bas.

Bagi Shaho semuanya okay. Tak ada yes. Mungkin sebab ya dalam bahasa Parsi ialah bale yang kami sepakat kata asal-usul perkataan boleh. Jadi boleh kalau terjemah Inggeris bukankah jadi okay dan bukan yes.

Shaho orang yang skema. Baju bergosok. Kuku pendek. Rambut belah tepi (pakai blowdryer siap). Shaho orang Kurdis. Maka sudah tentu dia Sunni. Dia pekerja Mujiri agha. Boleh jadi programmer sebab banyak sangat buku pasal komputer. Macam orang Iran yang lain, Shaho cukup gigih belajar Inggeris. Semalam dia cukup payah nak faham kami, kami tinggal dia sehari pergi main salji, bila balik nah, banyak gila improvement. Entah kenapa dia cukup teringin ke Mesir. Sebab minat egyptology (hal-hal tamadun firaun).

Dari kiri: Asle, Arepudin, Fateme, Phuong, Aku, Mujiri agha, Shaho, Muhammad

Kibarkan Kokbayraq!

Sunday, July 12, 2009

Balik Kampung


Semakin sunyi sepi. Semua sudah blah ...

Balik Kampung

(Sebuah cerpen memorial sempena budak yang ramai sedang balik kampung)

Esok hari penting. Begitulah yang kau diberitahu bila bertanya kepada anak menantumu. Setelah kau hitung-hitung, kau yakin esoklah harinya dan kerana itu tidurmu tidak jendera. Kau balik-balikkan tubuh kecilmu sambil mengucap nama-nama tuhan. Bunyi Pak Muda Awang Tumpat mengetuk copong balaisah membuatkanmu cepat-cepat bangkit dari tidur. Tidak sabar menunggu hari siang. Anak menantumu masih bergelimpangan dalam tidur di samping cucu-cucu. Kau tidak pedulikan mereka. Terus turun ke dapur. Bilik air di luar. Kau capai batang penyapu dan kau jolok selak atas pintu yang tidak sampai dicapai tangan. Bunyi engkau menjolok-jolok selak pintu membuatkan anakmu terjaga dan dia bukakan pintu untukmu kemudian naik semula mengejutkan anak bininya.

Kau sarungkan kaki dengan selipar yang dibeli anakmu dari Pulau Pinang. Kain batik Daun Dewa yang turut dibelikan anakmu kau sentengkan sampai paras lutut dan dikepit di celah kaki. Kau peluk tubuh kurusmu kerana bayu fajar masih berpuput dingin. Langit pun masih berkabut. Lamun di celah-celahnya kau masih mampu melihat bintang-bintang. Kau merenung kosong tanpa mengetahui apa-apa pun tentangnya melainkan kecantikan bintang-bintang itu. Kau tersenyum sendirian dan menghentikan menungan di muka pintu. Dengan penuh hati-hati kau melangkah kohor di atas lantai bilik air yang lembab berlumut itu. Bimbang kalau-kalau tubuh tuamu jatuh tergelincir. Kau karal setimba air dari telaga dan dengan air sebanyak itu, kau langsaikan wudhuk.

Anak menantumu sudah keluar bekerja. Cucumu yang berdua itu juga pantas sekali menghilang. Pantang sekolah bercuti. Cucu yang laki-laki boleh jadi masuk ke hutan membidas burung. Cucu yang perempuan pula boleh jadi ke rumah kawan-kawan bermain selambut. Cucumu yang masih bayi sudah dihantar ke rumah emak saudaranya. Selepas menghabiskan nasi kerabu tanpa daun kayu khas untukmu sebagai sarapan, kau menghabiskan sisa-sisa umurmu seperti biasa. Sebesen kain yang sudah dibasuh kau angkatkan ke jemuran untuk disidai. Sambil-sambil itu kau terintai-intai ke hulu jalan tetapi tak ada bayangan. Hari masih pagi, mustahil akan sampai kau fikir. Kemudian kau ke dapur pula, mencuci segala pinggan mangkuk periuk belanga. Walaupun anak-anak yang lain asyik mengejekmu diperhambakan menantu, kau tidak ambil kisah semua itu kerana kau berasa tidak sedap hati kalau makan hasil anak tanpa menyumbang apa-apa. Tetapi, untuk hari penting hari ini, sinki dapur tidak boleh dibiarkan bersepah.

Hari itu, dapur mesti bersih licin. Maka segala nasi-nasi basi yang berbaki di dapur kau taburkan ke atas sekeping atap zink yang berkarat sebagaimana biasa. Kemudian dibawa ke belakang rumah di bawah perdu pohon-pohon pisang kelat jambi. Kau bentangkan zink itu di atas tanah dan tanpa dipanggil pun ayam-ayam peliharaanmu terus datang mematuk. Tiba-tiba dia datang. Ayam bapak jiran sebelah yang tidak diundang cuba-cuba untuk hampir. Kau lempar tempurung kelapa yang ada di situ dan tepat mengenai sasaran pula. Ayam bapak itu pun lari celebu ke dalam pagar tuannya. Hatimu berasa puas bercampur bangga. Puas kerana dapat membalas dendam kepada ayam bapak yang telah memerat betismu sampai biru tempoh hari dan bangga kerana walaupun sudah tua, tanganmu masih betul, kau masih mampu melontar dengan tepat.

Apabila kau terfikir tentang melontar, kau teringat ketika kau melontar di musim haji. Dua kali kau ke sana. Sekali kau dibawa pergi oleh anakmu yang sememangnya syeikh haji. Tetapi yang lebih kau ingat ialah kali pertama kau ke sana. Bersama gemulah lakimu naik kapal laut. Kau masih ingat kau selalu berpaut pada hujung belakang ihram lakimu setiap kali tawaf, sa’ie atau melontar, takut terpisah dan tersesat dan seperti mana-mana orang tua yang mengeluh mengenangkan zaman mudanya kau terfikir, kalaulah lakimu itu masih ada…

Ayam-ayam masih mematuk lahap. Ayam bapak jiran sebelah pun sudah tidak kelihatan. Kau ambil pula mayang kelapa yang sudah tua buat menyapu daun-daun pokok jambu air yang gugur di laman belakang rumahmu. Ketika terbongkok-bongkok menyapu itu pinggangmu terasa sedikit sakit. Ketika itu kau teringat tegahan anak menantumu yang melarangmu daripada melakukan kerja-kerja rumah. Mereka bimbang kalau-kalau kau jatuh sakit lagipun mereka tidak pernah meminta kau membuat semuanya. Tapi kau tidak kisah juga. Kalau kau duduk diam tidak bergerak, lagilah kau akan cepat sakit kau fikir. Kau matikan ingatan itu di situ dan teru mengutip semua daun ke dalam bekas dan kau taburkan dekat perdu pohon kelapa mawar. Petang nanti baru dibakar dengan sampah-sampah lainnya. Kau masuk pula ke bawah kolong. Mengutip segala sampah-sampah yang terjatuh dari celah papan. Bimbang takut-takut sampah yang banyak menjadi sarang ular pula. Sambil kau terkedek-kedek jalan itik dari belakang sampai ke depan, sesekali kau intai ke pagar depan. Mana tahu kalau ada kereta yang masuk. Tiada. Sedikit hampa.

Kau berasa bosan keseorangan lalu pergi menuju ke rumah anak perempuanmu di belakang. Dengan harapan mendapat teh barang secawan dua kemudian boleh cicah bahulu buatan Piah Kar yang ditukar beli dengan telur-telur itik atau biskut tawar pun jadilah. Rumah itu memang meriah. Pagi-pagi begitu ramai saja suri-suri rumah sekeliling bertandang sambil menunggu peraih ikan datang atau menunggu menantumu pulang dari sungai membawa udang dan teh sememangnya diangkat keluar. Kau ikut duduk bersama mereka tetapi tidak pernah ikut bersembang melainkan cuma mengangguk mengeyakan. Jiran-jiran suka mengusikmu terutama pada hari-hari begini,”Mak Piah sukalah tu, nampaknya lepas ni seminggulah tak datang makan air teh di sini.” Kau tersengih mempamerkan dua puntung gigimu yang masih tertinggal.

Menantumu yang ke sungai pulang. Kau tiba-tiba mahu cepat pulang. Anakmu menghalang memintamu menunggu makan tengah hari dahulu. Tapi kau tetap pulang membuatkan anakmu dan suri-suri rumah lainya tertanya-tanya. Kau masuk ke bilikmu dan kau ambil wang yang tersimpan di bawah tikar, kemudian kau keluar ke wakaf di seberang jalan. Kemudian dia datang. Nawi si peraih ikan itu memang akan ke rumah anakmu di belakang tetapi untuk hari itu, kau takkan biarkan orang-orang lain mendapat ikan-ikan yang molek terlebih dahulu. Kau mesti mendapatkannya lebih awal daripada mereka. Setelah membeli sekilo dua ikan kembung dan ikan selayang yang gemuk-gemuk dan cantik-cantik, kau pulang. Kau simpan ikan-ikan ke dalam peti dan pergi semula ke rumah anakmu di belakang. Tengah hari itu kau makan ikan rebus goreng dengan kuah singgang.

Sejak zaman muda, kau memang tidak suka dan tidak pernah melewatkan sembahyang. Usai makan kau lekas-lekas pulang dengan alasan hendak sembahyang tetapi orang belum pun melaungkan azan. Bila kau dapati rumahmu masih lengang tanpa orang, kau sedikit kecewa. Ketika kau hendak mengambil wudhuk, mulutmu rasa berair. Kau naik ke atas dahulu dan mencari di bawah bantal tidurmu. Tiada. Kau tercari-cari di celah-celah lipatan kain bajumu. Tiada. Kau selak tikar dalam bilikmu. Tiada. Kau mula berasa gelisah. Memang kebiasaannya kau akan melepak-lepak dahulu di rumah anakmu selepas makan dan membelek-belek cerana anakmu mencarinya. Tetapi kau pulang awal hari itu dengan harapan.

Kau keluar rumah ke seberang jalan tetapi tidak mampu pergi jauh. Sampai setakat wakaf kau minta tolong budak-budak yang menunggu bas membelinya, “Tolong belikan mak tembakau sebungkus.” Kau hulurkan seringgit dan baki empat puluh sen diberikan kepada budak itu sebagai upah. Kau pulang lega dengan songel tembakau terselit di celah mulut. Lepas sembahyang, kau duduk di muka pintu dan dengan memakai cermin mata yang dibeli anakmu yang tinggal jauh itu kau membaca al-Qur’an. Selepas menghabiskan dua helai matamu terasa berat. Angin lembut tengah hari memang mengulitkan ditambah pula dengan atap bata Singgora yang memang menyejukkan rumah. Semuanya menyedapkan tidur. Kau menutup sebelah daun pintu dan membiarkan sebelah lagi terbuka. Kau mengerekot di situ juga. Tidur siang.

Kau terjaga dari tidur siangmu bila azan asar berkumandang. Cucumu yang perempuan sudah pulang. Duduk di beranda menyanyi-nyanyi. Cucumu yang laki-laki belum nampak batang hidungnya lagi. Seusai sembahyang, kau melipat kain-kain yang diangkat dari jemuran. Sambil-sambil itu kau melihat-lihat cucumu yang duduk-duduk di beranda sedang menunggu. Kau juga menunggu. Kau mengintai ke hilir, kemudian ke hulu. Patut sudah ada sekarang. Kau mula runsing. Matahari sudah jatuh. Sudah mahu masuk ke kaki langit. Fikiran yang bukan-bukan sudah mula menyerang. Perut sudah mula serabut. Kau cuba menghilangkan runsing dan serabut perut itu. Kau pergi ke segenap penjuru rumah menyelak segala jendela yang ada.

Ketika kau menyelak jendela dapur, kau terdengar tapak kaki cucumu yang laki-laki berlari-lari dari depan rumah ke dapur menjerit-jerit,” Pak Cik Isa dah sampai! Pak Cik Isa dah sampai!” Apabila menoleh ke depan kau melihat cucumu yang perempuan sudah terlompat-lompat di atas beranda juga menjerit-jerit keriangan,” Mak Cik Nah sampai! Mak Cik Nah sampai!” Kau terdengar bunyi enjin kereta masuk ke dalam pagar rumahmu. Hon dibunyikan berkali-kali sebagaimana biasa mereka lakukan setiap kali tiba. Kau tersenyum lebar gembira bukan kepalang. Cucu-cucumu yang baru tiba dari jauh itu bersorak-sorai setelah keluar dari kereta. Kau yang bertambah girang ketawa terkekeh-kekeh melihat gelagat mereka. Mereka berlari-lari masuk ke dapur rumah dan terus memelukmu satu demi satu. Kemudian mereka terus ke atas berkinja-kinja menyambung sorak-sorai dengan sepupu-sepupu mereka. Kemudian anak dan menantumu masuk bersalam dan berpeluk cium. Bersama-sama mereka oleh-oleh dari kota dan kuih akok dari Salor yang dibeli dalam perjalanan yang memang kesukaanmu.

Alamatnya, seminggu jugalah kau tak akan ke rumah anakmu di belakang minum teh.

Tammat - 30 April 2008 , 1.30 pagi

* * *

Memperingati gemulah Sepiah binti Awang
1916-2002
Mudah-mudahan Allah mengampuni dan merahmatinya

------

Pernah disiarkan di ulama ummah.

Saturday, July 11, 2009

Mata Air Suci Castalia


Dari celah rekahan batu gunung, terbitlah mata air suci Castalia. Mata air suci yang menjadi tempat persiraman peramal Delphi. Setiap pendoa, harus menyucikan diri di sini sebelum masuk mengadap memohon petunjuk selain menjadi tempat para atlet Sukan Pythia membasuh kepala dan mencuci rambut. Dinaungi pepohon Bay dan Laurel yang suci bagi dewa Apollo. Kini, ditutup untuk umum lantaran mara bahaya runtuhan batu dari gunung.

Anarki di Athina XXVI

Friday, July 10, 2009

Adakah aku psikik?

Nadra dan Cik Minah

Semalam dua lepas tak pasal-pasal aku terfikir. Whatever happened to Natrah? Apa jadi padanya semenjak tua? Apakah dia masih muslimah lagi? Senyap-senyap? Terang-terang? Tak adakah orang pergi mencarinya? Adakah lagi kasihnya pada Cik Aminah? Adakah lagi cintanya pada Mansoor Adabi?

Malam ini, Natrah mati.

Hakim Brown berkata begini, "It is natural that she should now wish to remain in Malaya among people whom she knows. But who can say that she will have the same views some years hence after her outlooks has been enlarged, and her contacts extended, in the life of the family to which she belongs?"

Hakim Brown sudah salah. Yang nyata, hati Natrah masih di Malaya. Baru sampai di Belanda Natrah masih mahu makan nasi, ditolak makanan Barat. Solat lima waktu masih belum tinggal. Tahun 70an Natrah cuba menjenguk Cik Minah tapi meleset kerana masalah wang. Tahun 70an Natrah cuba membunuh suami sendiri. Konon Natrah berkata, dia cuma bahagia zaman kanak-kanak saja.

Kalau rajin, carilah novel 'Atas Nama Cinta'. Tulisan Isa Kamari.

Thursday, July 09, 2009

Topkapı Sarayı


Mengadap Sultan Setambul XIII

... Syahdan, setelah surat bingkis diarakkan dengan gajah keliling kota, duta yang lima pun didiamkan di rumah tumpang. Diajar dan ditunjuk adat istiadat mengadap sultan sehari semalam. Arkian, setelah sampai waktu dan tikanya duta berlima dikurnia sepersalinan lengkap pakaian. Dibawa menunggang kuda tezi dengan iringan selaksa serdadu dan sida-sida bentara. Diarak dengan payung ubur-ubur dan payung sayap burung gagak. Dialun dengan paluan gendang genderang perang dan tiupan serunai nafiri. Kalakian, sampai di muka kota, meriam pun ditembak berdas-das ...

Bâb-ı Hümâyûn
The Imperial Gate

Luar pagar sebelah kanan termaktub As-Sultan Dzillullah fil Ardh atau 'Sultan ialah bayangan Allah di bumi' yang menjadi panji dan cogankata khan-khan dari Siberia, Mongolia sampai Turki. Di sebelah kiri termaktub seruan Ya Wali Kullu Mazlum atau 'Wahai pembela semua orang yang kena zalim'.

Dalam pagar sebelah kanan tertulis La ilaha illallah Al-Malikul Haqqul Mubin. Di sebelah kiri tertulis Muhammad Rasulullah Sadiqul Wa'dul Amin. Di tengah-tengah tertulis ayat perang atau ayat kenegaraan dari surah As-Saff ayat 13:
"help from Allah and a speedy victory. So give the Glad Tidings to the Believers."


Ahmet Çeşmesi
Fountain of Ahmed III

Air Pancut Sultan Ahmed III di luar pagar istana. Tempat tumpuan dan kegiatan rakyat marhaen. Ada empat kepala paip semuanya. Di belakang gerigi besi ada pekerja yang menyediakan sherbet atau minuman percuma untuk hamba rakyat.
-------

Di ingatkan cara menyebut Topkapı bukan (top-ka-pee) tetapi (top-ka-pe) dengan e pepet. Kerana hujungnya itu bukan huruf i tapi huruf Turki yang tak tau namanya, macam i tapi tanpa titik.

Wednesday, July 08, 2009

Alah membeli menang memakai

"Puan, alah membeli menang memakai," kata iklan dalam tv.

"Mak, Puan Alah tu siapa?" Tanya Wamap pada maknya.

Sampai besar, baharulah Wamap tau alah membeli menang memakai tu peribahasa cuma masih keliru termasuk dalam simpulan bahasa, bidalan, pepatah atau perumpamaan.

Tapi ni iklan sabun basuh Ekonomi Handalan bukan sabun basuh pinggan. Melainkan orang kampung, yang suka basuh pinggan pakai sabun basuh baju atau sabun buku manakala nenek aku tak pakai Axion sebab takut mabuk.

Adapun selepas, awal lagi aku nak buat penafian (disclaimer). Aku memang seorang paling malas dalam ini rumah. Kalau orang lain sibuk mengemas aku boleh sibuk buat tak tau. Tolong tengok pun tidak.

Arkian, aku perasan ada orang tulis 'Kerana sebiji pinggan' dan sebelum itu dia tulis yang matannya kurang lebih begini 'Some people think they are better when they wash some plate/dishes' au kama qal.

Aku bukan nak masuk campur tangan dalam hal rumahtangga orang lain. Jadi jom kita tengok benda ni secara umum saja.

Aku tak nak setuju dengan ayat tu. Memang lumrah orang yang kena marah dia akan rasa orang yang marah macam ada perasaan high and all mighty atau holier than thou. Memang bunyi orang yang marah macam berkira gila. Tapi cuba tengok dari sisi lain.

Aku lebih nampak, orang yang tak/malas cuci pingganlah yang rasa dia orang ni better. Mulia dan tak layak buat kerja kotor dan hina macam cuci pinggan. Orang yang cuci pingganlah yang jadi kuli basuh sisa-sisa orang lain. Orang Melaka cukup setuju dengan aku. Macam yang dia selalu kata: Makan sama-sama tapi basuh pinggan sorang-sorang.

Maka aku, yang tangan selalu kosong, senang-lenang sambil kaki goyang, malas mengaji serta tak ambil cakna kebajikan orang akan selalu disuruh orang Melaka buat kerja ni. Sebab kasihkan orang Melaka aku buat jugak walau dalam hati ada sikit geram sebab aku bukan salim sangat pun.

Cuma yang bermain dalam fikiran aku ialah kalau kau orang basuh pinggan mangkuk masing-masing tidakkah kau orang akan menjadi pelajar yang cemerlang, orang persatuan yang mantap dan suami yang unggul?

Pesan akhir dari Sidi Hidir (dengan izin), jangan kahwin dengan perempuan alim fekeh Syafi'e.

Ya. Mukadimah aku konon macam Saifulislam.com

Membiarkan pinggan mangkuk bertimbun tak berbasuh mewarisi kepapaan. Aku pandai cakap saja.

Tuesday, July 07, 2009

Gymnasium

Kolam renang?
BalapanTrek lumba lari
Alang-alang duduk di bawah tak ada salah kalau menengok-nengok keliling Tholos itu. Kami pun dah tak kesah dengan masa. Di luar Tholos itu di sekitar Sanctuary of Athena Pronaia letaknya gymnasium tempat latihan para atlet Sukan Pythia.

Ada satu dua macam kemudahan. Balapan atau trek lumba lari dan kolam renang. Bayangkan latihan renang. Dengan atlet yang mesti bertanding bogel dan air pula dari kaki gunung yang dingin. Ada ke acara renang?

Anarki di Athina XXV